Cerpen Online
Koleksi Himpunan Karya-karya Terpilih
TAHUN DEPAN DI JERUSALEM
OLEH: AZMAN HUSSIN
EXODUS? Engkau tahu, sedari dulu kami bangsa buangan? Bangsa exodus. Bangsa
penghijrah. Seluruh negara dunia dilimpahi migran anak-anak Israel. Meski rakyat
dunia membuang kami, tiada siapa boleh nafikan kami warganegara dunia! Kami
bertebaran seluruh dunia. Kami wujud di mana-mana. Jerusalem, aku mimpi suatu
masa nanti kami semua berkampung semula di sana. Hidup aman sejahtera di situ.
Kita bertemu di sentral kota KL, aku ingati lagi saat-saat dramatik itu, hingga
kala kau mengakui jatuh hati padaku, dan aku menghancurkan semua khayalan
indahmu itu. Saat-saat krusial itu aku dikirim merakam, melapor, dan
menganalisis krisis sosial, ekonomi dan politik di sini. Penghujung 1998, KL
kala itu marak dibakar api. KL sedang sakit. KL dikhabarkan bakal lebur. Krisis
Dr. Mahathir-Anwar Ibrahim memuncak. Perusuh, pengkhianat, desprado politik,
demagog, anarkis, dan oportunis berkeliaran sepanjang masa di sini. Aku juga
manusia oportunis itu. Dan negara jiranmu sudah berantakan. Suharto tersungkur
jatuh.
Entah kerana bibirku, yang mungil bisikmu, entah cuma kerana gejolak nafsu
buasmu, engkau menyukai diriku. Tukasmu, aku perempuan berjiwa besar dan jelita.
Berjiwa besar kerana aku pengembara. Cantik kerana mataku. Kau langsung
memelukku, melafaz kata-kata ortodoks ini; I love you! Kala kau menyelongkar
tubuhku malam-malam itu, tahulah aku, kau memang sudah hiper kronik dimabuk
cinta. Cinta, cinta, cinta, kerananya engkau sasau dan nanar. Begitu cinta
mengetuk pintu hatimu, aku jadi rimas dan menyampah. Aku bencikan manusia
sentimental. Engkau lupa itulah kelebihanku dan kekuranganmu.
Berlagak seperti pemikir romantik, kaumohon aku tafsirkan falsafah cinta. Aku
fikir, cinta itu cuma lamunan manusia sepi, cinta utopia, cinta barang mewah.
Aku ini bangsa buangan; diseksa Hitler gila, diusir, dicurigai di mana-mana. Aku
tidak ada apa-apa. Kerana itu, aku harus menghadiahkan sesuatu pada bangsaku.
Itu cintaku. Pedulilah jika kau mati kerana cintaku palsu, aku hidup demi
perjuangan agung anak-anak Israel. Cinta tiada apa-apa erti sangat. Demi Yahweh,
tuhan anak-anak Israel, aku telah mengangkat sumpah. Cinta agung menunggu. Hidup
untuk bercinta dan bersedih, kaucarilah perempuan lain.
Pertama kali kaumenegurku, aku ingat lagi. Aku deskripsikan diriku seorang
pengembara. Aku suka melihat dunia.
Traveler?
Ya, pengembara. Aku tak kekal di suatu titik, aku mesti mengalir terus. Dunia
ini laluan nenek moyang kami sejak zaman Musa membelah Laut Merah, jelasku.
Kemudian kaubertanya lagi, siapa sebenarnya aku. Kataku, aku kelahiran Jerman.
Di mana?
Sama seperti Karl Marx, di Trier, Sungai Moselle, Prussia.
Kau bersemangat kala mendengar nama arkitek dan pemaju ideologi komunis itu.
Di sana, tanyamu, adakah Nazi masih ada pengaruh?
Tidak, tapi sesekali rusuhan Neo-Nazi terjadi, meski si gila itu sudah lama
mampus. Kau tahu, nenekku korban Holocaust celaka? Steven Spielberg, kau tentu
tahu siapa dia. Semua kisah tragik ini terakam dalam Schindler's List.
Riak wajahmu kelihatan pura-pura simpati.
Tak mengapa, kerana Holocaust Eropah moden berasa berdosa, dan turut berusaha
mengembalikan bumi Canaan. Bukankah kau tahu, kami mesti mengeksploitasi setiap
kerugian?
Oh, kautahu semalam aku mimpi lagi anggur masam Bukit Zion?
Engkau mudah bosan mendengar mimpi-mimpiku. Engkau lalu berpaling, dan mengajak
kita bertukar fikiran. Kau sebutkan Karl Marx, Sigmund Freud, hingga George
Soros. Bertukar pengalaman keras dan lembut kehidupan. Kemudian bertukar merasai
kelembutan dan kehangatan tubuh, lalu bertukarlah segalanya.
Esok dan esoknya, kita membahas persoalan politik, sosial, dan ekonomi. Engkau
manusia radikal. Engkau akui sangat membenci pemerintah negaramu, yang kaugelar
diktator dan pemeras darah rakyat itu. Kauimpikan suatu revolusi makbul di sini.
Kau mengukuhkan impian menjadi pejuang agung bangsamu. Kalau boleh persis Che
Guevara atau Jose Rizal. Kaumahu bangunkan kerajaan utopia di sini.
Hujah-hujahmu sarat fikrah Marxis.
Di sini, dakwamu, kekayaan tidak diagih sama rata, tak dibahagi sama rasa. Di
sini korupsi, kroni dan koloni, mencengkam. Lalu engkau berkhayal mewarisi
perjuangan tokoh-tokoh syuhada silam. Engkau mahu berjihad melawan kekejaman dan
penindasan. Kauimpikan suatu revolusi agung. Kau mimpi engkaulah wira
penggeraknya. Kaulah heronya. Kau rela mati syahid kerananya.
Aku ketawa, engkau akan hancur berderai dengan perjuanganmu itu!
Sewaktu negara diamuk kebangkitan gerakan reformasi, engkau turut sibuk turun ke
jalan-jalan, memimpin rakyat jelata, menuntut pimpinan tertinggi negara turun.
Engkau merancang gulingkan kerajaan, bangunkan negara baru. Tidakkah engkau
terjumpa buku The Beautiful Ones Are Not Yet Born, karya Ayi Kwei Armah?
Mesejnya begini; Nasibnya serupa! Selepas Nkrumah tumbang di Ghana, naiklah
diktator kejam lain, malah lebih kejam lagi. Tiada apa reformasi di Ghana
selepas rampasan kuasa tentera itu. Situasi makin buruk, makin kacau, makin
anarki. Apa manusia boleh buat dalam huru-hara? Engkau tak peduli, engkau bangun
dan terus janakan energi dan student power mahasiswa dalam proses menggulingkan
kerajaan. Negara jadi huru-hara, sedang sekarang engkau enak di sini, tidur
denganku. Di mana perjuanganmu?
Kala gerakan reformasi padam apinya, kau merekrut anak-anak muda kalangan
mahasiswa, membentuk satu gerakan militan. Kau mimpi rampasan kuasa berdarah
golongan anak muda seperti Filipina atau Indonesia.
Kau lihat di sana kini, apa sudah jadi?
Kautahu? Bangsaku tentu senyum, kerana engkau turut menjayakan utopia kami;
hancurkan seluruh Goyim, demi persediaan Raja Zionis memerintah empayar dunia.
Kau lupa, anarki memberi keuntungan percuma pada kami.
Kala aku menunjukkan buah dadaku yang gebu, punggungku yang pejal, bibirku yang
mungil, engkau menyerah kalah. Engkau persis saudagar-saudagar minyak Arab,
mudah lemas dirangkul perempuan lacur, mudah lupa segalanya.
Kala kau melepaskan kutang terakhirku malam itu, kuperingatkan, aku ini Yahudi.
Kautersentak! Air mukamu tampak keruh. Dahimu dipercik peluh hangat. Yahudi?
Yahudi, Yahudi, Yahudi, kerana kerakusan nafsu, kau tak peduli nenek moyang
akulah subjek kutukan kitab peganganmu. Surah al-Baqarah sarat cerita kami.
Yahudi tak boleh dipercayai. Yahudi pengkhianat nabi. Yahudi tak
bertanggungjawab. Yahudi lintah darat. Yahudi berhati batu. Yahudi pembohong
besar. Yahudi buta hati. Yahudi pengubah suai kitab Bible.
Sewaktu kau di kemuncak aku bersumpah: hancur Goyim!
Engkau angkuh mengakui dirimu pengerusi sebuah kelab kiri berbau sosialis di
universitimu, dan aku percaya, dalam komunitimu menyusup manusia deviant, split
personality, eskapisme, inferiority complex, skizofrenia. Engkau mendakwa
pejuang rakyat terbanyak tetapi engkau bergaya dan berlagak seperti kaum elit -
berseluar jenama levi Strauss, berkasut kulit, memakai perfume import ciptaan
kami, yang harganya dibayar titik peluh orang tuamu di kampung. Hello, aku fikir,
kalau revolusimu itu terlaksana, engkaulah manusia pertama harus diadili. Aku
percaya semua perjuanganmu hanyalah suatu eskapisme dan utopia orang muda.
Pejuang seperti engkaulah yang akan pertama sekali munafik jika diberikan
kekayaan dan kemewahan.
Suatu saat kauagungkan ideologi komunis-sosialis-anarkis. Itu produk percuma
rekaan kami untuk pemuda dilanda krisis identiti, dan dengan dos suntikan itu,
mereka segera mereput. Mana mungkin slogan Freedom-Equality-Fraternity seperti
kaulaungkan itu terjadi? Kamilah pencetus ungkapan ideal dan tak masuk akal itu.
Argh, dalam protokol ke-9, perkara ini sahih dinukil Dr. Theodor Herzl, di
Basle, pada Kongres Zionis pertama. Kau tahu bila? Itu lebih seratus tahun lalu.
Katamu, pengajianmu selesai tahun depan. Menceburi jurusan sains politik,
menelaah buku dan pemikiran Harold J. Laski, pensyarah London School of
Economics and Political Science, engkau khayal dirimu hebat. Hei, engkau tidak
tahu, Harold J. Laski ahli jawatankuasa Fabian, satu cabang Zionis. Dia arkitek
Zionis, perangka pemikiran politik dunia. Kemudian kautekuni kitab The Social
Contract, Jean Jacques Rousseau, penganjur idea abad kelapan belas, idea
kesamaan manusia menurut lumrah alam. Kautahu, siapa meniup inspirasi kepada
Jean Rousseau, yang ideanya itu meletupkan bom revolusi di Perancis, tahun 1789?
Dr. Kallen, seorang Yahudi. Dan Revolusi Perancis suatu anugerah besar. Revolusi
itu mengiktiraf kebebasan sivil kaum Yahudi di Eropah Barat. Kau pelajari juga
fikrah Dean Roscoe Pound, seorang Yahudi penganjur liberalisme.
Kaughairah kala kusebut nama Karl Marx, Engels, Lenin, Stalin. Kauimpikan
kebangkitan suatu gerakan perjuangan rakyat teramai seperti anjuran mereka.
Hello, kau tahu siapa mereka? Mereka semua ejen Yahudi. Mereka menyiapkan
aturcara kebangkitan raja kuku besi berdarah Zionis.
Kami eksport Bob Dylan, Steven Spielberg, Stanley Kubrick, Karl Marx, Salem,
Levi Strauss, Harison Ford, Sigmund Freud, Samuel Beckett ke seluruh dunia.
Kesannya merata. Di Central Market, kita berjalan-jalan, dan aku senyum kala
terpandang idol Karl Marx pada baju seorang anak muda gelandangan. Di situ
tertulis; religion is opium. Di lehernya tergantung rantai menyangkut medal
bertulis: Anti-Christ. Kau tahu apa itu anti-Christ? Itulah Raja Zionis! Di
tandas awam aku lihat grafiti; God is no more! Kita sama-sama lihat anak-anak
muda bangsamu kritikal dijangkiti virus sosial - dadah, melepak, mencuri,
menganggur, bergaduh, dan seks bebas.
Engkau cuba pengaruhi aku menyelami agamamu, dan kaugambarkan sudut kebenaran
dan keluhuran Islam. Kita berbahas, jalannya buntu dan sesak. Bagaimana aku mahu
mengikutmu? Islam? Oh, aku bencikan mereka, mereka menjarah bumi Canaan tercinta
kami.
Aku lalu teringatkan khutbah rabai besar kami; penganut Islam jumud, gila dunia,
hidup khayal, mabuk kuasa.
Hei, boleh mampus mereka semua, aku menyumpah.
Kau sebenarnya bodoh. Kami, anak-anak Israel, sejak lama menguasai dunia ini.
Kaulihat di mana-mana: semuanya Yahudi. Yahudi penguasa sebenar dunia ini. Kau
tidak tahu, kami sedar kami tiada apa-apa. Kerana itu, kami mesti kuat. Misi
Karl Marx, Nietzsche, Darwin, Machiaveli semuanya diilham dan disokong kami demi
menjahanamkan puak Goyim.
Karl Marx? Katamu, Karl Marx idola agungmu. Hei, Karl Marx Yahudi totok,
dibentuk menjadi arkitek revolusi agung di Rusia. Bukankah Karl Marx sahabat
baik Jacob? Dan Jacob itu ahli Zionis kami. Dan kau agungkannya seperti nabi, oh
betapa tololnya kau.
Aku masih ingati benar ikrarku musim lalu; bahawa kami, cawangan pembangun bebas,
Freemason, harus segera menjayakan gagasan Zionis sedunia.
Kautahu, dalam protokol ke-6 kami tertulis begini; Tidak lama lagi kita akan
mewujudkan monopoli-monopoli besar, empayar kekayaan, yang menjadi pergantungan
kuasa-kuasa besar bukan Yahudi hingga ke suatu tahap mereka akan runtuh
ditenggelami segala hutang-piutang, selepas berlakunya malapetaka politik.
Demi mencetuskan malapetaka politik, kami hasut, taja, dan lobi
politikus-politikus junior kemaruk kuasa negara Goyim. Kamal Attartuk contoh
mudah! Kami hasut politikus muda mereka. Kami tanam dakyah dan propaganda dalam
minda golongan muda dan bakal negarawan Goyim. Kami anjur konflik kelas, kami
anjur pertentangan generasi. Kami tiup slogan besar yang sebenarnya kosong. Di
kalangan kesatuan pekerja, kami gerakkan ideologi sosialis, khayalkan mereka
dengan minuman keras, usulkan mereka mendesak kenaikan gaji, dan kami di sini
naikkan harga barang.
Kami juga mencetuskan krisis ekonomi negara Goyim. Dokumen kedua puluh satu kami
menyebut: Krisis ekonomi negara Goyim yang dihasilkan kita, tidak lain, adalah
melalui teknik penarikan wang dari edaran.
George Soros sudahpun melakukan eksperimennya di Asia.
Duit sumber masalah manusia. Kerana lapar dan tiada pekerjaan, kekacauan akan
mengambil tempat. Kau sudah tentu melihat penangannya di negara Asia. Semuanya
berantakan, terpecah-belah habis. Indonesia, Filipina, dan Thailand. Malaysia,
negaramu, hampir lumpuh angkara krisis ekonomi, melarat kepada politik. Malaysia
nyaris ditundukkan IMF. Tidakkah kau membaca tulisan Dr. Mahathir Mohamad,
Krisis Matawang Asia? Di dalamnya ada semuanya.
Apa kau lakukan untuk bangsa, negara, agamamu?
Kau hanya bercakap besar, hingga kau tak tahu apa kau ucapkan.
Di Sanhedrin, satu ratus tahun sekali pendeta-pendeta agung kami berkumpul atas
makam Rabai Besar Simeon-ben-Ihuda. Kami bincangkan kejayaan dan pelan masa
depan bangsa kami.
Kau tahu, bukan? Setiap kali berdoa, kami berikrar bertemu tahun hadapan di
Jerusalem. Malam-malamku dibayangi mimpi-mimpi Jerusalem itu.
Bangsa kami hina, disisih, dihalau, dibunuh, dan diseksa. Bumi Canaan kami
dijarah. Meski di mana kami berada dan dipencilkan, harapan kami satu: tahun
hadapan di Jerusalem.
Ya, bertemu tahun hadapan di Jerusalem!
Kau tentu teraba-raba di mana aku kala ini. Kau tak mungkin menyentuhi tubuhku
lagi. Bukankah sudah kukatakan, engkau cuma tempat persinggahan? Engkau seperti
kota Singapura, Bangkok, Jakarta, Tokyo, atau kotaraya Asia lain musim-musim
lalu! Semuanya transit.
Selamat tinggal, pejuang gila. Selamat tinggal, reformis sasau. Selamat tinggal,
idealis bingung. Selamat tinggal, pelamun nanar. Selamat tinggal, nasionalis
sakit jiwa. Selamat tinggal, pemikir sewel. Selamat tinggal, radikalis bahlul.
Hei, pesanku, berjuang dan berjihadlah lawan hawa nafsu serakahmu terlebih
dahulu.
Bukankah nabimu, kala pulang dari medan perang Badar, berkata: Kita baru saja
kembali dari peperangan kecil? Jihad paling utama jihad melawan hawa nafsu.
Usah pedulikan aku. Aku sudah mati, fikirlah begitu, jika kau mahu.
Aku kini menghala ke Jerusalem
Kembali ke JURNAL sila klik Respon/Komen
© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA 1980-2002
Berminat untuk hubungi aku sila emel kepada: [email protected]
~ untuk paparan terbaik sila gunakan IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~