Cerpen Online

Koleksi Himpunan Karya-karya Terpilih


30++

OLEH: FUDZAIL

"Memang saya marah!" Saya menjerit kuat sebaik terhumban dalam sel lokap yang sudah dipenuhi. Mengangkat buku lima ke udara. Tidak pasti berapa ramai di situ. Sudah agak sendat. Panas, biar hujan kedengaran lebat di luar. Bercampur berbagai bau yang datang dari tubuh-tubuh manusia itu.

Dan melihat saja saya berbuat demikian, serentak mereka yang lain sama mengangkat buku lima ke udara. Satu simbiosis antara jeritan batin dan lahiriah. Memang saya sakit hampir seluruh badan. Mungkin mereka yang lain juga. Tersenyum menyimpul seribu cerita dan rasa. Segera tangan berjabat tangan. Mesra dalam keasingan dan terasa lebih dekat, biar masing-masing tahu keadaan sendiri.

Disekeliling, pelbagai wajah dan warna kulit memenuhi pandangan. Ada yang merengang kesakitan. Dibantu spontan oleh yang lain dengan sepakat muhibbah.

Saya cuba mengecam wajah-wajah itu semua. Ada yang terasa biasa. Mungkin pertemuan dan laungan di tepi-tepi jalan sama akrab dalam foto-foto memori.

Masih terasa penat setelah berlari dikejar pihak berkuasa. Setelah lari sekuat hati dan tenaga dari renjisan air kimia berwarna kuning gatal, saya tiba-tiba terasa kepala di cekup oleh beberapa batang tubuh berpakaian biasa. Cawangan Khas sedang bertugas.

Sumpah seranah bagai kumat-kamit serapah. Cuba membebaskan genggaman. Dengan beberapa pukulan keras dan saya pun tersungkur. Masih menjerit-jerit bersama lelehan darah dari kepala. Mengapa saya? Mengapa saya? Tiada siapa peduli untuk menjawab. Segalanya begitu pantas.

"Assalammualaikum, saudara!" Tepukan di bahu itu lembut dan saya menoleh. Saya membetulkan cermin mata yang patah tangkainya, diikat dengan getah. Mengesat muka yang terus berpeluh.

"Kena juga ya!" Lelaki berjambang dengan cermin mata hitam itu ketawa. Saya sama ketawa. Memang wajah itu nampak biasa setelah lima minggu menjerit-jerit di tepi jalan. Kebanyakan tidak kenal nama atau siapa secara peribadi, mengagak sahaja. Wajah itu mungkin salah satu wajah biasa setiap petang Sabtu. Di tempat dan waktu yang sama. Tidak berjanji tetapi bukan juga kebetulan. Suratan dari keadaan semasa.

"Hey! Saya Nurhisham Jais!"

Saya pun tergamam. Nama itu cukup biasa sama ada di Internet atau di perbualan bawah tanah. Memang sah dialah aktivis itu. Wajahnya sedikit lain dari yang pernah terlihat di buku-buku. Mungkin gambar lama.

Dan saya telah banyak membaca artikel mengenai dia dan juga tulisan-tulisan dia di beberapa tapak web. Dia tidak menggunakan e mel samaran. Dia berani. Dia ada karisma. Dia mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah tanahair.

Sejak lama juga saya mahu bertemu dengan dia.

"Oh!" Itu saja yang saya dapat katakan dalam kekaguman. Memeluknya erat.


Hari Isnin tiba juga. Mahkamah jadi hiruk-pikuk dengan ratusan manusia. Saya mencari-cari wajah isteri, anak-anak dan adik-beradik. Peguam yang dibekalkan oleh sebuah badan NGO hak asasi manusia telah menyelesaikan segala yang berkaitan dengan undang-undang.

Saya tahu hak saya sebagai warganegara dan saya tidak takut dengan segala yang terjadi. Telah bersedia dari pembacaan yang meluas di Internet. Malah bersama yang lain, terasa bangga pula menjadi tahanan.

Pantas juga perbicaraan. Pertama kali di kandang tertuduh. Tahu-tahu telah selesai sebaik semua mengaku tidak bersalah dengan setiap tuduhan. Wang jaminan juga telah dibayarkan. Dari kutipan derma dan sedekah para simpati.

Tidak tahu kenapa bersedih pula berpisah dengan mereka semua. Mereka yang sama-sama tersumbat dalam sel selama dua malam. Biar dalam suasana yang tidak menyenangkan dan serba menyesakkan. Inilah perjuangan!

Nurhisham Jais telah dibebaskan lebih awal. Pagi-pagi Ahad lagi bersama ramai yang lain. Mungkin nasib mereka lebih baik atau segala alasan saya tidak meyakinkan. "Saya berada di situ sebab nak membeli-belah!"

Berulangkali dan penuh perasaan. Namun mungkin juga wajah saya tidak memancarkan apa yang tergambar dari hati. Memang saya tidak pandai untuk berbohong.

Silapnya juga itulah alasan majoriti dan apa pun bukan mudah untuk mengelakkan diri. Dalam marah, geram dan emosional, ada yang mencabar kewibawaan para petugas. Memang saya marah!

Terutama bila melihat ramai jurugambar dan wartawan media perdana tempatan yang sama sibuk dengan ahli keluarga tahanan. Kelipan cahaya kamera cukup menyesakkan. Tetapi ramai yang sama naik menunjukkan buku lima ke udara.

Saya tahu mungkin gambar saya akan terpampang di skrin TV atau dada akhbar. Ah! Pedulikan!

Dan tiba-tiba terlihat wajah isteri yang datang berseorangan. Begitu sugul. Hati saya pula terusik. Saya hanya dapat melelapkan mata beberapa minit sahaja selama dua malam itu. Walau mencuba. Hati saya berdebar-debar. Bagai tertusuk sesuatu. Malah dalam sekejap terlena itu, saya bermimpi gigi tercabut. Sakit. Sama sakit dengan kepala yang dipukul kuat.

Saya segera memeluk isteri saya. Lega kembali bernafas dalam kebebasan, walau terhad. Mungkin dia berkecil hati saya memungkiri janji. Hari Ahad itu cukup bererti baginya. Ulangtahun perkahwinan kami yang ke sepuluh. Mahu diraikan bersama ketiga anak kami di sebuah menara tertinggi di dunia di tengah ibukota. Lambang puncak cinta kami di negara tercinta.

"Bang!" Katanya tersekat. Saya menatap matanya dengan penuh harapan.

"Ayah meninggal semalam!"


Nurhisham Jais segera berlari kearah saya. Dia datang juga rupanya. Saya sempat menghantar pesan melalui emel dari sebuah kafe siber sebelah klinik sebelum berlepas ke flet ayah di pinggir kota. Tidak jauh, hanya setengah jam memandu. Saya telah berjanji untuk menghubunginya segera sebaik dibebaskan.

"Inilah tempatnya!" Katanya kuat. Bergema di tanah perkuburan.

"1974! Kami sama-sama tunjuk perasaan. Mahasiswa dan para setinggan. Ayah saudara dan puluhan lain telah meneroka tempat ini. Kemudian dihalau kerana tanah ini tanah simpanan. Saya ingat ayah saudara menjadi salah seorang yang disumbat dalam ISA!"

Saya meletakkan surah yasin kembali. Benarlah cerita ayah. Waktu itu saya masih didarjah empat. Nurhisham Jais pernah menjadi teman sel lokapnya dan kemudian di Kemunting. Kerana sekeping tanah untuk berteduh. Ayah hanyalah seorang anak kampung yang tidak mempunyai kelulusan. Dengan enam orang anak yang memerlukan tempat tinggal.

Masih saya ingat segala keperitan hidup. Setelah dihalau, ayah meneroka tanah lain. Dihalau lagi kerana pembangunan sebuah padang golf. Ayah melawan dan ditangkap lagi. Akhirnya ayah terus jadi setinggan di bandar. Dijanjikan penempatan baru. Sekadar sebuah flet dua bilik.

Hingga ke akhir hayatnya. Tiada bertanah.

Dan ayah kini bersemadi di tanah itu. Dia menjadi tawanan dan dihukum kerana tanah itu. Tanah simpanan yang dulu diterokanya dan kini menjadi tanah perkuburan. Mungkin Tuhan telah mengabulkan doanya. Dan saya bangga untuk menjejak langkahnya sebagai pejuang keadilan dan kebenaran.

Kali terakhir saya berjumpa ayah ialah dua minggu lalu. Dia sama bersemangat untuk turun padang. Bersama nostalgia. Tetapi saya katakan pada ayah, "Jangan, kali ini giliran saya!"

Dia akur kerana dia berada di wad tiga hospital. Mengidap sakit darah tinggi. Walau saya tahu, jauh di sudut hatinya, tidak juga merestui apa yang saya lakukan.


Saya faham bos saya terpaksa berbuat demikian. Hatinya memang tidak merestui tindakan itu. Air mukanya menceritakan segalanya. Saya telah bekerja dengannya sejak pulang sebagai graduan luar negeri. 12 tahun! Sehingga menjadi pengurusan kanan dalam sebuah syarikat IKS bumiputera itu. Yang lahir daripada air mata dan darah pejuang terdahulu.

"Tetapi saya belum dihukum bersalah oleh mahkamah!" Saya cuba merayu.

Surat pemberhentian kerja 24 jam di musim kegawatan ekonomi ini seakan hukuman yang paling tidak adil. Bukankah seseorang itu tidak bersalah sebelum mahkamah memutuskan demikian?

"Ianya perlu buat ratusan pekerja lain. Penglibatan saudara dalam gerakan yang tidak sah itu mencemarkan nama syarikat. Saudara tahu maksud saya!" Pendek jawapannya yang merumuskan segalanya.

"Malah ada bukti yang saudara menyalahgunakan peralatan pejabat, seperti PC dan emel syarikat untuk menyebarkan maklumat yang bertentangan dengan undang-undang. Tiada apa yang saya boleh buat. Saya tahu saudara juga faham kedudukan saya. Kita telah lama saling kenal bukan?"

Semua itu adalah skrip biasa waktu terdekat. Drama sebabak kehidupan. Saya segera meminta maaf dengan apa yang terjadi. Meminta dia menghalalkan segalanya. Takdir telah menentukan begitu. Saya tahu sudah sampai masanya untuk saya tidak menyusahkan dia. Sudah cukup baik untuk dia membayar enam bulan gaji sebagai pampasan. Dengan menghadiahkan kereta syarikat yang telah saya pakai sejak lima tahun lalu sebagai penghargaan.

Saya tahu yang saya memang tidak diperlukan lagi. Pejabat saya juga telah ditukar kuncinya dan setiausaha peribadi saya ditukarkan ke bahagian lain. Saya hanya mengintai dari cermin. Tersenyum melihat PC yang menjadi sahabat dan alat komunikasi paling setia sejak beberapa bulan lalu.

Malah saya telah menjadikan sebahagian dari mereka, warga siber yang keluar dengan wajah-wajah dan suara-suara marhaen di tepi-tepi jalan.

Sebelum keluar, ramai teman-teman sekerja dari pelbagai peringkat berjumpa dengan saya. Bersama isyarat, mengacah buku lima secara simbolik.


"30++!"

Saya menjawab bila ditanya tentang umur. Nurhisham Jais tersenyum. Dia telah hampir lima puluhan dan saya baru mengesut angka tiga puluhan.

Seorang dari golongan pertengahan dan kini menganggur. Saya tidak menyesal. Walau janggal. Untuk mencari kerja atau berniaga bukan mudah di kala kegawatan ekonomi. Apalagi bersaing dengan graduan-graduan baru.

Dan berebut-rebut dengan mereka yang ramai kehilangan kerja.

"Apa yang sebenarnya saudara cari?"

Pertanyaan ulangan sejak pertama kali bertemu di lokap itu memaksa saya untuk mengintai jauh ke panorama bercahaya terbentang. Kota kosmopolitan dengan segala kegemilangan fizikal. Saya telah lama tidak mencari apa-apa. Tiada yang mahu dicari. Saya telah menikmati kemakmuran dari kemerdekaan. Saya tidak perlu mencari apa-apa. Segalanya ada.

Dan kini seakan semuanya tiada. Harus mencari lagi.

"Saudara bukan pejuang! Tidak seperti ayah saudara" Dia membuat kesimpulan setelah saya masih tercari-cari jawaban. "Sekadar terikut-ikut! Atau mahu mengisi mimpi anak-anak pasca DEB!"

Saya teringat isteri saya yang seakan menyalahkan saya bila dibuang kerja. Anak sulung kami akan bersekolah dan dia mengandung anak keempat. Hutang rumah masih banyak lagi untuk dilangsaikan. Duit simpanan hanya boleh bertahan untuk satu tahun. Mahu gunakan duit KWSP pun belum cukup masa dan layak. Gajinya sebagai pensyarah tidak cukup dengan tanggungan.

"You are just an angry young man, a rebel without a real cause!" Sinis Nurhisham, bekas aktivis pelajar tujuh puluhan yang menjadi pujaan saya selama ini. Bagai seorang hakim memberi hukuman. Dia tidak bergurau dan saya terasa lebih marah.

Saya tidak pernah mengalami keadaan mahasiswa tujuh puluhan. Sekadar dari cerita ayah dan buku-buku. Malah sejak akhir-akhir ini Internet bagai arkib yang memutarkan kembali kegemilangan mereka. Sewaktu di luar negeri tahun lapan puluhan, saya sekadar mahu menghabiskan pengajian dan pulang secepat mungkin.

Tiada aktiviti kemasyarakatan. Selain bercinta. Berfoya-foya dengan duit biasiswa. Tiada perjuangan. Tiada suara mahasiswa yang mengaum dengan penuh kekuatan. Tiada kesedaran patriotisme dan nasionalisme menjadi sebahagian ko-kurikulum.

Selain tenggelam bersama Michael Jackson, Madonna, U2, Bruce Springsteen, Genesis dan dunia muzik rock. Segalanya terlalu slapstik dan hambar kalau dibandingkan dengan angkatan Nurhisham Jais.

"You are just an angry young man, a rebel without a real cause!" Sinis Nurhisham, bekas aktivis pelajar tujuh puluhan yang menjadi pujaan saya selama ini. Bagai seorang hakim memberi hukuman. Dia tidak bergurau dan saya terasa lebih marah.

Kerana itu segala kekalutan semasa ini bagai mengundang saya ke gelanggang. Mahu jadi sebahagian dari sejarah. Mahu anak-anak saya tahu yang saya juga pernah menjadi pejuang seperti aruah datuk mereka.

Mahu mengubah segalanya.

Saya tiba-tiba jadi benci dengan Nurhisham Jais. Dia telah melalui semuanya. Tidak adil untuk dia menghukum saya tanpa memahami keresahan generasi saya. Saya mahu berpusing dari memandang wajahnya yang seakan menghina saya. Tetapi trak Polis yang sendat itu tidak mengizinkan untuk saya bergerak.

Sekilas datang perasaan takut bila terdengar bisikan tentang ISA. Dan terasa jauh pula perjalanan kedua ke balai polis pagi-pagi Ahad November itu!

 

Kembali ke JURNAL                                                    sila klik Respon/Komen



© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA 1980-2002
Berminat untuk hubungi aku sila emel kepada: [email protected]
~ untuk paparan terbaik sila gunakan IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~

Hosted by www.Geocities.ws

1