
Islam Pencipta Persaudaraan Sedunia
By: Naufal Alkaff
Bismillah Al-Rahman Al-Rahiim.
Islam menciptakan dasar bagi Persaudaraan dan Perpaduan sedunia. Hal ini nyata kelihatan di dalam seruannya kepada seluruh ummah manusia supaya hanya menyembah kepada Allah (swt) sahaja Tuhan yang Maha Esa. Islam mengingatkan kepada ummah manusia bahawa mereka berasal dari satu keturunan iaitu Adam dan Hawa, walaupun telah berkembang biak menjadikan berbagai bangsa dan suku puak.
Islam mengajak seluruh ummah manusia supaya saling kenal-mengenal antara satu sama lain agar dapat lahirnya rasa hormat-menghormati, harga-menghargai, bekerjasama, dan sebagainya. Dari suasana yang sedemikian, akan lahir rasa persaudaraan dan perpaduan ummah manusia sedunia.
Allah (swt) berfirman:
Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari
seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa
dan bersuku-suku puak supaya kamu saling berkenal-kenalan. Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang lebih taqwanya di antara kamu.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuannya.
[49:13]
Islam juga mengajarkan kepada kita supaya jangan sesekali menghina ataupun mengecil-ngecilkan keyakinan orang lain. Setiap ummah itu menganggap baik apa yang mereka kerjakan. Menghormati pendirian orang lain adalah amat penting, asalkan kita berpegang teguh dengan keyakinan kita kepada Allah (swt) dan tidak menyekutukannya.
Allah (swt) berfirman:
Dan
janganlah kamu memaki (sembahan-sembahan) yang mereka sembah selain Allah, maka
mereka akan memaki Allah dengan permusuhan tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami
jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan
merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang
telah mereka kerjakan. [6:108]
Islam tidak memaksa seseorang itu untuk memeluk Agama Islam, Allah (swt) berfirman:
Tidak ada
paksaan dalam memasuki Agama Islam, sesungguhnya telah nyata jalan yang benar
dari jalan yang salah… [2:256]
Mereka yang memeluk Agama Islam secara terpaksa, mereka ini tidak akan ikhlas dan sebagainya dalam menjalankan segala suruhan Allah (swt) dan tidak akan wujudnya iman pada diri ataupun lahirnya cinta kepada agama itu dengan mendalam dan sebenarnya.