Puisi Online


Longgokan Puisi Enam

 

Puisi 51

Puisi Melankolik

Puisi Melankolik ini
kuciptakan buatmu 
dari hirisan memori semalam
tika kita pernah bersama
menyusun kalimah-kalimah cinta

Puisi melankolik ini
kulagukan buatmu
dari jauh bernada sayu
kuruntuhkan mahkota egoku
sambil menyeka air mata pilu

Puisi melankolik ini
bukan tujuanku meminta simpati
juga tidak menagih cebisan kasih
yang telah kau bunuh
dan padam dari hatimu 

Puisi melankolik ini
kuhanyutkan buatmu di dalam botol kaca 
di gigi laut merah
hingga tiba di selat Melaka
moga kau temui rahsia cinta

Nukilan
Akhi masrawi
Diari melankolik


Puisi 52

Mencari Ilahi

Kulihat sepotong cahaya
berwarna putih di dada langit
memancar kilauan berpinar
mengusik sebak hati nan insaf
dan lara yang menghantuk benak

bebola api hadir di celahan gunung-ganang
membawa sinar cerah ke dada alam
Nabi Ibrahim pernah terpana menyaksikan
cahaya mentari itu dalam sangkanya 
yang menguji selirat akidah

Bebilah cahaya yang menerjah
melakarkan selingkar fatamorgana
dalam mencari ketenangan jiwa
sambil terpukau dirasuk rasa ronta
keindahan alam ciptaan maha Esa

Kala itu terungkai keonaran diri
dalam sujud mencari sinar Ilahi
dari ketulan-ketulan akidah hakiki
yang menggunung di hirisan ubudiyah
meyeret ikhlas terhadap keagungan Ilahi


Nukilan
Akhi Masrawi
Mei 02


Puisi 53

Sahabatku

Sahabatku
Ku kirimkan salam rindu
bersulam ukhwah buatmu
dari kejauhan ini

Sahabatku
berbekal sepucuk warkah
yang kulakar semalam 
berisi nostalgia
kala kita bersama
dan secebis berita
tentang kesedihan yang menerpa
menguji sabar dan taqwa
lantaran ujian Azza Wajalla

Sahabatku
Aku bakal pergi 
menemui Ilahi

Sahabatku
Terima kasih kerana kesudian
menjadikan aku seorang teman
dengan serba kekurangan
menempuh episod-episod kehidupan

Sahabatku
Doakan ruhku bakal ditempatkan
bersama ruh-ruh yang beriman

Nukilan,
Akhi Masrawi


Puisi 54

Mengapa Kita Bersama?

Mengapa kita bersama
Barangkali takdir Allah
telah menentukan 
kita akan bersama
kau jawab begitu
sambil aku mengiyakan

menelaah cinta
dalam dunia tandus iman
kita tergelincir 

Menyokong fatamorgana cinta
yang terbina dari tautan 
hati dan jiwa terasuk
lantas nafsumu juga nafsuku
menguasai jasad 
melayarkan bahtera cinta

Mengapa kita tidak bersama
membina istana cinta
yang diajar dan diizin agama

Perkahwinanlah ikatan cinta
yang hakiki dan
penuh bermakna

Nukilan
Akhi Masrawi
Mei 2002


Puisi 55

Apa Salah Aku

Apa salah aku
sehingga kau tinggalkan 
aku termangu sendirian
sehingga warkahku
tidak kaubalas
sehingga cinta 
yang pernah terbina
kau buang sesuka rasa
andai kau nyatakan kekesalan 
agar mampu kupujuk hatimu
Apa salah aku?

Nukilan
Akhi Masrawi


Puisi 56

Sepi

Sepi terasa
bila warkahmu 
tidak kunjung tiba
sedang aku 
sabar menanti 
warkahmu itu 
bakal hadir 
kala ini

Nukilan
akhi masrawi


Puisi 57

Fikirkan

Fikirkan 
andai seorang wanita
punya dua lelaki dalam satu masa

Fikirkan 
andai seorang lelaki
tidak memiliki hak mentalak isteri

apa bakal terjadi?
dengan kehidupan duniawi

Nukilan
akhi masrawi 

Puisi 58

Gadis berjubah kelabu 

Gadis berjubah kelabu
bersifat pemalu

Gadis Berjubah kelabu
bertudung litup

Gadis berjubah Kelabu
berwajah anggun

Gadis berjubah kelabu
Memikat kalbu

Gadis berjubah kelabu
adakah milik aku?

nukilan,
Akhi Masrawi
Dinihari



Puisi 59


Sewaktu bertemu

Sewaktu bertemu
kau tidak lafazkan 
isi hati
yang telah lama
kau pendamkan
sedang aku
sering menanti
ungkapan itu
terpancul 
dari bibirmu

Kini 
aku bakal pergi
meninggalkan daerah ini
sambil menyeret 
kegusaran hati
dan cinta
yang kian mati

nukilan,
Akhi Masrawi
Diari cinta

 


Puisi 60

Nurhumaira 3

Setelah mendengar 
khabar darimu
aku bisa mengerti

Doaku
teruskan perjuanganmu
sehingga kau bertemu
apa yang kau cari 
selama ini

Dan aku
akan sering melihat
kau dari pojok ini
sedang kau tidak ketahui

nukilan
Akhi Masrawi
Diari cinta

 

 Puisi Online           JURNAL


Berminat untuk hubungi aku sila emel kepada: [email protected]
© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA 1980-2002
~ untuk paparan 'cun' sila gunakan IE 800 x 600 & text size: medium ~

Hosted by www.Geocities.ws

Hosted by www.Geocities.ws