| MUKADEPAN | KANDUNGAN | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 |

3. FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERUBAHAN SISTEM EJAAN RUMI BAHASA MELAYU

Perubahan ke atas Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu Lama (1972) berlaku kerana ingin mewujudkan bahasa Melayu standard yang boleh digunakan sebagai bahasa perantaraan bagi negara-negara yang mengamalkan bahasa Melayu. Terdapat tiga faktor utama yang difikirkan menyumbang ke atas perubahan ini.

3.1 Menyesuaikan sistem ejaan.

Pertama, untuk menyesuaikan sistem ejaan sekarang dengan perkembangan semasa yang pesat membangun. Bahasa mencerminkan tahap tamadun sesuatu bangsa, oleh itu perubahan-perubahan seperti ini perlu wujud supaya bahasa Melayu boleh diterima pakai di dalam mana-mana bidang. Istilah - istilah baru dicipta berpandukan sistem ejaan yang tersusun.

3.2 Pentingnya ejaan dalam pendidikan.

Kedua, sejajar dengan dasar negara yang merasakan pendidikan amat penting untuk kemajuan negara, maka terdapat langkah untuk menyamakan sistem ejaan Rumi bahasa Melayu Malaysia dan Indonesia. Kalau sebelum pengisytiharkan penggunaan sistem ejaan baru, timbul masalah kefahaman antara bahan-bahan ilmiah yang diterbitkan dari kedua-dua negara tetapi setelah wujudnya ejaan bersama, masalah ini tidak ketara lagi. Perubahan sebegini amat penting kerana ia akan dapat menentukan aliran ilmu antara kedua-dua negara. Sumber-sumber ilmiah yang digunakan di institusi-institusi pengajian tinggi tidak lagi perlu diterjemah dari sistem ejaan Malaysia kepada sistem ejaan Indonesia atau sebaliknya. Penuntut-penuntut di universiti pengajian tinggi dapat memahami dengan jelas dan teratur maklumat yang cuba disampaikan oleh rakan mereka dari negara jiran. Kerjasama yang erat dan dipergiatkan antara universiti-universiti dan maktab-maktab di kedua-dua negara akan dapat membantu negara masing-masing berkembang dengan pesat. Hal ini dapat diperkukuhkan apabila sejak pengisytiharan dibuat penggunaan Sistem Ejaan Rumi Baharu digunakan secara meluas di akhbar-akhbar, surat rasmi, undang-undang, dokumen-dokumen dan buku teks yang dicetak semula.

3.3 Memperbaiki kekurangan yang ada.

Ketiga ialah untuk memperbaiki sistem yang sedia ada, iaitu mengubah beberapa cara penggunaan tanda baca dan ejaan supaya lebih mantap dan mudah. Sistem ejaan yang mudah tidak akan membebankan ingatan pengguna dan ianya akan mudah diterima oleh masyarakat. Kemajuan ilmu pengetahuan dan perkembangan konsep ilmiah dalam bidang ilmu bahasa memberikan pedoman-pedoman baru untuk pakar-pakar bahasa bagi penyusunan ejaan yang baik.

Beberapa tanda baca yang biasa digunakan semasa sistem Ejaan Za'ba telah dimansuhkan seperti penggunaan tanda diakritis pada huruf e untuk membezakan sebutan e pepet dan e taling. Penggunaan tanda diaktiris ini dirasakan tidak sesuai kerana ia melambatkan proses penulisan dan proses percetakan.

3.3.1 Kelemahan dari aspek fonem

Ejaan Rumi mengalami proses standardisasi disebabkan oleh beberapa faktor yang timbul akibat arus peredaran zaman atau berpunca daripada kelemahan sistem ejaan Rumi itu sendiri. Antara kelemahan tersebut termasuklah:

i). Kodifikasi fonem Melayu tidak tepat dan tidak jelas kerana penulis atau penyusunnya tidak mengetahui sistem bunyi atau fonologi Melayu yang sebenar, serta pendekatan yang mencampuradukkan antara bunyi, fonem dan huruf atau ejaan. Jadi, kodifikasi fonem diperlakukan berdasarkan nilai sebutan bahasa asal penyusun atau penulisnya yang berkenaan seperti Inggeris, Belanda, Itali, Perancis dan seumpamanya. Kodifikasi fonem tersebut turut dilambangkan dengan huruf yang terdapat dalam sistem ejaan bahasa penulis terbabit.

ii). Pelambangan fonem dibuat dengan pelbagai grafem, iaitu menggunakan satu grafem bagi lebih daripada satu fonem, dan sebaliknya, melambangkan satu fonem dengan lebih daripada satu grafem, banyak menggunakan digraf dan geminasi, serta banyak menggunakan tanda diakritik.

iii). Pengejaan kata sering tidak tepat kerana kebanyakannya tidak berdasarkan sebutan penutur asli yang sebenar atau penutur yang terpelajar, sebaliknya banyak berdasarkan bahasa pasar.

iv). Perumian atau pengejaan vokal sering tidak tepat kerana dibuat berdasarkan proses penukaran huruf daripada tulisan jawi yang sistemnya tidak dapat menggambarkan kesemua bunyi enam vokal Melayu baku dengan sahih.

v). Penulisan kata banyak yang tidak seragam dan tidak berasaskan atau mengikut prinsip-prinsip nahu atau tatabahasa yang betul kerana kejahilan penulis atau penyusunnya tentang perkara berkenaan. Ini merangkumi aspek pembentukan kata, fungsi serta kelas kata.

vi). Perlakuan terhadap fonem asing, khususnya konsonan daripada bahasa Arab, tidak seragam dan tidak jelas dalam kebanyakan sumber kerana penulis atau penyusunnya tidak tidak memahami dan tidak dapat menyebut bunyi konsonan asing dengan betul seperti dalam bahasa Arab. Oleh yang demikian penulis terbabit memberikan petua sebutan yang tidak tepat dan melambangkannya dengan grafem yang janggal pula.

 

3.3.2 Kelemahan dari aspek lain

Selain kelemahan yang berpunca daripada aspek bunyi, terdapat juga kelemahan-kelemahan lain pada sistem ejaan terdahulu yang menyebabkan perlunya proses standardisasi dilaksanakan. Antara kelemahan dan kekurangan berkenaan diperlihatkan dengan ciri-ciri seperti yang berikut:

i). Tidak ekonomis: Banyak menggunakan digraf iaitu dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi (seperti ng, ny, sy). Selain daripada itu, penggunaan tanda sempang dalam penulisan imbuhan atau bentuk terikat dan pengunaan grafem baru terutamanya dalam tulisan Za’ba turut dilihat sebagai tidak ekonomis kerana memerlukan biaya yang besar apabila dilaksanakan.

ii). Tidak praktis: Pengunaan grafem baru yang janggal, sukar ditulis dan membebankan ingatan pengguna serta penggunaan tanda diakritik yang menyukarkan penulisan dan percetakan.

iii). Tidak fonemik: penggunaan satu grafembagi satu fungsi, penggunaan digraf yang tidak sesuai dengan fonem dan transkripsi satu fonem dengan dua grafem.

iv). Penulisan kata yang mencampuradukkan unsur bentuk terikat dengan unit bentuk bebas.

v). Tidak fleksibel iaitu penolakan fonem asing seperti /f/, /v/, dan /s/.

vi) Tidak jelas: Penulisan kata ulang berimbuhan dengan menggunakan angka dua, penulisan kata depan <di> dan <ke> yang serupa dengan awalan <di>dan <ke> serta penulisan frasa dan kata majmuk yang tidak tetap bentuknya kerana tidak jelas kategorinya.

vii) Tidak simple: Penggunaan tanda trema <"> diatas <i> sebagai akhiran selepas <a>, penggunaan tanda koma di atas (‘) dan peraturan pengejaan keselarasan vokal yang berbagai-bagai.

viii) Tidak seragam: Menggunakan dua cara bagi penulisan kata depan <di> dan <ke> serta penulisan kata depan <di>yang berbeza daripada <ke>. Penulisan kata ulang juga dilakukan dengan menggunakan tanda sempang disamping dengan penggunaan angka dua.

ix). Tidak menyeluruh: Senarai fungsi atau kegunaan bagi tanda baca, penulisan huruf, lambang dan angka tidak lengkap.

 

3.4 Kesan-kesan sampingan

Penggunaan sistem Ejaan Rumi Baharu ini telah meluas ke negara jiran selain Indonesia. Melalui Kongres Kebangsaan Singapura, sebuah jawatankuasa ejaan bahasa Melayu telah ditubuhkan untuk menyelaraskan Sistem Ejaan Rumi bahasa Melayu yang sedang digunakan di Singapura supaya dapat disesuaikan dengan Sistem Ejaan Bahasa Malaysia. Hal ini lebih jelas lagi apabila Kementerian Pelajaran Singapura telah mengarahkan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi menggunakan Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai bahan rasmi pembelajaran dan pengajaran. Negara Brunei juga tidak ketinggalan dengan menggangotai Majlis Bahasa Indonesia (MBIM) pada 4 November 1985 dan serentak dengan itu MBIM telah bertukar nama kepada Majlis Bersama Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Kesimpulannya, pelaksanan sistem ejaan rumi Bahasa Malaysia dapat menyatukan bidang kebudayaan, sosial dan ekonomi antara negara-negara yang telibat. Ini bermakna sistem ejaan baru merupakan alat percantuman kembali sendi kebudayaan Melayu yang selama ini terpisah akibat penjajahan.

Hosted by www.Geocities.ws

1