Bahan-bahan di dalam
Laporan Interim ini hanya untuk kegunaan akademik pelajar-pelajar
SBU 342: Institusi
Pembangunan Berteraskan Islam sahaja. Tidak dibenarkan dipetik untuk tujuan
lain.
BAB 1
BAB
2
BAB
3
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 7

|
BAB 2
MASJID DALAM AL-QUR`AN
DAN HADITH
1.0 PENGENALAN
1.1 Sumber utama kepada maklumat tentang masjid tentulah datangnya dari
Al-Qur`an dan Hadith, yakni dari Allah SWT dan Rasulullah SAW sendiri.
Ia oleh itu sangat berguna untuk diteliti agar dapat dijadikan panduan
dalam mencari ciri-ciri unggul sebuah masjid cemerlang sebagaimana tujuan
kajian ini.
1.2 Bab ini menyenaraikan mesej-mesej yang bersangkutan dengan masjid
yang terdapat di dalam Al-Qur`an dan Hadith. Ia disusun mengikut tajuk-tajuk
khusus yang bersesuaian dengan mesej-mesejnya. Mesej-mesej dari ayat-ayat
Al-Qur`an dan Hadith-hadith ini dipetik untuk dijadikan asas kepada pembentukan
ciri-ciri dan tanda aras masjid model amnya dan Masjid Putra di Putrajaya
khususnya.
2.0 MASJID DALAM AL-QUR`AN DAN HADITH
2.1 Ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-hadith yang menyebut tentang masjid
bolehlah disusun mengikut tajuk-tajuk tertentu. Antara tajuk-tajuk tersebut
ialah masjid dalam sejarah, masjid dalam konteks kemasyarakatan, keistimewaan
mendirikan masjid dan berkhidmat untuknya, fungsi masjid, pengurusan dan
pentadbiran masjid, masjid dan pemakmurannya (pengimarahan), etika masjid,
dan penyebaran maklumat.
2.1 Masjid Dalam Sejarah
2.1.1 Antara mesej yang terdapat di dalam ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith
berkenaan dengan sejarah masjid adalah seperti berikut:
-
Dalam sejarah manusia, rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia
beribadat kepada Tuhannya ialah Baitullah (kini Masjidil Haram) di Mekah
(Ali ‘Imran 3: 96, Sahih Muslim Hadith no. 469). Tapaknya dibina oleh Nabi
Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail (Al-Baqarah 2:127). Ia mempunyai berkat
dan dijadikan hidayah bagi umat manusia. Sesiapa yang masuk ke dalamnya
akan aman tenteram (Ali ‘Imran 3: 96-97). Umat Islam dilarang memerangi
musuh di Masjidil Haram, kecuali musuh memerangi mereka (Al Baqarah 2:
191). Jika bersembahyang di dalamnya akan dianugerahkan dengan ganjaran
100,000 kali solat (berbeza dengan di Masjid Nabawi yang dianugerahkan
dengan ganjaran 1,000 kali solat dan di Masjidil Aqsa dengan ganjaran 500
kali solat (Hadith dipetik dari Shaikh Ali Mohammad Mokhtar, 1997: 116).
Masjidil Haram juga menjadi kiblat solat kerana di dalamnyalah terletaknya
Kaabah (Al-Baqarah 2:144, 149). Masjidil Haramlah tempat bermulanya Israk
Mikraj Rasulullah SAW (Al Israa’ 17: 1) dan juga tempat Rasulullah SAW
dan umat Islam mengerjakan Haji dan Umrah (Al Fath 48: 27). Ia merupakan
salah satu dari tiga masjid yang disuruh Rasulullah SAW mengembara kepadanya,
selain dari Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid Al-Aqsa di Palestin (Hadith
Riwayat Bukhari dan Muslim). Sesiapa yang menyekat orang Islam ke Masjidil
Haram akan disiksa Allah SWT (Al Anfaal 8: 34). Mereka dianggap oleh Allah
SWT sebagai orang yang amat zalim dan akan ditimpa azab yang tidak terperi
(Al Hajj 22: 25). Mereka yang berhak menguasai Masjidil Haram ini hanyalah
orang-orang yang bertaqwa (Al Anfaal 8: 34).
-
Masjid kedua dibina di dalam sejarah manusia ialah Masjidil Aqsa di Palestin.
Ia dibina 40 tahun selepas pembinaan Masjidil Haram (Sahih Muslim Hadith
no. 469). Masjidil Aqsa menjadi masjid yang disinggahi Rasulullah SAW ketika
melakukan Israk dan Mikraj. Dari Masjidil Aqsalah Rasulullah SAW dibawa
naik bertemu dengan Allah SWT (Al Israa’ 17: 1).
-
Masjid pertama yang didirikan Rasulullah SAW pula ialah Masjid Quba’. Ia
didirikan atas dasar taqwa, ketika Rasulullah SAW mula-mula sampai di Madinah
dalam hijrahnya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka mengambil
berat membersihkan (mensucikan) dirinya. Allah SWT mengasihi orang-orang
yang membersihkan dirinya (At Taubah 9: 108).
-
Pada zaman Rasulullah SAW, orang-orang munafik juga membina masjid tetapi
dengan empat tujuan jahat. Pertama ialah untuk membahayakan keselamatan
orang-orang Islam. Kedua, untuk menguatkan keingkaran mereka sendiri. Ketiga,
untuk memecah belahkan perpaduan orang-orang yang beriman. Dan keempat,
untuk menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah SWT dan
Rasul-Nya sejak dahulu (At Taubah 9: 107).
2.1.2 Secara terperinci, ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-hadith yang
mengandungi mesej-mesej di atas adalah seperti berikut:
-
“Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia
ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk
bagi semua manusia” (Ali ‘Imran 3: 96). “Padanya terdapat tanda-tanda yang
nyata (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah
itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap
Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah.
Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha
Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam” (Ali ‘Imran 3:
97).
-
“Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpai mereka, dan usirlah mereka
dari tempat mereka telah mengusir kamu (Mekah); dan fitnah itu lebih besar
bahayanya dari pembunuhan, dan janganlah kamu memerangi mereka di Masjidil
Haram, kecuali jika mereka memerangi kamu (di tempat itu), maka bunuhlah
mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang kafir” (Al Baqarah 2: 191).
-
Dari Abu Dzar r.a. beliau bertanya kepada Rasulullah SAW, katanya; “Ya
Rasulullah! Masjid manakah yang mula-mula dibangunkan di muka bumi ini?”
Jawab Rasulullah SAW “Masjidil Haram!”. Tanyaku, “Sesudah itu masjid apa?”
Jawab beliau, “Masjidil Aqsa!”. Tanyaku, “Berapa lama jaraknya antara kedua
masjid itu dibangun?”. Jawab Baginda, “empat puluh tahun… dan di mana sahaja
kamu berada, jika waktu solat telah tiba, maka solatlah (segera), kerana
bumi ini adalah masjid (tempat sujud) (Sahih Muslim Hadith no. 469).
-
“Dan (ingatlah) ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat
Baitullah (dengan mengatakan): Janganlah kamu memperserikatkan sesuatu
pun dengan Aku dan sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang-orang yang thawaf,
dan orang-orang yang beribadat dan orang-orang yang ruku’ dan sujud” (Al
Hajj 22: 26).
-
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah
berserta Ismail (seraya berdo’a): Ya Tuhan kami terimalah daripada kami
(amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”
(Al Baqarah 2: 127).
-
Rasulullah SAW bersabda “Kelebihan bersolat di Masjidil Haram daripada
tempat selainnya ialah dengan ganjaran 100,000 kali solat, sementara di
masjidku ini pula 1,000 kali solat dan solat di Masjidil Aqsa mendapat
kelebihan 500 kali solat” (Hadith dipetik dari Shaikh Ali Mohammad Mokhtar,
1997: 116).
-
“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh
Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu
ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu
ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi
Al Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil
Haram itu adalah benar dari Tuhannya, dan Allah sekali-kali tidak lengah
dari apa yang mereka kerjakan” (Al Baqarah 2: 144).
-
“Dan dari mana sahaja kamu keluar (datang) maka palingkanlah wajahmu ke
arah Masjidil Haram, sesungguhnya ketentuan itu benar-benar sesuatu yang
hak dari Tuhannmu. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu
kerjakan” (Al Baqarah 2: 149).
-
“Dan dari mana saja kamu keluar, maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil
Haram. Dan di mana saja kamu (sekelian) berada, maka palingkanlah wajahmu
ke arahnya, agar tidak ada hujjah bagi manusia atas kamu, kecuali orang-orang
yang zalim di antara mereka. Maka janganlah kamu takut kepada mereka dan
takutlah kepada-Ku. Dan agar Aku sempurnakan ni`mat-Ku atasmu, dan supaya
kamu mendapat petunjuk” (Al-Baqarah 2:150).
-
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam
dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya
agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran)
Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Al
Israa’ 17: 1).
-
“Kenapa Allah tidak mengazab mereka padahal mereka menghalangi orang untuk
(mendatangi) Masjidil Haram, dan mereka bukanlah orang-orang yang berhak
menguasainya? Orang-orang yang berhak menguasai(nya), hanyalah orang-orang
yang bertaqwa, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya ” (Al Anfaal
8: 34).
-
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalangi manusia dari jalan
Allah dan Masjidil Haram yang telah Kami jadikan untuk semua manusia, baik
yang bermukim di situ mahupun di padang pasir dan siapa yang bermaksud
di dalamnya melakukan kejahatan secara zalim, nescaya akan Kami rasakan
kepadanya sebahagian siksa yang pedih” (Al Hajj 22: 25).
-
“Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran
mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan
memasuki Masjidil Haram, Insya-Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur
rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka
Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum
itu kemenangan yang dekat ” (Al Fath 48: 27).
-
Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu bersedia untuk mengembara kecuali
menuju ketiga-tiga masjid ini, Masjidku ini (Masjid Nabawi di Madinah),
Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
-
“Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan
masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk
kekafiran, dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin, serta menunggu
kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu.
Mereka sesungguhnya bersumpah: ‘Kami tidak mengkehendaki selain kebaikan.’
Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta
(dalam sumpahnya)” (At Taubah 9: 107).
-
“Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya
masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba), sejak hari
pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya
ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang
yang bersih” (At Taubah 9: 108).
2.2 Keistimewaan Mendirikan Masjid dan Berkhidmat Untuknya
2.2.1 Antara mesej yang terdapat di dalam ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-hadith
yang bersangkutan dengan keistimewaan mendirikan masjid dan berkhidmat
untuknya adalah seperti berikut:
-
Rasulullah SAW menyuruh membina masjid dan membersih serta mengharumkannya
dengan wangi-wangian. Sesiapa yang membina masjid kerana Allah SWT, tanpa
riyak’ dan suma`ah, akan didirikan Allah SWT rumah untuknya di syurga (Hadith
Riwayat Bukhari dan Muslim dipetik dari Shaikh Ali Mohammad Mokhtar, 1997:
33; Hadith Riwayat at Thabrani).
-
Walaubagaimanapun, akan datang satu zaman di mana umat Islam saling bermegahan
mendirikan masjid, tetapi yang memakmurkannya hanyalah sedikit (Hadith
Riwayat Baihaqi).
-
Orang yang berkhidmat untuk masjid pernah diziarahi kuburnya dan didoakan
oleh Rasulullah SAW (Shahih Bukhari 1: 124 dipetik dari Shaikh Ali Mohammad
Mokhtar, 1997: 34).
2.2.2 Secara terperinci, ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-hadith yang
mengandungi mesej-mesej di atas adalah seperti berikut:
-
Daripada Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah r.h.a. beliau berkata: "Rasulullah
SAW telah menyuruh kami supaya mendirikan masjid (satu ruangan untuk solat
dan lain-lain) di rumah-rumah dan memerintahkan supaya kami membersihkannya
serta mengharumkannya dengan wangi-wangian".
-
Sayyidina Uthman ibnu Affan berkata, bahawasanya aku mendengar Rasulullah
SAW bersabda, "Barangsiapa yang membina masjid semata-mata kerana Allah,
Allah akan mendirikan untuknya seperti yang didirikan olehnya di Syurga"
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim, dipetik dari Shaikh Ali Mohammad Mokhtar,
1997: 33).
-
“Barangsiapa membangun masjid dengan tidak riyak dan sum’ah, maka Allah
akan membangun untuknya rumah di Syurga (Hadith Riwayat at Thabrani).
-
“Sesungguhnya akan datang pada umatku suatu zaman, mereka saling bermegah-megahan
dengan membangun beberapa masjid tapi yang memakmurkannya hanya sedikit”
(Hadith Riwayat Baihaqi).
-
Abu Hurairah r.a. telah berkata "Sesungguhnya seorang lelaki (atau perempuan)
hitam yang telah berkhidmat untuk masjid meninggal dunia. Nabi SAW bertanyakan
tentangnya. Jawab sahabat "Dia telah meninggal dunia". Kata Rasulullah
SAW "Mengapa kamu tidak memberitahu tentang kematiannya. Tunjukkan padaku
kuburnya." (Setelah diberitahu kuburnya) Rasulullah SAW pergi ke kuburnya
dan mendoakannya" (Shahih Bukhari 1: 124 dipetik dari Shaikh Ali Mohammad
Mokhtar, 1997: 34).
2.3 Fungsi Masjid
2.3.1 Antara fungsi masjid sebagaimana terdapat di dalam ayat-ayat Al-Qur`an
dan Hadith-hadith adalah seperti berikut:
-
Masjid adalah tempat yang paling disukai oleh Allah SWT (Hadith).
-
Masjid hanyalah tempat menyembah Allah SWT, bukan menyembah bersama-sama
selain dari-Nya (Al Jinn 72: 18).
-
Duduk di masjid itu dikira lalai (lagha) kecuali duduknya orang yang bersolat,
duduknya orang yang berzikir kepada Allah, dan duduknya orang yang membahas
ilmu (Wasiat Rasulullah SAW kepada Abu Dzar).
-
Masjid juga pernah dijadikan tempat menahan orang tawanan dan tempat orang
memeluk Islam (Shahih Bukhari Jilid 1 Hadith no. 273), tempat rawatan mereka
yang tercedera di dalam peperangan (Shahih Bukhari Jilid 1 Hadith no. 275),
tempat menyimpan dan mengagihkan harta (Shahih Bukhari, Jilid 1 Hadith
no. 248), dan tempat latihan sukan (memacu kuda) (Shahih Bukhari Jilid
1 Hadith no. 247).
2.3.2 Secara terperinci, ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-hadith yang
mengandungi mesej-mesej di atas adalah seperti berikut:
-
Rasulullah SAW bersabda: “Tempat yang paling dibenci oleh Allah di sesebuah
negeri itu ialah pasarnya manakala tempat yang paling disukai oleh Allah
di sesebuah negeri itu ialah masjid-masjidnya”.
-
“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah
kamu menyembah seseorang di dalamnya di samping (menyembah) Allah” (Al
Jinn 72: 18).
-
Sabda Rasulullah SAW: “Hai Abu Dzar, segala macam duduk di masjid itu adalah
lagha kecuali tiga macam, pertama duduknya orang solat, kedua, duduknya
orang berzikir kepada Allah, atau ketiga, duduknya membahas ilmu” (Wasiat
Rasulullah SAW kepada Abu Dzar).
-
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. mengirim satu pasukan
berkuda ke Nejd. Kemudian mereka datang kembali membawa seorang laki-laki
dari Bani Hanifah, bernama Tsumamah bin Utsal. Orang itu mereka ikatkan
pada sebatang tiang masjid. Rasulullah mendatangi orang itu, kemudian beliau
bersabda, ‘Lepaskan dia!’. Setelah itu Tsumamah pergi ke sebatang pohon
korma dekat masjid, lalu ia mandi dan setelah itu ia kembali pula ke masjid
dan masuk Islam. Ia mengucapkan, ‘Aku mengaku bahawa tidak ada Tuhan yang
patut disembah, melainkan Allah, dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah”
(Shahih Bukhari Jilid 1 Hadith no. 273).
-
Dari Aisyah r.h.a. katanya: “Dalam perang Khandaq, lengan Sa’ad (bin Muadz)
luka. Maka Rasulullah s.a.w. membuat sebuah khemah di masjid untuk memudahkan
beliau agar dapat melihatnya dari dekat. Di masjid itu telah ada khemah
lain dari Bani Ghaffar, dan mereka terkejut kerana darah mengalir dari
khemah Sa’ad ke khemah Bani Ghaffar. Mereka berteriak, ‘Hai, penghuni khemah!
Apa ini yang mengalir ke khemah kami dari khemah anda?’ Ketika itu, luka
Sa’ad sangat banyak mengeluarkan darah, sehingga dia meninggal di khemah
itu” (Shahih Bukhari Jilid 1 Hadith no. 275).
-
Dari Anas r.a. katanya: “Dibawa orang ke hadapan Rasulullah s.a.w. sejumlah
harta dari Bahrain. Maka Nabi memerintahkan, ‘Letakkan harta itu di masjid.’
Harta itu adalah yang paling banyak yang pernah dibawa orang ke hadapan
Rasulullah s.a.w. Kemudian Nabi s.a.w. datang ke masjid hendak solat, namun
beliau tidak menoleh sedikit juga kepada harta yang bertumpuk itu. Setelah
selesai solat, lalu Nabi duduk dekat harta itu. Siapa sahaja yang kelihatan
oleh Nabi ketika itu, maka diberinya harta itu” (Shahih Bukhari, Jilid
1 Hadith no. 248).
-
Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. pernah mengadakan
pacuan kuda antara Hafya’ dan Tsaniyatul Wada’. Kuda yang diperlumbakan
ialah kuda-kuda yang dilatih dan tidak dilatih, dan latihan perlombaan
diadakan antara Tsaniyah ke Masjid Banu Zuraiq. Dan Abdullah bin Umar termasuk
orang yang ikut dalam pacuan kuda yang tidak dilatih itu” (Shahih Bukhari
Jilid 1 Hadith no. 247).
2.4 Pengurusan dan Pentadbiran Masjid
2.4.1 Antara mesej yang terdapat di dalam ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith
berkenaan dengan pengurusan dan pentadbiran masjid adalah seperti berikut:
-
Kakitangan masjid paling utama ialah Imam dan Muadzdzin (tukang adzan).
Kedua-duanya wajib ada di sesebuah masjid (Hadith Riwayat Bukhari, Abu
Daud dan Nasa’i). Jawatan Imam dan Muadzdzin adalah jawatan mulia yang
boleh membawa mereka ke syurga (Hadith Riwayat Bukhari). Rasulullah SAW
sering mendoakan petunjuk untuk Imam dan keampunan untuk muadzdzin (Hadith
Riwayat Abu Daud dan At Tirmidzi). Allah SWT pula mengurniakan rahmat dan
pertolongan serta diampuni-Nya muadzdzin sejauh suaranya dapat didengar
(Hadith Riwayat At Thabrani).
-
Imam mesti berkebolehan membaca Al-Qur’an dengan bagus, lebih bagus dari
orang lain. Jika bacaan sama-sama bagus, hendaklah dipilih orang yang mengetahui
tentang sunnah. Jika sama-sama mengetahui tentang sunnah, dipilih orang
yang lebih dahulu berhijrah ke Madinah. Jika sama-sama berhijrah, dipilih
orang yang lebih dahulu masuk Islam (Hadith Riwayat Muslim; Hadith Riwayat
Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i).
-
Imam adalah pemimpin. Beliau wajib dituruti oleh makmun sama ada di dalam
takbir, ruku’ atau sujud. Makmun tidak boleh mendahuluinya. Malah sama
ada Imam bersembahyang berdiri atau duduk, makmun wajib mengikutinya (Hadith
Riwayat Abu Daud). Pengikut-pengikut Imam pula ialah orang-orang yang mahu
bertaqwa (Al Furqaan 25: 74). Pada masa yang sama, Imam perlu meringankan
makmun, kerana di antara mereka ada yang kecil, ada yang tua, ada yang
lemah dan ada yang mempunyai keperluan (Hadith Riwayat Muttafaqun ‘alaih).
2.4.2 Secara terperinci, ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-hadith yang
mengandungi mesej-mesej di atas adalah seperti berikut:
-
Dari ‘Amir bin Salimah, ia berkata: ‘Telah berkata bapak saya: “Aku datang
kepada kamu dari Nabi SAW, yang benar iaitu beliau bersabda: “Apabila hadir
solat hendaklah seorang daripada kamu adzan dan hendaklah mengimami kamu
orang yang lebih baik (lafadz) Qur’an dari antara kamu” (Hadith Riwayat
Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i).
-
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW, ia berkata: “’Beritahukanlah
kepadaku tentang amal yang akan memasukkan aku ke dalam Syurga.’ Rasul
menjawab: ‘Jadilah muadzdzin’. (Lelaki itu berkata:) ‘Aku tidak boleh.’
Rasul berkata: ‘Jadilah Imam’ (Lelaki itu berkata): ‘Aku tidak boleh’.
Maka Rasul bersabda: ‘Berdirilah dekat Imam’” (Hadith Riwayat Bukhari).
-
Rasulullah SAW sering mendoakan orang-orang yang adzan dengan doa: “Ya
Allah, tunjukkanlah para Imam dan ampuni para mu’adzdzin” (Hadith Riwayat
Abu Daud dan At Tirmidzi).
-
Rasulullah SAW bersabda: “Rahmat dan pertolongan Allah berada di atas mu’adzdzin
dan ia akan diampuni oleh Allah sepanjang/sejauh suaranya dapat didengar”
(Hadith Riwayat At Thabrani).
-
Rasulullah SAW “Mengimami kaum itu hendaklah orang yang lebih bagus bacaan
Kitabullah (Qur’an). Jika mereka sama tentang bacaan, maka pilihlah yang
mengetahui sunnah. Jika mereka sama tentang sunnah, maka pilihlah yang
lebih dahulu Hijrah. Jika mereka sama tentang Hijrah, maka pilihlah yang
lebih dahulu masuk Islam” (Hadith Riwayat Muslim).
-
Dari Abu Hurairah, ia berkata: “Telah bersabda Rasulullah SAW: ‘Dijadikan
Imam itu tiada lain melainkan buat diturut, maka apabila ia bertakbir,
hendaklah kamu bertakbir dan janganlah bertakbir hingga ia bertakbir; dan
apabila ia ruku’, maka hendaklah kamu ruku’ dan janganlah kamu ruku’ hingga
ia ruku’ dan apabila ia berkata sami’allahu liman hamidah, hendaklah kamu
berkata (menjawab) Allahumma robbana lakal hamdu; dan apabila ia sujud
maka hendaklah kamu sujud dan janganlah kamu sujud hingga ia sujud; dan
apabila ia solat berdiri maka hendaklah kamu solat berdiri dan apabila
ia solat duduk maka hendaklah kamu sekalian solat duduk” (Hadith Riwayat
Abu Daud).
-
“Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami
isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan
jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa” (Al Furqaan 25: 74).
-
Dari Abu Hurairah, bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: “Apabila seseorang
dari kamu mengimami manusia, hendaklah ia meringankan, kerana di antara
mereka ada yang kecil, ada yang tua, ada yang lemah dan ada yang mempunyai
keperluan; tetapi apabila ia solat sendirian, maka bolehlah ia solat sebagaimana
ia suka” (Hadith Riwayat Muttafaqun ‘alaih).
2.5 Pemakmuran (Pengimarahan) Masjid
2.5.1 Antara mesej yang terdapat di dalam ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-hadith
berkenaan dengan pemakmuran atau pengimarahan masjid adalah seperti berikut:
-
Rumah Allah SWT di bumi ialah masjid-masjid dan orang yang memakmurkannya
ialah pengunjung-pengunjungnya. Orang buta pun wajib mengunjunginya selagi
ia dapat mendengar azan dari masjid. Orang yang mengunjungi masjid adalah
pelawat Allah SWT. Hak Allah SWT sebagai Yang dilawat ialah memuliakan
pelawat-Nya (Hadith Qudsi). Rasulullah s.a.w menjamin syurga bagi orang
yang memakmurkan masjid (Wasiat Rasulullah SAW kepada Abu Dzar).
-
Termasuk ke dalam golongan orang yang memakmurkan (menghidupkan) masjid
ialah mereka yang melarang orang bersyair, meninggikan suara (berteriak)
dan berjual beli di dalam masjid (Hadith dipetik dari Shaikh Ali Mohammad
Mokhtar, 1997: 36). Sebahagian dari cara memakmurkan masjid pula ialah
dengan tidak bersuara keras, tidak berbicara hal-hal yang bathil, tidak
berjual beli, dan meninggalkan semua yang melalaikan ketika berada di masjid
(Wasiat Rasulullah SAW kepada Abu Dzar).
-
Mereka yang memakmurkan masjid merupakan salah satu dari tiga golongan
yang dipalingkan dari mereka siksaan Allah SWT (dua golongan lagi ialah
mereka yang saling mengasihi sesamanya kerana Allah SWT, dan mereka yang
selalu melakukan istighfar di waktu sahur) (Hadith Qudsi). Golongan yang
selalu terikat hatinya ke masjid pula merupakan salah satu dari tujuh golongan
yang akan mendapat perlindungan Allah SWT (enam golongan lagi ialah pemimpin
yang adil, pemuda yang selalu beribadah kepada Allah SWT, dua orang yang
saling cinta kerana Allah SWT yang bersatu dan berpisah kerana-Nya, seseorang
yang menolak ajakan wanita cantik dan berkedudukan dari melakukan maksiat,
seseorang yang beribadah secara sembunyi-sembunyi, dan seorang yang mengingat
Allah SWT (dzikrillah) di tempat yang sepi sehingga ia menangis) (Hadith
Riwayat Bukhari dan Muslim). Mereka yang selalu berulang alik ke masjid
dikira sebagai orang yang beriman (Hadith Riwayat At Tirmidzi dan Ibnu
Majah).
-
Orang yang layak menghidupkan masjid hanyalah orang yang beriman, orang
yang mendirikan sembahyang, orang yang menunaikan zakat dan orang yang
hanya takut kepada Allah SWT. Mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk
(At Taubah 9: 18).
-
Sembahyang seseorang itu paling utamanya ialah di rumah, tetapi bagi sembahyang
fardhu, ia paling utama dilakukan di masjid (Hadith Riwayat Bukhari dan
Muslim). Orang yang bersolat di masjid mendapat 27 kelebihan dari bersolat
di rumah atau di kedai. Setiap langkah mereka ke masjid akan diberikan
satu ganjaran dan dihapuskan satu dosa. Satu langkah menghapus kesalahan
(dosa) dan yang satu langkah lagi dituliskan baginya satu kebaikan, baik
ketika pergi atau ketika pulang (Hadith Riwayat Ibnu Hibban).
-
Bila berada di dalam masjid mereka diberi ganjaran. Para Malaikat bersalawat
manakala Rasulullah SAW mendoakan keampunan dan limpah rahmat untuknya
(Hadith dipetik dari Shaikh Ali Mohammad Mokhtar, 1997: 49). Selama berada
di masjid itu juga diganjarkan bagi setiap nafas satu darjat di syurga,
dicatat sepuluh hasanat, dan dihapuskan sepuluh dosa serta didoakan oleh
para Malaikat. Rasulullah SAW menyuruh memperbanyakkan langkah ke masjid,
mengajak orang ramai bersamanya, dan menunggu solat selepas solat. Mereka
yang melakukan perkara ini bukan sahaja dihapuskan dosa dan diangkat darjatnya
oleh Allah SWT, tetapi juga disediakan satu tempat di syurga setiap kali
mereka berulang alik ke masjid. Jika mereka bersolat jemaah di masjid selama
40 hari dengan tidak pernah luput dari Takbiratul Ihram rakaat pertama,
maka Allah S.W.T. menjamin untuknya kebebasan daripada api neraka. Sebaliknya,
jika manusia mendengar adzan tetapi tidak memenuhinya (tidak ke masjid)
tanpa uzur, solat yang dilakukan mereka tidak akan diterima. Uzur di sini
bermaksud ketakutan atau sakit (Hadith Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
-
Sesiapa yang membaca Al-Qur`an di masjid dan mendalami isinya, Allah SWT
mengurniakannya rahmat, ketenangan, memuji mereka di hadapan Malaikat dan
dikerumuni Malaikat (Hadith Riwayat Abu Daud). Sesiapa yang mengajar kebaikan
atau mencari ilmu di masjid, ia bagaikan orang yang berjuang menegakkan
agama Allah SWT (Hadith Riwayat Ibnu Majah). Sesiapa yang bertasbih kepada
Allah SWT di masjid akan Allah SWT balas dengan balasan yang lebih baik
dari apa yang mereka kerjakan dan menambah kurnia-Nya (An-Nuur 24:36-38).
Pada hari Kiamat, di Padang Masyar, ahli-ahli zikir di masjid digelar dan
dilayani sebagai ahli `keluarga utama’ (Hadith Riwayat Ahmad dari Abu Sa’id
Al Khudri).
2.5.2 Secara terperinci, ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-hadith yang
mengandungi mesej-mesej di atas adalah seperti berikut:
-
Dalam Hadith Qudsi Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya rumah-Ku di bumi
adalah masjid-masjid. Dan para pengunjungnya adalah orang yang memakmurkannya”
(Hadith Riwayat Abu Nu’aim).
-
Abu Hurairah r.a. berkata “Telah datang kepada Nabi SAW seorang yang buta,
lalu ia berkata: ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya saya tidak mempunyai tukang
pimpin untuk memimpin saya ke masjid, maka Baginda beri kelonggaran baginya,
tetapi setelah ia berpaling (hendak) pergi, beliau dipanggil lagi, lalu
bertanya: ‘Adakah engkau dengar adzan untuk solat?’ Ia jawab, ‘Ada’. Sabda
Rasulullah: ‘Kalau begitu, hendaklah engkau datang’.” (Hadith Riwayat Muslim).
-
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengambil wuduk dengan sempurna
kemudian datang ke masjid, maka dia adalah pelawat Allah, dan hak orang
yang dilawat ialah memuliakan pelawatnya.”
-
Daripada Ibnu Al Mubarak daripada Ubaidullah bin Abu Jaafar, dia telah
dihantar kepada Rasulullah SAW dan bertanya kepada Baginda siapakah yang
menyahut seruan Allah dan selalu menghidupkan masjid dengan baik? Lalu
Rasulullah SAW bersabda "Barangsiapa yang melihat seseorang mendendangkan
syair maka kamu katakan: 'Moga-moga Allah merungkaikan rahang kamu sebanyak
tiga kali’. Barangsiapa yang mendapati seseorang berteriak mencari sesuatu
benda yang hilang, hendaklah kamu katakan padanya: 'Aku tidak mendapatinya'
sebanyak tiga kali. Dan barangsiapa melihat seseorang berjual beli dalam
masjid katakan kepadanya: 'Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu'
sebanyak tiga kali" (Hadith dipetik dari Shaikh Ali Mohammad Mokhtar, 1997:
36).
-
Rasulullah SAW bersabda: “Hai Abu Dzar, siapa menyambut panggilan Allah
dan memakmurkan masjid-masjid Allah, maka pasti mendapatkan Syurga.” Saya
bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana caranya memakmurkan masjid?” Jawab
Nabi: “Janganlah keras-keras bersuara, jangan berbicara bathil, jangan
berjual beli di dalamnya, dan tinggalkan semua yang melalaikan selama kamu
berada di masjid. Maka jika tidak dapat berbuat begitu, maka jangan menyesali
kecuali dirimu sendiri pada hari Kiamat nanti” (Wasiat Rasulullah kepada
Abu Dzar).
-
Allah S.W.T. berfirman dalam Hadith Qudsi: “Demi kemuliaan dan keagungan-Ku,
sesungguhnya Aku bermaksud akan menurunkan siksaan kepada penduduk bumi,
tetapi ketika aku lihat penghuninya sedang memakmurkan rumah-Ku (Masjid),
saling mengasihi sesamanya kerana Aku, selalu melakukan istighfar (memohon
ampun kepada-Ku) di waktu sahur, Aku palingkan siksaan itu dari mereka.”
-
Rasulullah SAW bersabda: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat
perlindungan Allah pada saat tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya,
iaitu: pemimpin yang adil, pemuda yang selalu beribadah kepada Allah, seorang
yang selalu terikat hatinya ke masjid, dua orang yang saling cinta kerana
Allah, mereka bersatu dan berpisah kerana-Nya, seseorang yang apabila dipujuk
(untuk berbuat dosa) oleh wanita cantik dan mempunyai kedudukan, maka orang
itu berkata: ‘saya takut kepada Allah’, seseorang yang beribadah secara
sembunyi-sembunyi dan seorang yang mengingat Allah (dzikrillah) di tempat
yang sepi sampai ia mencucurkan air mata” (Hadith Riwayat Bukhari dan
Muslim).
-
Rasulullah SAW bersabda “Apabila kamu melihat seseorang pergi dan pulang
dari masjid, saksikanlah bahawa dia adalah beriman” (Hadith Riwayat At
Tirmidzi dan Ibnu Majah).
-
"Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman
kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan
zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah
orang-orang
yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk" (At
Taubah 9: 18).
-
Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, sembahyang di rumah-rumah kamu,
sesungguhnya sembahyang seseorang itu paling utama di rumah kecuali sembahyang
fardhu iaitu di masjid” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
-
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah
SAW telah bersabda: “Solat berjemaah, ganjarannya melebihi daripada solat
di rumah atau di kedai sebanyak 27 kelebihan. Sesungguhnya sesiapa daripada
kamu apabila mengambil wuduk dengan sempurna dan mendatangi masjid kerana
hendak mengerjakan solat, maka setiap langkah yang dilangkahinya akan mendapat
satu ganjaran daripada Allah S.W.T. dan menghapus daripadanya satu dosa
sehinggalah dia memasuki masjid. Apabila memasuki masjid maka dia akan
diberikan ganjaran dan para Malaikat akan bersalawat ke atasnya selagi
dia berada di dalam solatnya. Ya Allah! Berikanlah keampunan kepadanya.
Ya Allah! Limpahkanlah rahmat-Mu ke atasnya” (Hadith dipetik dari Shaikh
Ali Mohammad Mokhtar, 1997: 49).
-
“Barangsiapa yang pergi ke masjid hendak berjemaah, maka satu langkah menghapus
kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lagi dituliskan baginya satu kebaikan,
baik di kala pergi mahupun di kala pulang” (Hadith Riwayat Ibnu Hibban).
-
Sabda Rasulullah SAW; “Tidaklah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu perkara-perkara
yang dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa dan mengangkat darjat. Mereka
menjawab: “Bahkan wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Menyempurnakan
wuduk, memperbanyakkan langkah ke masjid dan menunggu solat selepas solat.
Itulah ikatannya, Itulah ikatannya, Itulah ikatannya!”
-
Sabda Rasulullah SAW “Menyempurnakan wuduk, mengajak orang ramai ke masjid,
menunggu solat selepas solat… ini dapat membersihkan dosa-dosa.” Sesiapa
yang sentiasa berulang alik ke masjid, sesungguhnya Allah menyediakan untuk
mereka suatu tempat di Syurga setiap kali mereka pergi dan balik (berulang
alik).”
-
Sabda Rasulullah SAW “Sesiapa yang solat berjemaah di masjid selama 40
hari dengan tidak pernah luput dari Takbiratul Ihram rakaat pertama, Allah
S.W.T. menjamin untuknya kebebasan daripada api neraka.”
-
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mendengar adzan dan ia tidak memenuhinya
tanpa uzur, maka tidak akan diterima solat yang dilakukannya.” Para sahabat
bertanya, “Apakah uzurnya?” Rasulullah SAW menjawab: “Ketakutan atau sakit”
(Hadith Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
-
“Tiadalah satu kaum berkumpul dalam satu rumah Allah (masjid) membaca kitab
Allah (Al Qur’an) dan mendalami isinya, melainkan mereka diliputi rahmat,
diberi ketenangan dan dikerumuni Malaikat serta dipuji di hadapan para
Malaikat yang berada di sekitarnya” (Hadith Riwayat Abu Daud).
-
Rasulullah SAW bersabda: “Hai Abu Dzar, sesungguhnya Allah akan memberi
kepadamu selama kamu duduk di masjid untuk tiap nafas satu darjat di syurga,
dan didoakan oleh para Malaikat, dan dicatat untuk tiap nafas sepuluh hasanat
dan dihapus sepuluh dosa dari padamu” (Wasiat Rasulullah kepada Abu Dzar).
-
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang masuk ke dalam masjid(-ku) ini
untuk mengajar kebaikan atau (mencari ilmu), maka ia bagaikan orang yang
berjuang menegakkan agama Allah” (Hadith Riwayat Ibnu Majah).
-
“Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk
dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu
petang (An-Nuur 24:36), laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan
dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan
sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari
yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang (An-Nuur 24:37).
(Mereka mengerjakan yang demikian itu) supaya Allah memberi balasan kepada
mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan,
dan supaya Allah menambah kurnia-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki
kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas (An-Nuur 24:38)”.
-
Hadith Qudsi: “Pada hari Kiamat Allah berfirman: ‘Pada hari ini orang-orang
yang berkumpul (di padang masyhar) akan mengetahui siapa yang termasuk
keluarga utama.’ Para sahabat bertanya: ‘Siapakah ahli (keluarga) utama
itu, Ya Rasulullah?’ Nabi SAW menjawab: Mereka itu ialah keluarga-keluarga
majlis zikir di masjid-masjid” (Hadith Riwayat Ahmad dari Abu Sa’id Al
Khudri).
2.6 Etika Masjid
2.6.1 Antara mesej yang terdapat di dalam ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith
berkenaan dengan etika masjid adalah seperti berikut:
-
Orang-orang kafir musyrik tidak dibenarkan menghampiri Masjidil Haram (At
Taubah 9: 28).
-
Digalakkan menghias diri ketika ke masjid (Al A'raf 7: 31), tetapi menghiasi
masjid tidak diperintahkan (Hadith Riwayat Abu Daud dan disahkan Ibnu Hibban).
-
Ketika memasuki masjid, hendaklah berdoa memohon Allah SWT membuka pintu
rahmat. Sebelum duduk hendaklah bersembahyang sunat dua rakaat (sunat Tahayatul
Masjid). Ketika keluar dari masjid hendaklah memohon limpah kurnia dari
Allah SWT (Hadith Muslim dan Shahih Bukhari 1:124).
-
Ketika bersembahyang jemaah di masjid, saf hendaklah dijaga dengan sempurna,
yakni dengan melurus dan merapatkannya, menyamakan dada dan bahu, dan menutupi
kekosongan di antaranya agar tidak dicelahi syaitan. Menjaga saf merupakan
sebahagian daripada kesempurnaan solat. Allah SWT dan Malaikat berselawat
ke atas saf yang pertama (Shahih Muslim 2:3; dan Hadith Riwayat Abu Daud
dan Nasa’i).
-
Ketika di dalam masjid, dilarang ada gangguan dari anak-anak kecil, orang-orang
gila, musuh-musuh, berjual beli, bersya’ir, mengumumkan kehilangan barang,
menghunus pedang, meninggikan suara dan melaksanakan hukum hudud (dipetik
dari kitab Mukhrij min Al-Ajwibah Al-Rai'ah, 55; Hadith Riwayat Muslim
dan Abu Daud; dan Hadith yang dipetik dari Shaikh Ali Mohammad Mokhtar,
1997: 36). Perbuatan tidak bersuara keras, tidak berbicara bathil, tidak
berjual beli, dan meninggalkan semua yang melalaikan semasa berada di masjid
dianggap oleh Rasulullah SAW sebagai sebahagian dari cara memakmurkan masjid
(Wasiat Rasulullah SAW kepada Abu Dzar). Sesiapa yang melarang orang bersyair,
meninggikan suara (berteriak) dan berjual beli di dalam masjid pula dianggap
sebagai orang yang menghidupkan masjid (Hadith dipetik dari Shaikh Ali
Mohammad Mokhtar, 1997: 36).
-
Tidak boleh melintasi atau datang ke masjid wanita yang berhaid kerana
ditakuti mengotorkan masjid dan orang yang membawa daging kerana ditakuti
darah daging itu jatuh menitis. Mereka yang membawa anak panah pula mesti
menutupi hujung mata anak panah supaya tidak menyakiti orang lain (Hadith
dipetik Shaikh Ali Mohammad Mokhtar, 1997: 40). Mereka yang memakan bawang
putih atau sayuran-sayuran yang menyebabkan mulut atau badannya berbau
juga dilarang mendekati masjid sehingga baunya hilang (Sahih Muslim Hadith
no. 514 dan 517).
2.6.2 Secara terperinci, ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-hadith yang
mengandungi mesej-mesej di atas adalah seperti berikut:
-
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu
najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini.
Dan jika kamu khuatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberikan
kekayaan kepadamu dari kurnia-Nya, jika Dia mengkehendaki. Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (At Taubah 9: 28).
-
"Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid,
makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah
tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan" (Al A'raf 7: 31).
-
Rasulullah SAW bersabda: “Aku tidak diperintahkan untuk menghias masjid-masjid”
(Hadith Riwayat Abu Daud dan disahkan Ibnu Hibban).
-
Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Hamid dan berkata: Sabda Rasulullah
SAW "Apabila ada antara kamu yang hendak memasuki masjid hendaklah berdoa
dengan berkata: 'Ya Allah! Bukakanlah pintu-pintu Rahmat-Mu,' dan apabila
hendak keluar hendaklah berdoa dengan berkata: 'Ya Allah! Aku memohon limpah
kurnia daripada-Mu."
-
Daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda "Apabila ada
antara kamu memasuki masjid, maka hendaklah dia rukuk (solat dua rakaat
sebelum duduk)" (Shahih Bukhari 1: 124).
-
Rasululllah SAW bersabda: "Sempurnakanlah saf-saf kamu kerana kelurusan
saf merupakan sebahagian daripada kesempurnaan solat" (Shahih Muslim 2:
3).
-
Sabda Rasulullah SAW: “Susun saf-saf dan rapatkan ia serta hampirkan bahu-bahu
kamu” (Hadith Riwayat Abu Daud dan Nasa’i).
-
Daripada al Barra’ bin Azib r.a., menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah
datang ke satu sudut saf, lalu menyamakan antara dada ahli jemaah serta
menyamakan bahu-bahu mereka seraya bersabda: “Jangan kamu berselisihan,
nescaya hati-hati kamu akan berselisih. Sesungguhnya Allah S.W.T. dan Malaikatnya
bersalawat ke atas saf yang pertama”.
-
Sabda Rasulullah SAW: “Sempurnakanlah saf-saf kamu dan hampirkan bahu-bahu
kamu. Berlembutlah pada kedua tangan saudara kamu dan tutuplah kekosongan
kerana syaitan akan memasuki di celah-celah yang kosong antara kamu seperti
seekor kambing hitam”.
-
Rasulullah SAW "Jauhkanlah masjid-masjid kamu daripada (gangguan) anak-anak
kecil, orang gila, musuh-musuh, jual beli, pedang yang terhunus, meninggikan
suara kamu dan tidak boleh melaksanakan hukum hudud (dalam masjid). Tangguhlah
pelaksanaan hukuman itu pada hari-hari kamu berkumpul" (dipetik dari kitab
Mukhrij min Al-Ajwibah Al-Rai'ah, 55; dan Shaikh Ali Mohammad Mokhtar,
1997: 36).
-
Rasulullah SAW bersabda: “Hai Abu Dzar, siapa menyambut panggilan Allah
dan memakmurkan masjid-masjid Allah, maka pasti mendapatkan Syurga.” Saya
bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana caranya memakmurkan masjid?” Jawab
Nabi: “Janganlah keras-keras bersuara, jangan berbicara bathil, jangan
berjual beli di dalamnya, dan tinggalkan semua yang melalaikan selama kamu
berada di masjid. Maka jika tidak dapat berbuat begitu, maka jangan menyesali
kecuali dirimu sendiri pada hari Kiamat nanti” (Wasiat Rasulullah kepada
Abu Dzar).
-
Daripada Ibnu Al Mubarak daripada Ubaidullah bin Abu Jaafar, dia telah
dihantar kepada Rasulullah SAW dan bertanya kepada Baginda siapakah yang
menyahut seruan Allah dan selalu menghidupkan masjid dengan baik? Lalu
Rasulullah SAW bersabda "Barangsiapa yang melihat seseorang mendendangkan
syair maka kamu katakan: 'Moga-moga Allah merungkaikan rahang kamu sebanyak
tiga kali’. Barangsiapa yang mendapati seseorang berteriak mencari sesuatu
benda yang hilang, hendaklah kamu katakan padanya: 'Aku tidak mendapatinya'
sebanyak tiga kali. Dan barangsiapa melihat seseorang berjual beli dalam
masjid katakan kepadanya: 'Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu'
sebanyak tiga kali" (Hadith dipetik dari Shaikh Ali Mohammad Mokhtar, 1997:
36).
-
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mendengar seseorang yang mengumumkan
mencari barang yang hilang di masjid, maka katakanlah: ‘Mudah-mudahan Allah
tidak mengembalikan barangnya, sebab masjid tidak didirikan untuk itu”
(Hadith Riwayat Muslim dan Abu Daud).
-
Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang lelaki berjalan sambil membawa
anak panah, hendaklah dia menutup matanya (hujung anak panah) supaya tidak
menyakiti orang lain. Melintasi masjid dengan membawa daging juga dilarang
kerana ditakuti darah akan jatuh menitis. Demikian juga perempuan yang
haid dilarang melintasi masjid jika ditakuti akan mengotorkannya" (Hadith
dipetik Shaikh Ali Mohammad Mokhtar, 1997: 40).
-
Dari Ibnu ‘Umar r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: “Siapakah yang makan
bawang putih, janganlah mendekat ke masjid sebelum hilang bau mulutnya”
(Sahih Muslim Hadith no. 514).
-
Dari Jabir r.a., katanya “Rasulullah SAW melarang kami memakan bawang dan
kucai (sayur-sayuran yang menyebabkan mulut atau badan jadi berbau). Tetapi
kerana terpaksa kami makan juga. Maka bersabda Baginda SAW: ‘Siapa yang
memakan sayur-sayuran (yang menyebabkan badan atau mulut berbau) ini, maka
janganlah mendekati masjid kami, kerana Malaikat merasa tersiksa dengan
apa yang menyiksa manusia” (Sahih Muslim Hadith no. 517).
3.0 PENUTUP
3.1 Dari ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-hadith di atas, dapat disimpulkan
beberapa garis panduan bersangkutan dengan masjid:
-
Pembinaan Masjid: Masjid digalakkan dibina, tetapi tidak boleh dengan
riyak dan sum`ah. Juga tidak boleh mendirikan masjid dengan tujuan seperti
tujuan orang-orang munafik, yakni untuk membahayakan keselamatan umat Islam,
menguatkan keingkaran terhadap Islam, memecah-belahkan perpaduan umat,
dan menjadi tempat intipan orang yang derhaka kepada Allah SWT.
-
Kiblat Masjid: Setiap masjid mesti mengarahkan kiblatnya ke Masjidil
Haram di mana terdapatnya Kaabah. Masjid mesti sentiasa bersih dan diharumkan
dengan wangi-wangian. Masjid adalah tempat yang paling disukai Allah SWT.
-
Fungsi Masjid: Ada empat fungsi masjid yang disebutkan di dalam
Al-Qur`an dan Hadith. Pertama ialah sebagai tempat beribadah kepada Allah
SWT; kedua, sebagai tempat bersembahyang; ketiga, sebagai tempat berzikir
kepada Allah SWT; dan keempat, sebagai tempat membahas (mengajar dan mempelajari)
ilmu. Selain itu, masjid juga pernah berfungsi sebagai tempat menahan orang
tawanan, tempat orang memeluk Islam, tempat rawatan mereka yang tercedera
di dalam peperangan, tempat menyimpan dan mengagihkan harta, dan tempat
latihan sukan (memacu kuda).
-
Kakitangan Masjid: Kakitangan masjid yang penting dan mesti ada
ialah Imam dan Muadzdzin (Bilal). Imam mesti dipilih dari orang yang bagus
bacaan Al-Qur`annya, mengetahui sunnah, yang lebih dahulu berhijrah, dan
lebih dahulu memeluk Islam.
-
Pengimarahan Masjid: Masjid mesti diimarahkan dengan mengunjunginya,
bersembahyang fardhu, membaca al-Qur`an dan mendalami isinya, mengajar
dan belajar ilmu, menyucikan diri, serta bertasbih dan berzikir kepada
Allah SWT. Melarang orang bersyair, melarang orang yang meninggikan suara
(berteriak) dan orang yang berjual beli di dalam masjid juga dikira sebagai
sebahagian dari cara memakmurkan masjid. Begitu juga dengan tidak bersuara
keras, tidak berbicara hal-hal yang bathil, tidak berjual beli, dan meninggalkan
semua yang melalaikan. Orang yang layak mengimarahkan masjid ialah orang
yang beriman, orang yang mendirikan sembahyang, orang yang menunaikan zakat
dan orang yang hanya takut kepada Allah SWT.
-
Etika Masjid: Ketika di masjid digalakkan menghiaskan diri, tidak
bersuara keras atau berteriak, tidak bercakap hal-hal yang bathil, tidak
mengumumkan kehilangan barang, tidak berjual beli, tidak bersyair, tidak
menghunus pedang, tidak menjalankan hukum hudud, dan meninggalkan semua
yang melalaikan. Melarang perbuatan-perbuatan ini dikira juga sebagai memakmurkan
masjid. Di masjid juga tidak boleh ada gangguan dari anak-anak kecil, orang-orang
gila, dan musuh-musuh. Ketika memasuki masjid perlu berdoa agar Allah SWT
membuka pintu rahmat dan kemudian bersembahyang Tahayatul Masjid. Bila
bersembahyang jemaah pula mesti menyempurnakan saf dengan melurus dan merapatkannya.
Bila keluar dari masjid perlu berdoa agar Allah SWT limpahkan kurnia. Orang
yang membawa daging yang berdarah, orang yang memakan bawang putih dan
sayur-sayuran yang berbau, dan wanita-wanita yang haid tidak boleh melintasi
masjid. Orang yang membawa senjata (panah dan pedang) pula perlu menjaganya
agar tidak membahayakan orang lain.
|