PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH GOMBAK

Perutusan Hari Guru

Perutusan dari Menteri Pendidikan Tahun 2002

Perutusan dari Menteri Pendidikan Tahun 2001

Perutusan dari Ketua Pengarah Pendidikan Tahun 2002

Perutusan dari Ketua Pengarah Pendidikan Tahun 2001

 

Perutusan Menteri Pendidikan

PERUTUSAN HARI GURU 2002

Y.B. TAN SRI DATO’ SERI MUSA BIN MOHAMAD

MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA 

‘GURU BERKUALITI ASPIRASI NEGARA’

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 1.                 Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan taufik dan hidayah-Nya, dapat kita bersama-sama menyambut perayaan Hari Guru yang ke-31 pada tahun ini. Ini bererti sudah lebih tiga dekad kita berusaha memupuk dan menghidupkan tradisi mengenang dan mengingati jasa bakti guru, dalam usaha kita melahirkan masyarakat terdidik, demi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.

 2.                 Bersempena hari yang bersejarah ini, saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di seluruh tanah air. Tahniah dan terima kasih kepada guru-guru yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi terhadap tugas dan amanah suci mengasuh dan mendidik anak bangsa, sehingga kita dapat mengecapi kemajuan dan hidup aman damai sehingga kini.

 
Para pelajar dan murid-murid yang dikasihi sekalian,
 

3.                 Inilah masanya untuk anda menunjukkan rasa berterima kasih kepada guru-guru yang mendidik dan mengasuh anda selama ini. Jadikanlah Hari Guru ini sebagai kesempatan untuk mengenang jasa dan bakti guru anda yang tidak pernah mengenal penat lelah mengajar dan mendidik anda. Kenangilah jasa mereka. Sesungguhnya, amalan mengenang jasa guru-guru akan membawa berkat dalam kita menuntut ilmu. Di samping mendapat berkat daripada Allah S.W.T., ilmu dan ajaran guru akan memberi kita manfaat dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat.

 4.                 Percayalah, tiada seorang guru pun yang mahu anak didikannya kecundang dan gagal dalam pelajaran. Semua guru inginkan anak-anak muridnya berjaya di sekolah dan dalam kehidupan. Guru yang baik dan bertanggungjawab akan sentiasa membimbing dan memandu anak didiknya menjadi orang yang berguna kepada diri, masyarakat dan negara. Oleh itu, ia akan sentiasa memberi tunjuk ajar, nasihat dan teguran agar setiap murid dibawah didikannya belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Malah, guru sentiasa memberi sumber motivasi kepada anak-anak muridnya agar sentiasa berusaha mengejar kecemerlangan diri, baik dari segi akhlak mahupun pelajaran.

 5.                 Oleh yang demikian, sebagai tanda berterima kasih bagi mengenang jasa guru maka adalah wajar setiap daripada murid-murid dan para pelajar sekalian menunjukkan kepatuhan kepada nasihat, teguran dan tunjuk ajar guru. Gembirakanlah guru-guru anda dengan belajar mematuhi nasihat dan tunjuk ajar mereka. Inilah sebenarnya pengiktirafan yang paling bermakna daripada murid-murid dan para pelajar kepada setiap guru. Ia akan menjadi kunci kepada kejayaan bagi setiap murid, dan akhirnya akan menjadi kebanggaan setiap guru kerana melihat anak didiknya berjaya.

 6.                 Kepada guru-guru dan para pendidik sekalian, saya menyeru agar menjadikan pengiktirafan masyarakat dan negara terhadap khidmat dan jasa guru sebagai pencetus kepada usaha meningkatkan prestasi dan komitmen terhadap kerjaya yang suci ini. Ingatlah, prestasi dan komitmen guru akan menentukan kualiti pendidikan negara kita, dan sekaligus memberi corak kepada nasib masa depan generasi yang akan membangunkan negara yang tercinta ini. Semoga hasrat murni kita melalui tema perayaan Hari Guru pada tahun ini iaitu “Guru Berkualiti Aspirasi Negara” dapat direalisasikan sepenuhnya dengan komitmen dan dedikasi dari seluruh warga pendidik di seluruh negara.

 
Para pendidik dan pelajar yang dikasihi sekalian,
 

7.                 Dalam usaha negara mencapai taraf negara maju dan mempunyai daya saing di peringkat antarabangsa, peranan pendidikan amat kritikal dan penting sebagai saluran untuk mencapai hasrat tersebut. Pengalaman yang ada dan bukti-bukti kejayaan negara-negara yang telah maju, menunjukkan bahawa kejayaan mereka adalah terletak pada sistem pendidikan yang kukuh dan mampu menghasilkan sumber manusia berkualiti, yang dapat pula menyumbang dengan berkesan kepada kemajuan dan kemakmuran negara. Malah, di negara kita sendiri, jelas terbukti bahawa kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini, adalah juga berkat sumbangan sistem pendidikan yang dibangunkan atas asas yang kukuh oleh para pemimpin dan golongan pendidik di masa lampau. Oleh itu, sebagai generasi penerus, kita bertangggungjawab memantap dan memperkemaskan sistem pendidikan negara untuk membangunkan generasi yang mampu menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

 8.                 Cabaran utama dan terbesar yang harus ditangani oleh sistem pendidikan negara kini dan di masa akan datang ialah menghasilkan sumber manusia negara yang berkualiti – sumber manusia yang mampu bersaing untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan; sumber manusia yang bukan sahaja berilmu dan berketrampilan dalam pelbagai bidang, malahan memiliki dan mengamalkan sikap dan nilai-nilai positif untuk memajukan diri dan masyarakat seluruhnya.

9.                 Ke arah tersebut, guru-guru dan para pendidik bersama-sama dengan para pelajar dan murid-murid di semua peringkat institut pendidikan di negara ini harus terus berusaha memantapkan sistem pendidikan kita agar ianya releven – berciri global, berdaya saing, cekap, dan sentiasa bergerak ke hadapan. Guru-guru dan para pelajar sekalian juga harus mempunyai kesediaan dan ketahanan untuk menerima dan melakukan perubahan sejajar dengan perubahan matlamat dan aspirasi negara.

 10.            Pada hakikatnya, sekolah dan institut pendidikan, sama ada institut pendidikan awam mahupun swasta, di bandar ataupun di luar bandar, adalah tempat kita membina masa depan bangsa dan negara. Para pendokongnya ialah guru-guru dan para pendidik yang tidak pernah mengenal penat lelah, menggilap dan mengasah potensi serta membina sahsiah anak-anak untuk menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Kita bersyukur kerana guru-guru di negara kita tetap komited dan menjunjung aspirasi negara.

 11.            Sesungguhnya guru berkualiti akan melahirkan pelajar yang berkualiti. Dan, seterusnya pelajar yang berkualiti pula akan menjadi warganegara dan tenaga kerja yang berkualiti. Guru berkualiti tidak sekadar memiliki ilmu dan kecekapan mengajar, bahkan memiliki peribadi dan sahsiah yang mulai sebagai model yang akan menjadi ikutan para pelajar. Ia menunjukkan kesungguhan dan ketekunan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Pendidik seperti inilah yang sentiasa belajar memperbaiki amalan profesionalismenya dan  dan mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat.
 
12.            Sesungguhnya tiada anugerah yang paling bernilai dalam kehidupan guru, melainkan apabila melihat anak didiknya berjaya dalam kehidupan. Tiada kenangan yang paling indah kepada seorang pelajar, melainkan kenangan semasa berada di sekolah bersama guru-guru yang berdedikasi dan penyayang. Tiada harapan yang tinggi diberikan oleh ibu bapa, melainkan mengharapkan guru-guru yang berbudi kepada anak-anak mereka. Oleh itu, ungkapan tahniah dan ucapan terima kasih kita berikan kepada guru-guru yang memperlihatkan kualiti yang tinggi dalam mendidik anak bangsa.
 
13.            Oleh itu demi mencapai cita-cita murni ini, marilah kita memperkukuhkan azam untuk memperbaiki kualiti diri dan kerjaya perguruan yang suci ini dengan meningkatkan komitmen serta iltizam agar menjadikan diri kita sebagai pembawa obor kecemerlangan kepada sistem pendidikan negara. Semoga masa depan negara akan lebih gemilang apabila guru cemerlang. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru.

 

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatah.

 

         

Perutusan Ketua Pengarah Pendidikan

PERUTUSAN HARI GURU 2002

 ‘GURU BERKUALITI ASPIRASI NEGARA’

Yang Berbahagia

Datuk Abdul Rafie Bin Mahat

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia

 Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

 Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan taufik serta hidayahNya tahun ini, sekali lagi dapat kita bersama-sama menyambut Hari Guru tahun 2002. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di seluruh tanah air.

 Sambutan Hari Guru ini memberi penuh makna kepada seluruh warga pendidik tanah air, sama ada di sekolah, maktab, Jabatan atau Kementerian, kerana segala pengorbanan serta pahit getir mereka tidak dilupakan. Sambutan hari yang bersejarah ini, selain mengenang jasa para pendidik dalam usaha mencurahkan bakti mereka mendidik generasi penerus warisan bangsa.

 TEMA HARI GURU

 Tema yang dipilih untuk sambutan hari guru tahun ini ialah Guru Berkualiti Aspirasi Negara. Tema ini tepat dan sesuai dengan peranan guru pada masa kini dalam menyempurnakan hasrat dan cita-cita negara bagi melahirkan pelajar yang bakal menjadi pemimpin dan warganegara Malaysia yang berkualiti dari segi kepelbagaian disiplin ilmu dan penampilan akhlak yang mulia selaras dengan arus perdana negara untuk mencapai matlamat negara maju.

 Guru Berkualiti Aspirasi Negara dipilih sebagai tema Hari Guru 2002 kerana ianya bertepatan dengan persediaan negara menghadapi tuntutan cabaran pendidikan era globalisasi abad ke-21 yang menuntut anjakan paradigma dan perkembangan minda guru. Guru yang berkualiti adalah aspirasi negara dalam mencapai wawasan pendidikan yang berhasrat mempertingkatkan pencapaian di pelbagai peringkat pendidikan, bermula dari pendidikan prasekolah sehinggalah ke peringkat pendidikan tinggi, memperbaiki ekuiti bagi pendemokrasian pendidikan sama ada di bandar mahupun luar bandar dan kawasan pendalaman serta mempertingkatkan kualiti, kecekapan dan kecemerlangan yang merangkumi pelbagai aspek. Guru yang berkualiti akan memudahkan pencapaian wawasan pendidikan negara bagi menjadi pusat kecemerlangan ilmu.

 GURU BERKUALITI

Guru-guru dan para pelajar sekalian

 Kualiti guru mempunyai kaitan yang langsung dengan kualiti pendidikan keseluruhannya. Warga pendidik perlu melengkapkan diri dengan ciri-ciri berkualiti bagi membawa tahap pendidikan negara ke era yang lebih cemerlang, seterusnya menghasilkan sistem pendidikan bertaraf dunia. Antara ciri-ciri yang perlu pada seorang guru berkualiti untuk memenuhi aspirasi negara ialah mempunyai ilmu yang tinggi dan relevan, mempunyai penampilan diri yang positif, berketrampilan, ketinggian budi pekerti, ikhlas, keyakinan diri yang tinggi, berfikiran terbuka, mengamalkan sikap dan budaya kerja yang positif serta mempunyai daya fikiran yang kreatif, kritis dan berinovatif.

 Seorang guru yang berkualiti akan menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh kesungguhan dan sentiasa bersifat profesional dalam tugasnya. Antara petunjuk penting sifat profesional ini ialah keupayaan untuk sentiasa mengambil insiatif yakni, membaiki diri sendiri sama ada dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran, mahu pun tingkah laku. Saya yakin, jika kita mengamalkan konsep pendidikan sepanjang hayat, kita akan menjadi seorang guru yang berkualiti. Pendidikan sepanjang hayat menuntut kita terus meningkatkan penguasaan ilmu khususnya di dalam bidang pengkhususan kita sama ada secara rasmi mahupun sebaliknya. Dalam era yang serba-serbinya memerlukan penguasaan ilmu, kita harus terus terkedepan meraih peluang yang ada.

 

PENINGKATAN ILMU SECARA BERTERUSAN

Guru-guru sekalian,

 Para guru harus merebut peluang yang ada bagi meningkatkan kualiti dan kecemerlangan diri supaya menjadi seorang guru yang berkesan dan kecemerlangan diri supaya menjadi seorang yang berkesan dan dihormati. Latihan yang diterima sebelum menjadi guru seharusnya memenuhi satu piawai kualiti profesion keguruan dari segi akademik, pedagogi, ketrampilan diri, sikap dan sahsiah guru. Semasa berkhidmat sebagai seorang guru pula, sama ada di bandar ataupun di kawasan pedalaman, usaha untuk menguasai ilmu tidak seharusnya terhenti. Kementerian telah menyediakan ruang dan peluang di peringkat maktab, sekolah, daerah, negeri dan Kementerian untuk memenuhi hasrat ini. Pelbagai kursus dalam perkhidmatan jangka pendek dan jangka panjang disediakan yang merangkumi aspek peningkatan akademik, profesionalisme dan pembangunan staf.

 Saya juga menyeru supaya para guru merebut peluang untuk meningkatkan tahap kelayakan akademik masing-masing kerana sekaligus ini akan memberi kekuatan dan kelebihan baik secara akademik atau ketrampilan diri mahupun secara material. Dalam hal ini, Kementerian menyediakan saluran-saluran khas seperti Program Pensiswazahan Khas Pendidikan Guru (PKPG), Program Berkembar dengan IPTA luar negara dan program Pensiswazahan Sepenuh Masa (dengan separuh gaji). Kementerian telah menetapkan sasaran agar semua sekolah menengah di negara kita terdiri daripada guru-guru siswazah menjelang 2005 dan 50% guru siswazah di sekolah rendah menjelang tahun 2010.

 IKRAR

 Sebagai seorang guru, kita telah berikrar dan berjanji untuk menjadi seorang guru yang baik dan profesional. Janji, ikrar dan iltizam ini kita perbaharui setiap tahun khususnya pada hari guru ini. Kita juga telah berjanji, antara lain untuk sentiasa melaksanakan tugas dengan cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah dan bertanggungjawab sebagaimana yang tercatat dalam Akujanji yang kita tandatangani.

 Para pelajar sekalian.

Melahirkan rasa terima kasih kepada guru sempena Hari Guru ini, ialah dengan menunjukkan rasa hormat dan sayang kepada mereka. Guru-guru akan rasa bangga dan bermotivasi tinggi untuk mengajar, jika para pelajar sendiri menunjukkan semangat dan motivasi yang tinggi untuk belajar. Pada haru guru ini, jika guru-guru berikrar untuk mendidik dengan bersungguh-sungguh, anak-anak juga harus berikrar dan berjanji untuk sanggup dididik dan dibimbing oleh guru.

 PERANAN PELAJAR

 Sebagai bakal pemimpin masa depan, anak-anak mesti membina semangat yang tinggi untuk berjaya dalam hidup dengan cemerlang. Sekolah adalah tempat yang sesuai untuk menimba ilmu dan membina peribadi yang mulia. Anak-anak sama-sama bertanggungjawab untuk menjadikan pembelajaran di bilik darjah sesuatu yang menyeronokkan. Saya percaya jika anak-anak sendiri memberi sumbangan  ide dan tenaga untuk meningkatkan suasana pembelajaran di bilik darjah dan sekolah, masalah disiplin dan salah laku akan dapat diselesaikan dengan baik. Jadilah warga kelas dan sekolah, walaupun berbeza bangsa dan latarbelakang, sebagai satu keluarga yang kita jaga, hormati dan sayangi. Kita bertanggungjawab untuk menjaga kebersihannya, keharmoniannya di samping pencapaian prestasi keseluruhannya.

 Anak-anak yang dikasihi sekalian,

Di bilik darjah dan sekolah, anak-anak akan dapat mengamalkan kehidupan bersosial, seperti bergaul dengan rakan daripada pelbagai kaum; di samping belajar mengikuti dan mematuhi peraturan yang disediakan oleh sekolah. Jika anak-anak berjaya menjalani kehidupan di sekolah dengan baik dan dapat mengamalkan sifat toleransi, bekerjasama, bermuafakat, dan bersatu dengan rakan-rakan dan guru pelbagai kaum, anak-anak akan menjadi seorang warganegara yang baik dan berkualiti apabila anak-anak menjadi dewasa dan keluar daripada alam persekolahan.

 Harapan ibubapa, keluarga, masyarakat, guru-guru dan negara adalah untuk melihat anak-anak berjaya dalam hidup dengan cemerlang dan menjadi warganegara yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Masa depan negara bergantung kepada tindakan anak-anak pada hari ini dan kesungguhan untuk menguasai ilmu. Oleh yang demikian, lengkapkanlah diri anak-anak dengan ilmu dan peribadi yang mulia. Guru dan ibu bapa, masyarakat dan negara akan terus membantu anak-anak mencapai hasrat murni itu.

 Guru-guru serta para pelajar sekalian,

Kita sama-sama bertanggungjawab untuk merealisasikan tema hari guru tahun ini. Semua pihak perlu sama-sama bermuafakat, saling bantu-membantu dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membina negara bangsa yang maju, bersatu padu dan mempunyai jati diri yang mantap. Aspirasi negara dapat dicapai jika semua pihak – guru-guru, ibubapa dan ahli masyarakat sanggup berkorban dan memberikan komitmen masing-masing. Kepercayaan dan sokongan yang padu perlu diberikan kepada Kementerian dan kerajaan untuk terus mempelbagaikan dan meningkatkan usaha bagi mencapai kemajuan dan kemakmuran negara. Saya percaya usaha-usaha ini akan dapat melahirkan guru-guru yang berkualiti sekaligus memenuhi aspirasi negara.

 Kepada semua warga guru di seluruh negara, sama ada yang mengajar di sekolah, di maktab atau yang sedang berkursus, di kawasan pedalaman, luar bandar atau di bandar, di Bario, Belaga, Sarawak, di Long Pasia, Sabah atau di Putra Jaya, sekali lagi, saya mengucapkan Selamat Hari Guru

‘Guru Berkualiti Aspirasi Negara’

 Wabillah hil taufik wal hidayah Wassalamualaikum Warahmatullah hiwabarakaatuh.

 

Hosted by www.Geocities.ws

1