Cerpen Online
Koleksi Himpunan Karya-karya Terpilih
PADA SUATU KETIKA DI HUJUNG MADINI
OLEH: MOHAMAS
Seorang lelaki sedang berjalan
terbongkok-bongkok menuju ke rumah Penghulu Abdul Majid pada suatu malam dalam
hujan lebat dan ribut kencang. Berpakaian daun nipah yang dijalin dengan urat
halus rotan segara dan berterendak mengkuang paya sebagai baju hujan, lelaki itu
mengatur langkah bongkok penuh yakin sehingga tiba di kaki tangga rumah Penghulu
Kampung Batu Sawar itu. Kemudian dia mengetuk pintu bertalu-talu.
"Siapa itu?"
"Saya musafir yang ingin tumpang berteduh, Tuk Penghulu."
Daun pintu terkuak. Penghulu Abdul Majid muncul di muka pintu. Wajahnya yang
tenang berubah serta-merta.
"Ishak? Kaukah Tun Ishak?"
"Ya, saya Tun Ishak. Assalamualaikum, bapak," jawab lelaki itu sambil
menanggalkan terendaknya. Wajah tampannya menghadiahkan sebuah senyuman.
"Waalaikumussalam. Masuklah, Ishak. Hujan semakin lebat. Nanti kau demam."
Tun Ishak masuk ke dalam rumah bapa mertuanya itu.
"Kenapa kau datang dalam keadaan cuaca begini?"
"Sahabat saya, Temenggung Daeng Abdul Rahman telah mengisytiharkan perang
terhadap pasukan saya. Dia menghantar Daeng Ibrahim agar memburu kepala saya
untuk dipersembahkan kepada Raffles yang sedang beraja di Singapura sekarang.
Pasukan saya telah diserang hendap di Ulu Sedili setelah berpindah dari Tanjung
Penawar. Mereka bergabung dengan askar-askar Pahang. Kami tidak mampu bertahan
lama. Saya arahkan orang-orang saya supaya berundur ke tempat baru yang akan
menjadi markas kami."
"Bagaimana keadaan Kesumawati?" Tanya Ibu Kuntum, risau akan nasib anak
perempuannya.
"Kesuma sedang hamil dua purnama. Saya minta dia pergi ke Kota Lingga untuk
mengambil anak saya, Tun Mamat, daripada Syed Zainal dan membawanya balik ke
kampung asal saya, Kampung Makam Duyong di Karimun Kecil. Ibu jangan risau.
Kesuma ditemani Wan Belitung, Jaka Pirani, Ratna Ayu dan Hartini. Saya telah
minta mereka agar berkampung di sana dan tunggu sehingga saya pulang."
Ibu Kuntum menarik nafas lega.
"Ke mana tujuan kau selepas ini, Ishak?"
"Ampun maaf, bapak. Saya tidak boleh beritahu kerana ia melibatkan siasah saya.
Tujuan saya singgah sebentar di Batu Sawar bukan untuk membincangkan siasah
perang dengan bapak, tetapi untuk memberitahu bapak dan ibu akan hal keadaan
Kesumawati. Saya ingin dia berkampung di Makam Duyong dan beranak cucu di sana.
Jika berlaku sesuatu kejadian ke atas diri saya, moga zuriat bapak daripada
titisan saya akan berkunjung ke Batu Sawar untuk mencari sanak saudaranya."
"Kau bercakap seolah-olah akan pergi ke perang yang penghabisan, Ishak."
"Saya tidak berperang dengan Temenggung. Saya berperang dengan Inggeris dan
Belanda yang begitu bersungguh untuk merampas kuasa politik dan ekonomi peribumi
alam Melayu ini. Temenggung hanya menjadi alat Inggeris bila dia sedar yang
Sultan Abdul Rahman di Lingga semakin lemah dan mula menyerah kepada Belanda.
Sultan Husain yang beraja di Singapura pula bukan sultan yang sebenar kerana dia
dilantik oleh Inggeris dan bukan dimasyhurkan oleh pembesar yang mewakili rakyat
jelata. Bapak, jangankan Temenggung, Sultan pun akan saya pancung jika dia
sanggup menjadi alat kuasa asing yang ingin melemahkan kuasa Melayu di alamnya
sendiri."
"Awas mulutmu, Ishak. Nanti ada telinga yang mendengar."
"Penyuluh Inggeris dan Temenggung berada di mana-mana, bapak. Saya tidak takut
dengan mereka. Bapak, kita sekarang berada di hujung zaman pemerintahan raja
berdarah Bendahara Tun Habib Saujana. Kerajaan Lingga pula sudah terbelah dua.
Sultan Abdul Rahman telah mengizinkan Belanda menaikkan benderanya di Tanjung
Pinang. Abangnya, Sultan Husain telah membenarkan Inggeris mengibarkan
benderanya di Singapura. Apa makna semua ini, bapak? Saya sebagai rakyat jajahan
Johor ini tidak tergamak melihat orang-orang asing merampas tanah air milik kita.
Sebab itu saya bangkit memimpin sahabat-sahabat saya dan sekutu-sekutu
perniagaan saya supaya maju memerangi kuasa-kuasa asing itu. Ini negeri kita,
ini tanah kita, ini laut kita. Saya tidak berniat untuk menjadi raja. Saya hanya
ingin rakyat negeri ini insaf bahawa raja telah tidak berdaya dan pemimpin baru
mesti diangkat untuk membela nasib mereka."
"Engkau bercita-cita tinggi, Ishak. Bapak tidak mampu menyokong perjuanganmu
dengan kudrat bapak sekarang. Namun, bapak akan membakar semangat pemuda-pemudi
kampung ini supaya bercita-cita untuk membela nasib bangsa seperti yang kau
selalu ceritakan kepada mereka semasa mula-mula kau sampai di kampung ini dulu."
"Kata-kata bapak akan meneguhkan jiwa dan pendirian saya. Bapaklah bapa saya dan
Ibu Kuntumlah ibu saya. Saya mohon restu bapak dan ibu untuk ke medan perang
pada pagi esok sebelum matahari terbit."
"Pergilah Ishak, bapak dan Ibu Kuntum merestui perjuanganmu."
Pada keesokannya, setelah mengimamkan solat subuh berjemaah dan memohon izin,
Tun Ishak meninggalkan Batu Sawar untuk menyertai pengikut-pengikutnya yang
sedang berkubu di Tanjung Puteri.
Tun Ishak berjalan menyusuri tebing Sungai Johor.
Dia terkenang peristiwa Kampung Makam Duyong yang telah dibedil oleh Belanda
pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud III kerana baginda enggan bekerjasama
dengan Belanda untuk memerangi lanun-lanun yang bermaharajalela merompak
kapal-kapal dagang negara Barat di Kepulauan Melayu khususnya di Selat Melaka.
Di dalam serangan itu, isterinya terbunuh, manakala anak lelaki tunggalnya
terselamat. Dia sendiri telah ditangkap oleh askar-askar Belanda dan dibawa ke
atas kapal untuk disoalsiasat oleh Kapten Anton Van Breock. Dia tidak dapat
menjawab pertanyaan Kapten Van Breock kerana tidak faham Bahasa Belanda,
menyebabkan pegawai Belanda itu marah dan menikam tulang belikatnya dengan
kerisnya sendiri. Dia jatuh pengsan dan dicampak ke dalam laut.
Dia terdampar di pantai Kampung Makam Duyong dan diselamatkan oleh orang-orang
kampung. Bila terjaga dari pengsan, dia tidak dapat berdiri tegak kerana masin
air laut telah memakan urat daging belikatnya yang luka. Dia terpaksa berjalan
terbongkok-bongkok. Mulai detik itu, dia dikenali sebagai Si Bongkok Makam
Duyong.
Tun Ishak telah menyimpan dendam dan bersumpah untuk memusnahkan seluruh
angkatan Belanda, menghalau kuasa-kuasa asing dari Kepulauan Melayu dan berusaha
memulihkan kedaulatan raja-raja Melayu.
Dia berasa puas kini kerana dendamnya terhadap Van Breock telah berbalas.
Pegawai Belanda itu telah dibunuhnya di dalam sebuah pertempuran laut terbuka
berhampiran Pulau Tioman. Kumpulan flotilla Belanda yang dipimpin oleh Kapten
Van Breock semasa dalam pelayaran ke Makasar itu telah ditenggelamkan.
Perbuatan Tun Ishak itu telah mengundang murka Belanda. Belanda telah menuntut
agar Sultan Abdul Rahman dan Yam Tuan Muda Raja Jaafar mengerahkan askar Lingga
memerangi pasukan Tun Ishak. Sultan dan Yam Tuan Muda berasa serba salah kerana
Tun Ishak adalah sahabat mereka semenjak kecil dan pernah menjadi panglima di
dalam pasukan askar Lingga. Banyak jasanya yang telah dicurahkan kepada Istana
Kota Lingga yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja semata-mata untuk
mengabulkan kehendak Belanda.
Tun Ishak berhenti berjalan apabila tiba di sebuah tanjung. Di gigi air, sebuah
rakit dan sebuah perahu sedang berlabuh. Dua orang pengikutnya sedang menunggu
di bawah sepohon ara yang rendang. Tun Ishak menghampiri mereka. Mereka berdiri
menyambut kedatangannya. Tun Ishak menyerahkan segulung kertas berikat benang
sutera cina kepada salah seorang daripada mereka.
"Beritahu Nagesh, tunggu saya di Pasir Pelangi. Pesan kepada Huang Pui Nam, saya
menyuruh dia mengambil bekalan istinggar dan ubat bedil dari kolek Belanda yang
ditawan di Kukup dan simpan dulu di kedai kopinya di Setulang. Kolek itu sedang
dikawal oleh orang kita di Pulau Pisang. Raja Mustafa, semua kelengkapan mesti
dikumpulkan di Tanjung Puteri. Warkah ini mengandungi perintah dan rajah. Ikut
arahan yang saya nyatakan di dalamnya. Saya mewakilkan kuasa saya kepada tuan di
dalam perkara ini sehingga saya tiba di Tanjung Puteri."
Setelah bertukar salam, Raja Mustafa meninggalkan Tun Ishak dan rakannya. Raja
Mustafa ialah sepupu Raja Jaafar, Yam Tuan Muda Kerajaan Lingga, yang kini sudah
tiada kuasa menasihatkan Sultan kerana Sultan telah tunduk kepada Belanda yang
berkuasa di Betawi. Dia telah mengambil keputusan meninggalkan istana dan
menyertai perjuangan Tun Ishak serta bercita-cita untuk mengembalikan
kegemilangan raja-raja Melayu.
KemudianTun Ishak menggesa rakannya supaya meninggalkan tanjung itu.
"Saya suka berjuang di sisi tuan kerana tuan telah mengingatkan saya kepada
Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang pernah menggempur Belanda di Melaka."
"Usah diungkit sejarah silam, Tawi. Walaupun tuan berhak berasa bangga dengan
Sultan Iskandar kerana tuan berasal dari Aceh, tetapi kebanggaan tuan tidak
boleh menebus kesilapan baginda yang pernah membakar seluruh armada Johor di
perairan Sungai Johor ini. Namun, saya akui bahawa kita harus mengambil iktibar
dari sejarah nenek moyang kita dan kita hendaklah tidak mengulangi kesilapan
tersebut. Ayuh Tawi, mari kita bergerak."
Teuku Tawi berperahu ke Senibong, manakala Tun Ishak berakit ke Pasir Pelangi.
Semasa berakit, Tun Ishak teringat pertemuannya dengan Temenggung Daeng Abdul
Rahman di Teluk Belanga dahulu. Dia ingin meminta penjelasan di atas tindakan
Temenggung yang telah bersekongkol dengan Tengku Husain untuk mendapatkan
sokongan Inggeris memasyhurkan Tengku Husain sebagai Sultan bagi jajahan
Singapura dan Johor.
"Tun Ishak, setiap anak Melayu yang sedar tentang nasib bangsanya pada zaman ini
mesti memiliki sikap sendiri yang tidak perlu lagi tunduk setia kepada raja-raja
Melayu. Raja semakin lemah bila berhadapan dengan kuasa asing. Kita sebagai anak
Melayu tidak suka melihat raja kita tunduk kepada kuasa luar. Sebaliknya, jika
raja kita dapat berfikir, merancang dan melaksanakan satu kaedah yang boleh
memajukan bangsa melalui hubungan baik dengan kuasa asing itu, kita rasa, bangsa
Melayu wajib bangun membantu raja-raja mereka."
Tun Ishak mengagumi wawasan Temenggung.
"Datuk Temenggung, Raffles sama sekali tidak akan mematuhi perjanjian yang telah
dimeterai dengan Datuk dan Sultan Husain."
"Kita tahu hal itu, tetapi kita tidak pernah bawa berbincang dengan Sultan."
Tun Ishak terkejut dengan sikap Temenggung. Pada ketika itu, Tun Ishak mula
sedar bahawa Temenggung sedang merangka satu rencana agung yang tidak ingin
dikongsi bersamanya.
"Datuk, walaupun Datuk telah bersahabat baik dengan Inggeris, saya bertegas
bahawa saya tetap akan menentang sebarang kuasa asing yang ingin merampas
negeri-negeri Melayu daripada peribuminya, tidak kira Feringgi, Belanda,
Inggeris atau Sepanyol."
"Kita menghormati pendirian Tuan Panglima."
Malam terang disinari bulan purnama penuh. Purnama yang merindu tidak
putus-putus merintih meminta cinta, merayu kasih dan terus merindu kepada malam
yang kusam.
Dari lereng Bukit Puteri, Tun Ishak dapat meninjau keadaan kubu pertahanan yang
dibina oleh pengikut-pengikutnya. Kubu batang seligi empat lapis telah dinaikkan
di sekeliling kaki Bukit Puteri. Sebanyak lima belas buah meriam Belanda, dua
puluh satu buah meriam Inggeris dan empat buah meriam Feringgi telah dihalakan
ke perairan Selat Tebrau. Meriam-meriam itu telah dirampas dalam satu siri
kempen perang terhadap Belanda dan Inggeris yang dilancarkan oleh Tun Ishak
semenjak dia bersara dari perkhidmatan pasukan askar Lingga. Meriam-meriam itu
akan digunakan untuk mematahkan serangan armada Inggeris.
Di bawah sana, tebing timur dan barat muara Sungai Seget telah dipagari kubu
batang bakau. Pasukan pemanah dan istinggar sedang berkubu di situ untuk
mematahkan serangan darat angkatan Daeng Ibrahim.
Cahaya api dari rumah orang-orang kampung di seberang sana Pulau Singapura
kelihatan berbalam-balam. Angkatan Daeng Ibrahim mungkin akan berlepas dari
Kampung Keranji untuk mendarat di Tanjung Puteri. Kapal-kapal perang Inggeris
pimpinan Kapten Ian Blight yang sarat dengan muatan alat-alat perang akan muncul
dari timur dan barat Selat Tebrau untuk memberi sokongan tembakan meriam kepada
pasukan Daeng Ibrahim.
Taktik perang seperti itu dapat dibaca oleh Tun Ishak berdasarkan ilmu
peperangan negara Barat yang diperolehi semasa dia menjadi askar Lingga yang
menerapkan organisasi dan taktik ketenteraan Belanda.
Angin malam bertiup lunak mengirimkan perasaan dingin di dalam kalbu. Perasaan
dingin itu diimbangi rasa puas hati setelah dia berjaya menikahkan sepasang
kekasih di dalam pasukannya dua malam lalu. Dia menjadi wali hakim kepada
pengantin perempuan yang yatim piatu. Pengantin perempuan itu rajin menjaga dan
memenuhi keperluan pasukannya. Pengantin lelaki pula adalah seorang pengikut
setia yang sering menjadi penyuluh untuk misi-misi berbahaya.
Tun Ishak kembali ke pusat arahan medan di puncak Bukit Puteri.
Seorang penyuluh telah lama menunggu ketibaannya. Penyuluh yang baru menjadi
raja sehari itu melaporkan bahawa Inggeris telah bekerjasama dengan Belanda
untuk menghancurkan pasukan mereka. Armada Inggeris yang bantuannya diminta oleh
Daeng Ibrahim akan disertai sebuah ghali Belanda yang berperanan sebagai kapal
bekalan.
Belanda tidak dibenarkan terlibat secara aktif dalam pemburuan Tun Ishak di
dalam kawasan pengaruh Inggeris seperti yang telah dipersetujui kedua-dua pihak
di dalam perjanjian penyerahan Melaka oleh Belanda kepada Inggeris.
"Api dendam Belanda kepada saya tidak pernah padam selagi saya masih hidup. Esok
kita akan padam api dendam mereka."
Daeng Ibrahim tahu bahawa dia telah ditipu oleh Tun Ishak, guru silatnya sendiri.
Penyuluh-penyuluh Temenggung di Pasir Panjang melaporkan bahawa Tun Ishak sedang
dalam perjalanan berperahu ke Senibong. Mereka segera memasang perangkap di
Senibong. Malangnya, Tun Ishak tidak muncul di Senibong pada masa yang
dijangkakan.
Orang yang mereka sangkakan Tun Ishak sebenarnya ialah Teuku Tawi, seorang bekas
pejuang Aceh yang berkampung di Kampung Perigi Aceh.
Pada masa yang sama mereka menemui Teuku Tawi, Tun Ishak telah selamat tiba
dengan berakit di Pasir Pelangi. Nagesh menyambut ketibaannya. Dari situ, mereka
berjalan kaki ke Setulang untuk mengambil bekalan istinggar dan ubat bedil di
kedai kopi Huang Pui Nam. Dari Setulang, Tun Ishak dan beberapa orang pengikut
mengusung bekalan senjata mereka dengan berkereta lembu ke Tanjung Puteri.
Bila tiba di Tanjung Puteri, Tun Ishak berasa kagum melihat kubu batang bakau
teratur kemas memagari muara Sungai Seget. Dari kawasan pantai, dia boleh
melihat kubu batang seligi membentengi Bukit Puteri.
Raja Mustafa telah melaksanakan perintahnya dengan cemerlang.
Tun Ishak tidak peduli jika Daeng Ibrahim berasa tertipu dan diperbodohkan
dengan helahnya. Dia percaya bahawa anak muridnya itu akan mengatur strategi
baru untuk melancarkan serangan berskala besar dengan bantuan Inggeris.
Perang meletus juga.
Daeng Ibrahim melancarkan pasukan perahunya dari Kampung Keranji. Tiga buah
friget Inggeris dan sebuah ghali bekalan Belanda terapung di perairan Selat
Tebrau. Kapal-kapal Inggeris melancarkan serangan meriam membedil kubu Tanjung
Puteri. Meriam-meriam di atas Bukit Puteri berdentum tidak putus-putus membalas
serangan kapal-kapal Inggeris.
Pasukan Daeng Ibrahim berjaya mendarat di pantai Tanjung Puteri. Peluru-peluru
istinggar dan anak-anak panah menyambut ketibaan pasukan mereka. Mereka segera
mengeluarkan perisai dan merapatkan barisan untuk membentuk kubu perisai.
Pasukan istinggar Daeng Ibrahim membalas serangan pasukan pantai Tun Ishak dari
sebalik kubu perisai.
Setelah peluru habis, kedua-dua pihak bertempur amuk secara bersemuka dan
bertarung silat. Keris, badik, kelewang, parang, pedang, tombak, belantan,
menjadi senjata membunuh musuh.
Di dalam sebuah pertempuran yang seru, kubu Tanjung Puteri runtuh. Tun Ishak
dapat merasakan kekalahan yang bakal diterimanya. Dia segera memerintahkan
orang-orangnya supaya berundur dan berlindung di Ulu Danga, Ulu Sekudai atau Ulu
Pulai. Mereka dihambat oleh askar-askar Temenggung dan Inggeris.
Tun Ishak tidak mengikut orang-orangnya berundur. Dia terlibat di dalam
pertarungan satu lawan satu dengan Daeng Ibrahim di puncak Bukit Puteri.
Pertarungan mereka disaksikan oleh Raja Mustafa dan beberapa orang perajurit
kanan Daeng Ibrahim.
Akhirnya, Tun Ishak tewas kepada muslihat ilmu persilatan Daeng Ibrahim yang dia
sendiri ajarkan. Dia terbunuh di tangan anak muridnya itu. Daeng Ibrahim segera
memangku kepala gurunya.
"Ampunkan saya, Tuan Panglima. Saya terpaksa melaksanakan perintah Datuk
Temenggung."
"Inggeris meminta Temenggung menghabiskan kerja ini kerana Sultan telah hilang
wibawa," kata Tun Ishak lemah. Sebelum meninggal dunia, Tun Ishak telah
berwasiat kepada Daeng Ibrahim supaya mengikut rencana agung yang telah
ditetapkan oleh Temenggung Daeng Abdul Rahman. Jajahan Johor memerlukan satu
kepimpinan baru yang lebih kuat daripada kuasa raja-raja. Tun Ishak menggenggam
kukuh tangan Daeng Ibrahim.
"Merdeka!"
Ucapnya lemah sebelum menghembuskan nafas terakhir. Kepalanya terkulai layu di
lengan Daeng Ibrahim. Jenazah Tun Ishak telah disemadikan di lereng Bukit Puteri
yang menghadap Pulau Singapura mengikut istiadat ketenteraan askar Lingga di
atas permintaan Raja Mustafa.
Daeng Ibrahim membawa pulang kemenangan untuk dihadiahkan kepada Temenggung
Daeng Abdul Rahman. Raffles memuji-muji Daeng Ibrahim. Tidak berapa lama
kemudian, Temenggung Daeng Abdul Rahman meninggal dunia. Daeng Ibrahim
menggantikan bapanya dengan memakai gelaran Temenggung Seri Maharaja Johor Daeng
Ibrahim.
Ratu Victoria yang bersemayam di Kota London berkenan mengiktiraf jasa
Temenggung Ibrahim. Di dalam satu istiadat kebesaran yang gilang-gemilang,
Temenggung Ibrahim telah dianugerahkan oleh Gabenor Butterworth sebilah pedang
keemasan di atas jasanya yang telah menolong Inggeris menumpaskan lanun-lanun di
perairan Kepulauan Melayu.
Temenggung Ibrahim mendapati bahawa di atas mata pedang itu tertulis sepotong
ayat yang bermaksud,
'Inilah hadiah Baginda Ratu yang disampaikan oleh Gabenor Butterworth yang
memerintah Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, kepada Temenggung Seri Maharaja
Johor, sebagai satu tanda hidup di atas jasanya membinasakan lanun dan perompak,
adanya.'
Hakcipta Terpelihara © Mohamas
2000.
Kembali ke JURNAL sila klik Respon/Komen
© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA
1980-2002
Berminat untuk hubungi aku sila emel kepada: [email protected]
~ untuk paparan terbaik sila gunakan IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~