JURNAL PUJANGGA Online - JALAN HIDUP

Mulai Jun 2002 

Jurnal PUJANGGA Online - Jalan Hidup tidak HANYA membicarakan jalan hidup AKU semata-mata! Tetapi jalan hidup yang dilalui bersama yang seringkali melingkari kehidupan setiap kita... Semoga aku, kau dan sesiapa jua bersedia untuk melalui jalan hidup itu, kerana hidup ini adalah sebuah perjuangan!

.:: Diri ::.  .:: Keluarga ::.  .:: Karya ::.  .:: Galeri ::.

Terminal Pertama...



Arkib Ogos

Mengandungi catatan 31, 23, 20, 19, 13, 12, 10, 9, 7, 5 & 4 Ogos 2002

31 Ogos 2002/22 J. Akhir 1423 | Sabtu | 23.05 pm

Catatan 1

Ucapan tahniah Buatmu - daripada temanmu: Jalan Hidup

Kau telah berusaha. Walaupun kau menempuhi pelbagai rintangan dan cabaran sebagai ujian kala kau berusaha itu; kau teruskan jua. Bertemankan tiga teman (Azrul, Faisal dan Angah) kau akhirnya berjaya. Kau gembira bukan kepalang kerana inilah pertama kali kau menyertai acara forum bersempena sambutan Perayaan menyambut Hari kebangsaan kali 45 tahun 2002 kau telah berjaya merangkul johan. 

Pujangga...

Hari 31 tu walaupun kau dah dengar khabar angin sebelumnya mengatakan kau dan teman-teman kaulah mendapat johan bagi acara tersebut tetapi kau tidak yakin sangat bukan. Aku tahu... kau insan yang tidak hebat meski orang lain memujimu. Kadang-kadang kau terasa kagum dengan pujian mereka. Sedarkah kau kekagumanmu itu akan membenihkan perasaan riya' dan takabur serta penyakit-penyakit hati yang lain. Bukankah lebih baik kau hanya menganggap dirimu insan kerdil yang baru memulakan pelayaran dalam bidang yang kau ceburi. Tidak kiralah samada ada orang yang telah dulu menganggap kau hebat! Kau sebanarnya tidak sehebat mana. Bukan begitu...

Ingat kata-katamu? Inilah kali terakhir kau menyertai forum PMHK jika kau merangkul johan. Dan terbukti kau telah johan... dan teman-temanmu telah johan! kau tidak bisa lagi untuk mempertahankan ke'johan'an mu itu. Biarkan kepada teman-teman lain pula yang mencipta nama.

Akhir sekali ucapan tahniah dariku buatmu

"Kejayaan itu adalah milik setiap manusia, tetapi untuk mendapatkannya perlu segugus usaha yang cekal dan jitu"

temanmu,

Jalan Hidup

Catatan Dua

Maafkan aku Kawan

Maafkan aku Kawan. Mengapa? mungkin kerana teguran aku cuma kalimah ahlan. Justeru tidak memanjangkan kalam perbualan kita.

Seorang kawan menghampiriku. Aku perasan dia. Cuma mood aku untuk bersembang hari itu tertinggal agknya. Aku tidak memanjangkan kalam. Justeru kau jua sukar memulakannya. Tapi aku pohon maaf daripadamu. Mungkin kerana dabar aku masih berbaki menanti pengumuman kejuaraan dalam forum PMHK. Entahlah...

Kalau kau membaca catatan ini... bermakna kau sudah jelas yang aku maksudkan adalah kau. Justeru aku minta maaf kerana tidak ceria hari 31 Ogos itu. Berakhirnya tirai Ogos...September bulan kajian! 

Sila klik Respon/Komen

23 Ogos 2002/14 J. Akhir 1423 | Jumaat | 20.50 pm

Catatan Tazkirah

Tazkirah 1

Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang  menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan. Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seboleh-boleh ada penyumbat pada kedua telinganya (tidak mahu mendengar ayat-ayat Allah) ; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya. (Luqman : 6 - 7)

Tazkirah 2

"Sesiapa yang memandang rendah 5 perkara, maka dia rugi 5 perkara:"

1) Sesiapa yang tidak memperdulikan ulama', maka dia merugikan agama
2) Sesiapa yang tidak memperdulikan pemimpin negeri (yang adil), maka dia merugikan dunia
3) Sesiapa yang tidak memperdulikan jiran, maka dia merugikan sumber-sumber manfaat
4) Sesiapa yang tidak memperdulikan orang kuat, maka dia merugikan bantuan mereka
5) Sesiapa yang tidak memperdulikan keluarganya, maka dia merugikan kemesraan hidup

al-hukama'

Tazkirah 3

Diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khatab r.a. bahawa Jibril telah datang berjumpa Rasulullah SAW bukan di waktu ia selalu datang.

Rasulullah SAW menghampiri Jibril dan berkata : "Hai Jibril, mengapa wajahmu berubah ?"

Jawab Jibril : "Aku diperintahkan datang untuk menerangkan tentang semburan api neraka"

Rasulullah SAW berkata :"Terangkan kepadaku tentang keadaan Neraka dan Jahannam'

Jawab Jibril : "Sesungguhnya Allah memerintahkan agar jahanam dinyalakan apinya selama 1000 tahun, sehingga berubah warnanya menjadi putih. Kemudian diperintahkan agar dinyalakan 1000 tahun lagi, lalu apinya menjadi merah. Setelah itu diperintahkan supaya dinyalakan selama 1000 tahun lagi, maka apinya menjadi hitam pekat dan tidak padam-padam. Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, sekiranya lubang neraka itu dibuka sebesar lubang jarum, maka terbakarlah bumi dan segala isinya kerana betapa panasnya. Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, sekiranya salah seorang dari penjaga-penjaga neraka ini diutuskan ke bumi ini, nescaya matilah semua manusia kerana wajahnya hodoh dan baunya terlalu busuk. Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, jika satu lingkaran daripada rantai neraka diletakkan di atas sebuah gunung, maka tembuslah gunung itu hingga ke dasar bumi yang paling bawah sekali.

Rasulullah SAW berkata : "Nasib baik aku tidak mati kerana pecah jantung kerana mendengar keteranganmu ini"

Rasulullah SAW melihat Jibril menangis dan beliau turut menangis sambil berkata ; "Mengapa engkau menangis, sedangkan kedudukan engkau begitu rupa di sisi Allah SWT"

Jawab Jibril : "Bagaimana aku tidak menangis, malah akulah yang lebih berhak untuk menangis, kerana siapa yang tahu tentang keadaanku dalam ilmu Allah tidak seperti yang aku ketahui. Saya tidak tahu adakah saya akan mengalami cubaan seperti iblis, sedangkan iblis itu adalah golongan Malaikat. Dan aku tidak tahu apakah aku akan mengalami apa yang dialami oleh Malaikat Harut dan Marut"

Kemudian kedua-dua mereka terus menangis sehingga datanglah seruan dari langit yang berbunyi : "Wahai Jibril, wahai Muhammad, sesungguhnya Allah Azza Wajalla telah menjamin engkau berdua tidak akan derhaka".

Lalu Jibril naik ke langit dan Rasulullah SAW meneruskan perjalanan beliau sehingga berjumpa dengan sekelompok orang-orang Ansar yang sedang bermain dan ketawa.

Lalu Rasulullah SAW berkata kepada mereka : "Apakah kamu ketawa, sedangkan di belakang kamu Neraka Jahannam. Sekiranya kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan ketawa sedikit dan banyak menangis, kamu tidak akan makan dan tidak minum, malah kamu akan pergi ke tempat yang tinggi untuk memohon dan meminta pertolongan Allah SWT.

Diriwayatkan oleh Ahmad daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW menanya Jibril : "Kenapa saya tidak pernah melihat Malaikat Mikail ketawa ?"

Jawab Jibril : "Mikail tidak pernah ketawa sejak Allah menjadikan Neraka"

 Sila klik Respon/Komen

 

22 Ogos 2002/13 J. Akhir 1423 | Khamis | 22.30 pm

Catatan Satu

Kempen Mengibar Jalur Gemilang!

            

Buat julung-julung kalinya Pujangga Online - Jalan Hidup melancarkan satu projek mega. Projek yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Kempen Mengibar Jalur Gemilang peringkat jurnalis-jurnalis yang mempunyai jurnal online. Jalur gemilang yang dimaksudkan itu boleh diambil dari Pujangga Online - Jalan Hidup tanpa apa-apa bayaran dengan menggunakan kaedah tersendiri.

Kempen ini dilancarkan oleh Pujangga online memandangkan timbulnya semangat cintakan negara (hubbul watan). Bertepatan dengan tuntutan Islam itu sendiri. Justeru kepada pemilik-pemilik jurnal dipelawa memeriahkan projek ini dengan memaparkan jalur gemilang yang berkibaran di jurnal masing-masing. Kedudukan jalur gemilang tersebut adalah tidak ditentukan, bergantung kepada kretiviti para jurnalis.

Aku telah memilih untuk meletakkan jalur gemilangku yang berkibar di bawah banner gengjurnal sebelah kiri bahagian link. Sama-sama jayakan kempen mengibar Jalur Gemilang yang tidak membazir dan keterlaluan. Semoga ianya menjadi dalil kecintaan kita terhadap negara dan diberi keberkatan oleh Allah SWT.

Catatan Dua

PMHK dan aku

Tahun ini dalam Perayaan Menyambut Hari Kebangsaan aku hanya menyertai dua daripada acara-acara yang dipertandingkan. Dua acara tersebut ialah: pertandingan lukis dan teka, dan pertandingan Forum PMHK. Acara-acara lain aku tidak terlibat.

Acara lukis dan teka diadakan pada hari pertama 21 Ogos 2002 bertempat di Rumah BKPIPM. Saringan pertama menemukan 10 pasukan yang berdaftar untuk mencuba nasib. Aku, Own, Azrul dan Aziru mewakili DPMT. Saringan pertama pasukan aku berjaya meloloskan diri ke pusingan separuh akhir. Walaupun kami tiada sebarang persedian dibuat namun dengan semangat yang dibekalkan kelab penyokong kami seterusnya di pusingan separuh akhir berjaya menempah nama ke pusingan akhir. Hanya tiga pasukan layak ke pusingan akhir. Perak, Tanta dan Selangor. Peringkat akhir saingan lebih sengit. Aku dipilih rakan sepasukan menjadi pelukis tunggal sebaliknya ahli lain sebagai peneka. 

Keputusan pertandingan adalah muktamad. Ianya akan diumumkan pada hari kemuncak nanti iaitu pada malam 31 Ogos 2002. Kami berkira-kira pungutan mata kami berjaya di tempat ke-2 kerana tempat pertama rasanya sudah ditempah oleh Perak. Manakala pasukan kami dan selangor mungkin berkongsi mata. Justeru keputusan hakim adalah muktamad. 

Forum adalah acara yang kedua bagi aku. Saringan pertama dilepasi dengan baik. 4 pasukan telah terpilih layak ke peringkat akhir iaitu Tanta, Selangor, Mansurah dan Terengganu. Kami yang diwakili Angah sebagai pengerusi forum, Azrul panelis pertama ( Profesor Datuk Dr Azrul Azlan - Pensyarah Sains Politik di USM. Penalis ke 2 Faisal Mizan sebagai (Tan Sri Harris Kitingan - Naib Presiden Kelab Rotary Malaysia) dan panelis ke 3 ialah aku ( Yang dipertua Persatuan Ulama Malaysia) mengupas topik: Keamanan Sejagat: antara impian dan realiti. Masa yang diperuntukkan hanya 30 minit.  

Rupanya menyampaikan forum untuk pertandingan adalah berbeza dengan menyampaikan forum apabila menjadi jemputan sebagai panelis biasa yang bukan pertandingan. Di dalam pertandingan kita terpaksa berlakon untuk menyampaikan forum. Namun apa yang menarik... Hari ini aku belajar sesuatu yang baru. Panel tidak boleh curi masa panelis lain. Kalau ada panel yang tercuri masa panelis lain maka... masa akan menjadi semakin terhad. Justeru sebelum masuk ke gelanggang jemari-jemari aku seram sejuk dan keadaan itu kekal sehingga aku menamatkan ulasan sebagai panelis ke 3. Selepas diumumkan berjaya layak ke peringkat akhir... seram sejuk itu hilang entah ke mana.

Sila klik Respon/Komen

 

20 Ogos 2002/11 J. Akhir 1423 | Selasa | 20.20 pm

Aku terharu!

Aku ucapkan terimakasih kepada semua yang memberikan aku kata-kata semangat untuk meneruskan perjuangan di rantau orang ni. Aku mungkin akan pulang ke Cairo esok... untuk menjejak cinta di kota metropolitan itu. Barangkali ianya mampu kucatat nanti dalam "Sebening Cinta Kota Cairo 2". Aku dah masukkan link untuk karya (cerpen-cerpen) kalau rajin bacalah..sementara jurnal ini tidak aku catat!"

Sila klik Respon/Komen

 

19 Ogos 2002/10 J. Akhir 1423 | Isnin | 12.10 am

Cara mendorong seseorang lebih berjaya

Menurut ilmu psikologi, manusia lebih suka menerima pujian berbanding celaan sekalipun apa yang dicela itu adalah bertepatan dengan dirinya. Ini kerana dengan pujianlah dia akan merasa dirinya atau sesuatu pekerjaannya dihargai. Seorang ahli psikologi Jess Lair di dalam bukunya 'I ain't much, baby - But i'm all i got' memberi ulasan: "Pujian laksana cahaya yang menerangi semangat manusia. Kita tidak mampu berkembang dan membesar tanpanya. Kebanyakan manusia hanya bersedia memberikan kritikan kepada seseorang, tetapi enggan untuk menyatakan pujian kepadanya."

Dengan memberikan pujian kita memberikannya segugus keyakinan. Keyakinan merupakan suatu perasaan yang terpendam. Ianya subur apabila ada daya lain yang menggerakkannya. Salah satu dari daya tersebut adalah pujian! Justeru ianya merupakan motivasi untuk membina jatidiri.

Pujian lebih bermakna apabila ianya dinyatakan oleh orang yang berpangkat kepada orang bawahan. Ini kerana mereka (orang bawahan) akan merasa dihargai dan bersemangat untuk melakukan yang lebih baik. Pujian seperti ini adalah penghargaan yang amat bermakna. Selain dari itu manusia juga akan merasa dihargai apabila orang atasan (pimpinan) menjadi pemimpin berjiwa rakyat. Pemimpin seperti ini akan sering mengambil tahu hal-hal orang bawahan (masyarakat), sering bertanya khabar, mudah didekati, peramah, pandai menghargai sumbangan orang bawahan dan sebagainya.

Di dalam kajian 25 tahun yang dibuat oleh Dr Fadzillah Kamsah terhadap bulan anda dilahirkan kebanyakan ciri-ciri yang disenaraikan adalah positif. Ini bertujuan untuk memberikan seseorang keyakinan terhadap dirinya sendiri. Cuba anda bayangkan jika ciri-ciri yang tersenarai di dalam bulan anda dilahirkan itu kebanyakannya menjurus kepada negatif, apa akan terjadi? Sudah tentu anda tidak bermaya dan akan berfikiran negatif setelah membaca ciri-ciri itu.

Persekitaran turut memainkan peranan yang penting dalam membentuk psikologi seseorang. Sekiranya seseorang yang mempunyai cita-cita yang tinggi, tetapi di dalam keluarganya dia tidak pernah langsung diberikan dorongan dan sokongan maka cita-citanya itu akan terkubur begitu sahaja. Akan tetapi sekiranya keluarga, teman-teman, dan orang yang hampir memberikan semangat malah pujian terhadap apa yang dilakukannya sebagai usahanya dia akan lebih berdaya usaha untuk mencapai cita-citanya itu.

Di dalam susur galur keluargaku, aku adalah anak pertama yang berjaya menjejak kaki ke menara gading. Anak-anak saudara ayahku yang lain tamat pengajian menengah tanpa meneruskan di peringkat tinggi. Meskipun aku menyedari ayahku bukanlah orang yang berada, namun ayah pernah berpesan: " Ilmu adalah penghulu hidup."  Ia juga adalah jambatan menuju ke akhirat. Menyedari akan hakikat itu, aku memulakan perjalanan kembara ilmu ke bumi anbiyak ini pada 10 Oktober 1999. Pejam celik...pejam celik September yang akan datang 2002 aku akan mendaftar semula selepas bercuti musim panas sebagai mahasiswa tahun 4 (akhir). Ini semua adalah berkat dorongan dan sokongan yang aku dapat. Keberkatan doa dari semua adalah pendorong untuk aku terus berjaya. Doakan aku berjaya.

Cara untuk memberikan pujian alias menghargai seseorang sering berlainan. Ini melihat kepada siapa orang itu. Jika dia si anak kecil sudah tentu cara menghargainya berbeza dengan remaja dan orang dewasa serta orang tua. Ada orang yang suka kepada perkataan. Ada yang suka diberikan barang, dibelanja, dibawa melancong, diajak ke tempat yang disukai dan sebagainya. Sebagai contoh Tok Rimau membelikan anaknya anak patung sebagai penghargaan kepada si kecil itu yang dunianya hanya disesaki dengan mainan. Rudy memberi wang saku buat adiknya sebagai belanja sekolah sebagai dorongan demi untuk melihat adiknya berjaya sebagai pelajar di peringkat menengah manakala geng jurnal pula memberikan keyakinan sesama mereka dengan memberikan respon apabila meninggalkan catatan di guesst book dan beberapa contoh lain yang aku jumpa dalam catatan geng jurnal. 

Pemberian merupakan sesuatu penghargaan. Kadangkala ianya bermula dengan perkataan dan kadangkala lebih berkesan dengan perbuatan. Fikir-fikirkanah jika kita mahu semua orang mampu menjadi lebih berjaya! Kurangkan mengkeji dan mencela, lebihkan memuji dan menghargai. Memuji dan menghargai bukan mengampu kerana mengampu biasanya diistilahkan untuk tujuan mendapat imbuhan dan tidak ikhlas biasanya melibatkan orang bawahan kepada orang atasan.

Memuji dan menghargai tidak rugi. Suatu masa nanti pujian/penghargaan yang pernah anda beri kepada orang, akan diberikan pula kepada anda. Percayalah... aku pernah mengalaminya! Ini kerana seorang hamba sekali memuji dia telah memuji empat dalam satu masa secara tidak langsung namum hakikatnya semuanya kembali kepada Allah SWT...    

Sila klik Respon/Komen

 

17 Ogos 2002/8 J. Akhir 1423 | Sabtu | 23.10 pm

Catatan Satu

Ahli Panel Forum

Seminggu dari sekarang di Kaherah akan berlangsung perayaan menyambut hari kemerdekaan peringkat persatuan pelajar di Mesir di bawah anjuran PMRAM. Program tersebut melibatkan program dewan dan padang termasuk acara balapan. Akan berlangsung di antara 20-31 Ogos 2002.

Aku telah terpilih untuk mewakili Tanta dalam acara forum siswa yang akan diadakan antara 21-22 Ogos. Semalam para wakil telah datang ke rumah aku untuk berbincang beberapa perkara sebagai persediaan untuk menang di dalam forum itu nanti. Doakan kami berjaya.

Semasa di sekolah menengah dulu, kali pertama aku melibatkan diri dengan acara pentas (berucap di hadapan khalayak ramai) ialah semasa aku di tingkatan satu lagi. Aku dilatih untuk tidak gentar dan mampu melakukan aktiviti seumpama bersyarah, mendeklamasi kan sajak, mendeklamasi syair bahasa arab, debat, dan sebagainya. Hasil dari sebermula penglibatan dari tingkatan satu itu aku mampu untuk melakukan aktiviti seumpama itu, akan tetapi suasana semasa itu masih diselubungi kegentaran.

Empat tahun berturut-turut aku mewakili sekolah di dalam acara kuiz agama. 2 kali sebagai wakil kuiz agama rendah iaitu semasa di tingkatan 2 dan 3 dan mewakili kuiz agama menengah atas semasa di tingkatan 4 dan 5. Kuiz adalah acara yang paling aku minati. Ianya menambahkan thaqafah (persediaan kena banyak membaca) memberikan keyakinan diri untuk menjawab dalam tempoh masa yang ditetapkan, membentuk jatidiri dan sebagainya. Semasa di tingkatan lima juga aku sempat mewakili sekolah sekali lagi di dalam acara kuiz sempena maulidur rasul yang di adakan di dataran Jubli emas Perlis. Sekolah kami menjadi johan! Wah... manisnya kenangan zaman sekolan.

Manakala di dalam acara forum sememangnya aku tidak sangat aktif. Aku cuma pernah menjadi panel forum peringkat sekolah beberapa kali dan tidak pernah mewakili sekolah dalam acara tersebut. alasannya aku lebih meminati kuiz. Hanya ketika hampir menamatkan pengajian peringkat STA semasa di tingkatan 6 aku menerima jemputan untuk menjadi ahli panel untuk forum kecemerlangan pelajar yang di adakan untuk pelajar-pelajar bakal spm dan tingkatan empat di SMKD, Kangar. Selain aku turut menjadi panel ialah Sdr Najmuni Kamis (siswa UIA dalam bidang Law), Sdr Yusaine Yahya (ketika itu siswa Al-Azhar) dan aku yang masih belum lagi bergelar siswa ketika itu. Hanya lepasan SPM dan sedang menanti keputusan Sijil Tinggi Agama untuk melayakkan diri untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir (sekarang). Itulah detik bersejarah aku menjadi ahli panel forum semasa berstatus pelajar sekolah menengah.

Sekarang dunia aku, dunia siswa. Dunia ke arah kematangan ilmu. Dunia untuk ditarbiyah dengan pelbagai potensi sebagai persediaan untuk mendepani masyarakat. Inilah dunia aku sekarang. Justeru peluang untuk mengasah kebolehan dalam pelbagai bidang apabila ada, adalah sesuatu yang menuntut penyertaan. Seakarang mungkin pelajar tidak nampak kepentingan untuk berdepan dengan khalayak adalah bakat yang perlu dilatih agar kegugupan itu sirna, tetapi suatu masa nanti apabila masyarakat benar-benar mendesak maka ketika itulah akan merasa menyesal kerana tidak aktif semasa zaman bergelar siswa. Sesi depan adalah sesi aku sebagai siswa tahun 4 (akhir) untuk menghabiskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda (BA). Aku harap segala persediaan aku akan menjadi batu loncatan untuk aku berdepan dengan masyarakat suatu masa nanti.

Catatan Dua

Putus Wang

Aku tertarik cara Rudy melepaskan kebuntuannya di Bluehikari. Aku juga nak buat sebagaimana Rudy, tetapi di Jalan Hidup sebagai Jurnal Online milikku.

Aku menghadapi sedikit masalah. Masalah ini aku rasa tempat yang paling memahami untuk aku luahkan iaitu di Pujangga Online - Jalan Hidup selain telah kuluah kan kepada Ilahi. Aku mengharap bantuan dan pertolongan Allah.

Jalan Hidup: aku sekarang keputusan wang belanja. wang aku sekarang rasanya terlalu minima untuk tujuan yang pelbagai. Pinjaman aku masih tidak ada isyarat hijau. Sepatutnya pinjaman itu aku perolehi pada Februari lepas, tetapi disebabkan kesilapan teknikel ianya tertangguh sehingga sekarang. Wang saraan ayah aku pun nampaknya tidak kelihatan dimasukkan ke dalam akaun aku. Mungkin ayah dan keluarga menghadapi masalah kewangan. Aku tidak sampai hati hendak meminta.

Hujung bulan ni aku perlu pulang ke Kaherah. Hutang aku pun banyak yang perlu dilangsaikan. Adakah ini semua kerana gara-gara pinjaman aku yang sangkut itu? Aku geram sesekali memikirkan. Tetapi apabila memikirkan hikmah apa yang berlaku hatiku mulai reda. Sekarang aku tidak tahu hendak buat apa. Barangkali aku kena meminjam lagi pada kawan-kawan yang ada di sini untuk menampung kewangan aku yang semakin sesak.

Jalan Hidup: Kalaulah kau seorang yang kaya dan mempunyai wang yang lebih, atau kau hendak melunaskan sedekahmu... berilah kepada aku. Kau boleh masukkan wang itu  ke dalam akaun Al Wadiah di mana-mana cawangan (HSBC) Hong Kong Bank Bhd. atas nama: Ahmad Tarmizi Bin Ismail  dan No. akaun (seperti tertera di atas kad) : 031 019797 011  No. Pasport: A 9844679. Kemudian kau maklumkanlah kepada aku yang kau telah berikan sumbangan itu kepada aku supaya aku dapat mentunaikan wang tersebut. 

Tetapi apakan daya, kau hanya sekadar sebuah jurnal online yang tidak menyimpan juta-juta harta. 

Sila klik Respon/Komen

13 Ogos 2002/4 J. Akhir 1423 | Selasa | 18.50 pm

Membaca semua tulisan di Jalan Hidup

Semalam sewaktu sedang memasukkan entry 12 Ogos, seorang kawan melalui chating di yahoo mesengger memberitahuku yang dia membaca semua tulisan aku di Pujangga Online - Jalan Hidup. Mulanya aku merasa risau juga kalau-kalau aku pernah menulis tentang dirinya di online jurnal aku ini. Tahniah buat kawan aku itu kerana menjadi orang pertama yang membuat pengakuan sebagai pembaca semua tulisan aku di sini. Mungkin ada orang lain lagi yang membaca semua tulisan aku tetapi tidak membuat pengakuan tersebut. Apapun aku gembira sekurang-kurangnya apa yang aku tulis dibaca.

Semasa menulis entry ini pula aku sempat berangan- angan beberapa perkara:

i. Diari (catatan) orang-orang tertentu (pemimpin/ orang kenamaan dll) dicetak dan dijadikan produk yang dipasarkan untuk dibaca oleh orang awam. Adakah suatu hari nanti ada agensi yang akan berbuat begitu terhadap online jurnal yang berlambak di ruang maya untuk mengaut keuntungan hasil jualan itu nanti. Mungkin hal ini tidak terjadi pada online jurnal aku, tetapi boleh jadi berlaku pada jurnal-jurnal jurnalis lain yang lebih menyantau dan tepu dari segi penyampaian jurnal seperti Rudy Bluehikari, Tok Rimau, Fajar, Cikdaun, Aquil, Sera, Nett, Mie, JiGomorrison, ToKsik, Enmiya, Mat Jan, Putri dan jurnalis-jurnalis lain yang tidak disebut sebagai contoh di sini (untuk mengurang kan kadar riya'). Namun jika jurnal online aku terpilih untuk dicetak oleh syarikat penerbitan aku perlu berfikir dan menyemak semula catatan aku sekurang- kurangnya 8 kali. :)

ii. Sekiranya jurnal ini kekal diselitkan di alam maya ini secara berterusan pasti ianya akan boleh dibaca oleh pelayar-pelayar internet dari kalangan generasi mendatang. Kemungkinan di kalangan pelayar-pelayar itu adalah anak @ cucu atau dari kalangan keluarga kita. Oleh sebab itu setiap catatan yang hendak dimasukkan mestilah ditulis secara berhati-hati memandangkan bacaan terhadap tulisan kita mungkin akan menyinggung individu yang kita tulis mengenai nya. Tok Rimau di dalam catatannya ada menulis yang dia menghentikan tulisan versi love story (jiwang karat) malah meng'offer' kepada sesiapa yang berminat untuk membaca tulisan love storynya secara bayaran (yang pasti tiada yang nak). Mungkin kerana Tok Rimau beranggapan jika tulisan love storynya itu nanti ada catatan yang tidak sepatutnya dibaca oleh isterinya itu akan menyinggung perasaannya. Malah dia sendiri tidak bersedia untuk membaca kisah love story org yang dikasihinya bersama orang lain. dia berhenti menulis versi itu. Tahniah Tok!

iii. Mungkin suatu hari nanti apabila weblog/jurnal menjadi suatu yang sangat popular seperti penggunaan emel pada masa sekarang (sekurang-kurang setiap pelayar internet mempunyai emel - walaupun tidak tahu perkara lain) weblog/jurnal mereka yang telah lama online pasti akan menjadi rujukan atau sekurang- kurangnya menjadi bahan kitar semula. Jadi tidak hairanlah jika ada jurnalis muda (baru) akan copy paste catatan daripada jurnal online yang lain atau menyalin idea jurnalis lain (lama) untuk diinterpretasikan ke dalam jurnalnya. Pada masa tersebut, yang popular akan terus popular dan yang baru nak popular boleh tumpang kepopularan itu.

iii. Aku juga terfikir bolehkah menjadi popular dengan mempunyai weblog/jurnal sedangkan aku tidak menjelaskan identiti sebenar aku di dalam weblog/ jurnal ini. Aku sengaja menyembunyikan. sebagai contoh Tok Rimau popular kerana tuah namanya sebagai Tok Rimau, sebaliknya jika disebut nama betul mungkin tak ramai yang mengenali. Tetapi bagi mereka yang sempat kenali aku sebelum kenali jurnal aku... bagi mereka ada penilaian sendiri. Mengapa menggunakan nama Pujangga? Itu suatu persoalan yang menarik dan boleh ditulis dengan kadar perkataan yang banyak sebagai ulasan, tapi malangnya aku tidak berminat. Mungkin kalau suatu ketika nanti aku menjadi popular dengan online jurnal ini tetapi atas nama PUJANGGA, bukan atas nama sebenar.

iv. Kawan aku sempat memberikan nasihat. Katanya "Teruskan menulis walaupun setelah kau berumah tangga nanti." Aku cuma menjawab "Aku akan cuba, tetapi peratus aku mampu untuk melakukan sedemikian mungkin terlalu kecil...justeru perlu meninjau suasana terlebih dahulu."    

Tahniah buat Tazzkirah (kawanku)yang menghabiskan bacaan catatanku di Jurnal Jalan Hidup ini. Sehingga 12 Ogos sekurang-kurangya dia telah membaca 25 922 perkataan. Ketika hendak menghentikan tulisan ini mindaku sudah tidak berselirat lagi. Empat perkara yang aku angan-angankan itu harapnya tidak membosankan sesiapa termasuk aku sendiri bila membacanya suatu masa nanti.

 "Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat"               - Khalifah Abdul Malik bin Marwan

 sila klik Respon/Komen

12 Ogos 2002/3 J. Akhir 1423 | Isnin | 14.20 pm

Catatan Satu

Rehlah ke Iskandariah

Aku bersama sahabat-sahabat usrah Sahabat dan Usrah Jundullah telah mengadakan rehlah ke Iskandariah, sebuah tempat peranginan yang tidak asing lagi di Mesir ini. Iskandariah terletak di utara Mesir; mengambil masa hampir tiga jam bertolak dari Tanta ke sana. Tempat pertama yang ditujui ialah syatie bahr (Pantai) untuk mandi-manda. Kami ke syatie bahr Asofirah, dekat kawasan teluk yang best.

Di pantai itu kejadian tak diingini telah berlaku. Seorang Mak cik Arab berpurdah kehilangan anak (dikhuatiri lemas), seorang lelaki arab telah lemas dan seorang perempuan dalam kejadian berasingan juga hampir lemas. Perempuan tersebut hampir lemas depan mata aku. Mujur aku perasan dan suruh Muhamad (pemandu tramco) untuk selamatkan. Alhamdulillah selamat.

Selepas di pantai sekitar 3 jam, kami bertolak ke rumah tumpangan persatuan di Asofirah. Di sana kami mandi air tawar, solat jama' taqdim zohor + asar dan makan tengahari. Kemudian bertolak ke hadiqah haiwan (zoo). Di zoo selain binatang benua africa dan berlatar padang pasir seperti kuda, kambing gurun, unta siberia terdapat juga binatang-binatang tropika seperti badak sumbu, badak air, gajah, zirafah, singa, burung-burung dan sebagainya. 

Selepas menyaksikan kelibat haiwan-haiwan kami ke tapak permainan bermain kereta laga. Bayaran satu trip LE 2 untuk bermain sekitar lima minit. Aku main dua trip. Masa kecil-kecil tak pernah main, bila dah jadi mahasiswa ni baru dapat main. selain tu terdapat juga permainan-permainan lain seperti buaian udara, kereta pusing-pusing, dan lain-lain yang aku tak tahu namanya.

Pulang dari zoo kami singgah di Maktabah Suzan Mubarak. Sebuah perpustakaan yang baru disiapkan adalah antara bangunan dan senibina canggih di Mesir. Menurut seorang kawan yang pernah berkesempatan masuk ke dalam menyatakan bahawa servis di dalam sangat canggih malah menyediakan khidmat layanan yang istimewa.

Setelah bergambar dan bersiar-siar di ruang legar luar (sebab dah tutup) kami ke suq (pasar) di sebuah tempat yang aku lupa namanya untuk mencari ikan-ikan atau udang, sotong dan sebagainya untuk dijadikan ole-ole pulang ke Tanta. Malangnya indah khabar dari rupa, pasar tu tidaklah sebesar mana dan penawarannnya terhad dengan harga yang tidak munasabah. Akhirnya kami kembali ke Asofirah untuk solat jama' taqdim maghrib isyak dan ke suq (pasar) berhampiran. Sebelah malam ikan, sotong, udang tak banyak. Yang banyak buah-buahan dan sayuran segar.

Kami (aku, own dan pakya) beli ikan 'aya' dua kilo, buah peer 2 kilo, anggur banati 1 kilo dan anggur hitam ('inab asmar) sekilo. Pakwan pula beli ikan untuk projek ikan pe*****nya. Pukul sepuluh malam baru bertolak pulang dan sampai di Tanta hampir jam 1.00 pagi. Keletihan membalut diri. 

Catatan Dua

Pembentangan Kertas Kerja Muzik: Menurut Kaca mata Islam

Aku telah menghadiri pembentangan kertas kerja Muzik yang diadakan di Dewan Mahmud Syaltut pada 10 Ogos lalu. Pembentangnya ialah Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Hussin al-Minangkabawi. 

Sebelum ini aku ada sedikit tasawur tentang muzik tetapi tasawur itu tidaklah terlalu jelas tentang hukum- hukum yang berkaitan dengan muzik. akan tetapi setelah menghadiri pembentangan kertas kerja itu dapatlah aku simpulkan beberapa perkara.

HUKUM NYANYIAN

1. Nyanyian tanpa alat muzik
2. Nyayian yang disertai dengan alat-alat muzik

Kesepakatan ulamak: Seluruh ulamak Islam mengharamkan segala bentuk nyanyian yang mengandungi unsur-unsur maksiat dan kederhakaan kepada Allah seperti lagu-lagu yang menyeru ke arah perbuatan maksiat dan penyanyi wanita yang berkelakuan tidak senonoh (lucah) dan sebagainya.


1. Nyanyian tanpa alat muzik:

Khilaf kepada 3 pandangan:

i. Golongan yang mengharamkan nyanyian secara mutlak. Pendapat ini daripada sebahagian Hanafiah dan sebahagian Hanabilah.

ii. Golongan kedua memandang makruh nyanyian tanpa alat merupakan pendapat mazhab Shafie.

iii. Golongan ke tiga berpendapat nyanyian tanpa alat harus selama mana tidak bercampur dengan perkara-perkara haram.

Konklusi perbincangan: Harus dengan syarat tidak mengandungi unsur-unsur maksiat dan kederhakaan terhadap Allah. Ini merupakan pandangan kebanyakan ulamak antaranya Dr Yusuf Al-Qaradawi, Dr abdul Karim Zaidan, dr Wahbah zuhaili dan sebagainya.

2. Nyayian yang disertai dengan alat-alat muzik:

Berlaku khilaf di dalam perbincangan mazhab.

Konklusi perbincangan: Harus. Pendapat ini disokong oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi di dalam kitabnya 'Al-Islam wal-Fan' (Islam dan kesenian).

Hukum Mendengar Nyanyian wanita:

Seluruh ulamak islam telah bersepakat menyatakan harus bagi lelaki mendengar nyanyian yang dinyanyikan oleh wanita mahramnya, isterinya atau hamba wanitanya sendiri.

Khilaf: Adakah boleh lelaki mendengar nyanyian daripada wanita ajnabi.

i. Golongan yang membenarkan tetapi mensyaratkan agar tidak berlaku fitnah dan menimbulkan syahwat. Mereka ialah Imam Al-Ghazali, Ibn Hajar Al-'Asqalani dll.

ii. Golongan yang tidak membenarkan samada boleh menimbulkan syahwat atau tidak. Mereka ialah Ibn Qaiyyim Al-Jauziyah, Abu Al-Tayyib dan Dr Wahbah Zuhaili.

Konklusi perbincangan: Nyanyian daripada wanita hari ini berunsur negatif dan menyeru kepada maksiat serta menjurus kepada pergaulan bebas di kalangan umat Islam. wanita penyanyi itu pula tidak berpakaian menutup aurat sehingga menggayakan aksi-aksi ghairah sehingga menimbulkan fitnah dan membangkitkan syahwat. Justeru ulamak mengharamkan mendengar nyanyian seperti ini secara qati'e.

Akan tetapi jika penyanyi berpakaian menutup aurat dan menyanyi dengan bertepatan syariat Ilahi di samping tidak menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat maka harus berpandukan pandangan daripada Dr abdul Karim Zaidan.


Beberapa dhawabit atau syarat-syarat yang mesti dipatuhi untuk mengharuskan sesuatu nyanyian:

1. Isi nyanyian yang ingin dipersembahkan hendaklah bertepatan dengan kehendak-kehendak Islam. Oleh yang demikian, segala bentuk-bentuk lirik nyanyian yang menyalahi syariat Allah Taala adalah haram.

2. Penyampaian nyanyian hendaklah bertepatan dengan Islam. Jelasnya Islam mengharamkan segala bentuk nyanyian apabila si penyanyi mendedahkan aurat, melakukan gerak badan yang tidak sopan ataupun si penyanyi mempersembahkan nyanyian dengan suara lucah yang boleh menyebabkan fitnah serta ransangan nafsu yang kotor di kalangan penonton sekalipun lagu yang dinyanyikan adalah lagu-lagu yang baik.

3. Suasana majlis hendaklah bertepatan dengan Islam. Percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sebarang sekatan dan had, majlis tari menari di kalangan dara dan teruna yang juga bukan mahram, berlakunya acara minuman keras dan seumpamanya merupakan faktor yang menyebabkan satu-satu agenda yang baik dari segi matlamat pada asalnya berubah menjadi satu bentuk penderhakaan kepada Allah lantaran maksiat yang mewarnai majlis tersebut.

4. Nyanyian yang ingin dipersembahkan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak dan kewajipan yang lain tidak terabai. Seperti solat, hak mencari nafkah, menuntuk ilmu dan sebagainya.

5. Setiap pendengar dan penonton adalah mufti kepada dirinya sendiri. Apabila satu-satu nyanyian adalah harus berdasarkan 4 syarat yang telah pun disebutkan, tetapi nyanyian ini telah menyebabkan penonton secara individu teransang nafsunya lantas mengkhayalkan perkara-perkara yang tidak selayaknya difikirkan, maka ketika itu hendaklah si pendengar atau penonton menjauhi nyanyian tersebut disebabkan negatif yang timbul di dalam dirinya sendiri. Konklusinya setiap pendengar kepada satu-satu nyanyian yang halal adalah mufti kepada dirinya sendiri. 

Catatan Tiga

Cenderahati Daripada Pujangga Online -Jalan Hidup

Pujangga Online - Jalan Hidup dengan berbesar hati akan menganugerahkan cenderahati kepada seluruh pengisi Anjung Tamu Julai. Oleh itu kepada semua yang mengisi Anjung Tamu bulan Julau bolehlah menyertakan nama dan alamat masing-masing di Anjung Tamu Pujangga Online - Jalan Hidup untuk urusan penghantaran cenderahati tersebut. Jangan lupa berbuat demikian untuk memudahkan penghantaran cenderahati melalui pos. 

Pujangga Online - Jalan Hidup mengucapkan terima kasih kepada pengisi Anjung Tamu. Aku cukup gembira. Dan jangan lupa tinggalkan alamat anda di Anjung Tamu bila membaca entry ini. 

10 Ogos 2002/1 J. Akhir 1423 | Sabtu | 23.20 pm

Catatan Satu

Bekas Pengarah PERSADA

Lepas zohor tadi di rumah aku berlangsungnya perjumpaan muhasabah untuk PERSADA DPMT yang telah berlangsung pada 7-11 Julai 2002 yang lalu. Kecuali along dan Us Hafiz yang balik Malaysia, Hisyam dan Us Sanuzi turut tidak hadir. Yang lain alhamdulillah hadir belaka.

Selepas solat zohor, makanan dihidangkan. Nasi minyak + ayam masak tomato + acar timun + buah anggur. Selasai makan mesyuarat dimulakan dengan pembentangan agenda dan ucapan pengerusi selaku Pengarah ops... bekas pengarah sebenarnya.

Kemudian pembentangan belanjawan unit untuk PERSADA oleh bendahari kemudian muhasabah umum dan khusus kemudian usul dan cadangan dan seterusnya perkara berbangkit dan hal-hal lain. Mesyuarat berjalan dengan baik kemudian memutuskan untuk mengadakan program muhasabah pada 16 Ogos nanti untuk majlis (jamuan makan ajk sebenarnya) dan Kamel terpilih sebagai pengarah program itu nanti. Nampaknya Kamel kena tonjol sikit bakat/kebolehan untuk terpilih menjadi Pengarah untuk program mega tahun depan. He heh... Syabas!

Catatan Dua

Rehlah ke Iskandariah

Aku sudah menempah satu kerusi untuk rehlah (makan angin) ke Iskandariah esok bersama Usrah Sahabat. Aku harap per'musafiran' ke Iskandariah kali ini akan meninggalkan palitan kenangan yang indah. 

Musim cuti kali ini aku lebih banyak menghabiskan masa di Tanta. Membelek-belek buku, kitab, kertas kerja, dan kadang-kadang (sebenarnya selalu juga) ke cyber cafe (cc) untuk membaca berita, emel, mengupdate jurnal dan melayari laman-laman yang boleh memberikan maklumat, ilmu serta thaqafah tambahan kepada diri aku. 

Cc di sini diistilahkan sebagai pejabat di kalangan kawan-kawan aku. Bukan apa...untuk mengelakkan dari menyebut perkataan internet yang agak tidak molek pada pandangan masyarakat terutama mereka yang berfikiran internet hanya tempat membuang masa dan melakukan kerja tak berfaedah. Namun ada juga siswa/ siswi yang beranggapan internet salah satu tempat yang bermanfaat.

Bagi aku sejauh mana manfaatnya internet, ianya bergantung kepada individu itu sendiri mengaplikasikan penggunaan internet (cc) itu sendiri. Andai mereka yang masuk ke cc hanya untuk tujuan 'chating dan melayari web-web hiburan semata-mata' maka golongan ini bolehlah diistilahkan membuang masa. Akan tetapi jika pandai menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat dan ilmu maka tidaklah boleh dianggap individu seumpama itu membuang masa.

Pandai-pandailah fikir. Generasi pasca alaf baru sudah tentu tidak terlepas untuk menggunakan peralatan dan kemudahan canggih seperti internet yang bersifat global. Tidak dinafikan 80 peratus bahan di dalam internet boleh disifatkan sebagai 'sampah'. Ianya terdiri dari web-web yang tidak mendatangkan sebarang bentuk ilmiah sehinggalah kepada web-web porno yang menyediakan gambar-gambar lucah. Namun tidak dinafikan terdapat juga bahan-bahan yang berbentuk imiah dan mampu menjadi rujukan kepada golongan pelajar/siswa namun nisbahnya terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan 'sampah-sarap' internet tersebut.

Adakah JURNAL ONLINE sebahagian sampah??? Kasi respon!

9 Ogos 2002/30 J. Awal 1423 | Jumaat | 16.00 pm

Catatan Satu

Alhamdulillah keputusan peperiksaan aku dah tersiar dan aku berjaya naik ke tahun 4 sesi depan. Syukur aku pada Allah swt di atas apa yang dianugerahkan. Berita gembira ini telah aku sampaikan kepada keluarga. Semestinya keluarga merasa gembira kerana aku akan memasuki tahun akhir pengajian. 

Bermula dengan menjejak kaki di Mesir pada 11.10.99 dan menerima tawaran belajar di Universiti Al-azhar cawangan Tanta dalam Fakulti Syariah dan Undang- undang, jabatan Syariah Islamiah; tanpa sedar kini akan memasuki tahun akhir pengajian. 

Tahun pertama: sesi 99-2000 - tahun 1

Tahun kedua: sesi 2000-2001 - tahun 2

Tahun ketiga: sesi 2001-2002 - tahun 3

Tahun keempat: sesi 2002-2003 - tahun 4 (akhir)

Pengajian di Al-Azhar boleh diistilahkan sangat mencabar. Memerlukan kepada pengorbanan dan usaha yang gigih serta pergantungan yang tinggi kepada Allah swt.

Aku berdoa dalam tempoh setahun dari sekarang... aku akan berjaya menyudahkan pengajian peringkat Ijazah pertama (BA) dengan cemerlang di samping dapat menguasai ilmu dan thaqafah dengan baik. Doakan aku.

Catatan Dua

Ada satu link yang ingin aku perkenalkan:

Media Isnet: http://media.isnet.org/islam/index.html 

7 Ogos 2002/28 J. Awal 1423 | Rabu | 13.55 pm

Catatan Satu

Kadar Ingatan

Kebanyakan malah boleh dikatakan hampir semua manusia tidak mampu mengingati semua peristiwa yang berlaku sepanjang hidupnya. Hal ini merupakan perkara biasa dan tidak dianggap pelik beralaskan beberapa perkara. Antaranya sifat semulajadi manusia itu sememangnya pelupa. Di dalam bahasa arab manusia disebut (Al-insan) yang diambil dari kata dasar nasiya yang bererti lupa.

Lantaran itu Allah memberikan rukhsah dengan mengangkat dosa atas kesilapan alias kesalahan orang yang lupa. Di dalam sebuah hadith yang terkenal diriwayatkan bahawa Allah mengangkat dosa bagi tiga jenis manusia; pertama: orang yang tidur, orang yang tidak sedarkan diri dan budak-budak yang belum akhil baligh sehinggalah mereka sedar atau budak itu baligh. Dalam keadaan ini Allah memberikan keluangan untuk golongan tersebut.

Jadi amatlah tidak bijak jika seseorang menghukum seseorang kerana lupa. Apa lagi jika orang itu memang benar-benar lupa, dan dia tidak buat-buat. Atau dalam erti kata lain dia telah cuba untuk ingat tetapi lupa juga kerana lupa itu sifat semulajadi manusia. Namun adalah tidak masuk akal jika kita tidak langsung menghukum si pelupa itu sehingga akan menyebabkan dia sering lagi untuk terus lupa. Sekurang-kurangnya dengan menghukum itu akan memberikan dia keedaran dan muhasabah kepadanya supaya akan lebih berhati-hati di lain masa.

Tidak perlu juga merasa inferioriti komplek (betul ke ejaan) apabila seseorang itu tidak mampu mengingati semua peristiwa yang berlaku sepanjang hidupnya kerana boleh dikatakan ianya sememangnya perkara biasa bagi setiap insan yang sering lupa. Justeru bila aku fikirkan aku tidak mampu mencatat semua peristiwa lalu di dalam jurnal ini, aku akur.

Catatan Dua

DOA WEHDAH


Tiada Tuhan yang disembah selain ALlah
Tuhan yang Maha Esa
dan kami berserah kepadaNya
Tiada Tuhan yang disembah selainNya
kami tidak menyerah selain kepadaNya
kami mengikhlaskan tunduk kepada Nya
walaupun dibenci oleh org musyrik
Tiada Tuhan selain Allah
Tuhan kami dan Tuhan nenek moyang kami
yang terdahulu

Tiada Tuhan yang disembah selain Allah
Tuhan yang Esa,Tuhan yang Esa,Tuhan yang Esa
Dia telah menunaikan janjiNya
Dia telah memenangkan hambaNya
Dia telah memuliakan tenteraNya
dan Dia telah mengalahkan musuhNya berseorangan

Bagi ALlah segala kerajaan,bagi segala pujian
Dia yang menghidupkan dan mematikan
Dia yang mematikan dan menghidupkan
sedangkan Dia Maha Hidup dan tidak mati
Dalam segala kekuasaan dan kebajikan
dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu
ALlah Maha Besar

Ihsan dari Bumi Tarbiyyah.
Universiti Malaya.

Catatan Tiga

Kontrol Emosi

Mengapa kena kontrol emosi? Soalannya mudah tapi jawapannya sangat susah. Lebih-lebih lagi jika soalan ini ditanyakan kepada orang yang sememangnya beremosi pada kadar yang merbahaya. Tanya sikit  emosinya terus mengada-ngada.

Tentu merbahaya bukan? Paling kurang kalaulah orang yang beremosi itu tidak mahu menunjukkan tanda bahawa dia marah dan beremosi, mukanya akan berubah dan jika tidak dapat dikawal lagi... dia akan menjadi agresif dan bertindak. 

Pernah kena penampar? Pernah kena pukul? terajang atau penendang bila anda bergurau dengan manusia yang beremosi seperti itu? Anda tentu akan ingat bahawa dia bukan jenis yang suka bergurau. Bila anda bergurau saja dengan dia, dia tidak  pandai untuk bertindak dengan bergurau kembali sebaliknya bertindak agresif dan menunjukkan tanda marah. Anda tentu dapat membaca tanda-tanda marah pada manusia. Memang bukan perkara yang susah untuk membaca tanda-tanda marah. Antaranya; riak wajah berubah, meninggalkan majlis, melepaskan suara menidak atau mengkontra sesuatu perkara. Itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kemarahan yang ada pada manusia.

Apa akan jadi bila ada orang yang mengatakan anda seorang yang ego??? Adakah anda boleh terima kenyataan itu? Jika anda boleh terima maknanya anda mampu mengawal emosi anda. Anda telah separuh berjaya. Separuhnya lagi bila ada perubahan yang anda buat untuk berubah menjadi tidak ego.

Sebaliknya jika anda tidak mampu mengawal emosi anda, anda pastinya akan menggunakan emosi yang ada pada diri untuk menunjukkan rasa tidak senang dengan kenyataan itu. Anda mungkin akan menidakkannya atau menghukum bahawa anda tidak ego, dan anda kadangkala tanpa sedar menyatakan anda seorang yang baik berbanding dia. Atau anda akan menghebohkan kekurangan yang ada pada dirinya dan dalam masa yang sama anda nyatakan kelebihan yang ada pada diri anda. Betulkah cara ini???

Susah sangatkah untuk mengakui kelemahan diri sehingga menyebabkan anda menjadi tidak puas hati bila ditegur. Apakah anda yakin anda yang terbaik? Apakah memadai dengan jawatan yang anda pegang sekarang sebagai tiket untuk anda dianggap perfect 'terbaik' atau ma'sum? Hanya Nabi dan Raul sahaja dijamin Allah sebagai manusia yang ma'sum (tidak melakukan kesilapan/ dosa). Akan tetapi jangan lupa tidak semua nabi atau rasul itu yang terbaik. Sebagai contoh Allah pernah menempelak Nabi Musa apabila baginda menyatakan kepada kaumnya bahawa dialah yang paling alim. Allah menyuruh Nabi Allah Musa ketika itu mencari seorang nabi lain yang lebih alim daripadanya iaitu Nabi Allah Khaidir a.s.

Jelasnya manusia dibekalkan Allah dengan serba-serbi kekurangan. Perlu berlapang dada bila ditegur atau tidak bertindak agresif atau menunjukkan emosi yang berlebihan untuk menidakkan sesuatu perkara yang sememangnya ada pada diri kita. Kecualilah jika orang yang menyenaraikan kesalahan itu sengaja mereka- reka atau membuat fitnah semata-mata. Memang sewajarnyalah kita mempertahankan diri supaya tidak merebak fitnah itu sehingga menjadi besar dan lebih merbahaya. Namun untuk mempertahankan diri bukan dengan cara memalukan sidia itu dengan turut menyenaraikan perkara-perkara aib yang ada pada dirinya.

Sebagai muslim... Allah telah memperingati kita supaya berwaspada dalam setiap tindakan. Sentiasa berbaik sangka dan sebagainya supaya dengan tindakan yang seumpama itu akan menjadi keberkatan dalam kehidupan. Pengawalan emosi amat penting. Belajarlah untuk mengawal. Emosi juga perkara yang penting... Tanpanya seseorang akan menjadi pasif, mandom dan sebagainya.

Jangan jadi agresif dan berlebihan emosi selepas membaca artikel ini!

Catatan Empat

Pak Wan dah mula buat projek ikan p******nya. Khabarnya dia membeli ikan itu di Mahallah kubra. Projek itu tecetus mungkin untuk menampung kos sara hidupnya atau lebih tepat untuk dijadikan wang untuk perbelanjaan pengangkutan. Sebelum dia... Halim telah menjadi pelopor projek telur masin. Tapi khabarnya tak seuntung mana. Projek kecil-kecilan.

Selain itu halim juga menjadi pengedar minyak wangi. Masa PERSADA  lalu Pak Wan bergabung tenaga dengan Own dan beberapa kawan lain buat projek jual nasi lemak &  Roti jala. Gerai mereka pilih nama 'Master Corner'. Projek itu untuk tabung mabda' thaqafi untuk pembiayaan master nanti. Tapi malang juga tidak untung.

Selain itu mabda' ambil tender masak untuk Seminar Ekonomi Bank Rakyat. Tapi tak tahu la... untung banyak mana. Idea... Pakwan untuk berniaga tercetus dan dia mengajak aku berniaga mencari wang untuk sara hidup jangka pendek dan jangka panjang (master). Namun aku kurang berminat. Dalam kurang minat itulah aku dikenali juga..sebagai peniaga 'kapsul habbatul sauda' dan menjadi sub-broker tiket. Tapi aku tidak seaktif orang lain. 

Meskipun ayah aku seorang peniaga, namun di Mesir aku tidak berminat untuk menjadi seorang peniaga unggul. Malah tidak tertanam niat itu di hati aku. Aku berpandangan Mesir... tempat untuk aku tumpukan pada pelajaran, bukan untuk cari kekayaan. Sebab itulah aku kurang berminat untuk berniaga.

Musim cuti sebegini... ada yang dapat idea macam- macam. Apapun aku doakan mereka akan berjaya dengan apa yang mereka cuba. Bila berniaga akan memikirkan pelbagai perkara. Bermula dari penyediaan kos (modal), produks, tenaga, masa, kaedah pemasaran, pelanggan, kerugian, keuntungan dan sebagainya... apa pun Selamat berniaga Pak Wan.

5 Ogos 2002/26 J Awal 1423 | Isnin | 11.15 am

Catatan Satu

Hukum Ekonomi

Semasa belajar ekonomi asas di sekolah menengah dulu, cikgu ekonomi aku selalu mengingatkan supaya kami menghafal beberapa hukum ekonomi. Antara yang paling popular ialah hukum permintaan dan penawaran. Apa yang masih aku ingat (kalau salah sila betulkan) hukum bagi permintaan: "Apabila permintaan meningkat (tinggi) dan penawaran berkurangan maka, harga barangan akan turut meningkat"... begitulah berlaku jika sebaliknya iaitu: "Apabila permintaan berkurangan sedangkan penawaran berlebihan maka harga barangan akan turun.

Manakala hukum bagi penawaran pula: "Apabila penawaran meningkat dan permintaan berkurangan maka harga akan jatuh (menjadi rendah) dan apabila penawaran berkurangan sedangkan permintaan berlebihan (tinggi) maka harga barangan akan meningkat (naik).

Baru-baru ini aku dan kawan-kawan singgah untuk membeli mangga (mempelam) di salah sebuah gerai buah mangga. Kami sememangnya sedar kedai mangga di situ boleh di katakan banyak berderet-berderet. Kesemua gerai menjual (menawarkan) buah mangga dari jenis yang sama. Harga yang menjadi kebiasaan ialah sekitar sekilo Le 3.00-Le 4.00 sahaja. Boleh dikatakan berpatutan kerana mangga yang ditawarkan adalah dari jenis yang baik manis. Akan tetapi malang kami hari itu kerana apabila bertanyakan harga yang ditawarkan lebih mahal dari harga biasa.

Kami mula mengintai gerai yang lain. Malangnya harga yang ditawarkan juga mahal. Aku mengcongak sendiri. Mungkin disebabkan jumlah kami yang ramai maka kemungkinan disebabkan permintaan yang banyak maka harga kepada penawaran (mangga) meningkat. Kalaulah mangga itu terhad (penawaran sedikit) maka berbaloilah jika harga penawaran menjadi tinggi disebabkan permintaan yang banyak (berlebihan). Sayang sekali... jikalah hukum ekonomi boleh berubah atau bila permintaan meningkat maka harga yang ditawarkan juga menurun... sudah tentu akan berlaku lebih banyak penawaran. Atau dalam bahasa yang mudah... jika hari itu, harga mangga itu murah sebab permintaan kami banyak, sudah tentu kami beli banyak mangga. Tapi malang... peniaga hari tu lebih nampak keuntungan segera dengan menaikkan harga, maka kami (pembeli) terpaksa membeli dengan harga yang tinggi... meskipun penawaran mangga tidak terhad.

Akhirnya... kami pulang tanpa beli mangga! Alasannya.. kami berkira-kira, peniaga akan merasa rugi nanti sebab tidak menawarkan harga yang berpatutan kepada kami... sehingga kami menafikan pembelian.

4 Ogos 2002/25 J. Awal 1423 | Ahad | 18.05 pm

Catatan Satu

Kembali Berjurnal

Lebih seminggu aku berehat. Tidak melakukan sebarang catatan baik secara berjurnal di Pujangga Online - Jalan Hidup, Untaian Masa mahupun menghasilkan artikel atau karya kreatif. Minda jadi buntu. Kerehatan kadang-kadang melemahkan daya atau mengurangkan skill penulisan. Untuk kembali menulis terasa agak janggal. Barangkali mungkin kerana kekurangan bahan untuk diperkatakan. Tapi jika dituduh bahan tidak ada... terlalu mustahil. persekitaran aku setiap hari pelbagai peristiwa berlaku. Mana mungkin tiada bahan. 

Ogos adalah bulan merdeka. Bulan perayaan kemerdekaan yang juga dikenali hari kebangsaan. Kenapa dinamakan kebangsaan??? Kebangsaan merujuk kepada kata dasar 'bangsa'. Mungkin untuk memperingati perjuangan bangsa lalu untuk mendapatkan kemerdekaan; 31 Ogos setiap tahun dirayakan sebagai hari kemerdekaan tanahair bertukar disebut hari kebangsaan.

Di Kaherah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) di bawah Keduataan Malaysia khabarnya telah melancarkan kibaran 'Jalur Gemilang' terbesar di Afrika sebagai intisari untuk menyambut hari kebangsaan pada 31 Ogos nanti. Bendera 'Jalur Gemilang' yang besar itu menelan kos yang juga besar malah boleh saja disebut pembaziran yang melampau. Apa tidaknya dalam keadaan pelajar yang memerlukan saluran kebajikan pihak kedutaan, projek Jalur Gemilang dilaksanakan bagi membuktikan slogan Malaysia Boleh dan berbangga kerana ura-ura mengatakan bahawa itulah bendera terbesar pernah diciptakan di Benua Afrika. 

Kerajaan Mesir sendiri tidak mengusahakan projek mengibar bendera sebesar itu. JPMK sudah melampau nampaknya merealisasikan projek bangang seumpama itu. Perbelanjaan itu jika disalurkan kepada para pelajar di sini kemungkinan boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti persatuan dan kebajikan. Ini tidak lebih mementingkan kemegahan dan nama semata-mata. 

Sememangnya Islam menggesa penganutnya cintakan kepada tanahair. Dan salah satu cara untuk menunjuk cinta kepada tanahair ialah dengan menyambut hari keraian seperti hari kemerdekaan. Akan tetapi itu cuma satu juzuk kecil daripada kefahaman cintakan tanahair. Sebenarnya cintakan tanahair ialah dengan menjaganya daripada serangan musuh. Mengembalikan kepada pemerintahan Islam yang hakiki. Memajukan negara dan sebagainya. Jikalah cintakan tanahair hanya dengan menyambut hari kemerdekaan dan melaksanakan projek yang merugikan itu menambah kemurkaan Allah sahaja.

Catatan Dua

Kau Di Hatiku

Dari jauh kukirimkan salam rindu
yang berkocak di memori ingatan
lantas selirat kasih yang pernah bersemi
memudarkan warna-warna cinta

Maafkanlah diriku
Sewaktu mendengar khabar berita daripadamu
aku terkial-kial sendiri
mencari-cari kesilapan diri 

Kita barangkali ditakdirkan berpisah
Mungkin hanya untuk seketika
namun andai untuk selamanya
biarlah kita meredzainya dalam pasrah                    

Aku membawa diri ini 
ke lembah kontang untuk mencari
sebuah makna kehidupan ukhrawi

Kau ke sana
mencari cita-cita
mengejar impian dunia

Aku rela melepaskanmu
warkah terakhir yang pernah kutulis
tidak kuhantar kepadamu
setelah aku tahu
kau rela melepaskan aku pergi

Kini kenangan lalu kembali menerpa
bila igauan wajahmu yang menghantui tidurku
menjelma lagi

Aku sedar... 
antara kita telah lama terlerai ikatan
namun aku tidak pernah terasa rugi
sempat mengenalimu

akan kuselitkan memori itu
di saku ingatan
biar ia berulit 
dalam kotak nostalgia
kerana aku tahu
kau di hatiku

Khas Buatmu... Nostalgia 797

Catatan Tiga

Warkah Buat Puteriku

Saudara Ismail Hasyim telah menghantar cerpen Warkah Buat Puteriku ke sebuah akhbar tabloid terbitan Brunei Darus Salam. Cerpen itu tersiar.

Seorang rakan di Brunei memberitahuku. Dia mengandai aku menghantarnya ke sana. Tapi dia sendiri pelik kerana nama pengirim ialah Ismail Hasyim sedangkan namaku tidak seperti itu.

Namun Saudara Ismail Hasyim masih tidak meninggalkan nama pena asal penulis cerpen tersebut dengan menyatakan bahawa cerpen itu ditulis oleh: Akhi Masrawi Dari Tanta, Mesir. Ini maklumat yang aku perolehi daripada rakan yang tinggal di Brunei melalui chating di YM baru-baru ini.

Apa pun aku ucapkan terima kasih buat saudara Ismail Hasyim kerana berusaha menghantar cerpen itu ke penerbitan Brunei meski tidak memaklumkan kepada penulis asal. Apa yang penting mesej yang hendak disampaikan melalui cerpen tersebut. Untuk Baca Cerpen Warkah Buat Puteriku sila Klik disini.

 Kembali Jurnal Jalan Hidup

 


Terminal Terakhir...

Berminat untuk hubungi aku sila emel kepada: [email protected]

© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA  1980-2002

 

Hosted by www.Geocities.ws

Hosted by www.Geocities.ws