-"sUgEnG rAwUh" tO mY wEbSiTe-

 

Home

Adventure

Palestine

Hacking

English

Sor Ringin

About Me

 

 

Dimana kan ku temukan, "sopo sejatine aku..?"

 

29 November yang Celaka!


29 November adalah tarikh yang celaka bagi rakyat Palestin dan juga umat Islam sedunia. Bukan kerana nombor 29-nya, bukan juga kerana Novembernya, dan bukan juga kerana tarikh atau waktu atau zaman tersebut. Malah sebagai umat Islam, Nabi Muhammad S.A.W. telah melarang umatnya dari memaki waktu, kerana Allah telah menciptakan waktu. Ianya celaka apabila dikaitkan dengan apa yang telah berlaku lebih 57 tahun yang lalu, 29 November 1947.

Apa yang berlaku pada tarikh tersebut merupakan bermulanya kecelakaan di bumi Timur Tengah yang sehingga kini hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu bila ia akan berakhir. Apa yang berlaku pada tarikh tersebut? Yang pasti ianya bukanlah tarikh kemerdekaan Malaysia yang pasti dikenang selamanya oleh rakyat Malaysia, ataupun ianya pasti bukan tarikh kematian Kurt Cobain, bintang yang sentiasa diingati tarikh kematiannya oleh masyarakat Black dan Underground. Ianya adalah tarikh munculnya Resolusi 181 Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)!

Tarikh tersebut telah menyaksikan bagaimana resolusi tersebut telah digunakan oleh PBB (sebelum itu League of Nations) untuk menyelesaikan pertelingkahan yang semakin memuncak di antara bangsa Arab dan bangsa Yahudi di bumi Palestin. Resolusi tersebut telah mengambil jalan membahagikan bumi Palestin kepada dua kawasan atau negara. Pertamanya negara untuk orang Arab, sebagai penduduk asal bumi tersebut, dan juga negara yang kedua untuk kaum Yahudi yang telah mula mendiami bumi tersebut setelah diberikan lesen oleh penjajah British menerusi Deklerasi Belfour, 1917.

 

Bagaimanakah Ia Bermula?


Bumi Palestin pada asalnya terletak di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah semenjak kurun ke-16 Masihi lagi. Semenjak zaman berzaman ianya juga merupakan sebahagian daripada wilayah Syam yang menjadi wilayah kedua terpenting di dalam pemerintahan Uthmaniyyah selepas wilayah Turki Asia (di mana terletaknya istana Khalifah). Selama berkurun lamanya juga ia menjadi satu kota yang terbuka dan menjadi pusat ziarah kaum Muslimin dan juga para penganut agama Kristian yang menunaikan haji mereka ke kota suci Baitul Maqdis.

Keadaan aman dan harmoni yang wujud di antara penduduk Islam dan Kristian di Palestin ini telah wujud semenjak 16 Hijrah lagi semenjak Palestin menjadi sebahagian daripada wilayah Empayar Islam yang diperintah oleh Khalifah ketiga umat Islam, Omar al-Khattab. Ianya agak terganggu pada kurun ke-11 Masihi dengan kedatangan tentera Salib dari Eropah. Kedatangan tentera-tentera Salib Eropah tersebut bukan hanya menjadi bencana kepada umat Islam yang menduduki Palestin, malah tahun 1099 M telah menyaksikan bagaimana penduduk Palestin yang beragama Kristian pun telah turut menjadi mangsa kekejaman tentera-tentera tersebut di dalam usaha para Imperialis Eropah menakluk jalan perdagangan ke timur dengan menggunakan nama agama. Dalam 50,000 penduduk kota Baitul Maqdis yang terkorban, sebahagian daripada mereka adalah penduduk Kristian yang dianggap oleh tentera Salib sebagai “pihak yang lain”, kerana fahaman Kristian Ortodoks Timur yang dianuti oleh penduduk-penduduk tersebut.

Keretakan hubungan di antara penganut kedua agama ini walau bagaimanapun semakin lenyap selepas Salahuddin al-Ayyoubi telah berjaya mendapatkan kota suci tersebut bagi pihak penduduk asalnya. Selepas itu, penduduk Baitul Maqdis terus hidup di dalam keadaan damai sehinggalah di awal kurun ke-20.

Pada kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, ideologi Nasionalis telah mencapai klimaksnya. Negara-negara Eropah kabanyakkannya telah menjadikan ideologi tersebut sebagai penentu dasar negara mereka. Fahaman ini secara tidak langsung telah mengancam kewujudan bangsa Yahudi di Eropah. Selain terkenal sebagai sebuah bangsa yang bongkak, memandang bangsa lain sebagai Goyem (binatang dalam bentuk manusia), mereka juga terkenal sebagai pengamal riba dan lintah darat. Melalui riba dan hutang, mereka berjaya merancang turun naiknya sesebuah kerajaan, peperangan, pergolakan, revolusi dan bermacam-macam lagi.

Modal-modal ini telah cukup untuk membuatkan masyarakat Eropah membenci mereka. Demi memastikan mereka dapat menyelesaikan permasalahan Yahudi ini, masyarakat Eropah telah memikirkan tempat untuk menempatkan bangsa Yahudi agar mereka keluar daripada Eropah. Perasaan kebencian masyarakat Eropah ini diperkuatkan lagi dengan perasaan dendam penganut Kristian Katolik yang beriman bahawa kaum Yahudilah yang bertanggung jawab menyebabkan Jesus (Nabi Isa) disalib dan kemudiannya dibunuh. Mereka juga merasakan tidak selesa dengan kewujudan kaum Yahudi di bumi Eropah.

Perkara ini telah menjadikan mereka bersikap agak keras dan berusaha untuk memastikan penghijrahan kaum Yahudi dari bumi Eropah.

 

Peranan Golongan Protestant


Di satu sudut yang lain pula, kemunculan fahaman Protestant di kalangan penganut agama Kristian di Eropah juga telah memberikan impak yang tersendiri di dalam penghijrahan kaum Yahudi ke bumi Palestin. Golongan Kristian protestant di Eropah ini telah mula melakukan “penyemakan semula” terhadap kitab suci mereka. Antara aqidah mereka yang telah di-“semak semula” ialah perihal kedatangan Jesus (baca: Nabi Isa A.S.) semula ke dunia di Baitul Maqdis menjelang millenium kedua tahun Kristian.

Walau bagaimanapun, untuk muncul semula di Baitul Maqdis, suasana seperti munculnya buat kali pertama perlu diwujudkan. Beliau tidak akan muncul kecuali selepas terbinanya “Haikal” yang telah disebutkan di dalam “Old Testament”. Oleh yang demikian, untuk menyambut kedatangan semula Jesus, Haikal perlulah dibina semula, dan orang-orang Yahudi hendaklah dikumpulkan sekali lagi di Baitul Maqdis. Untuk apa? Untuk disembelih oleh Jesus, sepertimana mereka – menurut dakwaan mereka - telah membunuh Jesus suatu waktu dahulu.

Ide golongan Protestant untuk membawa pulang kaum Yahudi ke bumi Palestin telah disambut baik oleh golongan sekularis dan juga golongan Protestant Yahudi (Haskalah). Akhirnya melalui gerakan Zionis yang telah ditubuhkan secara rasmi di Basil, Switzerland pada 1897, (yang dianggotai oleh lebih daripada 33 buah pertubuhan-pertubuhan Yahudi dari seluruh dunia) mereka bersetuju untuk membawa pulang orang-orang Yahudi dari serata dunia ke bumi Palestin dan Baitul Maqdis dan menubuhkan sebuah negara Yahudi yang bernama Erezt Yizrael.

Jika diamati, secara tidak langsung, gerakan Zionis ini juga tidak terlepas daripada pengaruh faham Nasionalis yang berusaha mewujudkan sebuah negara berteraskan ras atau bangsa. Lebih menarik lagi apabila gerakan Zionis ini bukan sahaja dianggotai oleh mereka-mereka yang berketurunan Yahudi, malah golongan Kristian berfahaman Protestant juga turut menyertainya. Keadaan menjadi lebih membarah apabila golongan Zionis Kristian ini telah menguasai Great Britain.

Sir Arthur Belfour, Menteri Luar British ketika itu sendiri merupakan pendokong kuat gerakan Zionis Kristian tersebut. Menurut sesetengah sumber yang lain, hatta Queen Victoria yang berkuasa pada waktu itu pun dikatakan berada di bawah pengaruh fahaman tersebut.

 

Empayar Turki Kalah Perang


imageApabila Empayar Turki Uthmaniyyah telah kalah di dalam peperangan dunia yang pertama, mereka telah hilang kekuasaan dan juga penguasaan ke atas wilayah-wilayah jajahan mereka. Dengan krisis dalaman yang mereka hadapi dan juga serangan luaran, akhirnya mereka terpaksa tunduk dengan apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh pihak yang menang perang.

Perjanjian Sykes-Picot 1916 telah membahagikan negara-negara Arab kepada dua kuasa besar pada waktu itu. Lubnan dan Syria diletakkan di bawah pengaruh Peranchis, manakala Iraq, Palestin dan beberapa buah negara Arab yang lain diletakkan di bawah pengaruh British. Hasilnya, Deklarasi Belfour berlangsung, dan bumi Palestin mula dibanjiri oleh pendatang-pendatang Yahudi dari Eropah. Bumi Palestin seterusnya diletakkan di bawah pemerintahan mandat British pada tahun 1920M.

Semenjak tarikh tersebut sehinggalah tahun 1948, bumi Palestin menyaksikan kehadiran pendatang-pendatang Yahudi ke bumi Palestin yang menandakan bermulanya perubahan besar di dalam politik dunia untuk tahun-tahun berikutnya. Akhirnya populasi Yahudi di bumi Palestin meningkat, mereka telah berjaya mendapatkan tanah-tanah untuk didiami dengan dua cara utama. Pertamanya dengan membeli tanah-tanah tersebut daripada penduduk-penduduk asal Palestin.

Cara ini tidaklah terlalu popular, kerana bumi Palestin dianggap oleh majoriti umat Islam sebagai tanah wakaf yang tidak boleh dijual dan dibeli. Cara kedua ialah melalui cara kekerasan, dengan kehadiran kumpulan-kumpulan militan dan pengganas mereka, dan kaum Yahudi telah berjaya merampas dan merompak tanah-tanah, rumah-rumah dan juga kawasan-kawasan di dalam bumi Palestin daripada pemilik asal mereka yang samada telah dihalau ataupun telah dibunuh.

Pergolakan dan pergaduhan sering timbul di antara dua bangsa ini. Bangsa Arab (samada Muslim ataupun Kristian) sebagai penduduk asal Palestin yang mempertahankan tanah air mereka dengan bangsa Yahudi sebagai pendatang yang cuba merampas dan mengambil tanah-tanah di bumi Palestin daripada penduduk asalnya. Keadaan yang tidak stabil ini akhirnya tidak berjaya lagi dikawal oleh penjajahan British melalui pemerintahan mandat mereka.

Walaupun mereka lebih banyak menyebelahi dan menjaga kepentingan pihak Yahudi ketika berhadapan dengan masalah di antara kedua-dua puak ini, namun di kemuncak pergolakan, mereka terpaksa menarik diri dan mencari penyelesaian kepada konflik yang timbul dengan campur tangan kuasa – kuasa asing yang lain. Natijahnya, pada 2 April 1947, wakil British ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membawa persoalan masa depan Palestin. Dalam bulan yang sama juga, beberapa perwakilan dari negara-negara Arab (Mesir,Iraq, Syria, Lubnan dan Arab Saudi) telah cuba mempengaruhi Setiausaha Agung PBB untuk membincangkan perihal kemerdekaan Palestin dan juga pengakhiran kepada pemerintahan Mandat British di sana.

Sayangnya, pada 1 Mei 1948 Majlis Umum PBB hanya bersetuju dengan cadangan (usulan) British dan tidak mengambil kira cadangan yang ditimbulkan oleh negara-negara Arab. British bukan hanya sekadar membawa cadangan tersebut untuk diperbincangkan, malah telah menjadi juru cakap kepada gerakan Zionis dengan membawa penyelesaian menurut acuan Zionis untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Akhirnya sebuah jawatankuasa khas (UNSCOP – UN Special Committee For Palestine) telah ditubuhkan untuk menyelesaikan perkara ini.

Antara cadangan Zionis yang dibawa oleh British ke PBB ialah cadangan pembahagian bumi Palestin kepada dua buah negara merdeka (Partition Plan), dengan 42.88% (4,476 batu persegi) daripada kawasan bumi tersebut (Gaza, Tebing Barat dan Trans Jordan) diserahkan kepada orang Arab, sementara 56.47% (5,893 batu persegi) daripada bumi Palestin diserahkan kepada orang Yahudi.

Cadangan ini juga dinamakan sebagai the Majority Plan. Cadangan ini telah disokong oleh tujuh buah negara anggota UNSCOP (Kanada, Czescholovakia, Guatemala, Belanda, Peru, Sweden dan Uruguay), manakala tiga negara anggota UNSCOP yang lain membawa proposal The Federal Plan, yang membahagikan bumi Palestin kepada dua wilayah tetapi di bawah satu pentadbiran. Entiti tersebut akan dikenali sebagai negara Palestin, tetapi ia menjamin hak yang sama rata bagi kedua-dua bangsa yang mendominasi negara tersebut. Kedua-dua cadangan ini, walau bagaimanapun, ditolak oleh negara-negara Arab yang melihat apa yang berlaku ini sebagai melampau dan juga menafikan hak mereka ke atas bumi tersebut.

Pada 23 September, 1947, Majlis Umum PBB telah menubuhkan Jawatankuasa Ad Hoc untuk meneliti laporan dari UNSCOP dan akan muncul dengan keputusan mereka yang akan membawa kepada resolusi yang khusus berkaitan perkara tersebut selepas dibawa ke dalam undian oleh negara-negara anggota PBB keseluruhannya.


 

Natijahnya


Selepas pembentangan keputusan Jawatankuasa Ad Hoc berkaitan isu tersebut, maka bermula pada 26 November 1949, ahli-ahli Majlis Umum PBB pun memulakan persidangan mereka. Pada awalnya kebanyakan negara-negara yang terlibat tidak bersetuju dengan cadangan pembahagian (partition) tersebut dan telah mengecam, membantah dan memberi amaran tentang kesan cadangan tersebut jika dilaksanakannya.

Wakil Filipina, Pakistan, Mesir dan beberapa buah negara yang lain telah bangkit menyuarakan kebimbangan mereka tentang perubahan lanskap politik dunia dan timur tengah hasil cadangan tersebut jika diterima. Walau bagaimanapun, akhirnya majoriti daripada anggota Majlis Umum PBB akhirnya bersetuju dengan rancangan “Majority Plan”, dan akhirnya diterima menjadi resolusi 181. Dengan undian sebanyak 33 buah negara yang menyokong, termasuk dua kuasa besar dunia pada waktu itu, Amerika Syarikat dan Rusia (pada waktu itu USSR), majoriti untuk rancangan Majoriy Plan itu diterima mengatasi 13 negara (yang majoritinya negara-negara Islam) yang membantah dan 10 yang lainnya berkecuali (termasuk United Kingdom dan China).

Dengan itu, tepat pada tarikh 29 November 1947, resolusi celaka itu diluluskan. Resolusi tersebut juga telah menjadikan 14 Mei 1948 telah ditetapkan sebagai tarikh akhir mandat British di bumi Palestin dan permulaan kepada negara haram Israel. (Eramuslim)

Maszlee Malik
Penulis adalah pensyarah di Universiti Antar Bangsa Malaysia yang juga merupakan kolumnis Majalah I, Milenia Muslim dan laman Malaysiakini.

 


 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1