| MUKADEPAN | KANDUNGAN | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 |

2. SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN RUMI BAHASA MELAYU

2.1 Proses Perubahan Ejaan Rumi Bahasa Melayu Secara Ringkas

Perkembangan dalam sistem ejaan adalah sebahagian daripada perkembangan dalam bahasa Melayu di Tanah Melayu dan di Kepulauan Timur Belanda. Keperluan kepada sistem ejaan Rumi menjadi penting pada awal abad ke- 20 kerana ejaan Jawi tidak dapat menggambarkan sistem bunyi bahasa Melayu yang sebenar bagi mereka yang tidak dapat memahaminya. Ianya menjadi lebih penting apabila bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem sekolah rendah atau sekolah dasar. Oleh itu, penyusunan satu sistem ejaan Rumi yang seragam dan lebih mudah diperlukan untuk menggantikan tulisan Jawi pada masa itu. Bagaimanapun, pengkajian tentang sistem bunyi bahasa Melayu sering dikelirukan dengan pengkajian tentang sistem tulisan dan sistem ejaan. Grafem- grafem atau huruf- huruf yang berbagai- bagai yang digunakan sebagai lambang bagi bunyi- bunyi dalam bahasa Melayu, termasuk bunyi- bunyi serapan atau pinjaman daripada bahasa Sanskerta, Arab dan Parsi yang digunakan dalam tulisan- tulisan oleh orang- orang Inggeris dalam abad ke- 19 membuktikan wujudnya ketidakseragaman dalam ejaan.

Pada tahun 1902, perancangan ejaan yang pertama di Tanah Melayu dimulakan apabila kerajaan Negeri- negeri Melayu Bersekutu mengambil inisiatif menubuhkan sebuah jawatankuasa ejaan yang diketuai oleh R.J. Wilkinson, Nazir Sekolah- sekolah pada masa itu. Sistem ejaan yang dikenal sebagai "Ejaan Wilkinson" itu dirumuskan dengan nama Romanised Malay Spelling dan diterbitkan pada bulan Oktober 1904 dalam bentuk sebuah laporan. Ejaan Wilkinson digunakan di semua sekolah umum.

Pakatan Belajar- Mengajar Bahasa yang ditubuhkan pada tahun 1888 di Johor telah memainkan peranan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di sekolah dan dalam masyarakat. Usaha ini telah diteruskan dengan penubuhan Maktab Guru Perempuan di Melaka pada tahun 1900. Institusi- institusi inilah yang menjadi pengasas perancangan penggunaan bahasa Melayu baku yang kemudiannya diperkembang oleh Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) di Tanjung Malim sejak tahun 1922. Perkembangan dan pemantapan sistem ejaan Rumi berlaku seiring dengan perkembangan bahasa Melayu dalam pendidikan dalam zaman penjajahan itu. Beberapa buah buku bahasa dalam tulisan Rumi dan tentang tulisan Rumi yang memperluas penggunaan sistem Ejaan Sekolah yang berasaskan Ejaan Wilkinson telah disusun dan diterbitkan oleh beberapa orang tokoh bahasa dan pendidikdi SITC. Di antaranya ialah : (i) Kitab Loghat Melayu susunan R.O. Winstedt dan Ibrahim Dato’ Muda Linggi (1921), (ii) Kitab Pelita Mengarang (Rumi) susunan O.T. Dussek dan Mohd. Hashim (1923), dan (iii) Kitab Kumpulan Nama Melayu susunan Ibrahim Dato’ Muda Linggi (1924).

Sistem ejaan Rumi yang terkenal sebelum penggunaan sistem ejaan baru tahun 1972 ialah "Sistem Ejaan Rumi Za’ba" yang juga dihasilkan daripada SITC. Sistem Ejaan Rumi Za’ba disusun dan diperkemas dan terdapat dalam beberapa buah buku pedoman bahasa terbitan Pejabat Karang Mengarang SITC seperti : (i) Ilmu Bahasa Melayu Penggal 1 (1926), (ii) Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 (1941), dan (iii) Daftar Ejan Melayu (Jawi- Rumi) (1949), dengan judul "Petua- petua Ejaan Rumi", yang dikarang oleh Za’ba.

Selain daripada sistem ejaan Za’ba, dalam zaman pendudukan Jepun tahun 1942- 1945, terdapat penggunaan "Ejaan Fajar Asia". Ianya berbeza sedikit daripada ejaan Za’ba di Tanah Melayu dan ejaan van Ophuijsen di Indonesia. Angkatan Sasterawan ’50 kemudiannya menjadikan Ejaan Fajar Asia ini sebagai ejaan rasmi mereka. Selain daripada itu, terdapat juga "Ejaan Bebas" yang berupa ejaan Rumi tanpa sistem apa-apa, atau sistem yang menyatukan ciri-ciri ejaan daripada sistem- sistem yang ada, termasuk daripada sistem ejaan di Indonesia. Ejaan Bebas digunakan dengan agak meluas dalam urusan bukan rasmi dan dalam beberapa penerbitan akhbar, majalah dan buku.

Penggunaan pelbagai sistem atau aturan ejaan Rumi di Tanah Melayu dan Singapura menunjukkan adanya kekurangan dalam sistem ejaan Za’ba dan ketidakpuasan pengguna terhadap sistem itu. Pada tahun 1956, hasil daripada rumusan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang diadakan di Singapura, wujud pula "Sistem Ejaan Kongres". Perubahan- perubahan seperti ini juga berlaku di Indonesia. Dengan ini dapat dikatakan bahawa kedua- dua buah negara mengalami perubahan sistem ejaan dari semasa ke semasa. Perbezaan ejaan yang wujud di Indonesia adalah menurut sistem ejaan cara Belanda sementara di Tanah Melayu, lebih kepada cara Inggeris. Kelainan- kelainan yang wujud ini telah mendapat perhatian ahli- ahli bahasa di kedua-dua buah negara untuk menyamakan dan menyatukan sistem ejaan.

Beberapa pembaharuan yang agak radikal telah diusahakan oleh ahli- ahli bahasa berdasarkan rumusan- rumusan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga. Usaha- usaha ini mendapat perhatian kerajaan dan pada tahun 1957, sebuah Jawatankuasa Ejaan telah dibentuk untuk menimbangkan ketetapan- ketetapan yang telah diambil dalam Kongres tersebut berkenaan dengan ejaan Rumi dan penyatuannya dengan ejaan bahasa Indonesia.

Soal ejaan melangkah ke peringkat antarabangsa apabila satu perjanjian persahabatan di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Republik Indonesia tercapai pada 17 April 1959. Kemudian, satu rundingan telah diadakan di Jakarta di antara Jawatankuasa Ejaan Rumi Persekutuan Tanah Melayu yang diketuai oleh (Allahyarham) Syed Nasir bin Ismail dengan Panatia Pelaksanaa Kerjasama Bahasa Melayu- Bahasa Indonesia yang dipimpin oleh Dr. Slametmuljana. Hasil daripada pertemuan ini, wujudlah pula "Ejaan Malindo". Akibat pergolakan politik, perkembangan selanjutnya tidak berlaku sehinggalah pada tahun 1966 apabila rundingan kali kedua telah diadakan untuk mengkaji dan memperbaiki Ejaan Malindo.

Pada 23 Mei 1972, satu Kenyataan Bersama telah ditandatangani oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada masa itu, (Allahyarham) Tun Hussien Onn dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Repiblik Indonesia, Bapak Mahsuri. Kenyataan Bersama tersebut mengandungi persetujuan untuk melaksanakan asas yang telah dipersetujui oleh para ahli daripada kedua- dua negara tentang Ejaan Baru dan Ejaan Yang Disempurnakan. Puncak daripada segala kegiatan penyempurnaan sistem ejaan Rumi ialah perumusan dan pelaksanaan bersama Sistem Ejaan Baru bagi bahasa Melayu dan bahasa Indonesia pada 16 Ogos 1972. Ejaan baru bersama ini dirujuk sebagai Ejaan Rumi Bersama (ERB) yang diguna hingga kini.

2.2 Ejaan Wilkinson.

Sistem Ejaan Rumi Wilkinson yang digunakan secara rasmi di semua sekolah-sekolah umum adalah sama dan seragam dengan yang digunakan dalam semua kamus dan penerbitan karya Wilkinson sendiri yang dihasilkan dari tahun 1901 hingga akhir 1940-an. Pedoman ejaan Rumi Wilkinson adalah berdasarkan kamus Jawi-Melayu-Inggeris yang disusun oleh beliau pada tahun 1903. Wilkinson mengambil pendekatan transliterasi daripada Jawi kepada Rumi sebagai kaedah perumian bunyi-bunyi melayu.

Wilkinson menyebut bahawa ada dua sistem yang logis bagi perumian bahasa Melayu. Sistem yang pertama ialah perumian secara harafiah menurut ejaan manakala sistem yang kedua pula ialah perumian secara fonetik menurut sebutan sesuatu kata. Yang dimaksudkan secara harafiah ialah pengambilan huruf-huruf Jawi yang membentuk sesuatu kata dan memadankannya dengan huruf-huruf Rumi tertentu yang diterima.

Kebaikan kaedah harafiah adalah kerana ia dapat menjurus kepada keseragaman dengan maksud mengurangkan kaedah tersendiri seseorang penulis manakala kelemahannya adalah kerana sistem vokal bahasa Arab tidak cukup untuk disepadankan dengan bunyi-bunyi vokal Melayu. Kelemahan kaedah fonetik pula adalah kerana sebutan bahasa Melayu berbeza-beza menurut sesuatu tempat.

2.3 Ejaan Za’ba.

Sistem Ejaan Rumi Za’ba muncul apabila Pendita Za’ba telah membuat perubahan kepada sistem Ejaan Wilkinson. Sistem ini juga dikenali sebagai Ejaan sekolah. Sistem ini digunakan di sekolah-sekolah di Tanah Melayu.

Sistem ejaan Rumi Za’ba daripada satu segi memperlihatkan kaedah penggunaan lambang huruf yang beraneka ragam yang mengakibatkan ketidakseragaman pengejaan kata dalam amalan penulisan sehari-hari dalam semua urusan yang menggunakan tulisan Rumi. Penggunaan Sistem Ejaan Rumi Za’ba menjadi bertambah sukar kerana adanya pengejaan kata yang masih menurut Sistem Ejaan Rumi Wilkinson (1903) dan beberapa sistem ejaan Rumi yang lain yang digunakan di dalam pelbagai jenis kamus ekabahasa dan dwibahasa yang terbit serta tersebar semenjak tahun 1920-an. Kesan daripada kelemahan sistem-sistem yang ada dan cara penggunaan yang beragam-ragam itu telah mendorong beberapa pihak tertentu menampilkan beberapa sistem baru ejaan Rumi dalam tempoh tahun 1940 hingga 1959. Tiga percubaan yang mendapat perhatian ialah aturan ejaan Rumi yang dikenal sebagai Ejaan Rumi Fajar Asia (1943), Ejaan Kongres (1956) dan Ejaan Rumi PBMUM (1959).

2.4 Ejaan Rumi selepas Ejaan Za’ba.

2.4.1 Ejaan Rumi Fajar Asia.

Ejaan Rumi yang dikenal sebagai Ejaan Fajar Asia adalah kaedah ejaan yang terpakai dalam majalah dwimingguan Fajar Asia yang diterbitkan di Singapura bermula pada tahun 1943 di bawah Zainal Abidin bin Ahmad sebagai ketua pengarang. Grafem yang digunakan dalam Fajar Asia menunjukkan sedikit perbezaan sahaja daripada yang terdapat dalam Sistem Ejaan Wilkinson dan Sistem Ejaan Za’ba.

Sistem Ejaan Fajar Asia dapat dikatakan percubaan yang pertama dalam usaha menyatukan ejaan Rumi bahasa Melayu dengan ejaan Rumi bahasa Indonesia seandainya dipandang daripada sudut pengejaan kata dan penulisan keharmonian vokal.

2.4.2 Ejaan Kongres.

Ejaan Kongres adalah sistem ejaan Rumi bagi bahasa Melayu yang dipersetujui oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang ketiga pada tahun 1956. Perkara ini dirumuskan atas empat dasar pengejaan bahasa Melayu dengan huruf Rumi iaitu:

2.4.3 Ejaan Rumi Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

Kaedah Ejaan Rumi PBMUM ialah sistem ejaan yang digunakan dalam penerbitan jurnal Bahasa yang diterbitkan oleh PBMUM bermula pada tahun 1959. Kaedah PBMUM bukanlah suatu kaedah ejaan rasmi yang diperakukan tetapi merupakan suatu percubaan lanjutan ke arah penyatuan ejaan Rumi bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia kerana sistem ini hampir menyamai Ejaan Fajar Asia dan Ejaan Soewandi.

2.4.4 Ejaan Rumi Baharu (ERB).

Ejaan Rumi Baharu tahun 1972 ialah hasil daripada pemikiran yang matang yang berlandaskan prinsip-prinsip perancangan bahasa yang baik. Ejaan Rumi Baharu merupakan penyataan pertama daripada perancangan korpus pada peringkat supranasional yang menjadi asas bagi pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu serantau seterusnya. Sebagai sistem ejaan yang dirancang untuk keperluan dua buah masyarakat bahasa yang berlainan latar belakang sosiolinguistik dan sejarah pertumbuhannya, Ejaan Rumi Baharu dirumuskan sedemikian rupa supaya dapat diterima oleh semua golongan pengguna kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

Rumusan Ejaan Rumi Baharu memperlihatkan prinsip-prinsip linguistik, ekonomi, kesederhanaan, kejelasan dan fleksibiliti serta taraf standardisasi yang tinggi dan lebih nyata berbanding dengan sistem-sistem yang terdahulu. Ejaan Rumi Baharu tidak syak lagi merupakan wahana yang cukup mudah dan cekap bagi penulisan Rumi bahasa Melayu di rantau ini untuk beberapa dasawarsa yang akan datang.

Hosted by www.Geocities.ws

1