Puisi Online


Longgokan Puisi Lima

 

Puisi 41 

Sebuah Puisi Akhi Masrawi

Sebening Cinta Kota Cairo

Aku berkenalan dengan Cairo
Sebermula permukiman di dadanya
Cairo menyambutku melazimi rutinnya
Dipukul butir-butir debu nan tersapa 

Cairo mengajarku bercinta
dengan watak-watak mayanya
Melakarkan metafora cinta bersama
tanpa aku mengenali sedalamnya
hanya berselindungan cuma

Aku dan Cairo mula berkenalan 
Cairo ibarat taman larangan
Menyembunyikan seribu rahsia persoalan
Aku hanya mengandaikan demikian

Kala menjejak Ramsis dari Abas Akad
Aku mula menelaah Cairo
Aku ditemukan dengan kesesakan 
Perubahan peradaban dan segala macam
Belum lagi membelok ke Tahrir
Singgah di Husin dan berjalan ke Atabah 
Santak tersesat hingga ke Misril Jadidah
Yang bakal menemukan
zuruf dan uruf yang membezakan
antara Aku dan Cairo
antara hak dan kebatilan
di sebalik maslahah dan kebenaran

Aku terkilan sudi singgah 
di laman cinta Cairo
Yang menipu pandangan zahirku
Dalam menilai Kota Cairo

Sejak itu Cairo tidak pernah menemukan lagi aku 
walau aku pernah meminta ditemukan

Cairo tidak betah selalu menjemput aku sebagai tamu
walau aku pernah mempelawakan diriku

Cairo tidak sangsi untuk membuang aku
Jauh dari halaman rutin hidupnya

Namun Cairo tidak rakus melahapku sebegitu
Entah...Hanya Cairo yang tahu sebabnya

Aku terasa bersalah menafikan 
Cinta Cairo terhadapku sebagai tamunya

Akhirnya Cairo menemukan aku segalanya
Dari belikat tubuh yang masih sengal
Getar tabah yang bergelora dipersenda
Menjadi saksi dan bukti nyata
Tika mengejar bas dan menyalak kesesakan
Sambil berlari menyeret episod-episod cabaran 
Kecekalan, ketabahan, kesabaran, perjuangan, 
pengorbanan, keikhlasan dan segalanya 
yang tidak ditemui seumpamanya
Sumber watak cinta Cairo yang terpasak
Menyemat ampuh di sanubari hatinya
Bukan cuma ilusi dan igauan 
medan yang pernah mengajarkan
Cinta dan seribu kelainan
Terima kasih kerana beri aku peluang
Walau sukar sukmaku nyatakan 
Sebening cinta Kota Cairo


Nukilan, 
Akhi Masrawi.
Khalfal Masakin
Tanta.


Puisi 42

Bonda

Bonda 
dalam pelukanmu 
aku menangis 
kerana kemiskinan kita 
menjadi bahan senda 
Dan kuih-muih 
yang kujaja 
terbuang di tangan 
orang yang menuduh 
keluarga kita 
perosak damai kampung 
aku pelik 
tangis ini tidak akan menitis 
dari anak lelakimu 
andai mereka tidak berkata 
aku anak tidak 'berbapa' 

nukilan, 

akhi masrawi 

(ilham dari pembacaan cerpen Jabat nukilan Ralan Kazan- dalam buku Persediaan menulis Cerpen oleh: Dr. Othman Puteh) 



Puisi 43

Semalam Dia Berpesan

Semalam dia berpesan
tentang kebenaran
sebuah perjuangan

Semalam dia berpesan
tentang kejayaan
sebuah pengorbanan

Semalam dia berpesan
tentang keadilan
sebuah pentadbiran

Semalam dia berpesan
tentang kezaliman
sebuah pemerintahan

Semalam dia berpesan
tentang kesetiaan
sebuah percintaan

Semalam dia berpesan
tentang cita-cita
yang semakin pudar

Semalam dia berpesan lagi
tentang segalanya
sebelum pergi selamanya

Nukilan
Akhi Masrawi
Mei 2002


Puisi 44

Rintihan

Rintihan hati ini
hanya difahami
jiwa yang mengerti
kerana sebening impian
yang pernah dilakarkan
semakin pudar warnanya
sedang ilusi cinta
yang diseret pilu
semakin resah
membisik lembut
salirat kasih
yang kian tercicir

Nukilan,
Akhi Masrawi
Mei 2002


Puisi 45

Kenal

Bolehkah aku kenal
seorang wanita
tentang diri
juga hati budi
malah cinta
dan keikhlasan
hanya dalam tempoh
enam purnama?

Nukilan,
Akhi Masrawi
Mei02


Puisi 46

Anggap

Pernahkah 
kau anggap 
diriku ini
sebagai pendamping
yang memahami
layar laluan
malah kehidupan
seorang pejuang

Nukilan
Akhi Masrawi



Puisi 47

Mencari identiti

Aku seorang insan
dikatakan tanpa perasaan

Aku seorang insan
dituduh ego dan angkuh dengan diri

Aku seorang insan
semakin hanyut dalam lamunan

Aku seorang insan
kini tersungkur diseret impian

Aku seorang insan 
yang masih mencari identiti diri

Nukilan,
Akhi Masrawi.

Puisi 48

Puteri MIRC


Puteri MIRC
kepingin amat
mencari sahabat
dalam dunia senyap

Puteri MIRC
cantik sekali
menyusun kata-kata
dalam dailog bisunya

Puteri MIRC
sering kali jatuh cinta
pada sang putera
yang petah menyusun kata

Puteri MIRC
akhirnya sedar jua
cinta yang terjumpa
selalunya dusta

Nukilan
Akhi masrawi
02/Mei

 

Puisi 49

Kesan

Kesan itu 
semakin hilang
dimamah zaman
dan kian lenyap
dari kotak ingatan
seorang sejarahwan
yang pernah mengkaji
tetapi tidak 
bagi perajurit
yang pernah menempuh
sebuah perjuangan
di medan itu
kerana kesan itu
adalah nostalgia semalam
biar pudar 
ditelan zaman
namun tidak 
di kotak ingatan
insan berdarah satria
seperti seorang pejuang

Nukilan
Akhi Masrawi
5/02


Puisi 50

Cinta Hakiki

Hanya satu cinta
yang paling agung 
dari semua 
cinta yang ada
kerana sukar mendapatnya
tidak terjual di mana-mana
tetapi hanya boleh dipungut
dalam ubudiah terhadapNya
setelah mengikat ihsan 
dan keikhlasan
akan ditemui cinta hakiki
cinta Ilahi

Nukilan
Akhi Masrawi
2002 Mei

 

 Puisi Online           JURNAL


Berminat untuk hubungi aku sila emel kepada: [email protected]
© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA 1980-2002
~ untuk paparan 'cun' sila gunakan IE 800 x 600 & text size: medium ~

Hosted by www.Geocities.ws

Hosted by www.Geocities.ws