Assalamualaikum...Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Pustaka Hilmi.cjb.net..

 


::. Tatacara Penjagaan Kesihatan Menurut Ibnu Sina ---------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana buku ini akhirnya berjaya diterbitkan seperti yang telah dijanjikan oleh penulis dalam buku sebelum ini (Teori-Teori Asas Perubatan Ibnu Sina). Buku Tatacara Penjagaan Kesihatan Oleh Ibnu Sina ini adalah terjemahan sepenuhnya Bab Ketiga daripada Buku Pertama daripada buku al-Qanun Fi al-Tibb oleh Ibnu Sina yang terbahagi kepada lima buah buku.

Bagi para pembaca yang belum pernah membaca buku penulis sebelum ini, mereka akan menghadapi sedikit masalah untuk memahami beberapa istilah yang digunakan oleh Ibnu Sina seperti mizaj, humor, gejala penyumbatan, gejala pengurungan, sifat panas semulajadi, sifat basah semulajadi dan sebagainya. Oleh itu, penulis menasihatkan mereka agar merujuk kepada buku penulis sebelum ini bagi memahami istilah-istilah tersebut.

Beberapa kenyataan Ibnu Sina dalam buku ini mungkin boleh menimbulkan kontroversi, khususnya berkaitan cadangan-cadangan Ibnu Sina supaya seseorang itu mengambil jus bagi merawat beberapa gejala yang berlaku ke atas dirinya, atau bagi mengelak daripada berlakunya perkara-perkara tertentu yang tidak diingini ke atas dirinya. Dalam terjemahan bahasa Inggeris buku al-Qanun Fi al-Tibb, perkataan jus atau syarab dalam bahasa Arab diterjemahkan sebagai “wine” atau arak dalam bahasa Melayu.

Bagaimanapun, dalam buku ini penulis mengekalkan terjemahan perkataan syarab sebagai “jus”, iaitu terjemahan asal bagi perkataan tersebut. Hal ini berdasarkan dua sebab seperti berikut, iaitu :-

1) Bukan semua yang dimaksudkan oleh Ibnu Sina dengan perkataan syarab merujuk kepada “wine” atau arak, malah sebahagiannya kekal dengan makna “jus”, yakni jus yang belum berubah sifat menjadi arak.
2) “Wine” atau arak itu sendiri adalah sebahagian daripada jus, iaitu jus yang telah bertukar menjadi arak, lalu memabukkan.

Oleh itu, penulis berpendapat, menterjemah perkataan syarab sebagai “jus” adalah lebih beradab dan lebih adil terhadap Ibnu Sina. Berbalik kepada persoalan di atas, antara isu kontroversi yang menyelubungi riwayat hidup Ibnu Sina ialah tuduhan bahawa beliau meminum arak, malah mungkin menghalalkan arak, sesuatu yang diharamkan oleh Islam. Persoalannya, betulkah begitu?

Sebelum menjawab soalan tersebut, penulis ingin menegaskan bahawa Ibnu Sina adalah ulama yang berpandangan jauh, bersifat global, dan tidak terikat kepada sempadan agama, bangsa, mahu pun geografi. Justeru itu, Ibnu Sina menulis buku al-Qanun Fi al-Tibb bukan sahaja untuk kegunaan orang-orang Islam, tetapi juga untuk orang-orang bukan Islam.

Sehubungan itu, jika terdapat saranan beliau supaya menggunakan arak bagi tujuan perubatan atau tujuan-tujuan yang tertentu, anggaplah bahawa saranan tersebut ditujukan kepada orang-orang bukan Islam. Terpulanglah kepada mereka sama ada untuk menerima saranan Ibnu Sina tersebut, atau mencari alternatif lain.

Sepanjang penulis menterjemah dan membaca buku al-Qanun Fi al-Tibb – termasuk mengkaji riwayat hidup Ibnu Sina – penulis belum pernah terbaca kenyataan bahawa Ibnu Sina meminum arak, atau menghalalkan penggunaan arak bagi orang-orang Islam, sama ada bagi tujuan perubatan, mahu pun bukan perubatan. Oleh itu, dakwaan di atas hanyalah tohmahan ke atas Ibnu Sina daripada musuh-musuh beliau.

Dalam buku ini juga, penulis mengemukakan sejarah dan perkembangan perubatan Ibnu Sina atau lebih dikenali sebagai perubatan Unani dari dulu hingga kini bagi membuktikan bahawa perubatan Ibnu Sina masih lagi relevan sehingga ke hari ini. Sehubungan itu, penulis berharap agar terdapat pihak-pihak tertentu yang akan tampil untuk mengembangkan perubatan ini di Malaysia, termasuk membantu penulis menterjemah buku al-Qanun Fi al-Tibb secara sepenuh masa sehingga selesai.

Penulis percaya dengan penerbitan buku ini dan siri-siri perubatan Ibnu Sina yang seterusnya selepas ini akan menyemarakkan lagi dunia perubatan alternatif di negara ini, di samping membantu meningkatkan lagi kajian perubatan, termasuk perubatan yang berasaskan herba. Melalui penerbitan buku ini, penulis tidaklah bermaksud supaya kita menolak sama sekali perubatan moden atau barat, tetapi penulis percaya setiap cabang perubatan itu masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri.

Justeru itu, penulis berharap agar suatu masa nanti perubatan Ibnu Sina akan mendapat tempat dalam hati masyarakat negara ini, serta diterimapakai di klinik-klinik dan hospital-hospital kerajaan dan swasta sebagai pilihan kepada para pesakit. Perkembangan terbaru di negara ini yang menyaksikan pihak kerajaan telah bersetuju agar perubatan alternatif memasuki hospital-hospital kerajaan telah menyuntik semangat kepada penulis untuk terus menterjemah buku al-Qanun Fi al-Tibb dan seterusnya mengembangkan perubatan Ibnu Sina di negara ini.

Akhir sekali, penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas Tuan Haji Ismail b. Hj. Ahmad, Pengarah Urusan 1, HPA Industries Sdn. Bhd. dan seluruh kakitangan Al-Wahida Marketing Sdn. Bhd. dan kakitangan Pusat Penyelidikan Perubatan Jawi yang telah memberi kerjasama yang cukup baik sepanjang penulis menterjemah buku al-Qanun Fi al-Tibb dan memasarkan buku Teori-Teori Asas Perubatan Ibnu Sina sebelum ini. Tidak lupa juga kepada semua pihak yang telah membantu penulis menyiapkan buku ini sama ada secara langsung atau pun tidak langsung.


DR. MOHD. HILMI B. ABDULLAH
26 April 2006 bersamaan 27 Rabi‘ul Awwal 1427

Kemaskini: 6 October, 2006
 
Hakcipta terpelihara© [email protected] -- PT 184, Kg. Padang Lepai, Kadok 16450 Ketereh, Kelantan
Hosted by www.Geocities.ws

1