8. Masalah Memahami Adjektif

Tanya : SAYA berasa sukar untuk memahami maksud adjektif. Dapatkah cikgu terangkan dengan terperinci? Hal ini demikian kerana penggunaannya di dalam ayat bercanggah dengan syarat-syaratnya. Daripada ayat-ayat yang saya kemukakan ini, yang manakah yang betul penggunaannya?

1a. Pekerja-pekerja sedang memperlebar jalan itu.
1b. Pekerja-pekerja sedang memperlebarkan jalan itu.
2a. Pekerja-pekerja sedang memperluas jalan itu.
2b. Pekerja-pekerja sedang memperluaskan jalan itu.
3a. Bersolek dapat mempercantik wajah seseorang itu.
3b. Bersolek dapat mempercantikkan wajah seseorang itu.

Saya ucapkan terima kasih atas keterangan yang akan diberikan kelak.

Jawab : Kata adjektif dapat ditakrifkan sebagai kata yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu benda atau kata nama (Asraf: 1990). Kata adjektif boleh disertai kata keterangan seperti amat, paling, dan sangat sebagai penguat. Misalnya, amat cantik, paling besar, sangat luas/luas sangat, lebih terang, bodoh benar. Oleh itu, perkataan cantik, besar, luas, terang, dan bodoh semuanya tergolong sebagai adjektif kerana dapat disertai penguat. Bagaimana pula tentang perkataan-perkataan marah, tidur, menangis dan lapar? Adakah keempat-empatnya adjektif juga? Jawabnya, marah dan lapar adalah adjektif kerana boleh disertai penguat seperti sangat. Kita boleh mengatakan sangat marah dan sangat lapar. Sebaliknya, bolehkah kita mengatakan *sangat menangis ataupun *sangat tidur? Tentu sekali tidak boleh, kerana perkataan menangis dan tidur tergolong sebagai kata kerja. Tentang contoh ayat yang saudara kemukakan itu, yang betul ialah 1a, 2a dan 3a. Hal ini demikian kerana menurut keterangan yang diberikan oleh Asraf, kata adjektif sebagai kata dasar bagi kata terbitan yang berawalan rangkap mempertidak boleh disertai akhiran -kan. Dalam contoh ayat yang diberikan, kata dasar lebar, luas, dan cantik adalah kata adjektif. Oleh hal yang demikian, awalan memper- sahaja sudah memadai, tidak perlu lagi ditambah-kan.

BACK

NEXT


| utama | perutusan siber | motto | visi dan misi | piagam pelanggan | sejarah dan perkembangan |
|
pengetua-pengetua | majlis tadbir | PIBG | maklumat tenaga akademik |
|
pusat sumber sekolah | | bimbingan dan kaunseling | panitia mata pelajaran |
|
pelajar cemerlang | sukan dan permainan |
|
kelab dan persatuan | unit-unit beruniform | oh bahasaku | koleksi soalan |

© SMKTM

apa sahaja pandangan, komen, kritikan dan sebagainya sila kemukakan kepada webmaster

Hosted by www.Geocities.ws

1