Cerpen Online

Koleksi Himpunan Karya-karya Terpilih


 

KL DI ATAS BANTAL

 

OLEH: FAISAL TEHRANI


KL engkau lesbian!

Aku percaya gadis terpelajar sepertimu tentu pernah mendengar kisah Lesbos, pulau di mana Sappho pencinta kaum wanita itu tinggal. KL, engkau jangan malu mengakui lesbian. Cintakan wanita bukan apa-apa sangat. Kau kenal Lillian Faderman? Cari bukunya Surpassing The Love Of Men. Katanya, cinta sesama wanita telah lama wujud tetapi hanya kini dimomok-momokkan setelah kelihatan wanita mencapai pelbagai kejayaan dalam ekonomi, politik, sosial, budaya argh…apa sahaja. Aku setiap malam, membayangi engkau hadir di tepian katilku, dengan wajah manis penuh menyimpan keinginan. 

B.

Capetillo,

Memang aku pegun lama membaca isi e-melmu. Entah mengapa aku diwabaki lucu lantas dijangkiti ketawa yang tidak lelah. Aku memang gemar dirasai dan diratah lelaki. Sejak sunti dan baru mengenal dua tiga, malahan puluhan lelaki, aku tahu daging mereka rupa-rupanya berbeda.

Aku dapat menghidu siapa Capetillo sejak engkau memperkenalkan diri di George Town (dan mulai menyelongkar lapis isi hatimu) secara waspada tetapi pantas sekali.

Biar kuulang semula kata introduksimu: Saya Jada, tapi saya senangi nama yang kawan-kawan beri - Luisa Capetillo - aku senyum sendiri. Aku wanita tidak pernah letih membaca. Sedari Luisa Capetillo itu nama sebenar seorang jurnalis dari Puerto Rico, pelapor untuk majalah kesatuan sekerja Amerika Workers Union, dan wanita pertama membuat riuh apabila memakai seluar di khalayak ramai. Tahun itu tahun berapa ya, tahun 1910, atau sekitar itu. Aku kurang pasti. Kemudian engkau merengek mahu ikuti aku ke Kuala Lumpur. 

Engkau gelari aku KL saat itu, Kathleen Linus (KL) dan kita merayau di Petaling Street, berlegar di Pasar Seni sengaja memastikan cerita rakan-rakan pengembara lain, tentang mata-mata jahat mengekori punggung (tanpa seluar dalam) atau dada penuh (tanpa coli atau bra) kita. Atau mereka memang anti manusia dari barat seperti kita, khabarnya nama seperti George Soros tidak disukai. Dan tiba-tiba dicengkam ragu, ada orang membisikkan Anwar Ibrahim ditangkap polis, entah apa akan berlaku. Kita tergesa-gesa pulang dan di tengah-tengah kecoh berani mengenai persoalan seksualiti yang terdedah (atau sengaja didedah), di bawah kelangkang masyarakat Malaysia yang asalnya amat tertutup oleh perkara seumpama ini, engkau bisikkan, bolehkah aku menyeluk hingga ke kehormatanmu? Aku menghela nafas, betapa lesbiannya KL…

Di tengah heboh rasa percaya atau tidak rakyat Malaysia samada homoseksualiti itu benar atau tidak, engkau dan aku (aku terutamanya) mencuba sesuatu yang baru. Lesbianism!

Perlakuan lesbian di Kuala Lumpur, KL! Tilam di Youth Centre boleh bercerita KL, bantal di sana boleh bersuara, KL! Hahhhh, aku mengerang mengenang engkau…KL dan cerita lesbian di Kuala Lumpur. Apa lagi yang taboo, kalau begitu?

C.

KL,

Engkau akui engkau Lesbian, KL?

Ini cerita aku, kau tahu KL, menjadi perempuan normal meladeni daging lelaki dan sering dipukuli atau jadi mangsa belasahan mereka, membuat aku menganggap seks berlainan jenis seperti kekejaman seorang diktator ke atas rakyatnya. Setiap keadilan dan kebebasan dinafi berulang-ulang. Aku rasai dipenjara begitu, menjadi perempuan biasa dan normal ibarat ditahan tanpa bicara dan diganyang hingga lebam. Dan bila aku mencuba dan menyedari betapa hebatnya kesedapan lesbian, aku tahu dan rasai semacam satu kemerdekaan. Menjadi lesbian aku rasai merdeka, rasai semacam demokrasi tulen, betul, bersama lelaki kau akan rasai tirani - kuku besi! Justeru aku tidak malu mengakui lesbian KL…kerana bersama lelaki bererti kita membeloti pendirian. Menjalin hubungan dengan lelaki seperti menjalin hubungan dengan diktatorisme.

Benarlah kata Faderman, mereka bimbangkan kuasa perempuan yang kian memekar indah dalam setiap yang diceburi, justeru wanita yang berhenti mencintai lelaki dan beralih perhatian kepada sesama jenis dianggap lesbian. Label ciptaan lelaki memang mudah tanpa bukti, label ciptaan lelaki yang dahagakan politik seks jenis rakus. Untuk mempertahankan kuasa lelaki, sexologists ini sanggup bekerjasama dan menuduh kita lesbian. Bayangkan KL, untuk kekal berkuasa dalam dunia gender, mereka sanggup menuduh orang lesbian! Politik kotor lelaki, KL!

D

Sayangku,

Aku panas semalaman. Barangkali aku mengingat semula episod-episod erotik kita di kota Kuala Lumpur, yang waktu itu sedang panas oleh rusuhan pengikut-pengikut bekas Timbalan Perdana Menteri mereka. Aku bagai dikejar olehmu, digomoli dan diciumi sedang diluar polis sedang mengusir, menangkap dan mempertahankan apa yang mereka katakan sebagai undang-undang.

Baringlah di atas tilam dan bantalku ini. Aku mahu kehangatan nafasmu dekat denganku. Supaya setiap gelombang ghairah dan debar berahi yang berombak dalam dada, yang dihitung pada benak dan diterjemah pada tindakan erotik kita nanti adalah khayalan yang benar-benar aku pastikan realitinya.

Aku mencatat beberapa bait puisi (amaran: belum usai sepenuhnya) tentang kuasa lelaki di luar yang enggan mengiktiraf kita, lesbianism atau demokrasi tulen (seperti katamu terdahulu):

Sialan hentikan/sampai kapan engkau akan setubuhi kami begini?/engkau pukuli kami hingga linglung/engkau terjahi kami ke dunia mahing ini/Sekarang sudah belasan tahun/engkau mengasahi kuku kuasa/benamkan pada daging-daging/paha, dada, pipi dan buntut/bagaimana, engkau masih boleh/tersenyum biasa?

Maduku, kau sukai? Kita sama-sama akan bergerak menuntut perubahan, lesbianism bukan apa-apa…lesbianism adalah demokrasi pati yang mereka tutup pintu-pintu kamarnya pada beberapa keadaan. Kita akan terus perjuangkan lesbianism kerana dunia lelaki adalah dunia politik jelek dan jahat. Tidak mengasihani, dunia mereka adalah dunia mementingkan diri dan hanya melebihkan kroni - yakni kaum LELAKI! Ayuh mari hapuskan kuasa tirani…

E

KL buah hatiku,

Aku gemari surat terakhirmu. Nikmat sangat dan tidak dapat diimejkan dengan kalimat dan huruf perkataan. Hanya ada dengusan nafas dan getar di jantung, cuma mampu mengeluh ahh ahh ahh ahh ahh ahh ahh ahh… Aku lakukan itu sambil memasang pita lagu-lagu cinta Itali nyanyian Luciano Pavarotti sekuat-kuat hati. Malam jalang ini seperti malam-malam ghairah lalu, akanku baringkan suratmu yang selembar itu, dengan coret tulisan bersimpul condong ke kiri di atas bantal. Kemudian akan kubayangkan suratmu itu engkaulah yang berbaring di sisi, menikmati seluruh tubuhku yang mongel. Aku akan mengusap kujur anggota badanku, membiarkan jari-jemari merayap ke bucu-bucu yang engkau cintai. Barangkali aku akan cepat terlelap dan kemudian wajahku menindih helai-helai kertas warkah darimu, biar keronyok tidak mengapa, kerana aku puas. Tatkala itu malam sudah gigil mahu ejakulasi, malam jauh belayar ke tengah menjarak jauh dari pelabuhan untuk mencari harta karun entah di mana. Waktu itu gelita akan datang menyetubuhiku dan menghamilkan mimpi-mimpi erotik.

Masihkah engkau kenangi bagaimana kita berpimpinan tangan minta orang tempatan menggambari kita di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, tiba-tiba manusia bertempiaran lari kerana perhimpunan aman dirosakkan seorang dua manusia dalang. Kita pengembara tidak menyangka keamanan boleh bertukar menjadi keganasan dan KL huru-hara…engkau KL huru-hara dalam jiwa.

Kita lalu tidak peduli, kita jalan iseng-iseng di KLCC. Kita dengari sambil tangan terus bergenggaman, mengecapi muzik jaz indah dari grup KLCC Jazz Quartet yang berpusingan seluruh tingkat di Suria menghiburkan pengunjung-pengunjung datang. Dan khabar angin pun kencang, orang luar cepat keluar…KL bakal menyaksikan drama politik bersejarah.

KL, ingat jangan malu akui diri lesbian. Kerana lesbianism adalah demokrasi tulen. Lesbianism adalah hak-hak yang ditutup ibarat hak-hak asasi manusia dan keadilan dinafikan di negara-negara dunia ketiga. Aku cintakan kau KL, mestikah aku beritahu lagi?

F

Capetillo,

Cukup sudah kau melafazkan kata-kata cinta. Aku tahu dan aku percaya. Tetapi lesbianism di sini adalah taboo dan terlarang. Mereka tidak sungguh-sungguh memahami apa itu demokrasi dan senang dengan diktatorisme asalkan hidup seharian mereka tidak diganggu. Untuk apa mereka peduli hak-hak untuk melakukan hubungan seks asalkan masih bisa mendapatkan makanan untuk diisi ke dalam tembolok setiap pagi, tengahari dan malam. Untuk apa soalkan demokrasi atau lesbianism kalau periuk nasi lebih penting dan utama? Benarlah tirani lelaki menjadikan manusia di bawah pengamal diktator seperti binatang yang dicucuk hidungnya. Lesbianism dihalang di sini. Demokrasi tiada lesbianism tiada, kita tidak dibenarkan…

G

KL,

Justeru kerana lesbianism tidak sebebas itu, harus jua kita zahirkan secara rahsia…faham?

H Capetillo sayangku,

Rahsia?

Bagaimanakah kita akan melakukan lesbianism secara rahsia, sedang masyarakat (lelaki!) mengutuki dan tidak memahami. Kita juga jauh berseberang benua dan lautan?

I

KL,

Kerana kita dinafikan berlesbian semau-maunya, aku tidak malu memberitahu padamu kekasihku…aku masturbasi!

J

Capetillo,

Aku juga. Gerakan subversif seperti onani ini sahajalah cara untuk kita memuaskan apa yang pihak diktatorial halangkan. Ia senyap tetapi sesekali berkesan untuk melunturkan kekejaman tirani.

K

KL,

Aku baringkan engkau di atas bantal dan membayangkan mimpi erotik kita. Ingat kita harus terus berjuang tanpa berhenti dan lelah putus asa. Kerana sayang, lesbianism adalah demokrasi tulen dan lelaki yang mengecami kita hanyalah pihak berkuasa cemburu dan amat pentingkan

diri!

L

Capetillo,

Datangilah aku dan mainkanlah urat dan kamarku secara rahsia… Jangan khuatir bantal dan tilam ini bukan bantal dan tilam sakti, ia tidak boleh berkata-kata kalau-kalau kita dihadapkan ke mahkamah kanggaru lelaki kelak! Ayuh uli dan gomolilah aku dan runtuhkan benteng

diktatorisme.


 

 

Kembali ke JURNAL                                                    sila klik Respon/Komen



© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA 1980-2002
Berminat untuk hubungi aku sila emel kepada: [email protected]
~ untuk paparan terbaik sila gunakan IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~

Hosted by www.Geocities.ws

1