Puisi Online
Longgokan Puisi Empat
Puisi 31
Senyuman itu
Senyuman itu
bisa mencairkan hatiku
mencetus impak alpa
pada yang patut
aku ingati
Senyuman itu
amat bermakna
memberi pengertian
yang bukan sedikit
terhadap kehidupan
Senyuman itu
menduga jiwa
yang kian meronta
berpadu kasih
tika tiba musim bunga
Senyuman itu
kala ini
berteman duka
menuntut makna
yang tidak terungkap
dan aku masih
bertanya-tanya
tentang senyuman itu
nukilan,
akhi masrawi
Khalfa Masakin.
Puisi 32
Sebuah Puisi
Monolog Anak Rantau
Anak rantau ini
pernah menangis teresak-esak
kerana perpisahan
dengan keluarga tersayang
dan kampung halaman
tempat membuang duka
dan menitip rasa cinta
pada alam dan budi manusia
Anak rantau ini
pernah merasa terharu
dengan kekecewaan temannya
yang bungkam kalah
untuk sampai ke medan dakwah ini
Anak rantau ini
pernah menyuarakan metode pemikirannya
tapi tidak diendahkan oleh manusia
rakus dengan pilihannya
yang belum tentu diterima
Anak rantau ini
pernah mewakili suara rumpun mahasiswa
untuk menyatakan kebenaran
dan meminta kedilan ditegakkan
lantas kezaliman disirnakan
Anak rantau ini
juga pernah melakarkan episod suka duka
bersama teman-teman tercinta
berkongsi rasa
dan nilai hidup yang sama
tika tarbiyah dilontarkan dalam diri
dan qiyadah terpahat dalam tingkah
Namun...
Anak rantau ini kelu
dari seribu bahasa tutur
dari sejuta tingkah gaya
dari segala metafora
bila disuruh untuk menukar hala
arah perjuangan murni ini
hatta sehingga ianya dinobatkan juara
atau kalah di persimpangan
perjuangan mesti anak rantau ini teruskan
demi Islam tercinta
Nukilan,
Akhi Masrawi
KPP
Abas Akad
(Khas buat semua yang membaca)
Puisi 33
Salahkah aku?
Salahkah aku
kerana terlewat
melafazkan kalimah itu
sehingga rajukmu
menjadi benteng
cinta yang telah terbina
dan terpahat kukuh
lantas kau singkirkan
aku dari memenangi
gelora kasih
yang kian tercicir
nukilan,
akhi masrawi.
Puisi 34
Tangisan anak Palestin
Tangis sendu mereka
bagai terngiang di cuping telinga
dekat dan merintih manja
minta belai dan kasih mesra
Tangis anak Palestin itu
bukan cuma sekadar pengharapan
yang kini makin pudar
dimamah gelombang kesatuan yang kian hilang
Anak Palestin itu
menuntut harap
meminta belas
menagih sekota rasa
Bila Ibu ayah mereka kini syahid
Bila negara mereka dirobek rakus
Bila Hidup mereka kian pupus
Dan Pemimpin mereka kini semulusnya
mengikat janji
malara damai
yang tidak kunjung
kerana bangsa yang menggila itu
bukan pemberi simpati
dan rakusnya mereka meratah
tubuh-tubuh yang tidak bersalah
Bangkitlah laungan kesatuan
dalam perjuangan
dalam pengorbanan
dari segenap alam
Kita sebahagian dari mereka
mereka sebahagian dari kita
Hingga lontaran bebatu kerikil jalanan
menghambat 'Yahudi' durjana
dan Islam yang tercinta
pasti ternobat jua akhirnya
nukilan,
akhi masrawi.
akhir said
Puisi 35
Usia
Sesingkat usia
pinjaman Ilahi
gunakan sebaiknya
buat bekalan
di akhirat sana
kerana dunia
hanya persinggahan
yang tidak abadi
nukilan,
akhi masrawi.
Puisi 36
Nurhumaira 2
Kenapa hadirmu
menguji benak
dan menuntut sabar
dari diri ini?
nukilan,
akhi masrawi.
Puisi 37
Ayah 2
Ayah
Senyum yang pernah kau ukirkan
lalu ianya kau hadiahkan
buat anakmu di perantauan
hanyalah tinggal sebuah kenangan
Ayah
Marah yang pernah kau lahirkan
tika salah dan silap kulakukan
hanyalah memori serpihan
bukan tanda memarut kebencian
Ayah
Rotan yang kau sesekala kau hadiahkan
guna ajar terhadap kenakalan
dan tingkah yang tuntut perubahan
kebaikan anakmu di masa depan
Ayah
Diammu lebih aku kagumi
Sedang diam ibu aku geruni
Diammu memikirkan sesuatu
Diam ibu lesu membatu
Ayah
Aku masih ingat pesanmu
Sehingga tersisip di minda ingatan
pesanan tentang perjuangan
yang pasti akanku teruskan
nukilan,
akhi masrawi.
Khalfa Masakin.
Puisi 38
Al-Ayubi: Mujahid Abadi
(Buat Para Pejuang al-Quds)
Lembaran sejarah telah merakamkan
Detik-detik kegemilangan Islam
Memori sebuah perjuangan
Di persada sebuah kejayaan
Buat pejuang yang telah lama pergi
Berjuang membebaskan akidah
Para syuhada' di medan salibiyah
Meniggikan martabat agama tercinta
Itulah pejuang sejati
Dunia Islam terasa kehilangan
Sebuah nostalgia kepimpinan
Yang bersemangat juang
Dan ruh jihad terpendam
Di lubuk hati dan ingatan
Sultanul Islam wal muslimin
Gelaran yang telah dianugerahi
Namanya Salahuddin Al-ayubi
Ardul Mesir menjadi saksi
Al-Quds telah menyanjungi
sebuah perjuangan yang tulus murni
Barisan tentera yang diasuhnya
Berjiwa kental dan bersemangat waja
Ubudiah yang tinggi ruh jihad yang membara
Kerana Islam agama dibela
Dia tidak pernah kenal erti putus asa
Perjuangan salibiyah memakan masa
Hampir lamanya beberapa dasawarsa
Demi mebebaskan kota Baitul maqdis
Dari cengkaman musuh durjana
Mujahadahnya kerana Allah.
nukilan,
akhi masrawi
Puisi 39
Senja ini
Senja ini
tidak seperti senja kelmarin
meski langitnya masih jingga
dan episod gelapnya pasti tiba
namun masih punya beza
Senja ini
di padang pasir kontang
terpukul butir-butir debu berselerakan
diterbangkan bayu lembah kontang
dan ribut pasir yang menggila
dengan bahang panas
yang mencengkam sanubari seorang pejuang
Senja ini
amat beza dengan senja
kala di pantai lara melontar rasa
mencari ilham syair dan melankolika bahasa
berteman unggas dan camar
yang pulang melepas lelah
cengkerik mendayu alunan merdu
dan mentari berlabuh tenang
ke dasar lautan
langit jingganya yang merona cahaya
beransur menduga pasak rasa
seorang pencinta membuang duka
di pantai sepi bersama senjanya
Senja ini
biar tidak sama seperti senja lalu
biar tidak sesegar hembusan angin bayu
yang bertamu persis membawa berita
dan kisah seharum kasturi
namun senja ini
yang hanya berteman bahang kontang
meski senjanya masih jingga
hanya apa yang patut aku lakukan
menghampar sejadah
menyiap diri bertemu Ilahi
menghadapkan dosa
lalu kuangkat takbir
nawaitu solat tiga rakaat
mencari hidayat
nukilan,
akhi masrawi.
Puisi 40
Rajuk Semusim
Rajukmu
semusim lalu
masih segar dimindaku
tika tuturku
menyalahi tingak laku
Rajukmu
tidak aku hiraukan
kerana minda ingatan
hanya teringatkan
erti persahabatan
Rajukmu
berakhir sudah
tika aku nyatakan
pinta maafku
terhadap dirimu
Namun menggusarkan
bila ku tanya sebab rajukmu
kau menjawab soalanku
lantaran cintaku tiada padamu
sedang cintamu berputik padaku
dan kini kau menerimaku
sedang aku masih kelu
mencari sesuatu
salahkah aku???
nukilan,
akhi masrawi
(khas buat yang memahami)
Berminat untuk hubungi aku sila
emel kepada: [email protected]
© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA 1980-2002
~ untuk paparan 'cun' sila gunakan IE 800 x 600 & text size: medium ~