Pengalaman Memancing
Rahsia
Taklukan Siam
"Botak! Kau tak nak balik ke hujung minggu ni, kitorang
nak turun dengan geng Siam mancing ikan berkas", suara kroni bergema
digagang menyebabkan saya tak senang duduk.Bagus juga cadangan itu
kerana sudah lama saya mengidam untuk memancing bersama pemancing
negara jiran ini dan juga ingin mendapatkan penjelasan, apa sebenarnya
jenis ikan berkas itu. Dalam fikiran berbelah bagi kerana saya masih
lagi dalam cuti sakit yang panjang.Sedar-sedar saja saya telah berada
dibarisan penumpang MAS yang hanya 45 minit dari KLIA ke Kota Bahru.
Persahabatan
Pancing
Selama ini kita selalu dihidangkan dengan cerita-cerita
kaki pancing yang memancing di perairan Thailand tetapi berlainan
kali ini kerana saya menyertai sekumpulan pemancing Thai yang datangnya
dari Golok, Thailand. Tujuan utama saya ialah untuk melihat kehebatan
dan juga mencari rahsia pancingan mereka kerana menurut kroni, para
pemancing Siam kebanyakkannya menggunakan peralatan kelas ringan
atau menengah untuk mendapatkan pertarungan yang lebih menarik serta
teknik pancingannya pun agak berbeza.Geng Siam ini adalah sebahagian
dari ahli Cobia Team Thailand yang penubuhannya diasaskan oleh Ah
Wai, dan tujuan utamanya adalah untuk mewujudkan persahabatan antara
pemancing kedua-dua buah negara. Kami bersalaman sambil tersenyum
kerana mereka langsung tidak boleh bertutur mahupun memahami bahasa
Melayu.
Inilah keistimewaan sukan memancing, walaupun tak
pernah mengenali tetapi disebabkan satu tujuan yang sama persahabatan
tetap terjalin antara satu sama lain. Sesungguhnya sukan ini tidak
pernah mengenal perbezaan warna kulit, agama, budaya atau batas
sempadan negara.
Penaklukan Bermula
Bot mula membelah ombak Kuala Golok dan menjelang
7 petang, kami tiba di lokasi. Sekarang tiba masa untuk mengeluarkan
peralatan masing-masing. Memang benar dakwaan kroni saya, rata-rata
mereka menggunakan kekili Penn kelas ringam yang dipadankan tali
utama 20 paun sahaja. Perambut sepanjang 2-3 depa pula sekadar 25-30
paun bersama mata kail Mustad saiz 20. Berumpankan hirisan sotong
mengabang,sentapan pertama milik Somsak yang menggunakan kekili
Penn 940. Teknik pertengahan air menggunakan ladung saiz 6 telah
berjaya memperdayakan mangsa. Lengkungan jorannya menyebabkan kami
terpaku dan penggunaan tali 20 paun memberikan kepuasaan melayan
tarikan ikan. Walaupun begitu, dalam menghadapi mangsa lautan yang
terkenal ganas bila terjerat, maka kerjasama dari rakan-rakan amat
diperlukan.
Semua pancing dikarau dan masalah tali berbelit
antara satu sama lain dapat dielakkan. Masalah berbelit selalu timbul
bila ada pemancing yang tamak (atau lebih senang dikatakan lebih
bersifat nelayan) iaitu suka menggunakan koyan serta melabuhkanpancing
lebih dari 2 atau 3 set.Bila berlaku rentapan pada pancing member,
ikan akan mudah membelit pada keseluruhan tali. Percayalah, 2 set
pancing sudah memandai. Logiknya, kita sendiri akan rasa malas untuk
mengulung dan menukar umpan dan bila ikan galak, tentu kita tak
cukup kaki dan tangan untuk mengarau sekaligus. Penggunaan koyan
amat kami larang kerana tali koyan yang rata-ratanya kasar dan berkekuatan
200-300 paun akan menyebabkan masalah kepada pemancing yang menggunakan
tali halus. Bila terjadi belitan, ianya mudah memutuskan tali pancing.
Berbalik kepada Somsak, jenahak menjadi pembuka tirai setelah bertahan
10 minit menggunakan joran Berkley kelas 12-25 paun.
Pemikat Sotong
Bekalan sotong mengabang tidak memadai untuk malam
ini jadi kami terpaksa mencandat untuk mendapatkan bekalan tambahan.Lampu
berkuasa tinggi mula dipasang untuk memukau spesies yang berjalan
gostan ini dan kilauan cahaya kemerahan di bawah air adalah penunjuk
kehadirannya. Antara cara terbaik untuk mendapatkan hasil dari dasar
ialah menggunakan candat berat yang dinamakan Twist.Twist yang kami
gunakan ialah yang berwarna merah putih dan diperbuat daripada timah
supaya mudah tenggelam ke dasar dengan cepat. Ianya terus diikat
ke tali utama tanpa ladung atau tanduk.
Mangsa bersaiz kasar mudah diperolehi di dasaran.
Kiranya hendak mendapatkan sentapan pada kedua-dua paras dasar dan
pertengahan air, maka satu atau dua lagi candat ringan diikat bersama
seolah-olah cara ikatan apollo. Permainannya juga sama kerana henjutan
ke atas dan kebawah akan menghidupkan aksinya.
Penggunaan
payung lebih menarik kerana persembahannya pada paras atas aair
membolehkan anda melihat mangsa mengejar dan membaham ikan yang
berekorkan payung tajam. Kerajinan menukar candat, kadar kedalaman
serta cara henjutan menghasilkan habuan yang memuaskan. Selain menarik
perhatian sotong, penggunaan lampu ada kelebihan yang lain.Bila
sotong naik ke permukaan, biasanya akan kedengaran sambaran ikan
disekitar kawasan yang tidak diterangi cahaya. Bila sambaran bertambah
banyak, tekong akan mengurangkan cahaya lampu dan ikan-ikan tadi
mula menghampiri bot memburu sotong yang sudah mabuk dengan cahaya
di sekitar bot.
Ini adalah waktu terbaik untuk melayan tarikan ikan
cupak dengan popper. Balingan popper ke kawasan sambaran ikan akan
menerima hentaman setelah beberapa karauan dilakukan. Untuk melayan
kuasa cupak, anda perlu menggunakan tali 20-30 paun dan joran sepanjang
7-8 kaki untuk lontaran jauh kekawasan amukan cupak.Tapi berhati-hati
ketika membuat lontaran kerana ruang bot yang sempit memungkinkan
anda melayan telinga ataupun kepala member di belakang.
Berkas Bapa Jemuduk
Tujuan kedua trip ini adalah kerana ingin melihat
lebih dekat apa yang dikatakan sebagai ikan berkas oleh Zaki. Menurutnya,
ikan ini yang menyerupai jemuduk tetapi lebih besar saiznya baru
sahaka memasuki unjang dan menjadi buruan utama buat masa sekarang.
Pemburuannya terhad pada waktu malam sehingga ke pagi sebelum panas
matahari kerana hanya masa tersebut ia menyambar umpan.
Berkas dikatakan menyambar umpan kepala sotong sahaja
dan penggunaan perambut pula hanya pada kekuatan 30-50 paun kerana
ia akan menolak hidangan jika perambut lebih besar dari itu."Banyak
songeh juga ikan ni yee," bentak hati saya. Mavam mana pula dengan
kadar kedalaman umpan yang perlu diangkat dari dasar? Ini perlu
ikut selera ikan kerana kita perlu rajin mencuba takat kedalaman
sehingga menerima ragutan ikan, kemudian barulah dikekalkan pada
paras tersebut.
Kami memancing pada paras setengah depa dari dasar
yang membolehkan kami bergasak dengan penghuninya. Kokokan kekili
Penn 12I milik Chik berserta lenturan hebat joran Ugly Stik menyebabkan
semua mata tertumpu kepadanya. Ibarat Gladiator, mereka bertarung
kerana bagi ikan, tewasnya pada mata pancing bermakna nyawanya akan
melayang dari jasad.
Mangsa melawan dengan cara memberatkan badan secara
berterusan menyebabkan tali 25 paun terus keluar dari gelendung
dan si pemancing hanya mampu bertahan mengharapkan mangsa keletihan.
Tarikan yang semakin perlahan memberikan peluang untuk mendapatkan
balik tali sebanyak mungkin sementara menunggu saat ikan menarik
balik tali keluar. Proses tarik menarik yang berterusan memberi
kemenangan kepada empunya pancing dan penghormatan terakhir diberikan
kepada mangsa yang tewas sebagai wira. Ikan yang dipanggil berkas
ini sebenarnya ikan jemuduk (Carangoides gymnostethus) juga dan
dikenali sebagai Naked-breast Trevally ataupun Bludger Trevally.
Bentuk badannya yang bulat bak peluru memberikan
larian yang padu walaupun begitu, umpan tidak disambarnya secara
mengejut seperti ebek. Saiz yang biasa didaratkan diunjang ini adalah
dalam lingkungan 7 kg keatas dan sememangnya ia adalah antara lawan
terbaik untuk anda menguji kekuatannya.
Suku Sakat Carangid
Malamnya, cupak (Carangoides malabaricus) yang masih
dara dalam lingkungan sekilo meragut umpan hirisan sotong sehinggalah
masing-masing mula penat melayannya.Lantas seorang demi seorang
membongkang untuk mencari tenaga perlawanan esoknya. Menjelang pagi,
umpan ditukar kepada udang hidup dan buruan seterusnya adalah lawan
paling degil dalam keluarga Carangid iaitu Ebek.
Menggunakan umpan hidup, tidak payah menunggu lama
kerana si Alectis indicus ini amat geramkan liuk lentuk udang yang
menggodanya. Chik yang pertama kali menerima tentangan dari ebek
tersentak kerana ikan ini membenamkan diri kebawah bot ketika itu
air mula beralih dan bergerak membelakangi kami. Memang sudah menjadi
perangai ebek yang gemar mengikut arus ketika melawan tarikan.
Pagi ini aksi-aksi ebek mengambil bahagian kerana
pancing Voravit pula melengkung dikerjakannya. Tertelan juga air
liur si mamat siam ni melayannya dan nasibnya baik kerana memancing
di belakang. Beliau bebas bertarung tanpa memikirkan tindakan ikan
menghala kebawah bot kerana penggunaan tali halus 20 paun tentu
mendebarkan perasaan bila menerima tentangan ebek 3-4 kg. Somsak
betul-betul malang bila udangnya disambar alu-alu dan berputih mata
melihat perambut 25 paunnya putus dikunyah macam kacang putih. Lain
yang dicari lain pula yang mengena !
Namun kekecewaannya terbalas bila talang si ikan
permaisuri (Queen-fish) sudi mencemar duli dengan menjamah santapannya.
Yang paling bertuah dan paling kerap melayan tarikan ialah Chik
bila ebek terbesar sekali merampas umpannya. Kali ini mangsa betul-betul
ragging pemancing, ikan memaksa beliau ke hadapan bot dan kami tumpang
seronok bila melihat joran melengkung dan kekili menjerit. Yang
best nya, walaupun geng Siam langsung tak pandai berbahasa Melayu
tetapi jeritan "wooooo..wooooo…wooooo," sambil menunjuk isyarat
ibu jari menyatakan bahawa mereka cukup seronok melihat perlawanan
yang sedang berlangsung.
Keseronokan nelayan terpaksa ditamatkan bila tekong
meminta kami berkemas balik kerana katanya , ada geng lain yang
membuat tempahan pada petang nanti.Ahhhh…patut pun, dah pukul 2
petang tetapi ragutan yang tak henti-henti menyebabkan kami terlupa
waktu berlalu begitu pantas!
|