|
|
|
Copyright © ISDEV Released, May 2005. This site is developed by Islamic Development Management Project, USM, Penang, Malaysia. E-mail: [email protected] |
|
ABSTRAK YANG DITERIMA ACCEPTED ABSTRACTS |
|
PERSIDANGAN SISWAZAH ISDEV I THE FIRST ISDEV GRADUATE CONFERENCE |

|
ANJURAN BERSAMA/ JOINTLY ORGANIZED |
|
Projek Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Islamic Development Management Project Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia 11800 Pulau Pinang Tel:604-6532655/6532656 Fax: 604-6570918 [email protected] www.geocities.com/idmpusm |
Institut Pengajian Siswazah (IPS) Institute of Graduate Studies Universiti Sains Malaysia 11800 Pulau Pinang Tel: 604-6533888 ext 2941/2943/ 2944/2945 Fax: 604-6532931 [email protected] www.ips.usm.my |
|
Sessi Selari 1A (29 Ogos 2005, 11.00 a.m.—1.00 p.m.) Concurrent Session 1A (29 August 2005, 11.00 a.m.—1.00 p.m.) |
|
PENGURUSAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM I ISLAMIC DEVELOPMENT MANAGEMENT I |
|
|
|
1 KONSEP SYIRKAH DALAM PENGURUSAN HARTA FARA’ID MASAKINI Nasri Naiimi Jabatan Pentadbiran Muamalat, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah Darul Aman; E-mel: [email protected]; Tel: 04-9285076; Faks: 04-9285761; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Malaya. Aspek muamalat di dalam Islam menekankan hubungan manusia sesama manusia. Salah satu konsep yang termasuk di dalamnya adalah syirkah. Syirkah adalah satu bentuk syarikat yang berasaskan perundangan Syariah Islam. Secara umum, ia bermaksud gabungan antara dua atau lebih harta dalam keadaan kedua-duanya tidak dapat dibezakan di antara satu sama lain. Ia secara amnya boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu penggabungan yang berkaitan dengan harta dan penggabungan berkaitan dengan kontrak. Syirkah yang berkenaan dengan harta boleh wujud dalam keadaan terpaksa dan boleh juga dalam keadaan pilihan. Sebaliknya, syirkah yang berkenaan dengan kontrak pula boleh wujud melalui empat cara iaitu inan, abdan, mufawadah dan wujuh. Secara tradisionalnya, harta pusaka selalunya diagihkan kepada ahli-ahli yang berhak secara fizikal. Cara sebegini boleh mengakibatkan kerugian dalam jangka masa panjang kepada umat Islam amnya kerana hilangnya daya kekuatan ekonomi dari segi produktiviti dan juga ekonomi bidangan. Tidakkah ada satu kaedah dalam pendekatan Syariah Islam yang boleh mengatasi masalah ini? Kertas kerja ini akan membincangkan salah satu cabang syirkah yang berkaitan secara langsung dengan pengurusan harta pusaka atau faraid di dalam Islam yang boleh dilakukan oleh pewaris. Ia dikenali sebagai Syirkah al Amlak al Jabariyah. Konsep ini dirasakan relevan kepada pengurusan pemilikan harta pusaka oleh para pewaris di dalam Islam bagi menjamin pembahagian yang berterusan dari masa ke semasa bukannya pembahagian usul harta itu sendiri. Walaupun konsep ini telah wujud di dalam pentadbiran kerajaan Islam di zaman silam dahulu khususnya pada zaman kegemilangan empayar Kerajaan Islam Othmaniyah dahulu, namun demikian tidaklah sehingga ke tahap pengaplikasiannya terhadap pengurusan harta pusaka di dalam Islam. Penekanan hanya diberikan kepada perkongsian harta secara bersama sahaja. Tambahan lagi, konsep sedemikian dirasakan kurang relevan pada masa sekarang khususnya pada zaman alaf baru ini. Konsep-konsep yang agak terkebelakang dari segi realiti kehidupan semasa mungkin perlu ditampung dengan peruntukan-peruntukan tambahan dari konsep syirkah yang lain ataupun konsep syarikat di dalam undang-undang konvensional yang tidak bertentangan dengan Syariah Islam. Inilah yang cuba dikupaskan di dalam kertas kerja ini. |
|
|
|
2 Pembasmian Kemiskinan: Peranan dan Sumbangan Institusi Wakaf Razali Othman Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM, Serdang, Selangor; E-mel: [email protected]; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah. Kemiskinan merupakan masalah yang sangat kompleks dan bersifat pelbagai dimensi. Ia bukan sahaja melibatkan kekurangan dalam keperluan kehidupan seharian tetapi juga turut menafikan hak individu atau masyarakat dalam mendapatkan sumber-sumber dan sistem sokongan bagi mencapai kehidupan yang harmoni. Laporan Pembangunan Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyebut bahawa dalam tahun 2004, 46% daripada negara paling kurang membangun dan 53% daripada negara paling mundur adalah terdiri di kalangan negara-negara Islam. Laporan ini memberikan gambaran yang sangat membimbangkan yang menuntut ianya ditangani dengan segera dan agresif. Dalam konteks ini, institusi wakaf yang berakar umbi daripada sistem perundangan Islam sejak lebih daripada seribu empat ratus tahun yang lalu mampu dijadikan mekanismesumber pembiayaan dalam membasmi masalah kemiskinan. Dalam hubungan itu, artikel ini akan membincangkan konsep, masalah dan senario kemiskinan yang dihadapi dewasa ini. Seterusnya, konsep, peranan dan aplikasi institusi wakaf akan dijelaskan khususnya dalam meningkatkan pilihan individu dan masyarakat dengan menyediakan peluang bagi mendapatkan sumber dan sistem sokongan seperti perkhidmatan pendidikan, kesihatan, pemakanan dan kemudahan-kemudahan fizikal. Kedudukan institusi wakaf di zaman keagungan Islam dan perkembangannya dewasa ini akan turut dibincangkan sebagai katalis dalam usaha membantu membasmi masalah kemiskinan dan sekaligus meningkatkan pembangunan sosioekonomi individu dan masyakarat terutama dalam kalangan negara-negara Islam. |
|
|
|
3 PELAKSANAAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM PERSYARIKATAN MUHAMMADIYAH DI INDONESIA Muhammad Tahir Projek Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, 11800 Minden, Pulau Pinang; E-mel: [email protected]; Tel: 04-6532910; Faks: 04-6570918; Tahap Pengajian: Sarjana, Universiti Sains Malaysia. Kertas kerja ini ingin mengenal pasti pelaksanaan pembangunan berteraskan Islam yang dilakukan Persyarikatan Muhammadiyah, sebuah organisasi Islam yang besar di Indonesia. Muhammadiyah mempunyai ahli sejumlah 35 juta orang, yakni lebih besar daripada jumlah penduduk empat negara Asean Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura dan Timur Leste. Secara logiknya, jumlah ahli sebesar ini berpotensi mewujudkan hasil pembangunan yang memberangsangkan. Muhammadiyah sendiri, sebagai sebuah organisasi Islam, tentulah berhasrat menjadikan Islam sebagai kaedah pembangunannya. Persoalannya, setakat manakah perkara ini telah dilakukan? Kertas kerja ini cuba meneliti persoalan ini. Pertama, ia cuba meneliti apakah erti pembangunan berteraskan Islam; kedua, apakah bentuk pembangunan yang dijalankan Muhammadiyah; ketiga, ke manakah halatuju pelaksanaan pembangunan berteraskan Islam yang dilakukan Muhammadiyah; keempat, apakah permasalahan pembangunan berteraskan Islam yang dilaksanakan Muhammadiyah; dan kelima, apakah pembangunan berteraskan Islam yang dilaksanakan oleh Muhammadiyah mempunyai prospek yang cerah. Kertas kerja ini akan menghujahkan bahawa pelaksanaan pembangunan berteraskan Islam Muhammadiyah belum dilakukan secara menyeluruh. Selain itu, pembangunan Muhammadiyah di dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, politik, sosial dan ekonomi juga belum berteraskan Islam sepenuhnya. Masih terdapat unsur-unsur yang tidak Islamik, umpamanya riba, di dalam usaha pembangunan Muhammadiyah ini. Pembangunannya juga belum berjaya mewujudkan pembangunan yang seimbang dan bersepadu. Ia lebih banyak menumpukan kepada pembangunan fizikal/kebendaan berbanding pembangunan kerohanian. Walau bagaimanapun, prospek Muhammadiyah dalam melaksanakan pembangunan berteraskan Islam agak cerah kerana pendekatannya yang agak fleksibel dan moderat. Dengan pendekatan sebegini tidak mungkin Muhammadiyah diharamkan oleh kerajaan Indonesia seperti mana yang berlaku kepada Ikhwanul Muslimin di Mesir dan al-Arqam di Malaysia. Oleh itu, Muhammadiyah mempunyai peluang untuk terus cuba mencapai satu pelaksanaan pembangunan berteraskan Islam yang benar-benar Islamik. |
|
|
|
4 APLIKABILITI MODEL PENGURUSAN KUALITI MENYELURUH (TQM) KE ATAS PENGURUSAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM Fadzila Azni Ahmad Projek Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, 11800 Minden, Pulau Pinang; E-mel: [email protected], [email protected]; URL: http://www.geocities.com/ suekainah/; Tel: 04-6532655; Faks: 04-6570918; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Sains Malaysia. Kertas kerja ini bertujuan menilai aplikabiliti atau kesesuaian aplikasi model Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) ke atas Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam. Penilaian aplikabiliti model TQM ini dibuat berdasarkan kepada empat aspek iaitu aspek tasawwur, aspek epistemologi, aspek ontologi dan aspek operasian. Tumpuan terhadap model TQM adalah berdasarkan faktor kesungguhan Kerajaan Negara Malaysia menerapkan elemen-elemen TQM ke dalam Perkhidmatan Awam sejak tahun 1991. Kesungguhan ini tampak lebih ketara apabila pada tahun 1999 model TQM cuba diterapkan ke dalam setiap aspek pengurusan dalam Perkhidmatan Awam secara menyeluruh. Persoalannya, apakah model TQM yang berasal dari Barat ini sesuai untuk diaplikasi ke atas pengurusan pembangunan Islam di negara ini? Melihat daripada aspek operasian, aplikasi model TQM tersebut tampak amat positif untuk dilaksanakan. Walau bagaimanapun, pengukuran daripada aspek operasional semata-mata tidak memadai. Penelitian daripada sudut falsafah yang merangkumi tasawwur, epistemologi dan ontologi juga perlu. Ini adalah supaya satu model pengurusan kualiti yang benar-benar berkesan dapat dikemukakan untuk pengurusan pembangunan Islam di negara ini. Hal ini menjadi semakin penting untuk diteliti memandangkan pengurusan pembangunan negara sejak akhir-akhir ini sedang menjurus kepada pendekatan kaedah Pembangunan Berteraskan Islam yang dikenali sebagai Islam Hadhari. Untuk itu, kertas kerja ini akan menilai aplikabiliti model TQM berdasarkan kepada penilaian daripada kacamata Islam dengan menumpukan kepada aspek-aspek tasawwur, epistemologi, ontologi dan operasiannya. Dengan ini diharapkan satu kaedah pengurusan kualiti untuk pembangunan yang sesuai dengan Islam dapat ditemui dan dilaksanakan. |
|
Sessi Selari 1B (29 Ogos 2005, 11.00 a.m.—1.00 p.m.) Concurrent Session 1B (29 August 2005, 11.00 a.m.—1.00 p.m.) |
|
EKONOMI, KEWANGAN DAN PERAKAUNAN ECONOMY, FINANCE AND ACCOUNTING |
|
5 HUBUNGAN ANTARA SISTEM PERBANKAN ISLAM DENGAN PENYENARAIAN SAHAM SYARIKAT DI BAWAH INDEKS SYARIAH BURSA MALAYSIA Mohd. Kamal Omar Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM), Mengabang Telipot, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu; E-mel: [email protected]; [email protected]; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia. Bagi membolehkan sesebuah syarikat tersenarai di papan Bursa Malaysia, syarikat tersebut hendaklah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia. Antaranya, mempunyai kedudukan yang kukuh, kewangan yang stabil dan berdaya saing di dalam perniagaan. Walau bagaimanapun untuk mencapai kriteria tersebut, bukanlah suatu perkara yang mudah. Sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya institusi-institusi kewangan amat diperlukan untuk menggerakkan perjalanan sesebuah syarikat. Bermula dari peringkat awal sehinggalah sesebuah syarikat itu kukuh dalam perniagaannya, tidak dinafikan sokongan daripada institusi-institusi kewangan amat penting, terutamanya sebagai pemberi pinjaman pelaburan kepada syarikat-syarikat yang memerlukannya. Dilihat pada fenomena sekarang, adalah dijangkakan syarikat-syarikat yang memerlukan kewangan tidak akan berhadapan dengan masalah pinjaman. Ini kerana terdapat pelbagai bentuk skim dan pinjaman yang disediakan oleh dua bentuk sistem perbankan yang beroperasi di negara ini, iaitu Sistem Perbankan Konvensional dan Sistem Perbankan Islam (SPI). Ini sekali gus memberi ruang yang lebih luas kepada syarikat-syarikat untuk membuat pinjaman. Bagi yang memerlukan pinjaman tanpa melibatkan riba', mereka boleh memilih untuk berurusan dengan bank-bank yang menawarkan SPI. Pinjaman boleh dilakukan sama ada di bank-bank yang menawarkan seratus peratus SPI atau di bank-bank konvensional yang menawarkan SPI di bawah Skim Perbankan Islam. Tetapi persoalannya di sini, setelah 22 tahun SPI dan 11 tahun Skim Perbankan Islam beroperasi di negara ini, adakah bank-bank yang menawarkan SPI ini menyokong syarikat-syarikat yang memerlukan pinjaman selama ini. Malah adakah kewujudan saham-saham Syariah di papan Bursa Malaysia dalam enam tahun kebelakangan ini turut mendapat suntikan pinjaman daripada SPI. Justeru itu, kertas kerja ini akan memberi tumpuan kepada hubungan antara SPI dengan penenaraian saham-saham syarikat dalam bentuk pinjaman kepada sektor-sektor ekonomi. Topik ini dipilih kerana kini kerajaan Malaysia sedang giat berusaha menjadikan Malaysia sebagai niche Kewangan Islam yang unggul dirantau ini. |
|
6 Sumber Pengetahuan Dalam Sektor Perbankan Islam di Malaysia: Kajian Untuk Membangunkan Model Sumber Pengetahuan Korporat Hafizi Muhamad Ali Jabatan Sains Maklumat, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600, Bangi, Selangor; E-mel: [email protected], [email protected] ; Tel: 04-9286505; Faks: 04-9286406; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia. Penyelidik dan pengamal dalam sektor perbankan mulai sedar bahawa pengetahuan dimiliki oleh pekerja secara total. Kesedaran ini lahir daripada lanskap kewangan yang menerima terma “globalisasi” dan “liberalisasi” yang menimbulkan kesan persaingan, penggabungan dan deregulasi dalam sektor ini. Maka, pengetahuan lahir sebagai sumber utama kepada organisasi. Gabungan teknologi baru dan amalan pengurusan pengetahuan meningkatkan keupayaan pekerja untuk memperoleh pengetahuan daripada organisasi. Bagi memahami bagaimana amalan pengurusan pengetahuan berfaedah kepada organisasi dalam sektor perbankan, kajian ini difokuskan secara khusus kepada aktiviti perkongsian pengetahuan. Kajian lampau mencadangkan, pekerja sepatutnya berkongsi pengetahuan secara aktif. Kajian ini mengambil pendekatan yang berbeza iaitu: Individu yang menerima pengetahuan mampu meningkatkan prestasi berbanding dengan individu yang berkongsi pengetahuan. Oleh itu, fokus terhadap gelagat individu untuk melihat sejauh mana mereka mencari dan memperoleh pengetahuan sesama sendiri diterjemahkan sebagai “sumber pengetahuan”. Sumber pengetahuan merupakan gelagat yang boleh dilaksanakan dengan bantuan atau tanpa bantuan teknologi maklumat. Empat persoalan kajian cuba dijawab iaitu: (i) Apakah amalan pengurusan pengetahuan yang diamalkan oleh organisasi membantu individu dalam sumber pengetahuannya? (ii) Apakah hasil tahap pembelajaran dan hasil prestasi yang diperoleh oleh individu daripada sumber pengetahuannya? (iii) Adakah jenis gelagat sumber pengetahuan yang berbeza membawa kepada hasil pembelajaran dan hasil prestasi yang berbeza? (iv) Bagaimanakah ciri-ciri kerja mempengaruhi gelagat sumber pengetahuan? Model Sumber Pengetahuan (MSP) yang terdiri daripada elemen konteks dan sikap, dan hasil prestasi dan pembelajaran dicadangkan. MSP diuji menggunakan data tinjauan daripada organisasi utama dalam sektor perbankan Islam di Malaysia. Model Sumber Pengetahuan (MSP) diharap menjadi wadah kepada sektor perbankan di Malaysia dalam melaksanakan inisiatif Pengurusan Pengetahuan dan seterusnya merealisasikan intipati Pelan Induk Ekonomi Berasaskan Pengetahuan. |
|
7 PERAKAUNAN ZAKAT PERNIAGAAN: KAJIAN KES DI INSTITUSI-INSTITUSI ZAKAT DI MALAYSIA Zahri Hamat Projek Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, 11800 Minden, Pulau Pinang; E-mel: [email protected]; Tel: 04-6532910; Faks: 04-6570918; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Sains Malaysia. Kertas ini bertujuan untuk mengkaji perakaunan zakat perniagaan yang dipraktikkan di institusi-institusi zakat di Malaysia. Secara kasarnya kertas ini mempunyai empat bahagian. Bahagian pertama merupakan latarbelakang yang meliputi permasaalahan kajian dan sorotan ke atas karya-karya terdahulu. Ia akan menyentuh punca-punca permasaalahan ketidakseragaman zakat harta, kaedah perakaunan zakat perniagaan, aplikasi qiyas dalam perakaunan zakat perniagaan dan praktis perakaunan zakat perniagaan di Malaysia. Bahagian kedua pula membahaskan metodologi kajian yang dipakai. Ia meliputi tiga perkara. Pertama, meneliti tentang metodologi penyelidikan berteraskan Islam. Kedua, mengkaji dua jenis sumber penyelidikan yang dipakai. Sumber utama ialah al-Qur'an, Hadith, ijmak ulama, dan qiyas. Sumber kedua ialah al-istihsan, al-masalih al-mursalah, mazhab sahabat, al-istishab, 'uruf, dan syar'u man qablana. Ketiga, menjelaskan tentang metodologi kajian lapangan yang dijalankan. Bahagian ketiga menjelaskan dapatan kajian yang dibahagikan kepada tiga perkara. Pertama, kaedah perakaunan zakat perniagaan yang diamalkan di institusi-institusi zakat di Malaysia. Kedua, punca-punca yang menyebabkan ketidakseragaman kaedah perakaunan zakat perniagaan di Malaysia. Ketiga, kaedah perakaunan zakat berasaskan pendapatan yang boleh dijadikan satu kaedah alternatif perakaunan zakat perniagaan. Bahagian terakhir merupakan ringkasan keseluruhan kertas ini. Ia meliputi perbahasan ke atas dapatan kajian dan kaitannya dengan karya-karya terdahulu. Ia juga turut membahaskan implikasi dasar dan cadangan kajian masa depan. |
|
8 EFFECTS OF LEADERSHIP, COMPENSATION AND CORPORATE CULTURE ON ACCOUNTING VALUES ORIENTATION AND ORGANISATION PERFORMANCE. Amalina Abdullah Graduate School of Management, Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM, Serdang, Selangor; E-mel: [email protected]; Tel: 03-89467729; Faks: 03-89486188; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Putra Malaysia. The International Accounting Standards Board decided to change their standards to become ‘International Financial Reporting Standards’, and the world accounting community accepted the decision favorably, as it reflects the need to serve the investing community better through transparent financial reporting. Beginning 1 January 2005, existing MASB Standards is now known as Financial Reporting Standards ‘FRS’ in line with similar move by other countries in this region ( MASB Press Release, 29 Dec, 2004). The new move to change the nomenclature in Malaysia is to keep up with the developments worldwide. There is some how some ambiguity on the preparation of the financial statements as an obligation to comply with statutory requirement, or courtesy to external stakeholders or whether it can be served as a valuable tool for management decision making that may affect the future performance of the firm in general. This conceptual research paper seeks to develop a theoretical framework of the design of accounting values or accounting system in organizations from internal management perspectives and Islamic corporate culture point of view. This research aim to investigate the relationship between the leadership, the compensation level and corporate culture which may influence the choice of accounting systems in the organization. It is believed that the design of accounting system chosen by that particular firms will have an intervening effect on the firm performance, both financial and non financial performance. This study will be conducted through a set of structured questionnaires after the construction of the measurement of the variables have been clearly defined. |
|
Sessi Selari 2A (29 Ogos 2005, 2.30 p.m.—4.30 p.m.) Concurrent Session 2A (29 August 2005, 2.30 p.m.—4.30 p.m.) |
|
PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM II ISLAMIC DEVELOPMENT MANAGEMENT II |
|
9 Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam di Penjara Pulau Pinang : Satu Analisis Awal Armein Daulay Projek Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, 11800 Minden, Pulau Pinang; E-mel: [email protected]; Tel: 04-6532910; Faks: 04-6570918; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Sains Malaysia. Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam pentadbiran adalah sebahagian daripada pelbagai usaha Kerajaan Malaysia untuk memasukkan unsur-unsur Islam ke dalam kehidupan rakyat Malaysia. Dasar ini telah dilaksanakan di penjara Malaysia sejak tahun 1990 bagi memulihkan banduan-banduannya. Untuk mempastikan dasar tersebut dilaksanakan dengan teratur dan berkesan, satu kurikulum telah digubal pada tahun 1995 dan diperkemaskan lagi pada tahun 1996. Walau bagaimanapun ada beberapa masalah dalam melaksanakan dasar penerapan nilai-nilai Islam di dalam penjara ini. Pertama, secara majoritinya setiap penjara menempatkan bilangan banduan yang melebihi keupayaannya. Ini memberi kesan secara langsung kepada keberkesanan pengajaran agama mengikut kurikulum kepada para banduan. Kedua, bilangan guru agama yang disediakan juga tidak setimpal dengan bilangan banduan. Ketiga, kerapkali juga berlakunya kegagalan guru-guru agama untuk hadir mengikut jadual yang telah ditetapkan. Keempat, biasanya penerapan nilai-nilai Islam yang dilaksanakan hanyalah mengikut program yang sudah sedia ada di penjara masing-masing. Kertas kerja ini akan meneliti secara lebih mendalam tentang permasalahan-permasalahan ini dengan mengkhusus kepada kaedah penerapan nilai-nilai Islam di penjara Pulau Pinang. Secara lebih khusus, kertas kerja ini cuba membuat penilaian awal ke atas masalah dan keberkesanan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam di penjara Pulau Pinang ini. |
|
10 THE IMPACT OF 13 MAY 1969 TRAGEDY ON THE ROLE OF ISLAM IN THE FORMULATION OF MALAYSIA FOREIGN POLICY (1971-1976) Anidah binti Robani Jabatan Kemasyarakatan dan Pendidikan Islam, Pusat Perkhidmatan Akademik, Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia, 75450 Ayer Keroh, Melaka; E-mel: [email protected]; Tel: 06-2333073; Tahap Pengajian: Sarjana, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Malaysia can be classified as a Muslim country. With its Muslim majority and Islam as its official religion, Malaysia takes considerable pride for being part of the dynamic and progressive Islamic Ummah. Being part of the Ummah, Malaysia endeavours her utmost to manifest her concern and commitment to the Islamic principles of brotherhood and justice. The foreign policy of Malaysia may be said to be affected by Islam to a considerable degree. 13th May Riot was regarded as the watershed in contemporary Malaysian history. The racial disturbance was caused by the inter-racial frustration and antagonism especially among the Malays and Chinese. The political instability that occurred in Malaysia immediately alter the civil disturbance of May 13, 1969 did not critically affect the general posture of Malaysia in her international relations. Under the premiership of Tun Razak, Malaysia became more actively involved in regional and internal affairs. This study however, does not aspire to study the Malaysian foreign policy nor the history of the tragedy comprehensively, but it rather attempts to analyze the impact of 13 May tragedy on the role of Islam in the formulation of Malaysian foreign policy. In other words the study attempts to highlight the Islamic dimension in the formulation of Malaysian foreign policy during the premiership of Tun Razak (1971-1976). The study suggests that 1969 race riot led to increasing commitment form the Malaysian government towards the role of Islam in Malaysian foreign policy in order to regain domestic and international confidence particularly among the Malay-Muslims populations and the international Islamic community. One of the strategies noted from the study was the development of more extensive contacts with the international Islamic community and the drive to Islamize Malaysia, while maintaining, at the same time pattern of accommodation with other races. |
|
11 PENGARUH KEADILAN DALAM PELAKSANAAN PENILAIAN PRESTASI: TINJAUAN KE ARAH PENYELESAIAN ISLAM Ab. Aziz Yusof Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok Kedah; E-mel: [email protected]; Tel: 04-9283844; Faks: 04-9285754; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Sains Malaysia. Kefahaman terhadap status semasa pelaksanaan sistem penilaian prestasi memerlukan pengimbauan kembali sejarah perkembangannya. Dengan pengimbauan ini, ahli-ahli akademik dan para pengamal penilaian prestasi boleh menoleh ke belakang untuk mengkaji faktor-faktor yang mendesak agar perubahan terhadap sistem yang sedia ada boleh dilakukan. Ia juga turut membolehkan ahli-ahli akademik dan para pengamal penilaian prestasi mengemukakan alternatif agar pelaksanaannya dapat memenuhi keperluan dan tuntutan semasa. Kertaskerja ini akan memberi penumpuan kepada pelbagai pendekatan yang telah diambil untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan sistem penilaian prestasi ini. Berdasarkan kepada hasil penelitian, kertaskerja ini akan menunjukkan bagaimana pentingnya tanggapan keadilan ganjaran dalam pelaksanaannya sebagai faktor utama yang telah mempengaruhi perkembangan dan perubahan terhadap sistem ini. Kertaskerja ini juga akan mempamirkan bagaimana faktor ini telah mempengaruhi pendekatan dan mencorak kaedah dalam pelaksanaannya sejak seabad yang lalu. Akhirnya kertas ini akan mengemukakan penyelesaian dengan mengambil keadilan berlandaskan Islam sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap permasalahan dalam pelaksanaan penilaian prestasi yang lazim diamalkan sekarang. |
|
12 Pembentukan dan Pendekatan Pelaksanaan Kod Etika Islam: Penelitian Terhadap Asas-Asas Teori Nor `Azzah binti Kamri Projek Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, 11800 Minden, Pulau Pinang; E-mel: [email protected]; [email protected]; Tel: 04-6532655; Faks: 04-6570918; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Sains Malaysia. Setiap konsep ilmiah mempunyai asas teorinya yang tersendiri. Begitulah juga dengan kod etika Islam. Ia berasaskan teori akhlak yang telah dibangunkan oleh para pemikir Islam. Kertas kerja ini cuba melihat teori akhlak yang telah dikemukakan oleh dua orang tokoh pemikir Islam iaitu al-Ghazali dan Ibn Miskawayh. Al-Ghazali telah menampilkan teori akhlak menerusi karya tersohornya Ihya’ `Ulum al-Din, manakala Ibn Miskawayh menerusi tulisannya Tahdhib al-Akhlaq. Kertas kerja ini akan membuat penelitian terhadap teori-teori akhlak yang dikemukakan oleh kedua-dua tokoh pemikir Islam tersebut dari segi sumber, matlamat, prinsip, komponen nilai, skop dan pendekatan pelaksanaannya. Hasil penelitian ini diharap akan memberi dua sumbangan utama. Pertama, sumbangan terhadap penetapan asas-asas teori dalam membentuk kod etika Islam dan pendekatan untuk melaksanakannya. Kedua, sumbangan terhadap pembinaan satu kerangka teoritis sebagai landasan penyelidikan berhubung penilaian kod etika Islam secara teori dan praktis. |
|
Sessi Selari 2B (29 Ogos 2005, 2.30 p.m.—4.30 p.m.) Concurrent Session 2B (29 August 2005, 2.30 p.m.—4.30 p.m.) |
|
PENGURUSAN PENGETAHUAN DAN KOMUNIKASI KNOWLEDGE AND COMMUNICATION MANAGEMENT |
|
13 Perkembangan Jurnal Ilmiah dalam Bidang Pengajian Islam Roosfa Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor; E-mel: [email protected]; Tel: 03-89215939; Faks: 03-89254575; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Malaya. Sejak 1878 apabila terbitnya Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society, muncul pelbagai jurnal ilmiah dalam pelbagai bidang di negara ini. Kebanyakan jurnal ini dipelopori oleh sarjana British bagi memuatkan tulisan pegawai kolonial. Selepas merdeka, beransur-ansur kegiatan penerbitan jurnal ilmiah ini diambil alih oleh sarjana anak tempatan. Dengan terdirinya Universiti Malaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka serta institusi penyelidikan dalam pelbagai bidang, semakin bersemaraklah kegiatan penerbitan ilmiah. Dengan terdirinya Kolej Islam Malaya dan Akademi Pengajian Islam di Nilam Puri serta penubuhan fakulti pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia serta beberapa buah institusi berteraskan penyelidikan dan pendidikan Islam yang lain seperti Pusat Islam, JAKIM, YADIEM dan pejabat agama di negeri-negeri serta kewujudan pelbagai badan bukan kerajaan seperti ABIM maka muncul lebih banyak jurnal ilmiah dalam pelbagai cabang ilmu pengajian Islam. Kertas ini menyorot perkembangan jurnal-jurnal ilmiah ini dan membincangkan sumbangannya dalam perkembangan korpus ilmu dalam bidangnya. |
|
14 PERLAKSANAAN KONSEP ILMU SEPADU DALAM ORIENTASI PENGAJIAN SEKOLAH MENENGAH AGAMA RAKYAT (SMAR) DAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA DI NEGERI KEDAH DAN PERLIS – SUATU PERBANDINGAN Mohd. Nasir Abd. Hamid Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor; E-mel: [email protected]; Tel: 04-9861001 smbgn 4702; Faks: 04-9874225; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia. Di Malaysia, pembangunan pendidikan Islam sudah lama menjadi sebahagian agenda terpenting semenjak zaman Kerajaan Melayu Islam lampau seperti Pattani (1212-1312/1800-1900) dan ia berkait rapat dengan usaha penyibaran Islam yang giat dilakukan di kalangan masyarakat Melayu. Usaha ini menjadi lebih sistematik dan berkesan apabila institusi ‘ pondok’ menyuburluaskan ilmu-ilmu Islam, antara yang terawal ialah Pondok Shaykh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis di Terengganu dalam kurun ke 17M. Kini, pondok bersama beratus ‘madrasah’ di Malaysia yang tergolong di dalam kategori Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) merupakan bahagian terbesar sekolah-sekolah Agama, suatu institusi pendidikan Islam yang amat berjasa dalam menggerakkan dakwah, memerangi anamisma dan merintis perjuangan kemerdekaan watan. Sistem pengajiannya terbukti mampu membentengi serangan ideologi Barat berteraskan sekularisma dan menumbuhkan benih kecintaan terhadap Islam menerusi pengajian keagamaan dan pimpinan para gurunya yang tulus. Kini, selain wujudnya SMAR yang kurikulumnya hanya berhubung dengan akidah, fiqh, tasawuff, dan bahasa Arab, terdapat banyak SMAR yang mempraktikkan maksud menyeluruh sistem persekolahan Islam menerusi perlaksanaan dasar kesepaduan ilmu dengan memasukkan subjek akademik seperti Matematik ke dalam kurikulum pengajiannya, bahkan turut mengendalikan sistem peperiksaan kebangsaan seperti PMR dan SPM di institusi masing-masing. Namun, ini menyebabkan berlakunya timbunan subjek dalam berbagai bidang yang begitu banyak dan bermacam ragam yang kesemuanya dipelajari dalam sessi pengajian yang sama. Subjek yang berbagai jenis itu terdapat di dalam bidang Pengajian Islam, Bahasa dan Kesusasteraan Arab dan Pengajian Akademik. Berbanding dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) tajaan kerajaan pelajar-pelajar SMAR terpaksa menguasai subjek-subjek agama yang menjadi teras pengajian di sekolah mereka itu dan mesti lulus dalam peperiksaan dalaman sekolah berkenaan, dalam masa yang sama mereka juga perlu akur dengan kehendak semasa yang lebih mengutamakan kecemerlangan akademik dan peperiksaan berkaitan. Inilah cabaran yang terpaksa mereka hadapi dengan semangat ‘jihad’ yang tinggi demi memastikan keunggulan institusi pengajian mereka dan menggapai kejayaan peribadi hingga ke menara gading. |
|
15 Globalisasi dan teknologi maklumat: Pembinaan Ilmu Berkonsepkan Islam di Alam Siber Ahmad Rizal Mohd Yusof Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaaan Malaysia, 43600 Bangi Selangor; E-mel: [email protected]; Tel: 03-89214168; Faks: 03-89254698; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia. Globalisasi berteraskan teknologi maklumat ataupun I.T. membantu mengukuhkan struktur pembinaan ilmu berteraskan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan pembangunan laman-laman web yang menggunakan alam siber ataupun internet sebagai medan untuk menglobalkan ilmu pengetahuan berlandaskan Islam. Kertas kerja ini berdasarkan kepada kajian yang dijalankan terhadap 12 laman web di Indonesia dan Malaysia. Tujuannya ialah untuk mengupas beberapa ciri-ciri yang terdapat dalam setiap laman web tersebut. Perbandingan akan memperlihatkan keunikan dan kehebatan yang ada serta memberikan suatu bukti yang jelas bahawa globalisasi berterasakan IT ini mampu memperkasakan pembinaan ilmu berkonsepkan Islam di alam siber. |
|
16 KEBERKESANAN KOMUNIKASI ORGANISASI DALAM USAHA MENINGKATKAN PEMBAYARAN ZAKAT DI PULAU PINANG Azman Abdul Samat Pusat Urus Zakat Majlis Agama Islam Pulau Pinang (PUZ), No. 65, Jalan Selat, 12000 Butterworth, Seberang Perai; Tel: 04-3313686; Faks: 04-3321272; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Utara Malaysia. Keberkesanan komunikasi lazimnya dilihat apabila sesebuah organisasi dapat mencapai misi, visi dan objektif penubuhannya. Komunikasi organisasi adalah amat mustahak dan penting bagi sesebuah organisasi bagi mewujudkan persekitaran yang baik dan berkesan, sebagai satu proses untuk bertukar maklumat dalam lingkungan dan persekitaran yang saling berhubungan dalam usaha untuk mencapai matlamat dan merealisasikan kehendak sesebuah organisasi. Kertas kerja ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanan komunikasi organisasi dalam usaha meningkatkan pembayaran zakat khususnya di Pusat Urus Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (PUZ). Kertas kerja ini menganalisiskan data yang telah diperolehi oleh pengkaji hasil dari soal selidik dan temubual yang telah dibuat ke atas Amil dan pembayar zakat dan temubual yang melibatkan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Pusat Urus Zakat. Hasil dari kajian ini telah memperlihatkan bahawa komunikasi organisasi telah dapat memainkan peranan penting dan berkesan sepertimana yang diharapkan. Komunikasi organisasi dapat memelihara hubungan dua hala antara organisasi zakat dan pembayar-pembayar zakat. Pelbagai gabungan teknik komunikasi dalam organisasi telah dilaksanakan oleh PUZ bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab berzakat. Ini secara tidak langsung telah meningkatkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap organisasi pengurusan zakat. Dengan apa yang telah disumbangkan oleh komunikasi organisasi dalam pengurusan organisasi zakat khususnya PUZ, ianya telah dapat meningkatkan imej organisasi ini di kalangan masyarakat terutama sekali dalam menguruskan soal-soal kewangan yang melibatkan pengagihan wang zakat. Keberkesanan komunikasi organisasi telah meningkatkan sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat dalam pembayaran zakat melalui PUZ. Hasil pungutan zakat semakin meningkat dari setahun ke setahun. Usaha PUZ untuk membantu, membela dan meningkatkan taraf hidup masyarakat Islam terutamanya golongan fakir dan miskin telah tercapai. |
|
Sessi Selari 3A (30 Ogos 2005, 8.30 a.m.—10.30 a.m.) Concurrent Session 3A (30 August 2005, 8.30 a.m.—10.30 a.m.) |
|
SENI, USUL AL-FIQH DAN PERKEMBANGAN PEMIKIRAN ISLAM ART, USUL AL-FIQH AND ISLAMIC THOUGHT DEVELOPMENT |
|
17 Manifestasi Penggunaan Seni Khat dalam Tamadun Melayu di Malaysia Faridah Che Husain Seksyen Ko-Kurikulum, Elektif dan TITAS (SKET) Universiti Malaya, Bangunan SKET, 50603 Kuala Lumpur; E-mel: [email protected]; Tel: 03-79675408; Faks: 03-79675427; Tahap Pengajian: Sarjana, Universiti Malaya. Seni khat dianggap sebagai salah satu daripada cabang-cabang kesenian yang mempunyai pertalian yang rapat dengan roh keislaman dan berperanan memancarkan cahaya peradaban umatnya. Ia merupakan persoalan yang sentiasa muncul, tumbuh dan berkembang subur bersama perkembangan budaya dan Tamadun Melayu menerusi ruang zamannya selepas melalui siri pembentukan, penyesuaian dan penghalusan yang selaras dengan nilai-nilai Islam. Kertas kerja ini akan mengupas bagaimana seni khat menjadi tunggak kepada suatu keperluan asas kemasyarakatan dalam kesenian Islam, khususnya di Malaysia. Rentetan daripada kehalusan rasa seni dan ketajaman daya pemikiran, manusia telah mencipta pelbagai seni tulisan yang unik sebagai lambang kepada perkataan yang dituturkan. Masyarakat Melayu juga memberi penghormatan yang tinggi terhadap warisan seni khat Islam ini, memandangkan ia adalah suatu bidang seni rupa yang unggul bagi umat Islam. Seni khat turut mempunyai peranan yang utama dalam Seni Rupa Islam sebagai penggerak daripada semua bentuk seni rupa dan memancarkan beraneka kegiatan kreatif tampak. Di kalangan masyarakat Melayu, bentuk seni rupa yang indah ini telah menjadi pernyataan yang mempunyai nilai tradisi yang sebati dengan kebudayaan kebangsaan. Kertas kerja ini juga akan memperincikan dengan lebih jelas lagi bagaimana seni khat telah melakari dalam banyak aspek kehidupan masyarakat Melayu, umpamanya ia digunakan untuk surat-menyurat, menulis makalah, barang-barang perhiasan, ukiran pada bangunan seperti masjid dan sebagainya. Pada keseluruhannya, manifestasi peradaban Islam yang muncul melalui seni khat telah menjadi kupasan perpaduan kualiti yang wujud dalam al-Quran ke dalam gagasan estetik, iaitu floral dan geometri ke arah penzahiran suatu ketamadunan dan kehidupan masyarakat Melayu yang terunggul dan berunsur Islam. Daripada gambaran yang ringkas ini, dapatlah disimpulkan bahawa Islam telah membina Tamadun Melayu dengan mewadahkan seni khat sebagai salah satu ciri kebudayaan Malaysia yang bercorak ilmiah dan akliah. |
|
18 Konsep TalfÊq, sejarah dan faktor kemunculannya Maszlee Malik Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Jalan Pantai, 50603 Kuala Lumpur; E-mel: [email protected]; Tel: 03-7780 3469; Tahap Pengajian: Sarjana, Universiti Malaya. Persoalan mengenai hukum talfÊq (mengamalkan pendapat pelbagai mazhab dan tidak terikat dengan satu mazhab sahaja) tidak pernah dikenali di zaman Rasulullah S.A.W., malah tidak juga di zaman para sahabat, para tÉbiÑÊn, tÉbiÑ tÉbiÑÊn dan juga zaman imam–imam mujtahid. Ia hanya timbul pada kurun kesepuluh Hijrah sewaktu gejala taksub kepada mazhab amat ketara di kalangan kaum muslimin sehingga kebanyakan ulama pada waktu itu mensyaratkan bagi sesiapa yang ingin beramal dengan pendapat mazhab selain daripada mazhabnya agar tidak melakukan talfÊq . Kerta kerja ini bertujuan untuk melihat apakah konsep sebenar talfÊq, sejarah kemunculannya dan juga faktor-faktor kumunculannya. Dengan kajian ini, diharapkan para pengkaji uÎËl al-Fiqh dan juga fiqh akan dapat gambaran jelas tentang talfÊq dan akan dapat menjadikannya asas untuk memberikan hukum kepadanya dan juga membina hukum-hakam di atasnya. Ianya penting kerana kebanyakan pengkaji yang memberikan hukum kepada perbuatan talfÊq, sering tersilap memberikan hukum kerana kurang jelasnya konsep talfÊq itu sendiri kepada para pengkaji. Akhirnya sering konsep ini diletakkan di dalam kategori perbuatan yang diharamkan, tanpa melihat kepada konsepnya yang sebenar, sejarah kemunculannya dan juga faktor-faktor yang membawa kepada kemunculannya. |
|
19 PEMIKIRAN AL-GHAZALI : SATU TINJAUAN TERHADAP KITAB JAWI KARANGAN SYEIKH ABDUS SHAMAD AL-FALIMBANI Shohana Hussin Jabatan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur; E-mel : [email protected], [email protected]; Tel: 04-6566528; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Malaya. Kertas kerja ini bertujuan membentangkan tinjauan awal tentang pemikiran dan pengaruh al-Ghazali dalam kitab Jawi yang dikarang oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Kertas kerja ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama merupakan pengenalan yang membincangkan latar belakang Imam al-Ghazali dan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Bahagian kedua membincangkan hubungan kedua-dua tokoh tersebut dari perspektif sejarah perkembangan kitab Jawi di Alam Melayu. Bahagian ini juga akan membahaskan kepentingan kitab Jawi secara umum dengan memberi tumpuan khusus kepada dua hasil karangan terpenting Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang berjudul Hidayatul al-Salikin dan Sairul al-Salikin. Akhirnya kertas ini akan merumuskan beberapa kesimpulan daripada penelitian awal ini, dengan harapan ia dapat membuka ruang penerokaan baru dalam usaha menilai perkembangan dan kemajuan Islam di Alam Melayu dari aspek sejarah pemikiran Islam. |
|
20 PEMIKIRAN SISTEMIK: KEWAJARAN DALAM SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA Fazrul Fahmee Ismail KERSANI Training Centre, 1C Kg Bumbun, Pekan Jabi, 85000 Segamat Johor; E-mel: [email protected]; Tel: 07-9318741; Faks: 07-9318741; Tahap Pengajian: Sarjana (dalam perancangan). Kertas kerja ini bertujuan untuk mengkaji dan membentangkan kerelevanan idea Pemikiran Sistemik dalam sistem pendidikan yang ada di Malaysia. Pemikiran Sistemik dipopularkan kembali oleh Peter M Senge dalam bukunya The Fifth Discipline yang terkenal dalam aspek pengurusan dan keusahawanan. Namun Pemikiran Sistemik ini perlu didalami dalam kerangka tauhid yang menyeluruh dan mampu mengembalikan metodologi pemikiran pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi kepada pemaksimuman potensi yang ada samada dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Aspek-aspek ini amat dititikberatkan dalam Falsafah Pendidikan Negara dan sesuai dengan usaha untuk mengintegrasikan pelbagai disiplin ilmu kepada nilai universal yang benar dan islamisasi ilmu yang banyak bertemu jalan buntu terutama dalam aspek metodologi di kalangan pendidik dan pelajar. Kertas kerja ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama akan menyentuh sejarah dan kepentingan aplikasi Pemikiran Sistemik dalam tamadun manusia – secara khususnya tamadun gemilang Islam pada zaman Rasulullah, khulafa-ur-rasyidin, Abbasiyah, Umaiyah dan Turki Uthmaniah. Bahagian kedua akan memberi penekanan kepada premis sistem pendidikan yang ada di Malaysia dan manakah lompong yang perlu ditampung berdasarkan analisis 10 Prinsip dalam Pemikiran Sistemik. Bahagian ketiga akan mengetengahkan cadangan kepada sistem pendidikan di Malaysia agar mampu dimanfaatkan oleh para pemimpin, penggubal dasar dan tenaga pendidik di pelbagai bidang dalam mengembalikan kegemilangan tradisi ilmu Islam di Malaysia secara spesifik dan dunia secara amnya serta melahirkan individu yang mapan menghadapi cabaran zaman mendatang untuk berjaya dunia akhirat. |
|
Sessi Selari 3B (30 Ogos 2005, 8.30 a.m.—10.30 a.m.) Concurrent Session 3B (30 August 2005, 8.30 a.m.—10.30 a.m.) |
|
ANTROPOLOGI, SOSIOLOGI, PEMBANGUNAN INSAN DAN KEJURUTERAAN ANTROPOLOGI, SOSIOLOGI, HUMAN DEVELOPMENT AND ENGINEERING |
|
21 ISLAM DAN CAROK: DUA UNSUR YANG BERTENTANGAN DALAM KEHIDUPAN ORANG MADURA Mohamad Fauzi Sukimi Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor; E-mel: [email protected]; Tel: 03-89213663; Faks: 03-89251168; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kertas kerja ini mengupas tentang dinamika identiti orang Madura. Antara unsur penting yang membentuk identiti orang Madura adalah agama Islam dan perilaku Carok. Orang Madura sangat terkenal sebagai masyarakat yang kuat berpegang kepada agama Islam. Pendidikan di pesantren, kepatuhan kepada kiyai, dan pola pemukiman di sekitar masjid adalah antara beberapa hal yang menunjukkan eratnya orang Madura dengan agama Islam. Namun citra positif itu turut berdepan dengan unsur negatif yang tersulam dalam kehidupan orang Madura iaitu perilaku Carok. Carok adalah tindakan menyerang dengan menggunakan senjata ke atas orang lain yang dianggap telah meremehkan maruah orang Madura. Fenomena Carok tidak hanya menjadi stereotaip tetapi masih terus berlaku di kalangan orang Madura sehingga ke hari ini. Tidak hairan lah sekiranya orang Madura digeruni oleh kelompok etnik yang lain. Dalam konteks pertentangan dua unsur identiti itulah, kertas kerja ini cuba menyelami bagaimana fenomena Carok dapat terus tersulam dalam kehidupan masyarakat yang dikatakan kuat berpegang kepada agama Islam. |
|
22 PENGARUH ISLAM PADA PERJUANGAN KONGRES WANITA INDONESIA (KOWANI) DALAM PEMBANGUNAN WANITA INDONESIA: ANALISIS PADA MASA KOLONIAL DAN PASCA KOLONIAL Pujiati Antropologi/Sosiologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, 11800 Minden, Pulau Pinang; E-mel: [email protected]. Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Sains Malaysia. Kajian ini cuba meninjau secara deskriptif tentang pengaruh Islam pada Kongres Wanita Indonesia (KOWANI) sebagai ekspresi emansipasi peribumi yang merupakan simbol media pembangunan wanita Indonesia pada zaman kolonial dan pasca kolonial. Kebangkitan emansipasi wanita di Indonesia melalui organisasi KOWANI merupakan satu tunggak sejarah penting bagi kesatuan pergerakan wanita Indonesia sejak tahun 1928 sehingga hari ini. KOWANI merupakan pertubuhan sukarela yang mementingkan perpaduan semua ahli organisasi wanita daripada pelbagai organisasi wanita Islam, organisasi wanita agama lain, organisasi wanita bersifat kebajikan serta organisasi wanita profesional. Namun begitu, majoriti ahlinya dan pengerusinya beragama Islam. Ahli KOWANI pada tahun 1928 berjumlah 30 organisasi wanita dan sekarang menjadi 76 organisasi. Kini dianggarkan 25 juta orang telah menjadi ahlinya. Peranan penting KOWANI memberikan penerangan kepada ahlinya dan wanita Indonesia tentang isu-isu yang dihadapi oleh golongan wanita dan cara untuk mengatasi dan memperbaiki kedudukan dan taraf kehidupan golongan wanita untuk dapat berperanan dalam pembangunan bangsa. Persoalannya, apakah pengaruh Islam pada transformasi peranan KOWANI dalam pembangunan wanita Indonesia dari era kolonial kepada era pasca kolonial? Kedua, apakah pengaruh Islam pada bentuk perjuangan KOWANI untuk menangani isu gender dalam konteks pendidikan dan undang-undang pada masa kolonial dan pasca kolonial? Ketiga, apakah sumbangan KOWANI dalam pembangunan wanita Indonesia yang dipengaruhi oleh nilai-nilai Islam pada masa kolonial dan pasca kolonial ? Hasil kajian didapati bahawa pembangunan wanita yang dijalankan KOWANI telah dipengaruhi oleh Islam dalam menggerakkan perpaduan nasionalisme untuk mendorong wanita bebas daripada kolonialisme (Belanda dan Jepun) dan membantu membebaskan wanita dari adat yang mendiskriminasikan wanita pada masa kolonial. Pada masa pasca kolonial pembangunan wanita yang dijalankan KOWANI tidak lagi menjurus kepada anti kolonialisme sebaliknya perpaduan nasionalisme yang wujud untuk menaikkan taraf kaum wanita. KOWANI telah menjadikan nilai-nilai Islam dalam mereformasi pendidikan wanita dan undang-undang sebagai satu perjuangan utama emansipasi peribumi dalam usaha meningkatkan perubahan kemajuan wanita Indonesia secara berperingkat untuk memperbaiki taraf hidup wanita, meningkatkan statusnya dalam masyarakat dan bangsa pada masa kolonial dan pasca kolonial. |
|
23 PENGHAYATAN AGAMA GOLONGAN ORANG KURANG UPAYA DI TERENGGANU: KAJIAN DARI PERSPEKTIF DAKWAH Nor Salimah Abu Mansur Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu; E-mel: [email protected]; Tel: 019-9147441; Tahap Pengajian: Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia. Di seluruh dunia hari ini, Orang Kurang Upaya (OKU) mewakili populasi lebih dari 500 juta orang dan hampir 80% dari kalangan mereka pula menghuni negara-negara mundur dan sedang membangun (cAbd al-Rahman cAbd al-Khaliq, 1996: 145). Menurut JKM, OKU mewakili 11.2% daripada jumlah 25 juta rakyat Malaysia. Populasi mereka menunjukkan petanda bahawa apa-apa dasar atau program pembangunan, sama ada material atau spiritual; sedikitpun tidak boleh meminggirkan mereka. Walau bagaimanapun, realiti yang berlaku memperlihatkan bahawa OKU ketinggalan dalam banyak aspek. Metodologi kajian yang merangkumi proses pengumpulan, penganalisisan dan pentafsiran data dengan menggunakan kajian kepustakaan (library research) dan kajian lapangan (fieldwork research); akan menumpukan perhatian kepada pelbagai konsep dan aspek berkaitan OKU sebagai subjek utama kajian serta penghayatan agama (religiosity) di kalangan mereka. Penghayatan agama OKU sangat signifikan untuk dikaji bagi melihat sejauh manakah golongan ini mendapat manfaat dari proses dakwah yang berlaku di negara ini. Ini kerana jika diteliti dari mana-mana dasar yang dilaksanakan di negara ini, tidak terdapat tanda yang jelas bahawa pembangunan spiritual golongan ini termasuk dalam agenda atau menjadi keutamaan bagi pihak-pihak yang berautoriti terhadap mereka. Dasar Sosial Negara (DSN) misalnya, walaupun turut menyebut bahawa nilai murni sebagai teras namun tumpuan pengupayaan OKU hanya berlegar di sekitar perkhidmatan seperti latihan vokasional, jagaan, pemulihan perubatan termasuk terapi dan kaunseling, kemudahan akses, ruang bersosial dan beriadah, penempatan kerja serta bantuan kewangan. Ketidakseimbangan yang berlaku menyebabkan mereka tidak begitu faham tentang agama. Kesannya, terdapat segelintir OKU yang terjebak dalam penyelewengan akhlak seperti persetubuhan haram atau bersekedudukan, merogol, mencuri, buli dan sebagainya. Dalam mencari penyelesaian masalah ini, ramai pemimpin NGO OKU menyuarakan hasrat dan harapan agar mereka diberi bantuan dan kemudahan untuk mempelajari, memahami dan mengamalkan agama. Kajian ini diharapkan dapat merintis jalan dan ruang yang lebih luas untuk pembangunan spiritual golongan ini. |
|
24 Air Anugerah ALLAH SWT : Satu Penilaian Melalui Teknik
Jabatan Remote Sensing, Fakulti Kejuruteraan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, 81310 Skudai, Johor; E-mel: [email protected]; Tel: 07-5530742, 012-4665834; Tahap Pengajian: Sarjana, Universiti Teknologi Malaysia.
|