| MUKADEPAN | KANDUNGAN | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 |

1. PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Kajian mengenai sejarah sistem ejaan Rumi bahasa Melayu ini adalah satu tugasan yang diamanahkan kepada para pengkaji sebagai memenuhi kehendak Kursus Kejuruteraan dalam subjek Bahasa Malaysia di Universiti Telekom. Dalam perbincangan kertas kerja ini, para pengkaji telah menyentuh secara ringkas proses- proses perubahan sistem ejaan Rumi beserta dengan contoh- contoh sistem ejaan Rumi yang pernah digunakan di negara kita.

Di samping itu, para pengkaji juga telah membuat penyelidikan terhadap beberapa faktor yang menyumbang kepada perubahan sistem ejaan Rumi bahasa Melayu. Sebagai pedoman atau rujukan kepada para pembaca, para pengkaji juga memberikan contoh- contoh perbezaan di antara ejaan Rumi lama dan ejaan Rumi baru yang mudah untuk difahami.

Mudah- mudahan hasil kertas kerja ini akan memberi manfaat kepada para pembaca dari segi memahami sejarah sistem ejaan Rumi di negara kita dan juga dapat menggunakan sistem ejaan yang ada sekarang dengan penuh yakin.

Akhir kata, para pengkaji ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pensyarah yang memberi sokongan kepada para pengkaji untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan ini dengan jayanya.

1.2 Objektif Kajian

Kertas kerja ini dihasilkan bagi membentangkan dengan terperinci beberapa objektif yang telah digariskan terlebih dahulu oleh para pengkaji. Objektif-objektif tersebut adalah:

  1. Membincangkan sejarah perkembangan sistem ejaan Rumi bahasa Melayu.
  2. Memperjelaskan faktor-faktor yang telah mempengaruhi perubahan dalam sistem ejaan Rumi bahasa Melayu.
  3. Memberikan gambaran tentang perubahan-perubahan tersebut melalui penyenaraian perbezaan-perbezaan antara sistem ejaan baru dan lama disertai dengan beberapa contoh perkataan bagi setiap perbezaan yang dinyatakan.

1.3 Kaedah Kajian

Kertas kerja ini disiapkan dengan jayanya hasil daripada kerjasama semua ahli. Kaedah yang digunakan untuk mendapatkan maklumat adalah kaedah perpustakaan. Sumber utama para pengkaji adalah Jurnal Dewan Bahasa dan majalah Dewan Bahasa yang diperolehi daripada Perpustaan Awan Melaka. Di samping itu, para pengkaji juga telah merujuk beberapa buah buku yang berkenaan dengan tajuk yang diberi.

 

1.4 Batasan Kajian

Sepanjang menjalankan kajian untuk kertas kerja ini, para pengkaji telah mengambil kira beberapa batasan. Para pengkaji memastikan bahawa kajian tidak terpesong daripada batasan-batasan tersebut:

  1. Penyelidikan sejarah difokuskan kepada tempoh awal abad ke-20 sehingga perlaksanaan Ejaan Rumi Bersama (ERB) pada tahun 1972.
  2. Penyelidikan faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan sistem ejaan Rumi tertumpu kepada kelemahan sistem ejaan Rumi, penyesuaian ejaan dalam pendidikan dan aspek standardisasi dalam penggunaan seharian.
  3. Perbandingan perbezaan sistem ejaan baru dan lama adalah di antara sistem Ejaan Rumi Bersama (1972) dan sistem-sistem ejaan sebelum 1972 secara am, walaupun kadangkala perbandingan dibuat secara lebih khusus terhadap sistem Ejaan Za’aba.


1.5 Definisi Konsep

Dalam perbincangan kertas kerja ini, pengkaji mengambil kira pendapat beberapa orang tokoh bahasa dan penulis untuk mendapatkan idea yang lebih jelas tentang sistem ejaan Rumi bahasa Melayu.

Menurut Noor Azam dalam bukunya Ejaan Baru : 16 Tahun Dalam Gelombang Politik Nusantara (1972) :

"Masalah ejaan adalah masalah ilmiah, masalah limu yang menjadi tugas ahli- ahli bahasa".

Menurut Profesor Dr. Asmah Haji Omar dalam buku Bahasa Standard dan Standarsisasi Bahasa Melayu (1970:435) :

"Sistem ejaan Rumi ini adalah yang paling baik diciptakan selama ini dalam ertikata sistem ini merupakan kompromi antara sistem – sistem yang ada di Indonesia dan Malaysia tanpa memasukkan huruf- huruf baru atau lambang- lambang diakritis".

Menurut Ismail Dahaman dalam bukunya Pedoman Ejaan Rumi Bahasa Melayu (1996:ix) :

"Sebenarnya sistem ejaan Rumi sudah mantap dan hampir tidak bermasalah lagi. Dengan pengemaskinian yang dilakukan ini, aturan yang terperinci tentang pengejaan kata dalam ejaan Rumi dapat dilengkapkan".

Dengan ini, dapatlah dibuat rumusan bahawa hasil daripada usaha- usaha ahli- ahli bahasa dan kesepakatan di antara Indonesia dan Malaysia, sistem ejaan Rumi telah berjaya dikemaskinikan menjadi satu sistem ejaan yang lengkap tanpa memasukkan lambang – lambang diakritis untuk membezakan bunyi.

Hosted by www.Geocities.ws

1