PUJANGGA ONLINE .:J U R N A L J A L A N H I D U P .  

Mulai Jun 2002 


adakah aku geng jurnal?

Geng Jurnal:

Link:

Capai-capai:

Jurnal PUJANGGA Online - Jalan Hidup tidak HANYA membicarakan jalan hidup AKU semata-mata! Tetapi jalan hidup yang dilalui bersama yang seringkali melingkari kehidupan setiap kita... Semoga aku, kau dan sesiapa jua bersedia untuk melalui jalan hidup itu...

 


.:: Arkib Oktober 2002 ::.

Pedoman:

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani"

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang orang fasik membawa sesuatu berita kepada kamu, hendaklah kamu selidiki..." (Al-Hujurat: 6)

Terminal Pertama...


.:: Catatan moden dari zaman klasik ::.

Mempunyai catatan 1, 3, 13, 15, 17, 19 dan 25/10/2002. 

25 Oktober 2002/ 19 Syaaban 1423 | Jumaat | 1.30 pm

Catatan Satu

Windows ME aku merajuk!

Hampir empat hari saya tak 'kelebek' JASA. Pagi tadi saya berpeluang untuk bermesra dengan JASA semula, sambil-sambil masak nasi lemak dan kari 'campada' (campak apa ada) ayam. 

JASA menggunakan WINME untuk beroperasi. Saya sengaja install WINME sebab saya lebih suka guna WINME berbanding windows lain. Kawa saya suruh saya guna WIN XP sebab saya guna pentium 4. Tapi saya rasa tak berminat sebab saya cuma pakai memory 128. Kalau 256 dan ke atas mungkin saya kena cuba WIN XP supaya saya tidak tertinggal kemajuan.

Oleh sebab masa saya copy program-program di rumah Hisyam ada satu program yang menarik minat untuk change folder yang saya secara peribadi mengakui tidak berapa arif sangat mengenainya. Saya pun buat-buat 'bijak' untuk guna program tersebut.

Mula-mula saya change folder dekat dokumen saya yang bertitle rencam, jadilah folder itu gambar kunci. Menarik juga. Lepas tu mula terasa nak change folder 'windows' sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga supaya tidak ada orang yang suka kacau dan ganggu windows saya. Saya tak mahu windows saya rosak sebab aktiviti suka-suka delete yang dilakukan sewaktu saya tidak ada.  Konon-kononnya kalau orang lain kelebek komputer saya mereka tidak boleh kacau file windows itu.

Malangnya perkara yang kita nak itulah yang selalunya tak menjadi. Windows folder saya hilang. Saya gelabah juga kalau-kalau ianya akan memberikan kesan sehingga saya akan terpaksa untuk install windows baru pula.

Saya mencari-cari menggunakan segala ilmu yang saya ada. Saya search dan run tapi tak berjaya. Saya nekad kalau rosak pun rosaklah sebab saya yang salah. Saya tak boleh nak salahkan sesiapa sebab sayalah puncanya.

Lepas solat maghrib saya operasikan semula JASA. Tiba-tiba pintu rumah diketuk. Ahli bait saya semua dah keluar. Saya buka pintu rumah dan lihat Azrul (pengerusi DPMT) yang datang ke rumah. Sambil sembang-sembang saya bagitahu dia yang windows saya hilang dan saya minta bantuan dia cuba carikan kembali. Malangnya percubaan dia seperti 'teknologi' yang pernah saya guna. Search di search dan run. Taip windows tapi tak berjaya jumpa. Azrul terus cari lagi. Kemudian dia klik di run semula dan taip recent dan akhirnya up dan berjaya jumpa semula windows tersebut. Rupa-rupanya windows tu ada dan dia tersembunyi dengan wajah dan folder yang dah saya ubah siang tadi.

Bagus juga bila folder windows tu tersembunyi. Sekurang-kurangnya pengguna JASA yang tidak tahu windows tersembunyi tidak boleh 'kelebek' file tersebut.

Azrul akhirnya berjaya bantu saya. Lepas ucap terima kasih pada Azrul, dia minta diri untuk pulang. Saya rasa syukur dan lega sebab windows WINME saya masih terselamat dan ada.

Siapa tahu bagaimana cara untuk buat password komputer tolong explain sebab sebelum ni saya cuba buat tapi tak berjaya. Maklumlah saya ni baru belajar nak berjinak-jinak dengan teknologi. 

Sila klik Respon/Komen

 

19 Oktober 2002/ 13 Syaaban 1423 | Sabtu | 10.30 am

Catatan Satu

Mencari Penawar di dalam kepahitan

Kata orang: "Buat apa ikut jalan susah, kalau yang senang ada." Kata saya: "Buat apa ikut jalan senang kalau jalan senang itu akan mendatangkan susah. Tetapi jalan yang susah itu akan berakhir dengan kesenangan." Saya bersifat kontra terhadap orang lain.

Kalau orang lain lebih suka supaya memilih jalan senang dan menghindari kesusahan saya pula tidak suka jalan senang jika senang yang ada itu bakal mengundang susah. Mengapa saya berlaku songsang. Kalaulah jalan itu memang senang dan tidak mendatang susah buat apa saya masih memilih jalan susah? 

Antara jalan senang dan susah kedua-duanya adalah jalan yang sama. Cuma yang berbeza jalan yang senang sebenarnya adalah 'gharib' bagi orang seperti saya. Bukan saya tidak mahu keluar dari suasana yang pernah saya alami, tetapi saya sudah terbiasa dengan jalan susah. Terasa mesra dengannya dan janggallah saya jika saya memilih jalan senang.

Jalan susah perlukan pengorbanan. Jalan susah perlukan usaha yang berganda. Jalan susah perlu kepenatan. Jalan susah perlu kekuatan diri, keyakinan, semangat dan sebagainya yang akrab dengan kesusahan. 

Sebaliknya jalan senang tidak perlukan kebanyakan yang saya sebutkan tadi. Apa perlunya pengorbanan kalaulah jalan itu sudah senang. Apa perlu lagi runsing kalau wang dilambakkan di depan mata? Apa perlu lagi usaha kalau setiap hari mulut disuap-suap? Apa perlunya ketabahan dalam usaha kalau memang apa yang kita perjuangkan memang kita akan dapat. Dan ianya sudah ditentukan menjadi milik kita?

Kalau jalan senang dilambakkan dengan wang. Jalan susah pula perlu mengorbankan wang saku sendiri untuk mendapatkan sesuatu. Kalau jalan senang, dengan mudah kita mendapat makan; jalan susah kita perlu berbelanja dan akan mengurangkan wang yang ada pada diri kita untuk tujuan itu.

Saya ada sedikit kebolehan untuk memasak 'kawah' (dalam jumlah yang banyak -kenduri). Kalau jalan senang yang saya pilih, saya akan masak nasi yang diperlukan dengan menggunakan periuk elektrik. Selepas menekan suiz saya hanya perlu menanti nasi itu masak sahaja. Sebaliknya jika saya memilih jalan susah; saya memasak menggunakan api gas atau api kayu api dengan menggunakan kawah biasa yang tiada elektrik. Saya perlu mengawasi kadar api supaya nasi boleh masak dan tidak mentah atau berkerak, sukatan, kadar masa yang diperlukan dan sebagainya. Susah bukan? Tetapi dengan susah itulah saya akan mampu menilai susah sebenarnya apa yang saya lakukan semata-mata untuk mendapatkan nasi yang boleh saya dan orang lain makan. Justeru saya akan menghargai apa yang saya usahakan. Kesusahan itu mengajar saya kemanisan usaha.

Kalau saya mahu dalam tempoh pengajian saya, saya dilambakkan dengan wang. Saya sebenarnya telah memilih jalan senang. Tetapi saya tidak tersihir memilih jalan lambakan kewangan itu. Apalagi kalau kewangan yang ditaburkan itu datangnya daripada orang yang saya anggap musuh. Apabila musuh memberikan kita kesenangan buakankah ada tujuan lain yang dimaksudkan?

Saya sedih bila ada kawan-kawan saya yang 'tersadung guni-guni' wang itu, kemudian alpa dengan umpan musuh itu. Kata sebahagian mereka: "apa salahnya ambil sesuatu yang kita ada hak?" Kata saya: "Kita sebenarnya tidak berhak, kecuali selepas ditentukan kita telah berhak ke atas hak tersebut." Lihat saya songsang lagi. Saya kontra lagi...

Saya menolak lambakan wang musuh itu semata-mata tidak mahu terperangkap dengan agenda musuh-musuh saya dan pastinya musuh kawan-kawan saya juga. Saya mula lebih sedih bila ada dikalangan mereka yang mula berbaik-baik dengan musuh dengan tujuan untuk 'mendapat lebih' lambakan yang sedia ada. Pada saya; saya tidak mahu menggadai prinsip saya. Saya tetap saya - musuh tetap musuh.

Apalah gunanya saya memilih jalan senang? Kalau memang dari awal hidup saya, saya telah diajar melalui jalan susah dan saya tidak mengeluh. Jalan susah itu kepahitan. Tetapi kepahitan itu amat bermakna bila sudah berjaya melepasinya. Dan tidak salah rasanya saya memilih jalan susah itu kerana selalunya pahit itulah sifat ubat, apa gunanya ubat kalau bukan untuk menyembuhkan. Dengan kepahitan itulah ia menjadi penawar. Kalau bukan penawar pada hari ini, barangkali penawar itu saya rasai bila saya sudah senang nanti. Sebelum saya senang, biarlah saya susah. 

Dan saya tidak menolak jalan senang jika jalan itu bukan tawaran yang datang dari musuh saya. Apapun jalan senang yang disediakan kawan belum tentu jalan yang paling selamat.

"Kita mesti pastikan hari ini adalah milik kita kerana kita belum pasti adakah hari esok kita masih diberi peluang." kata-kata Pujangga~

Sila klik Respon/Komen

 

17 Oktober 2002/ 11 Syaaban 1423 | Khamis | 9.30 am

Catatan Satu

Fadhilat Syaaban

Daripada Muaz Bin Jabir RA - Daripada Nabi SAW katanya: Allah akan menemui makhluknya pada malam nisfu syaaban dan mengampunkan dosa-dosa mereka kecuali mereka yang menyekutukan Allah dan mengadakan permusuhan sesama manusia. 

Daripada Ali Bin Abi Talib RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: Apabila tibanya malam nisfu syaaban, bangunlah kamu untuk beribadat pada malamnya dan berpuasalah pada siangnya. Kerana Allah turun ke langit dunia bila terbenam matahari dan berfirman yang bermaksud: "Tidaklah ada di kalangan orang-orang yang memohon rezeki kecuali diberikan kepadanya rezeki. Dan tidaklah ada orang sakit kecuali disembuhkan penyakitnya. Begitulah seterusnya sehingga terbit fajar.

Catatan Dua

Selamat hari lahir

"Ya Allah ya Tuhanku, Aku bersyukur di atas nikmat usia yang kau kurniakan buat hambamu ini. Aku bersyukur kerana hidayahmu terlorong buat diri ini. Aku sedari akan kekerdilan diri. Aku tidak berdaya kecuali atas kehendak dan tenaga yang kau anugerah dan pinjamkan."

"Ya Allah ya Tuhanku, usia 21 tahun yang lalu telah berlalu. Aku telah melepasi jarak waktu itu. Aku tidak tahu adakah aku telah menghabiskan nikmat usia yang kau berikan itu ke jalan yang kau redhai. Adakah aku telah menunaikan tanggungjawabku sebagai seorang hambamu, Tuhanku. Aku tidak pasti sejauhmana telah kulunaskan kewajipanku terhadapmu Allah."

"Ya Allah ya Tuhanku, Hari ini nikmat usia itu kau pinjamkan lagi buatku. Syukurku buatmu lantaran pinjaman usia itu memberikan aku ruang untuk terus menyambung perjuangan hidup ini. Ya Allah, tumpahkan hidayahmu buatku. Limpahkan keredhaanmu buatku. Agar aku bakal menjadi hambamu yang bakal ditempatkan di syurgamu."

"Ya Allah ya Tuhanku, Jadikanlah kehidupanku di dunia kebaikan, dan di akhirat kebaikan. ~amin."

"Jangan sesekali menyalahkan kesilapan diri sendiri kepada orang lain kerana orang yang tidak mengakui kelemahan diri sukar untuk berjaya." kata-kata Pujangga`

Sila klik Respon/Komen

 

15 Oktober 2002/ 9 Syaaban 1423 | Selasa | 11.00 am

Catatan Satu

Apa guna jadi kaya?

Bukan senang nak jadi orang kaya. Ayah pernah berkata pada saya. "Biarlah kita miskin, asal kita tetap kaya." Saya bertanya pada ayah seperti seorang yang tidak fahami kata-kata ayah yang dalam maksudnya. "Kaya apa ayah?"

Ayah diam sejenak. Kemudian ayah bersuara lagi. "Kita miskin harta tapi kita tetap kena kaya dari segi lain." "Maksud ayah?" Soal saya lagi. "Kaya ilmu, kaya budi, kaya pekerti..."

Ayah juga pernah berpesan di dalam secarik warkah yang dihantar oleh Kak Chaq semasa saya di tahun satu dulu. Pesan ayah: "Ilmu itu penghulu hidup."

Tapi kalau tak kaya macam mana nak dapatkan ilmu? Dunia hari ini orang perlu ada duit untuk mendapat kan ilmu. Berlainan zaman dulu, orang guna ilmu untuk dapatkan duit atau kerja. Berbeza dengan zaman sekarang: orang guna duit pula untuk dapatkan ilmu.

Saya belajar di luar negara. Sebagai pelajar di Mesir, kehidupan saya berbeza dengan pelajar di luar negara di tempat yang lain. Kalau pelajar di tempat lain boleh bekerja separuh masa untuk mendapat duit tambahan, saya tidak bekerja. Apa pekerjaan yang boleh saya lakukan di negara yang mempunyai lebih 60 juta penduduk ini? Kalau rakyatnya sendiri masih ada yang melarat dan menganggur? Lagipun visa saya bercop 'student' bukan pekerja. Saya cuma jadi pelajar tanpa kerja, meskipun ada di kalangan 'orang sini' yang bekerja. Saya mungkin bukan seperti mereka. Justeru saya hanya bergantung pada wang saraan daripada keluarga yang akan ayah saya kirimkan melalui bank ditambah wang pinjaman yang saya mohon.

Dengan wang itulah saya meneruskan perjuangan untuk terus belajar. Kerana itu saya perlu ada wang untuk mendapatkan ilmu. Pergerakan saya dibatasi dengan bayaran. Tambang teksi, tramco(van sewa), bas, puejoet, keretapi, metro dan sebagainya perlu dilunasi. Rumah sewa setiap bulan adalah kewajipan. Selain saraan untuk wang makan ahli rumah, beli kitab-kitab dan buku-buku bacaan serta rujukan. Wang, wang, wang... penting untuk dapatkan ilmu.

Pesan ayah kepada saya bahawa: Ilmu itu penghulu hidup tidak mampu saya ingkari. Benar kata ayah. Dengan ilmu kita akan tetap kaya. Biar kita tidak kaya harta. 

Ayah menjadi aspirasi saya. Sewaktu masih di sekolah rendah, saya sudah dijinakkan dengan ilmu perniagaan. Ayah mengajar saya tidak segan untuk menjadi penjaja dan peniaga. Emak mendorong saya supaya tidak malu. Akhirnya saya dicorak berotak bissness.

Semasa itu, kenangan saya menjual di waktu kelas fardhu ain petang masih terbayang. Mak sedikan bihun goreng untuk saya jual di sekolah. Hasilnya saya diberi upah. Mak buat kuih kuaci, kuih kacang, oleh-oleh dan saya tolong hantarkan ke kedai Pak Man untuk dijual, saya diberi upah. Ayah sediakan bahan-bahan untuk dibuat laici-kang, saya diajar mengadun dan membungkus... akhirnya meniaga. Saya diberi upah juga. Semasa kecil, saya sudah pandai berniaga. Saya tidak malu dan segan kerana duit. Untuk dapatkan duit itu semua saya lakukan. Ditambah sumbangan saya itu boleh memberikan kelebihan pada ekonomi keluarga, saya sedia lakukan.

Saya sanggup ponteng kelas tuisyen Bahasa Inggeris cikgu Timah untuk persediaan UPSR semata-mata untuk berniaga laici-kang, meskipun sebenarnya saya waktu itu adalah seorang pelajar; saya telah melakukannya.

Saya paling takut kalau saya mula jadi bersemangat untuk berniaga di Mesir, pelajaran saya akan terganggu. Saya tak mahu dengan berniaga saya mengabaikan keutamaan saya datang ke Mesir untuk belajar. Saya dihantuk kebuntuan.

Tahun ini saya harap saya akan berjaya sudahkan B.A dengan Hons. (Kepujian). Dengan B.A Hons itu nanti akan menjadi tiket untuk memudahkan saya diterima untuk menyambung pengajian di peringkat M.A (Master of Art). Tetapi kalaulah saya berniaga adakah pelajaran saya akan terabai?

Masa depan saya... Saya tidak mampu tentukan. Hanya Allah yang menentukannya. Saya merancang, Dia juga merancang. Allah adalah sebaik-baik perancang dan saya berdoa akan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

"Rabbana a`tina fi dunya hasanah, wa fil a`khirati hasanah, wa qina 'azabannar."

"Setiap kali tersadung, ingatlah kita tidak mahu terjatuh lagi." kata-kata Pujangga`

Sila klik Respon/Komen

 

13 Oktober 2002/ 7 Syaaban 1423 | Ahad | 22.45 pm

Catatan Satu

Neo-Darwinisme

Neo-Darwinisme adalah satu teori bodoh yang dihasilkan bagi menyokong teori-teori khayalan evolusi ciptaan Darwin. Orang yang bertanggung jawab terhadap neo-darwinisme (neo-darwinis) adalah sekumpulan saintis yang setia dengan Darwin, meskipun teori khayalan Darwin menghadapi krisis yang hebat akibat penemuan undang-undang genetik pada awal suku kurun ke 20.

Melalui teori mereka itu, mereka juga cuba membuktikan bahawa organisma hidup yang pertama telah terbentuk secara tidak sengaja di bawah keadaan bumi primitif. Tetapi teori ini juga menerima nasib yang malang kesan kegagalan-kegagalan yang menimpa eksperimen mereka. Kegagalan mereka untuk membuktikan bahawa hidupan terjadi dengan sengaja atau secara kebetulan tidak akan dapat dibuktikan meskipun eksperimen-eksperimen itu dilakukan pada zaman kini dan menggunakan peralatan makmal yang paling canggih. Justeru mereka memperlihatkan kegagalan dan dalam masa yang sama; kebodohan.

Jelasnya selain para saintis mengemukakan pandangan hasil daripada kajian mereka untuk menunjukkan kegagalan teori Darwin, para Ilmuan Islam dengan mudah menyangkal kenyataan Darwin berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Islam itu sendiri. Mustahil sesuatu terjadi dengan tiada pencipta. Malah seseuatu yang terjadi secara sengaja dan kebetulan tidak selalunya berulang-ulang, sedangkan kelahiran manusia, peredaran cakerawala, siang dan malam, pasang surut air laut gerhana dan sebagainya terjadi dengan teratur. Pastinya ada kuasa yang mengatur dan mengawal semuanya. Justeru tidaklah menjadi suatu yang ampuh sekiranya teori Darwin masih boleh diterima.

Primitifnya Darwin!

Sememangnya tidak dinafikan sewakti Darwin mengemukakan teori evolusinya disiplin genetik, mikrobiologi dan biokimia masih belum wujud. Ada yang berpandangan sekiranya semua disiplin saintifik itu telah wujud pastinya Darwin tidak berhasrat untuk mengemukakan teori dan pandangan yang tidak berguna itu. Tambahan pula dunia sains zaman itu terlalu primitif, pengetahuan yang cetek tentang struktur dan fungsi-fungsi sel. 

Namun ada baiknya juga. Dengan khayalan Darwin itu telah lahir tokoh-tokoh pengkaji dan para saintis pasca penerimaan Darwinisme. Yang peliknya ada juga di kalangan saintis yang menyokong penuh, malah berusaha untuk memastikan teori itu mampu diyakini masyarakat dunia. Hakikatnya manusia yang celik sains dan terdedah dengan ajaran Islam tidak sesekali menerima ideologi Darwin itu.

Sekurang-kurangnya dengan adanya pengunggul yang menjadi pengkaji -mencari kebenaran di jalan yang salah- dari kalangan penyokong Darwin itu, dunia akan terus dihantui oleh khayalan Darwin yang hanya sesuai di zamannya; sedangkan patut dibakulsampahkan pada zaman kemajuan kini.

*** Dapatkan buku: The Evolution Deceit Karya Harun Yahya, untuk mendalami pemikiran menyanggah evolusi Darwinisme. Harun menemukan jawapan berdasarkan kajian sains dan disiplin ilmu yang mapan. Atau boleh melayari laman webnya: www.harunyahya.com. Selamat menemui kebenaran.

Catatan Dua

Puisi: Selingkar Ingatan

Sesekali ia menerpa
menghantuk sebening ingatan
kepada bilah-bilah nostalgia
yang pernah terukir di sisipan masa

Lalu kuabadikan
dalam saku memori ingatan
agar bilah-bilah nostalgia silam
tidak bisa akan terpadam

Dari selitan kilau-kilau cahaya
fatamorgana yang mengusik buana
terpancar sulaman cinta
rindu dan sayang 
menjadi mainan di angin lalu

Biarkanlah kukuburkan 
sekeping perasaan
dihantuk resah lara
di permukiman cinta abadi
buat Rabbul Izzati 

Agar diri ini
tidak akan terus ternanti-nanti 
secebis jawapan yang belum pasti

Nukilan,

Akhi Masrawi
Oktober 02
Khalfal Masakin

Kata-kata Pujangga: "Kadangkala menyembunyikan sesuatu perkara dari pengetahuan orang lain lebih baik dari jika diberitahu pun tidak dihiraukan."

dan...

"Sekalipun tidak pernah menjadi kaya-raya, kita masih beruntung tidak juga papa kedana" kata-kata pujangga~

Sila klik Respon/Komen

 

3 Oktober 2002/ 26 Rejab 1423 | Khamis | 15.15 pm

Catatan Satu

Darwin dan khayalan

Manusia yang mengemukakan teori evolusi ialah Charles Robert Darwin, seorang naturalis amatur.

Darwin bukan merupakan ahli biologi yang menerima pendidikan secara formal. Dia hanyalah seorang manusia yang meminati alam semulajadi dan kehidupan. Bagaimana Darwin berimaginasi untuk menemukan satu teori yang dinamakan evolusi di mana teori tersebut tiada walau sedikit nilai Sains moden. 

Akibat minat Darwin telah menjadi sukarelawan sebuah ekspedisi di atas sebuah kapal H.M.S Beagle yang dirancangkan di England pada 1832 dan mengembara mengelilingi beberapa kawasan seluruh dunia selama lima tahun. Semasa pelayaran inilah Darwin berperang dengan khayalan dan imaginasinya. Melihat akan keajaiban haiwan-haiwan yang hidup di pelbagai habitat, Darwin membuat konklusi dangkal mempelopori ide variasi yang berlaku pada haiwan-haiwan adalah disebabkan oleh adaptasi mereka terhadap habitat. Darwin berpandangan bahawa haiwan-haiwan yang pelbagai ini asalnya diciptakan hanya satu dan kemudian berkembang biak dengan rupa yang berbeza disebabkan oleh keadaan semulajadi.

Hipotesis Darwin ini hanyalah khayalan dan imaginasi semata-mata, tidak berdasarkan kepada mana-mana penemuan atau eksperimen sains. Bagaimanapun teori tersebut menjadi berpengaruh hasil sokongan dan dorongan yang diterima daripada ahli-ahli biologi materialis yang terkenal pada masa tersebut. Menurut Darwin lagi: "Manusia merupakan hasil termaju mekanisme ini."

Seorang ahli biologi Perancis, Larmarck turut menyokong teori Darwin. Larmarck menyokong dengan turut mengemukakan khayalannya terhadap zirafah yang berasal dari rusa. Akibat memanjangkan lehernya untuk mencapai dahan-dahan yang lebih tinggi  untuk mendapatkan makanan dari generasi ke generasi menjadikan spesis lain bernama zirafah. Lihatlah betapa teori bodoh Larmarck ini hanya sesuai sebagai pembohongan.

Melalui teori tersebut Darwin menyatakan bahawa manusia berkembang dengan asal dari beruk. (Apakah anda tidak merasa marah atau terhina?) Ini disebabkan manusia memiliki sifat-sifat yang ada pada beruk dan perbezaan warna kulit manusia turut berbeza kerana proses pertukaran itu masih belum berakhir.

Bagaimanapun Darwin sendiri mengakui akan kesukaran teori evolusi beliau akan mampu menjadi wacana terbaik. Ini dinyatakan sendiri di dalam sebuah karyanya yang berjudul: "The Origin of Species, By Means of Natural Selection":1859, di dalam bab "Difficulties of the Theory." Darwin berharap agara ada penemuan terbaru yang bakal menyokong teorinya; sedangkan penemuan-penemuan tersebut bersifat pelbagai.

Selain mendapat sekongan teori cetusan Darwin turut mendapat tentangan. Seorang ahli fizik Amerika, Lipson membuat komentar terhadap Darwin.

"Ketika membaca The Origin of Speceis, saya mendapati Darwin sendiri tidak yakin dengan apa yang dikatakannya seperti yang sering ditonjolkan: sebuah bab bertajuk "Difficulities of the Theory" sebagai contoh, menunjukkan keraguan yang nyata. Sebagai seorang ahli fizik saya amat hairan dengan komentar beliau tentang bagaimana mata diterbitkan."

Darwin dan Larmarck telah melakukan kesilapan yang amat besar apabila hidupan hanya dikaji dengan teknologi yang amat primitif dan amat tidak mencukupi. Sambil itu lapangan sains genetik dan biokimia belum pun wujud. Sedangkan teori mereka bergantung penuh hanya semata-mata kepada khayalan mereka.

Beberapa penemuan seperti ilmu sains genetik, penemuan struktur gen dan kromosom, DNA pada 1950 telah meletakkan teori Darwin pada kedudukan sangat bodoh. Kemajuan-kemajuan hasil penemuan baru sians itu sepatutnya telah menyebabkan teori Darwin dibakulsampahkan daripada sejarah. Bagaimanapun masih ada golongan yang cuba menyemak semula sekaligus cuba untuk menjadikan teori Darwin masih diterima. Teori ini menimbulkan tanda tanya apabila dipertahankan adakah untuk kepentingan ideologi?

Kalaulah anda rasa anda hasil dari beruk, percayalah pada khayalan Darwin! seorang manusia zaman lampau yang tiada pendidikan biologi secara formal memperkenalkan khayalannya...

Neo-Darwinisme? bersambung...

Sila klik Respon/Komen

 

1 Oktober 2002/ 24 Rejab 1423 | Selasa | 16.45 pm

Catatan Satu

Sanggah Evolusi bertunjang Materialis!

Sebuah buku ilmiah sains yang ditulis oleh Harun Yahya bertajuk 'The EVOLUTION Deceit' adalah jawapan kepada kebodohan teori evolusi yang mendasari denai-denai menolak ketuhanan. 

Teori evolusi adalah hasil daripada falsafah materialis yang dibayangi oleh falsafah materialistik purba dan mula tersebar meluas pada kurun ke-19. Materialisme mencari jawapan semulajadi melalui faktor-faktor material sepenuhnya. Atas alasan teori material menolak kewujudan Tuhan sebagai pencipta, maka fahaman ini berpegang setiap yang terjadi adalah secara kebetulan dan kemudian tersusun mengikut keadaan. Jelasnya falsafah materalistik bercanggah dengan kriteria asas pemikiran manusia sehingga menghasilkan teori evolusi.

Kepercayaan manusia semenjak zaman purbakala mempercayai adanya kuasa ghaib yang mencipta dan mengatur alam maya. Ini menunjukkan pemikiran manusia tidak menyanggah kewujudan Tuhan. 

Justeru teori evolusi mengungguli materialisme di mana kedua-dua teori falsafah berkenaan menolak kewujudan Tuhan (Allah) sebagai pencipta, sekaligus menyebabkan syirik.

Atas alasan evolusi menolak kewujudan Tuhan, maka ia menjadi tulang belakang kepada kebanyakan falsafah-falsafah terkemudian yang turut menolak keagamaan. Bagaimanapun falsafah-falsafah purba ini tidak membantu perkembangan sains moden. Ini kerana kebanyakan pengasas sains moden mempercayai kewujudan Tuhan.

Seorang saintis moden, Albert Einstein pernah berkata:"Saya tidak mengiktiraf kebijaksanaan seorang saintis yang tidak mempunyai keimanan yang mendalam. Situasi ini dapat dijelaskan melalui sebuah gambaran iaitu; sains tanpa agama adalah pincang."

Di dalam ajaran Islam manusia berasal dari Adam dan Adam berasal (diciptakan) dari tanah. Tidak pula menyebut bahaya Adam itu adalah dari rumpun bukan insan/an-nas (manusia).  Ini terbukti Nabi Adam adalah manusia pertama yang diciptakan Allah SWT. Allah menciptakan Adam dari tanah atau di dalam bahasa Arab disebut Teen. Manakala iblis pula diciptakan dari api dan malaikat diciptakan dari nur (cahaya). Perbezaan yang amat ketara. 

Nabi Adam as dikurniakan Allah seorang teman (wanita) sebagai isterinya yang bernama Hawa. Hawa pula diciptakan oleh Allah daripada tulang rusuk kiri Adam yang bengkok. Kalaulah ini diperdebatkan mungkin golongan logikal menolak penciptaan Hawa sedemikian. Justeru apa yang penting Allah berkuasa menjadikan apa-apa yang dia ingini dan kehendaki. Dialah Tuhan yang Maha berkuasa lagi Maha mengetahui.

Siapakah yang mencetuskan teori materialis dan evolusi? Apakah perkembangannya? tunggu sambungan... 

Sila klik Respon/Komen

 

Asal

 

Terminal Terakhir...

Berminat untuk hubungi aku sila emel kepada: [email protected]
© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA 1980-2002
~ untuk paparan 'cun' sila gunakan IE 800 x 600 & text size: medium ~

Hosted by www.Geocities.ws

1