Assalamualaikum...Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Pustaka Hilmi.cjb.net..

 


::. Rawatan Umum Dalam Perubatan Ibnu Sina --------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah, seperti yang penulis janjikan dalam buku kedua ‎sebelum ini, buku yang anda sedang tatapi ini akhirnya berjaya ‎diterbitkan. Dengan sokongan anda semua, penulis berjanji ‎akan terus menghasilkan buku-buku yang berkaitan dengan ‎Perubatan Ibnu Sina, sekurang-kurangnya sebuah buku ‎setahun ‎. Insya Allah.‎

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, buku al-‎Qanun Fi al-Tibb terbahagi kepada lima buah buku. Buku yang ‎pertama pula terbahagi kepada empat bab. Terjemahan ‎terhadap Bab Pertama dan Bab Kedua telah dimuatkan dalam ‎buku penulis yang pertama sebelum ini, iaitu Teori-Teori Asas ‎Perubatan Ibnu Sina. Manakala, terjemahan untuk Bab Ketiga ‎termuat dalam buku penulis yang kedua, iaitu Tatacara ‎Penjagaan Kesihatan Menurut Ibnu Sina. Oleh itu, buku ‎penulis yang ketiga ini adalah terjemahan kepada Bab Keempat ‎daripada Buku Pertama tersebut.‎

Semenjak penulis menghasilkan buku yang pertama ‎lagi ramai pihak yang bertanya tentang kaedah-kaedah rawatan ‎yang dicadangkan oleh Ibnu Sina berkaitan penyakit-penyakit ‎yang tertentu. Sebenarnya perkara tersebut hanya akan ‎dinyatakan oleh Ibnu Sina semasa perbincangan dalam Buku ‎Ketiga dan Buku Keempat. Oleh kerana terjemahan penulis ‎terhadap buku al-Qanun Fi al-Tibb belum sampai ke tahap itu, ‎maka para pembaca dan peminat perubatan ini hendaklah ‎bersabar dan memberi masa kepada penulis menterjemah buku ‎tersebut selangkah demi selangkah.‎

Oleh itu, sebelum kita membicarakan tentang rawatan ‎khusus tentang sesuatu penyakit, kita mestilah terlebih dahulu ‎mengetahui serba sedikit tentang rawatan umum yang biasa ‎digunakan dalam Perubatan Ibnu Sina bagi merawat penyakit ‎dan gejala yang menyerang tubuh badan. Sebahagian besar ‎yang dimaksudkan dengan rawatan umum di sini ialah proses ‎mengosongkan humor-humor yang tidak elok daripada tubuh ‎badan, atau mengalihkan humor-humor tersebut daripada ‎organ-organ yang berpenyakit bagi tujuan memulihkan organ ‎tersebut dan melakukan rawatan terhadapnya.‎

Justeru itu, buku ini sebahagian besarnya membicara-‎kan tentang proses pencaharan, pemuntahan, dan perdarahan ‎dalam merawat sesuatu penyakit atau gejala yang menimpa ‎tubuh badan. Hal ini kerana dalam teori Perubatan Ibnu Sina, ‎kebanyakan penyakit yang menimpa tubuh badan adalah ‎disebabkan oleh ketidakseimbangan mizaj dan humor yang ‎terdapat dalam tubuh manusia.‎

Oleh itu, kaedah rawatan yang dicadangkan juga lebih ‎banyak berkisar kepada pemulihan mizaj dan humor, sama ada ‎dengan cara pengurusan kesihatan, penggunaan ubat-ubatan, ‎atau pembedahan. Termasuk dalam kaedah rawatan secara ‎pengurusan kesihatan ialah rawatan secara pencaharan, pemun-‎tahan, perdarahan, bekam, enema, dan sebagainya sebagaimana ‎yang dibincangkan dalam buku ini.‎

Akhir sekali, penulis ingin mengambil kesempatan di ‎sini mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pembaca ‎sekalian, kerana tanpa bantuan dan sokongan daripada para ‎pembaca, penulis pastinya akan menghadapi kesukaran bagi ‎meneruskan usaha menterjemah buku al-Qanun Fi al-Tibb ‎sehingga selesai dan pada masa yang sama menerbitkan siri-siri ‎Perubatan Ibnu Sina dari semasa ke semasa.‎

Tidak lupa juga berbanyak-banyak terima kasih penulis ‎ucapkan kepada semua pihak yang telah membantu penulis ‎menterjemah buku al-Qanun Fi al-Tibb dan seterusnya ‎menghasilkan buku ini, sama ada secara langsung mahu pun ‎tidak langsung. Semoga Allah membalas jasa kalian semua. ‎Yang baik itu datangnya daripada Allah, dan segala kelemahan ‎yang terdapat dalam buku ini berpunca daripada kelemahan ‎penulis sendiri.‎

‎ ‎ ‎ ‎
DR. MOHD. HILMI B. ABDULLAH‎
‎20 Mei 2007 bersamaan 3 Jamadil Ula 1428 ‎

Kemaskini: 23 August, 2007
 
Hakcipta terpelihara© [email protected] -- PT 184, Kg. Padang Lepai, Kadok 16450 Ketereh, Kelantan
Hosted by www.Geocities.ws

1