<BGSOUND SRC="bengawan.mid">
Copyright � 2002 Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya 1
All rights reserved
                               Maklumat Sekolah       Akademik      Ko-kurikulum      Galeri      Komuniti      Resos      Takwim
Oleh Zalina Yahaya

KINI, konsep pendidikan bestari sudah tidak asing lagi bagi kebanyakan kita. Konsep ini diperkenalkan sebagai salah satu daripada aplikasi perdana koridor Raya multimedia.

Projek sekolah bestari ini kini berada di penghujung tempoh rintisnya.

Projek mega kerajaan dengan kerjasama Telekom Smart Schools Sdn. Bhd. (TSS) ini dilaksanakan secara rintis selama tiga tahun bermula 28 Julai 1999 hingga Julai 2002.

Projek rintis ini diuruskan oleh Pasukan Projek Rintis Sekolah Bestari yang ditempatkan di Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, walaupun ia seakan-akan sudah sebati dengan masyarakat kini, masih ramai di antara kita yang sehingga kini melihat konsep sekolah bestari dalam konteks yang terhad.

Sekolah bestari hanya dikaitkan dengan penggunaan komputer dan teknologi komunikasi dalam pembelajaran dan pengajaran (P&P) semata-mata.

Bagaimanapun konsep sekolah bestari sebenarnya lebih luas daripada itu.

Sekolah bestari ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh dari segi amalan P&P serta pengurusan sekolah untuk membantu pelajar menghadapi zaman maklumat.

Enam tujuan utama konsep sekolah bestari diperkenalkan ialah:

- Mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan
- Membangunkan tenaga kerja untuk zaman maklumat
- Menghasilkan tenaga kerja yang berfikir dan celik teknologi
- Membangunkan intelek, jasmani, emosi dan rohani pelajar
- Mewujudkan peluang bagi meningkatkan kekuatan dan kebolehan individu
- Mendemokrasikan pendidikan


Sejarah pelaksanaan sekolah bestari ini dimulakan secara projek percubaan atau projek rintis selama tiga tahu bermula Julai 1999 hinggalah Julai tahun ini.

Ia melibatkan 90 buah sekolah di seluruh negara yang dibahagikan kepada tiga kategori mengikut kemudahan teknologi yang disediakan di sesebuah sekolah.

Tiga kategori sekolah bestari itu ialah A, B dan B+.

Sekolah bestari daripada jenis A atau model bilik darjah penuh (enam buah komputer di dalam semua bilik darjah) akan dibekalkan dengan sekurang-kurangnya 520 komputer bagi sekolah menengah dan 390 komputer bagi sekolah rendah.

Di samping itu, kedua-dua sekolah rendah dan menengah ini juga akan dibekalkan dengan lima komputer notebook, enam unit pelayan, peralatan rangkaian dan pendawaian, pencetak laser A3, pencetak berwarna, peralatan makmal multimedia, alat sidang video dan talian sewaan lebuh raya maklumat korporat.

Spesifikasi peralatan itu kini diguna pakai pada kompleks sekolah bestari di Putrajaya yang mempunyai tiga buah sekolah iaitu Sekolah Rendah (SR) Putrajaya 1, SR Putrajaya 2 dan Sekolah Menengah (SM) Putrajaya.

Kompleks Bestari Seri Bintang di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur, pula akan dibekalkan dengan enam buah komputer setiap kelas.

Sekolah jenis B pula adalah iaitu sekolah model makmal (sebuah sekolah mempunyai makmal dengan bilangan komputer lebih kurang 20 buah).


Komputer
Setiap sekolah akan dibekalkan dengan 37 buah komputer, dua komputer notebook, tiga unit pelayan, peralatan rangkaian dan pendawaian, pencetak laser saiz A4, pencetak laser A3, peralatan makmal multimedia, alat sidang video dan talian sewaan lebuh raya korporat.

Sekolah jenis B+ iaitu sekolah model bilik darjah terhad (15 bilik darjah dipilih untuk memuatkan lebih kurang lima komputer setiap satu) juga akan menerima spesifikasi yang sama, kecuali bilangan komputer yang lebih iaitu 81 buah setiap sekolah.

Dalam membincangkan mengenai konsep sekolah bestari, satu lagi perkara penting yang perlu diketahui ialah komponen-komponen yang terdapat di dalamnya.

Sekolah bestari sebenarnya mempunyai dua komponen utama iaitu komponen P&P bestari dan komponen pengurusan sekolah bestari.

Di bawah komponen P&P sekolah, empat elemen utama yang diberikan penekanan ialah kurikulum, pedagogi, pentaksiran dan bahan.

Sementara itu, di bawah komponen pengurusan pula, sembilan elemen utama yang terkandung di dalamnya ialah keselamatan, perundangan sekolah, hal ehwal pelajar, sumber pendidikan dan sumber luar.

Empat lagi elemen ialah kemudahan, sumber manusia, pengurusan kewangan dan teknologi.

Pelaksanaan projek rintis di 90 buah sekolah akan berakhir tidak lama lagi dan perkembangan yang dicapai sehingga kini amatlah membanggakan.

Selepas ini, konsep sekolah bestari bukan hanya dapat dilihat di 90 buah sekolah ini sahaja, tetapi juga akan diperluaskan di sekolah-sekolah lain di seluruh negara.

Sesungguhnya, pelaksanaan sekolah bestari ini bakal menghasilkan generasi pelajar yang mampu menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi IT
Hosted by www.Geocities.ws

1