SirahOnline KDIM | BankSoalan 

- Sahabat Disiksa
   
   
   
   
   
 

  

 

SEKSAAN KE ATAS BILAL BIN RABAH

 

          Tidak lama selepas Bilal memeluk Islam, berita keislamannya itu telah diketahui oleh pemimpin dari Bani Jumah. Dengan perasaan yang tidak dapat dibendung lagi, tuannya, Umayyah bin Khalaf, menjadi marah dan berjanji pada dirinya sendiri untuk menyeksa Bilal sehingga dia meninggalkan agamanya yang baru itu.

 

          Umayyah bertanya kepada Bilal, "Hai Bilal, benarkah kamu telah memeluk agama Islam dan sudah tidak mahu menyembah agama nenek moyangmu yang dulu?" Dengan lembut Bilal menjawab, "Maaf tuan, hamba sekarang telah menemukan jalan hidup yang baru, iaitu agama yang mengajarkan untuk menyembah kepada Tuhan Yang Esa."

 

          "Tidak! Kamu harus meninggalkan agama barumu itu dan kamu harus minta ampun kepada Tuhan Lata dan 'Uzza, jika kamu tidak mahu tentu aku akan menyeksa kamu!" kata Umayyah dengan perasaan marah.

 

          Kerana Bilal tidak mahu murtad daripada agama Islam dan hatinya telah yakin bahawa agama yang benar itu adalah Islam, maka Bilal harus menerima penyeksaan yang sangat kejam daripada tuannya Umayyah bin Khalaf beserta pengikut Bani Jumah.

 

 

BILAL TABAH MENGHADAPI SEKSAAN

 

          Penyeksaan terhadap Bilal pun dimulai. Bilal ditelanjangkan dan dibaringkan di atas batu yang panas dengan harapan Bilal mahu meninggalkan agama Islam dan kembali menyembah Lata dan 'Uzza. Mereka menyeksa Bilal supaya dia menarik kembali pengakuannya. Tetapi Bilal tetap menolak dan dia lebih senang menerima seksaan walaubagaimana berat sekalipun daripada harus meninggalkan agama Islam.

 

          Pada tengahari yang sangat panas, Bilal dibawa ke tengah-tengah padang pasir yang panas terik itu, kemudian dijemur dalam keadaan telanjang, lalu mereka mengangkat batu besar yang panas dan dijatuhkan ke atas perut dan dada Bilal. Seksaan seperti itu mereka lakukan setiap hari ke atas Bilal. Mereka terus memaksa Bilal supaya mahu menyebut nama tuhan-tuhan mereka. Tetapi sepatah kata pun Bilal tidak mahu menyebut nama tuhan-tuhan mereka, bahkan Bilal selalu mengucapkan, "Ahad...Ahad...Ahad..." berulang-ulang kali.

 

          Umayyah berjanji kepada Bilal untuk melepaskan seksaan itu asalkan Bilal berpaling daripada ajaran baru yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Dia merasa malu kepada kaum Quraisy seandainya dia tidak dapat memaksa Bilal, dia juga merasa malu kerana kalah dengan pendirian seorang hamba belian. Tetapi walaubagaimanapun Bilal tetap teguh dengan pendiriannya dan tidak mahu mengucap dengan apa yang mereka minta, bahkan Bilal menjawab, "Maaf tuan, lidahku tidak dapat mengucapkannya."

 

          Tinggallah Bilal di tengah panas terik dengan tindihan batu. Ketika hari petang mereka ikat leher Bilal dengan rantai besar lalu mereka suruh kanak-kanak untuk mengaraknya keliling bukit-bukit. Namun Bilal tetap dengan pendiriannya dan sentiasa mengucapkan kata, "Ahad...Ahad...Ahad.."

 

          Melihat kuatnya pendirian Bilal itu, Umayyah sangat marah sekali. Namun di antara mereka ada yang berpura-pura menaruh kasihan kepadanya, dengan harapan Bilal akan kembali memuja Lata dan 'Uzza. Tetapi Bilal tetap tidak mahu berubah dan masih menyebut, "Ahad...Ahad..."

 

 

BILAL DISELAMATKAN OLEH ABU BAKAR AS-SIDDIQ

 

          Pada hari yang lain, penyeksaan kembali berulang. Bilal ditelanjangkan dan dibawa ke padang pasir yang panas itu. Ketika mereka sedang menyeksa Bilal, tiba-tiba datanglah Abu Bakar as-Siddiq, lalu dia berkata, "Apakah kalian akan membunuh seorang lelaki kerana mengatakan bahawa Tuhannya ialah Allah?" Kemudian dia berkata kepada Umayyah, "Terimalah wang ini sebagai tebusanya, ianya lebih tinggi daripada harganya dan bebaskanlah dia!" Maka pada ketika itu Bilal mencucurkan air matanya dengan penuh rasa kesyukuran kepada Allah SWT.

 

          Mulai saat itu, Bilal menjadi orang yang merdeka dan terkenal dengan keteguhan hatinya dalam menegakkan kebenaran. Kemudian Abu Bakar dan Bilal pergi menemui Rasulullah SAW untuk menyampaikan berita gembira tentang bebasnya Bilal bin Rabah.

 

          Begitu manis iman yang bersemayam di dalam lubuk hati Bilal, tidak goyang dengan pelbagai rintangan dan halangan walaupun nyawa harus melayang. Begitu besar makna perjuangan Bilal bin Rabah yang masih tetap tahan dengan pelbagai seksaan dan penganiayaan. Iman yang semacam ini adalah amat kukuh dan kuat, yang tahan diuji dan dicuba pada bila-bila masa sahaja. Bilal bin Rabah bagaikan permata hitam yang indah. Seribu satu kepiluan yang ditempuhnya hanya menambah ketakwaannya kepada Allah SWT. 6          

 

 

 
       
Copyright � 2003 SirahOnline.cjb.net. All rights reserved.
KDIM. BankSoalan. Feedback


Hosted by www.Geocities.ws

1