Assalamualaikum...Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Pustaka Hilmi.cjb.net..

 


::. Teori & Kaedah Penterjemahan Arab-Melayu---------------------------------------------------------------------------------------------------

Pertama sekali penulis mengucapkan syukur ke hadrat Allah s.w.t. yang dengan izin-Nya buku ini akhirnya berjaya diterbitkan. Sebenarnya penulis sudah lama merancang untuk menulis sebuah buku yang membincangkan tentang kaedah-kaedah yang betul dalam penterjemahan Arab – Melayu memandangkan sehingga buku ini ditulis belum ada lagi sebuah buku yang membincangkan tentang perkara tersebut secara lengkap dan tersusun.

Namun, disebabkan komitmen penulis terhadap projek penterjemahan kitab al-Qanun Fi al-Tibb oleh Ibnu Sina, hasrat penulis tersebut terpaksa ditangguhkan sehinggalah bermula Jun 2008, penulis telah membuat keputusan untuk memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap penulisan buku ini. Terdapat dua sebab utama yang mendorong penulis mempercepatkan penerbitan buku ini.

Sebab yang pertama ialah bagi menjadikan buku ini sebagai buku teks untuk subjek Maharah al-Tarjamah yang diajar kepada para pelajar Diploma Bahasa Arab di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), iaitu subjek yang telah dipertanggungjawabkan ke atas penulis sebagai tenaga pengajar. Sebab yang kedua ialah bagi menjadikan buku ini sebagai buku teks atau buku rujukan untuk kursus Sarjana Muda Bahasa Arab (Terjemahan) yang penulis difahamkan akan ditawarkan oleh Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) bermula sesi Oktober 2008.

Walaupun buku ini ditulis untuk keperluan tersebut, namun penulis tetap memastikan agar buku ini sesuai diguna-pakai oleh semua lapisan masyarakat, sama ada para pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi, mahu pun para pelajar pasca siswazah hinggalah kepada golongan profesional sekalipun. Oleh itu, sebahagian daripada maklumat yang terdapat dalam buku ini mungkin dianggap remeh temah oleh mereka yang berpendidikan tinggi, tetapi mungkin tidak oleh para pelajar sekolah menengah, malah mungkin dianggap sangat berguna oleh mereka.

Bagi memastikan terjemahan yang dibuat oleh penulis adalah tepat dan betul menurut aturan tatabahasa bahasa Melayu, penulis hanya menggunapakai dua buah buku sahaja sebagai rujukan, iaitu Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga dan Kamus Dewan Edisi Keempat. Tindakan ini dilakukan bagi memastikan penulis tidak terjebak dalam kontroversi nahu bahasa Melayu yang mungkin sebahagian daripada pendapat yang dikemukakan belum dipersetujui secara muktamad oleh pihak yang berautoriti dalam perkara tersebut.

Kaedah-kaedah terjemahan yang dikemukakan dalam buku ini pula terbahagi kepada dua kategori, iaitu kaedah yang tetap dan kaedah yang umum. Yang dimaksudkan dengan kaedah yang tetap ialah kaedah terjemahan yang mesti diikuti oleh penterjemah. Jika tidak, terjemahannya akan dianggap salah dan kurang tepat. Contohnya, menjadikan fa‘il sebagai subjek semasa menterjemah Jumlah Fi‘liyyah.

Kaedah yang umum pula bermaksud kaedah terjemahan yang boleh digunapakai ke atas sebahagian besar daripada bentuk ayat yang dikemukakan. Bagaimanapun, mungkin ter-dapat sebahagian daripada bentuk ayat tersebut tidak tertakluk kepada kaedah yang dicadangkan oleh penulis. Contohnya, menterjemah kata kerja dalam bahasa Arab yang terbit di atas wazan فاعَلَ يُفاعِلُ dengan kata kerja yang berimbuhan awalan ber-… dalam bahasa Melayu.

Dalam menghasilkan buku ini, penulis pastinya amat berterima kasih kepada individu-individu yang telah lama meli-batkan diri dalam dunia penterjemahan dan telah menghasilkan buku-buku dan bahan-bahan bacaan dalam bidang tersebut, termasuk Abdullah Hj. Hassan, Ainon Muhammad, Dr. Hj. Muhammad Bukhari Lubis, Dr. Mohd. Fauzi Jumingan, Khairunnawa Mohamed, dan lain-lain. Tanpa hasil tulisan mereka ini, penulis pastinya sukar, malah mungkin tidak mampu untuk menghasilkan buku ini.

Walau bagaimanapun, penulis sedar buku ini masih mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Tambahan pula, masih banyak lagi aspek kenahuan, gaya bahasa, dan retorika yang terdapat dalam bahasa Arab yang tidak diulas oleh penulis. Sehubungan itu, penulis mengharapkan kepada para pembaca yang prihatin agar memberi tunjuk ajar kepada penulis bagi memperbaiki kele-mahan yang ada, di samping memperindahkan lagi kekuatan yang terdapat dalam buku ini.

Akhir sekali, penulis ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu penulis menyiapkan buku yang sudah lama diidam-idamkan ini, sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung. Semoga Allah membalas jasa kalian semua.


DR. MOHD. HILMI B. ABDULLAH

28 Oktober 2008 bersamaan 28 Syawwal 1429



Kemaskini: 3 January, 2009
 
Hakcipta terpelihara© [email protected] -- PT 184, Kg. Padang Lepai, Kadok 16450 Ketereh, Kelantan
Hosted by www.Geocities.ws

1