SEKSAAN KE ATAS KHABBAB BIN ARAT
Khabbab bin Arat adalah seorang tukang besi yang ahli dalam membuat senjata-senjata terutamanya pedang, yang dijualnya kepada penduduk Makkah. Pada suatu hari orang-orang Quraisy datang ke rumahnya untuk mengambil pedang yang telah mereka tempah. Ketika itu Khabbab tidak ada di rumah, jadi mereka terpaksa menunggu kepulangannya.
Tidak lama kemudian Khabbab pulang, sambil mengucapkan salam kepada teman-temannya yang telah lama menunggunya. Mereka menanyakan kepada Khabbab, "Hai Khabbab, sudah siapkah pedang-pedang kami?" Khabbab berkata, "Sungguh keadaan yang amat menakjubkan!"
Dengan jawapan Khabbab yang demikian itu, mereka kembali bertanya kepadanya, "Hai Khabbab, jawapan apa yang kamu ucapkan itu, yang kami tanya apakah pedang kami sudah siap atau belum?"
Dengan penuh semangat, Khabbab bertanya kepada mereka, "Apakah tuan-tuan sudah melihatnya, dan apakah tuan-tuan sudah pernah mendengar ucapannya?" Mereka tercengang, sehingga salah seorang daripada mereka kembali bertanya, "Apakah Muhammad yang engkau maksudkan hai Khabbab?"
Dengan hati yang penuh gembira dan bersemangat Khabbab menjawabnya, "Benar, saya telah melihat dan mendengarnya. Saya menyaksikan kebenaran terpancar dari ucapannya dan cahaya bersinar-sinar dari wajahnya."
Kemudian di antara mereka yang lain sengaja menanyakan lagi kepada Khabbab, "Hai hamba Ummi Anmar, siapa dia orang yang kamu maksudkan itu?" Dengan tenang Khabbab mengulangi jawapannya, "Siapa lagi hai sahabatku, siapa lagi di antara kaum kita yang terpancar kebenaran dari tutur katanya dan bersinar-sinar cahaya dari wajahnya kalau bukan Muhammad Rasulullah SAW!"
Dengan tidak memiliki belas kasihan mereka memukul Khabbab dan menyeksanya sehingga dia tidak sedarkan diri. Tidak lama kemudian Khabbab mulai sedar, dilihatnya tetamu-tetamunya telah pergi meninggalkannya dalam keadaan luka-luka dan berlumuran darah. Mulai saat itu Khabbab memperolehi kedudukan yang tinggi di antara orang-orang yang diuji keimanannya. Walaupun dia miskin dan tidak berdaya, tetapi berani menghadapi kesombongan kafir Quraisy.
KHABBAB DISIKSA
Dia memperolehi kemuliaan di antara orang-orang yang terdapat di jiwanya keimanan dan ketauhidan. Khabbab menunjukkan ketabahannya, sehingga tidak sedikitpun hatinya terpengaruh oleh tindakan kejam orang-orang kafir. Mereka menindih batu yang panas membara di atas badannya sehingga terbakar dagingnya. Orang-orang kafir Quraisy telah mengubah besi yang terdapat di rumah Khabbab, dari bahan untuk dijadikan pedang diubah menjadi belenggu dan rantai besi. Lalu mereka masukkan ke dalam api sehingga merah membara, kemudian mereka lilitkan ke tubuh, kedua tangan dan kedua kaki Khabbab.
MENGADU KEPADA RASULULLAH SAW
Kemudian Khabbab pergi menemui Rasulullah SAW, bukan kerana kecewa atas pengorbanan itu, tetapi ingin mengharapkan keselamatan.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, diungkapkan : "Dari Khabbab bin Arat r.a bahawa dia berkata, "Kami pergi mengadu kepada Rasulullah SAW yang ketika itu Baginda sedang tidur berbantalkan kain purdahnya di bawah naungan Ka'bah, lalu kami berkata, "Tidakkah engkau hendak meminta pertolongan kepada Allah untuk kami, tidakkah engkau mendoakan keselamatan untuk kami." Maka Rasulullah SAW bersabda, "Dulu sebelum kamu, ada seorang lelaki yang diseksa, badannya dikuburkan kecuali lehernya ke atas, lalu diambil sebuah gergaji untuk membelah kepalanya sehingga pecah menjadi dua, dan disikat dengan sikat besi, sehingga tinggal daging dan tulangnya. Namun yang demikian itu tidak menggoyahkan agamanya. Demi Allah, Allah pasti akan menyempurnakan agama ini sehingga seorang yang sedang berpergian akan dapat berjalan dari Shan'a (di Yaman) sampai ke Hadramaut tanpa ada yang ditakuti kecuali Allah dan serigala yang akan menerkam kambingnya. Tetapi kalian selalu terburu-buru."
Apabila mendengarkan kata-kata Rasulullah SAW itu,Khabbab dan kawan-kawannya bertambah keimanan dan keteguhan hati mereka, dan masing-masing berjanji akan membuktikan ketabahan, kesabaran dan pengorbanannya hanya untuk Allah SWT dan RasulNya.
KHABBAB TERUS DISIKSA
Khabbab terus menanggung seksaan dan penderitaan dengan sabar, tabah dan tawakkal. Orang-orang kafir Quraisy terpaksa meminta bantuan kepada Ummi Anmar, iaitu bekas majikan Khabbab yang telah membebaskannya dari hamba sahaya. Wanita tersebut ikut serta dalam menyeksa dan menderanya.
Ummi Anmar mengambil besi panas yang menyala, lalu diletakkannya di atas kepala dan ubun-ubun Khabbab. Khabbab menanggung kesakitan yang tidak terperi, tetapi nafasnya ditahan hingga tidak keluar keluhan dari mulutnya, yang menyebabkan orang-orang kafir itu merasa gembira dan puas.
Pada suatu hari, Rasulullah SAW lalu di hadapannya ketika besi yang membara di atas kepalanya terus membakar dan menghanguskannya, sehingga hati Rasulullah SAW menjadi pilu dan hiba. Tetapi apa yang dapat dilakukan oleh Baginda untuk menolong Khabbab ketika itu, melainkan meneguhkan hatinya dan mendoakannya. Maka ketika itu Baginda mengangkat kedua tangannya dan berdoa, "Ya Allah, limpahkanlah pertolonganMu kepada Khabbab."
BALASAN ALLAH SWT KEPADA UMMI ANMAR
Kehendak Allah SWT berlaku, tidak beberapa lama setelah itu Ummi Anmar menerima hukuman daripada Allah SWT, yang dijadikan peringatan oleh Allah SWT untuk Ummi Anmar dan orang-orang kafir yang menyeksa Khabbab itu. Mereka diserang penyakit yang mengerikan, menurut ahli sejarah Ummi Anmar melolong seperti anjing menahan kesakitan.
Orang-orang lain menasihatkan kepadanya bahawa satu-satunya jalan atau ubat yang dapat menyembuhkan penyakitnya itu ialah dengan cara menggosokkan kepalanya dengan besi yang panas menyala. Begitulah kepala orang yang angkut itu menerima seksaan yang dibuatnya sendiri, yang merupakan balasan daripada Allah SWT.
Jika orang-orang kafir ingin mematahkan keimanan dengan seksaan, maka orang-orang yang beriman mengatasi seksaan itu dengan pengorbanan. Maka Khabbab adalah salah seorang yang dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi guru besar dalam pengorbanan. 6
**Khabbab meninggal pada tahun 37 H
