Pendahuluan
By: Naufal Alkaff
Bismillah Al-Rahman Al-Rahiim.
Untuk menanamkan perasaan Persaudaraan dan Perpaduan dikalangan ummah manusia khasnya Ummah Islam, bukanlah satu perkara yang mudah dan senang dilaksanakan. Pelbagai usaha telah dijalankan kearah ini tetapi sehingga kini masih belum lagi mencapai hasil sepenuhnya seperti apa yang diajarkan oleh Allah (swt) dan Rasullullah (saw).
Namun begitu, kita tidak boleh berputus asa dengan begitu sahaja dan wajib bagi setiap Ummah Islam mengambil bahagian kearah Persaudaraan dan Perpaduan Ummah. Walaupun ianya tidak dapat mencapai matlamat sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita dapat turun bersama-sama mengembangkan suasana persaudaraan dan perpaduan dikalangan ummah manusia khasnya dikalangan Ummah Islam, dengan demikian Insya Allah suasana Persaudaraan dan Perpaduan ini akan wujud juga akhirnya dan perpecahan dapat dibendung ataupun dikurangkan.
Bagi mereka yang inginkan suasana aman dan damai, mengakui betapa pentingnya suasana Persaudaraan dan Perpaduan, kerana dari suasana yang sedemikian itulah akan wujudnya pula ‘Perdamaian’ dan dalam suasana aman dan damai inilah segala usaha yang baik dalam pelbagai bidang dapat dilaksanakan dengan baik.
Dalam keadaan perpecahan ataupun kacau-bilau, tidak mungkin semua hal yang baik itu dapat diwujudkan. Malahan yang menjadi kenyataan adalah suasana curiga-mencurigai, permusuhan, dengki-mendengki, hancur-menghancurkan, peperangan, dan sebagainya. Ini jelas sekali terbukti didepan mata kita pada masa dahulu, sekarang, dan mungkin pada masa hadapan jika tiada tindakan yang sewajarnya diambil. Jika ada penghuni ataupun makhluk lain selain dari bumi, mereka akan menganggap yang tiada bezanya antara manusia dan haiwan dan mungkin lebih teruk lagi.
Islam ialah agama yang datangnya dari Allah (swt) yang disampaikan oleh RasulNya Muhammad (saw) kepada sekalian ummah manusia. Islam memberi kedamaian kepada fikiran dan perasaan manusia dan memimpin ke jalan yang benar ke arah keselamatan manusia di dunia dan akhirat.