PERUTUSAN HARI GURU 2001

 

MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

 

'MEMARTABATKAN PROFESION KEGURUAN

TANGGUNGJAWAB BERSAMA'

 

Assalamulaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

 

1.         Alhamdulillah, bersyukur kita hadrat Allah S.W.T kerana dengan taufik dan hidayah-Nya kita dapat bersama-sama menyambut perayaan Hari Guru pada tahun ini.

 

2.         Bersempena dengan hari yang bersejarah ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik yang berada di seluruh negara. Sesungguhnya perayaan ini merupakan satu pengiktirafan semua pihak khususnya kerajaan kepada golongan pendidik yang terkorban jiwa dan raga bagi mendidik anak bangsa. Masyarakat sentiasa prihatin dan menginsafi bahawa guru merupakan golongan yang perlu diberi penghormatan dan terletakkan pada kedudukan yang istimewa kerana di atas bahu merekalah terletaknya tanggunjawab mencorakkan generasi akan datang. Ini selaras dengan tema perayaan Hari Guru pada tahun ini iaitu "Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggunjawab Bersama"

 

Tuan-tuan dan puan-puan serta para pelajar sekalian

 

3.         Bagi golongan pendidik, perayaan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun merupakan suatu detik dan kesempatan untuk menilai diri sendiri atau membuat muhasabah diri. Pada kesempatan inilah guru perlu melihat sejauh manakah mereka telah benar-benar meletakkan diri dan jiwa mereka dalam profesion yang sangat mulia ini. Guru yang tinggi martabatnya adalah guru yang dapat menghayati falsafah keguruan dan seterusnya  menterjemahkan falsafah tersebut menjadi amalan dalam kehidupan kerjayanya. Oleh itu, saya menyeru agar para pendidik di seluruh negara memperbaharui tekad dan azam untuk berpegang teguh dan mengamalkan tatasusila atau etika profesion keguruan demi memartabatkan profesion yang kita ceburi ini.

 

4.         Sesungguhnya, mulia atau sebaliknya sesuatu profesion dari kaca mata umum amat bergantung kepada para pengamal yang mendokong profesion tersebut. Profesion perguruan juga tidak terkecuali dalam hal ini. Jika setiap guru betul-betul menghayati dan patuh kepada tatasusila profesion yang telah diterima dan dipersetujui, khususnya menjalankan tanggunjawab terhadap pelajar, tanggunjawab terhadap ibu bapa, tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara, dan tanggungjawab terhadap rakan sejawat serta profesion perguruan, saya yakin kita akan dapat memenuhi aspirasi masyarakat dan sekaligus menjulang martabat profesion ini ke tahap yang tinggi.

 

 

5.         Sesungguhnya, guru adalah aset yang paling bernilai dalam kita merangka proses pembangunan negara. Dalam melaksanakan tugas dan tanggunjawab mereka, para guru yang menabur khidmat di seluruh pelosok negara, tentunya tidak pernah jemu-jemu mencurahkan bakti kepada anak-anak didik mereka bagi membolehkan lahirnya golongan profesional yang dapat membangunkan negara. Dengan sentuhan kasih sayang, guru mendidik anak-anak didik mereka bukan hanya sekadar menjadi insan yang berilmu dan berhemah tinggi, malahan melahirkan anak-anak yang mulia pekertinya. Usaha gigih secara berterusan yang dilakukan oleh para guru ini adalah sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi intelek., emosi, rohani dan jasmani. Inilah matlamat akhir kita dalam pendidikan di negara ini iaitu untuk menlahirkan generasi masa depan yang teguh peribadi, berilmu dan berketrampilan dalam segala bidang kehidupan demi kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.

 

Tuan-tuan dan puan-puan serta para pelajar sekalian,

 

6.         Martabat guru dan profesion perguruan ini akan dipandang tinggi, apabila masyarakat melihat para guru sebagai golongan yang berwibawa dan  berkemampuan menangani pelbagai cabaran semasa, peka terhadap perubahan sosio-budaya dan suasana politik serta ekonomi negara. Justeru guru perlu sentiasa mengemaskinikan diri dengan ilmu dan maklumat, bersikap objektif dan analitikal dalam menilai dan menyebarkan maklumat serta membuat keputusan. Dengan banyaknya maklumat yang mencurah-curah dari pelbagai saluran, para guru juga bertanggunjawab menyaring dan membetulkan maklumat yang menyeleweng supaya para pelajar kita membentuk tanggapan yang benar tentang sesuatu perkara. Sesungguhnya masyarakat yang berpegang kepada kebenaran akan lebih gagah untuk berhadapan dengan pelbagai perubahan dan cabaran di masa akan datang.

 

 

7.         Perubahan masa dan perkembangan pesat teknologi telah mengubah persepsi masyarakat terhadap fungsi dan peranan guru. Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi kini dianggap oleh sesetengah pihak seolah-olah mampu mengambilalih sebahagian daripada tugas yang dilakukan oleh guru. Dalam keadaan tersebut, adalah menjadi cabaran kepada guru untuk membina kewibawaan dan seterusnya menyakinkan serta membuktikan kepada masyarakat bahawa dalam dunia yang serba moden ini, tugas mereka tetap relevan. Sebenarnya, tiada ciptaan atau aplikasi lain yang mampu memberi sentuhan "kemanusiaan" dalam membangunkan jiwa dan peribadi manusia. Peranan dan tanggungjawab guru akan tetap relevan sepanjang masa.

 

 

8.         Kepesatan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menuntut para pendidik supaya menguasai kepakaran canggih dalam bidang berkenaan dan seterusnya dapat mengintegrasikan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini bagi membolehkan anak didik kita mendapat pengetahuan yang seiring dengan perkembangan tenologi. Berbekalkan ilmu pengetahuan yang disulamkan dengan unsur-unsur nilai dan teknologi, kita yakin generasi yang mempunyai jati diri, berakhlak mulia, kompeten, yakin diri, kreatif dan inovatif dapat dilahirkan. Generasi inilah juga yang akan dapat mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Generasi inilah juga yang akan dapat meletakkan martabat guru pada kedudukan yang istimewa kerana mereka menyedari bahawa gurulah yang telah banyak memberi erti terhadap kehidupan mereka.

 

 

9.         Guru juga adalah sumber inspirasi kepada anak-anak didik untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan berjaya dalam pelajaran mereka. Di samping menjadi contoh ikutan atau "role model" kepada anak-anak didik dari segi sikap dan peribadi, guru yang elektif sentiasa berusaha menajamkan daya intelek dengan mengamalkan sikap ingin belajar dan memperbaiki sendiri.

 

 

10.       Dalam era K - ekonomi yang berfokus kepada ekonomi berasaskan pengetahuan, guru bukan sahaja perlu mempertingkatkan pengetahuan mereka tetapi juga dapat menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat di dalam diri sendiri dan juga di kalangan anak didik masing-masing. Pembelajaran sepanjang hayat ini membolehkan kita meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dan seterusnya disesuaikan dengan perkembangan teknologi. Sehubungan dengan itu, guru juga perlu turut terlibat melaksanakan penyelidikan, khususnya dalam amalan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Melalui penyelidikan yang dijalankan guru akan dapat menganalisis kejayaan dan kegagalan, kekuatan dan kelemahan dalam amalan mereka. Malah melalui penyelidikan, guru juga berpeluang mengfhasilkan kreativiti dan inovasi dalam amalan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

 

 

11.       Dalam kita mengharung gelombang globalisasi kini, tugas para pendidik menjadi lebih rencam dan mencabar. Perubahan yang berlaku begitu pantas sekali dan guru perlulah sentiasa peka dan dapat bertindak pantas bagi menangani perubahan. Guru akan berhadapan bukan sahaja dengan anak didik mereka, tetapi juga masyarakat sekitarnya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosio-ekonomi, fahman politik, dan budaya. Guru perlu berfikiran terbuka, sedia memdengar dan mewujubkan semangat muafakat dan bermesyuawarah bagi mengatasi apa jua permasalahan yang wujud.

 

 

12.       Guru perlu menanamkan benih-benih perpaduan bagi melahirkan generasi yang boleh bertoleransi dan bersatu padu. Perpaduan perlu dipertahankan bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi dapat dikekalkan dan  proses pembangunan negara dapat berjalan dengan pesat. Segala unsur luar yang bercanggah dengan nilai-nilai luhur dan boleh menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum dan pelbagai kepercayaan di negara ini perlu ditangani dengan bijaksana. Di sinilah peranan guru menjadi amat signifikan bagi menjamin bahawa generasi pelajar kita dipupuk dan ditanam dengan nilai-nilai murni hidup bersama dan hormat menghormati dalam masyarakat Malaysia yang majmuk ini.

 

 

 

 

Tuan-tuan dan puan-puan serta pelajar sekalian

 

 

13.       Sempena sambutan Hari Guru yang mulia ini, marilah sama-sama kita menginsafi bahawa sememangnya guru telah banyak berjasa dalam mendidik anak bangsa. Kita perlu sedar bahawa di sebalik kejayaan seseorang itu, terdapat jasa dan pengorbanan guru. Masayarakat mempunyai harapan yang tinggi terhadap guru untuk melahirkan generasi muda yang berketrampilan dan dalam masa yang sama guru juga mempunyai harapan agar masyarakat memahami peranan dan tugas guru. Saya ingin menyeru semua pihak supaya sama-sama memertabatkan profesion ini sesuai dengan jasa dan pengorbanan yang tiada tolok bandingan yang telah dicurahkan oleh guru-guru khususnya di Malaysia. Akhir kata saya sekali mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru. Sesungguhnya memartabatkan profesion keguruan adalah tanggunjawab kita bersama.

 

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

 

 


 

 

 

PERUTUSAN HARI GURU 2001

 

KETUA PNGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA

 

'MEMARTABATKAN PROFESION KEGURUAN

TANGGUNGJAWAB BERSAMA'

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1