::  Menu Utama   ::
›› 
›› 
›› 
›› 
›› 
›› 
›› 
›› 
›› 
›› 
›› 

Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu Dua

Panduan / Bimbingan

KAEDAH MENYAMBUT KELAHIRAN BAYI

Objektif :

Kaedah ini bertujuan memberitahu kepada suami akan beratnya kesakitan yang dihadapi oleh isteri ketika hendak melahirkan anak dan menuntut suami supaya sentiasa berada disamping isterinya agar beban kesakitan dapat dikurangkan.

Kaedah ini juga bagi membimbing suami supaya dapat menyambut kelahiran anak mengikut cara yang digarispandukan oleh Islam.
 

Aktiviti :

1.    Suami Berada Di Samping Isteri Ketika Saat-Saat Isteri Hendak Bersalin.

Alangkah gelisah dan kritikalnya saat-saat akan melahirkan anak lebih-lebih lagi bagi ibu yang pertama kalinya akan melahirkan anak. Suami perlu memberikan motivasi kepada isteri agar tetap tabah dan sabar, di samping suami harus banyak berdoa kepada Allah serta banyak beristighfar dan berselawat disamping membanyakkan bacaan surah Al-Insyiqa’ dan surah Al-Hasyr.

Firman Allah Taal dalam surah Luqman ayat 14 :

· Maksudnya : “Dan Kami wajibkan menusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga ke akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
 

2.    Azan Di Telinga Kanan Dan Iqamah Di Telinga Kiri.

Suami hendaklah segera mengazankan di telinga kanan anak yang baru lahir dan diiqamahkan di telinga kiri dengan tujuan supaya dijauhi anaknya dari gangguan syaitan dan supaya kalimah pertama yang dapat didengar oleh bayi ialah kalimah Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rafi’ r.a. Rasulullah bersabda :

· Maksudnya : “Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w. mengazankan Al-Hassan bin Ali pada telinganya ketika itu ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a.”

Riwayat Abu Daud dan Tirmizi
 

3.    Membaca Surah Al-Qadar dan Surah Al-Ikhlas.

Suami hendaklah juga membanyakkan bacaan surah Al-Qadar di telinga kanan dan surah Al-Ikhlas di telinga kiri bagi tujuan memohon kepada Allah supaya anak yang dilahirkan terselamat dari melakukan perzinaan dan memohon juga supaya dikuatkan iman, jauh dari menyeleweng fahaman akidahnya dari landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
 

4.    Membaca Surah Al-Insyirah Di Jari Manis Dan Ditahnikkan.

Suami juga hendaklah membaca surah Al-Insyirah di jari manis kemudian mencelupkan jari manis ke dalam manisan (madu) dan ditekankan (ditahnikkan) di langit-langit bayi tersebut dengan membaca ayat 36, surah Ali-Imran :

· Maksudnya : “Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”.

Tahnik adalah bertujuan untuk memohon kepada Allah S.W.T. supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya dari menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya”.
 

5.    Melaksanakan Tuntutan Sempena Hari Ketujuh.

  1.  Memberikan nama yang baik.

Bapa dikehendaki menamakan anaknya dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kerana nama itu sendiri adalah merupakan doa kepada anaknya.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

· Maksudnya : “Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka indahkanlah nama kamu”.

Riwayat Abu Daud

  1. Membaca Doa ketika memberikan nama anak.

· Maksudnya : “Ya Allah wahai Tuhan kami, jadikanlah nama yang diberikan ini memberi keberkatan kepadanya, pandukan segala usahanya ke arah keredhaanMu, jadikan menuntut ilmu sebagai matlamatnya dan akhirkan hidupnya dengan amal-amal soleh. Ya Allah wahai tuhan kami, lanjutkanlah usianya dalam ketaatan kepadaMu dan kepada RasulMu dan jadikan tubuh badannya dalam keadaan sihat walafiat. Ya Allah, jadikan ia pemimpin di waktu dewasa, teguhkan imannya sepertimana iman para nabiMu sehingga hari kiamat. Ya Allah kurniakan ia rezeki yang halal dan berkat, dekatkanlah ia dengan kebaikan dan jauhkan ia daripada kejahatan dengan rahmatMu Ya Allah yang Maha Pengasih.

  1. Mengaqiqahkan anak.

Bapa hendaklah mengaqiqahkan anaknya kerana hukumnya adalah sunat mu’akad iaitu dengan mengadakna kenduri kesyukuran. Menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Sebaik-baiknya dilakukan pada hari ketujuh.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

· Maksudnya : “Setiap anak yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”.

Riwayat abu Daud

Ketika menyembelih aqiqah disuruh juga menyebut nama anak.

· Maksudnya : “Dengan nama Allah, Ya Allah untukMu dan bagiMu akikah ini dari ……(sebut nama anak)….

Gesaan Aqiqah :

Rasulullah s.a.w. bersabda :

· Maksudnya : “Kerkakanlah aqiqah bagi anak lelaki yang baru lahir, kerana itu hendaklah kamu menyembelih aqiqah dan jauhkanlah gangguan dari anak itu”.

Muttafaqun A’laih

Antara hikmah aqiqah adalah :

  1. Membiiasakan berkorban bagi orang tua demi kepentingan bayi yang baru lahir di dunia.
  2. Melindungi diri dari gangguan syaitan.
  3. Bercukur rambut.

Adalah menjadi tanggungjawab bapa untuk mencukur rambut anaknya pada hari ke tujuh (dibotakkan) sama ada dilakukan olehnya sendiri atau orang lain.

Antara hikmah bercukur rambut adalah :

  1. Hikmah kesihatan.

Dengan membuang, mencukur rambut anak yang baru lahir akan terbuka semua lubang rambutnya yang mungkin akan mengukuhkan pancaindera penglihatan, pernafasan dan pendengaran.

  1. Hikmah kemasyarakatan.

Dapat bersedekah dengan emas atau perak seberat timbangan rambutnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.s. ia berkata :

· Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyuruh supaya mencukur rambut cucunya Saidina Hassan dan Hussin r.a. pada hari ketujuh dan disedekahkan berat timbangan rambutnya dengan nilai perak”.

Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud

  1. Khurafat yang perlu ditinggalkan.

Mencukur bahagian-bahagian tertentu daripada kepala sebagaimana yang banyak dilakukan sekarang, kerana ini termasuk dalam perkara yang dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam dan bunga kerana amalan ini diambil dari budaya Hindu. Rasulullah bersabda :

· Maksudnya : “Barangsiapa yang menyerupai (meniru apa sahaja perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam) dengan sesuatu kaum (yang bukan Islam) maka ia tergolong daripada mereka”.

  1.  Mengkhatankan anak.

Bapa bertanggungjawab untuk mengkhatankan anak lelakinya. Dalam sebuah hadis disebutkan :

Maksudnya : “Berkhatan itu sunat bagi lelaki, mulia bagi wanita”.

Riwayat Abu Daud

Walaupun demikian, amalan masyarakat kita mengkhatankan anak pada umur sebelas tahun atau dua belas tahun tidaklah menyalahi syarak. Adalah menjadi suatu yang baik sekiranya anak-anak sebelum dikhatankan terlebih dahulu diaturkan majlis khatam Al-Quran untuknya.

Antara faedah berkhatan adalah :

  1.  Melindungi daripada berbagai-bagai penyakit.
  2.   Membersihkan diri dari kekotoran.
     

6.    Menyusukan Anak.

Demi kesihatan anak, ibu hendaklah menyusukan anak dengan susu ibu.

Firman allah Taala dalam surah Al-Bawarah ayat 233:

Maksudnya : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu”.

Imam As-Syafie berkata

“Sihat atau tidak anak itu adalah bergantung sama ada anak disusui oleh susu ibu atau tidak walaupun sekali susuan”.

Kelebihan menyusukan anak :

  1. Setiap tegukan dari susu ibu, Allah S.W.T. memberi pahala satu kebaikan.
  2. Bila ibunya semalaman tidak dapat tidur kerana menjaga anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T. memberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba ke jalan Allah.

 

 

KAEDAH ASUHAN

Objektif :

Memberi ketahanan jelas tentang kaedah-kaedah asuhan bayi menurut Islam.
 

Aktiviti :

1.    Memahami Psikologi Kanak-Kanak.

Firman Allah S.W.T. dalam surah An-Nahl ayat 78 :

· Maksudnya : “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur”.

FirmanNya lagi dalam surah Ar-Rum ayat 54 :

· Maksudnya : “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa”.
 

2.    Mendodoikan Anak Dengan Kalimah Thoyyibah.

Kata-kata yang menimbulkan kecintaan kepada Allah S.W.T. dan Rasul serta Akhlak yang mulia

  1.  Didodoikan dengan kalimah Syahadah.
  2.  Didodoikan dengan Selawat kepada Rasulullah s.a.w.
  3.  Didodoikan dengan nama-nama Allah S.W.T. yang baik-baik

Firman Allah Taal dalam surah Ibrahim ayat 24-26 :

· Maksudnya : “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu utk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi, tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya”.
 

3.    Cerita-Cerita Tauladan, Sirah dan Sejarah.

Anak-anak hendaklah sentiasa diperdengarkan dengan cerita-cerita dan kisah-kisah tauladan seperti kisah para Nabi, Sahabat-sahabat, Ulamak-ulamak, Masyitah, Qais Al-Qarni, Tha’labah, Alqamah, Barshishah dan lain-lain.
 

4.    Doa.

Ibubapa hendaklah sentiasa mengamalkan doa-doa seperti doa harian dan mendidik anak-anak supaya membaca doa-doa tersebut. Antaranya ialah :

· Maksudnya : “Ya Allah wahai tuhan kami, tunjukkanlah kami akan kebenaran dan mudahkanlah kami mengikutinya dan tunjukkanlan juga kami akan kebatilan dan mudahkanlah kami untuk menjauhinya pula”.
 

5.    Mengamalkan Membaca Al-Quran.

Ibubapa hendaklah sentiasa mengamalkan mambaca Al-Quran terutamanya surah Al-Ikhlas, Al-Mi’wazatain, Al-Kauthar dan lain-lain serperti :

  1. Surah Toha ayat 1-8 :

· Maksudnya : “Taa Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada dibumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi. Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi”.

  1. Surah Al-Israk ayat 82 :

· Maksudnya : “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua”.
 

6.    Kewajipan Bersama Ibu Dan Bapa

Tugas asuhan anak-anak adalah menjadi tanggungjawab ibubapa sepanjang masa dalam memastikan bimbingan dan asuhan menurut Islam.

Firman Allah Taala dalam surah Al-Maidah ayat 2:

· Maksudnya : “Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.
 

7.    Tidak Menyerahkan Sepenuhnya Pengasuhan Anak Kepada Pembantu.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

· Maksudnya : “Sesungguhnya Allah S.W.T. aka bertanya setiap orang yang diamanahkan dengan sesuatu tanggungjawab terhadap tanggungannya sama ada ia menjaganya atau mengabaikannya sehinggakan seorang suami dan bapa akan ditanya tentang ahli keluarga yang berada di bawah tanggungjawabnya”.

Hadis Riwayat Muslim

 

 

BIMBINGAN DAN DIDIKAN

Objektif :

Memberi kefahaman tentang kepentingan bimbingan dan didikan.
 

Aktiviti :

1.    Ilmu Akidah, Al-Quran, Fardu ‘Ain dan Akhlak Mahmudah.

Ibubapa bertanggungjawab mengajar anak-anak ilmu Aqidah, Al-Quran. Dan Fardu ‘Ain serta akhlak terpuji.

Firman allah Taala dalam surah Al-Bawarah ayat 1-2 :

· Maksudnya : “Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya : “Didiklah anak-anak kamu dengan tiga perkara: Cintakan Allah, Cintakan Rasulullah s.a.w. dan Cinta Membaca Al-Quran”.

Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin
 

2.    Khatam Muqaddam.

Ibubapa hendaklah mendidik anak-anak membaca Al-Quran dan memastikan anak-anak diperingkat ini telah khatam muqaddam. Imam Ghazali berpesan dalam kitabnya Ihya’ Ulumidin supaya ibubapa mengambil berat terhadap anak-anak dengan mengajar Al-Quran.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya : “Al-Quran adalah pemberi syafaat dan kitab yang benar, barangsiapa meletakkan Al-Quran di hadapannya ia akan memandunya ke syurga dan barangsiapa meletakkan Al-Quran di belakangnya ia akan memandunya ke neraka”.

Riwayat Ibnu Hibban

Sabda Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya : “Didiklah anak kamu pada tiga perkara: Mencintai Nabi kamu, ahli baitnya dan membaca Al-Quran. Kerana sesungguhnya orang-orang yang memelihara Al-Quran berada di dalam lindungan singgahsana Allah pada hari tidak ada perlindungan kecuali perlindungan Allah beserta para nabinya dan orang-orang yang suci”.

Riwayat At-Tabrani


3.    Menutup Aurat.

Ibubapa wajib mendidik anak berpakaian yang menutup aurat. Selain itu ia juga melatih dan mendidik anak-anak menjaga mata dan penglihatan daripada melihat yang haram dan maksiat.

Frman Allah Taala dalam surah An-Nur ayat 30-31 :

· Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pendangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan tubuh kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.

Firman Allah Taala dalam surah Al-Ahzab ayat 33 :

· Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu”.
 

4.    Memisahkan Tempat Tidur.

Ibubapa hendaklah memastikan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan yang telah berumur 7 tahun ke atas diasingkan di antara anak lelaki dan anak perempuan dengan ibubapanya.

Firman allah Taala dalam surah An-Nur ayat 58:

· Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, sesudah sembahyang Isyak itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.
 

5.    Latihan Solat Dan Puasa

Firman Allah Taala dalam surah Luqman ayat 17 :

Maksudnya : “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang”.

FirmanNya lagi dalam surah Al-ankabut ayat 45 :
 

· Maksudnya : “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun) sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”.

FirmanNya lagi dalam surah Al-Baqarah ayat 183 :

· Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”.
 

6.    Latihan Doa harian Dan Penerapan Nilai-Nilai Murni.

Ibubapa hendaklah melatih dan membiasakan anak-anak memulakan segala perbuatan yang baik dengan doa seperti ketika bangun tidur, hendak masuk dan keluar bilik air, ketika memakai baju, bercermin, mengadap makanan, setelah makan, membaca buku, keluar rumah, hendak tidur dan lain-lain. Ini bertujuan mengingatkan diri kepada Allah setiap masa dan menambahkan keyakinan diri bahawa manusia tidak boleh mengelak daripada ilmu Allah seterusnya mengelakkan diri daripada penyelewengan.
 

7.    Motivasi dan Nasihat Serta Teguran Dan Bimbingan.

Adalah menjadi kewajipan ibubapa menggalakkan dan menasihati anak-anak supaya sentiasa mengamalkan akhlak mulia dan bersopan santun samada kepada kawan atau lawan, menghormati orang yang lebih tua, dan sayang kepada yang lebih mudah sayang kepada binatang dan juga alam sekitar.

Ibubapa juga hendaklah menegur perbuatan atau percakapan anak-anak yang tidak baik dan tidak sesuai. Untuk itu, ibu bapa perlu melakukannya dengan menunjukkan contoh yang terbaik dari diri ibubapa itu sendiri. Segala nasihat atau teguran tidak akan berkesan jika ibubapa sendiri tidak menjadi contoh yang terbaik sebagaimana pepatah Melayu ada menyatakan “Seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul” tetapi ibu ketam itu sendiri berjalan senget.

Syair Arab juga ada menyebutkan :

“Kalau tuan rumah sudah memukul gendang,

maka semua ahli keluarga akan turut berdansa”.
 

8.    Belaian Dan Kasih Sayang.

Tanggungjawab terhadap anak bukan setakat memberi makan, pakai, tempat tinggal serta kewangan, tetapi yang lebih penting dan utama ialah melayani mereka dengan penuh kasih sayang dan berkomunikasi dengan baik serta berlaku adil dengan mereka, serta tidak membohongi mereka dengan janji-janji yang tidak ditunaikan.

Ibubapa juga perlu ingat bahawa anak yang tidak mendapat kasih sayang yang sewajamya akan memberi nsiko yang tidak baik. Anak akan merasa murung, memberontak, kurang bertimbangrasa, tidak mesra dan berbagai-bagai sifat-sifat negatif yang lain dan jika ini disemai dalam diri sejak kecil ia akan menyumbang kepada masalah gejala sosial yang serius di dalam masyarakat akan datang.

Nabi s.a.w. pernah menegur orang yang tidak mempunyai kasih sayang terhadap anak-anak dengan sabdanya :

· Maksudnya : “Orang yang tidak punyai kasih sayang tidak akan dikasihi oleh Allah S. W. T.”

Riwayat Bukhari
 

9.    Halaqah Muhasabah.

Ibubapa dan anak-anak hendak diperuntukkan satu waktu yang khas untuk melakukan muhasabah atau boleh juga dikatakan waktu untuk hati ke hati, samada mingguan, bulanan atau mengikut kesesuaian. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada setiap ahli keluarga untuk mencurahkan perasaan yang terpendam atau masalah yang dihadapi dan bersama-sama berbincang untuk mencari jalan mengatasinya. Seterusnya ibubapa menilai diri meneka sendiri apakah tanggungjawab dan hak-hak yang wajib telah disempurnakan atau sebaliknya.
 

BEBERAPA KESILAPAN :

  1.  Memberi nama yang tidak baik.
  2.  Menyerahkan penjagaan anak kepada orang yang tiada asas agama.
  3.  Menyerahkan penjagaan anak sepenuhnya kepada pembantu.
  4.   Membiarkan anak membesar tiada mengetahui membaca Al-Quran.

 

 

Best viewed with IE 6.x at 800x600 pixel resolution with at least 16 bit colour depth
© Copyright Sek Keb Dua Kuala Kubu Bharu- All rights reserved
Hosted by www.Geocities.ws

1 1