ISU TOK MEK: Update 7 Nov 2004

 


(link to latest artikel [email protected])

Berikut adalah update terbaru mengenai isu Tok Mek dan adik Nurfazida Bt Md Radazi.

 

Apabila sampai ke pengetahuan saya bahawa pihak sekolah di mana adik Fazida belajar, iaitu Sekolah Menengah Keb Parit Panjang, Baling Kedah tidak berpuas hati dengan tulisan saya kerana dikatakan dalam tulisan tersebut terdapat beberapa fakta yang tidak tepat; maka pada hari Ahad 7 Nov 2004, saya dan 3 orang sahabat yang turut serta dalam lawatan ke rumah Tok Mek tempoh hari telah bergegas ke Sekolah berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

 

ISU BIASISWA

 

Dalam meeting tergempar yang diadakan di Bilik Mesyuarat sekolah berkenaan bersama-sama dengan Tuan Pengetua Sekolah beserta Guru-Guru Kanan dan guru kelas Fazida, yang kemudian turut disertai oleh Tok Mek dan adik Fazida sendiri beserta seorang Ustazah yang menjaga bahagian Biasiswa; kami diberikan gambaran yang sebenar kenapa adik Fazida tidak mendapat biasiswa.

 

Terdapat 4 Kriteria untuk mendapat Biasiswa:

1)      Pencapaian Akademik

2)      Jumlah Ahli Keluarga

3)       Pendapatan Keluarga

4)      Jarak Dari Rumah Ke Sekolah

 

Dari sudut pencapaian Akademik, kami ditunjukkan report kad yang menunjukkan adik Fazida hanya mendapat No-2 dalam kelas 2Dnya, dan bukan No-1 seperti yang saya tulis berdasarkan apa yang diceritakan oleh Fazida dalam lawatan kami tempoh hari.

 

(Saya ingin mohon maaf kerana dalam tulisan saya itu saya tidak nyatakan No-1 itu dalam kelas atau pun untuk keseluruhan , kerana saya tidak expect adik Fazida untuk mendapat No-1 untuk keseluruhan tingkatan, cuma No-1 dalam kelas Tingkatan 2D sudah memadai, mengambil kira beliau sebagai anak yatim yang tinggal dengan moyang yg sudah tua di dalam rumah kecil yang bocor bumbungnya tatkala hujan tiba. Saya mohon maaf)

 

Kelas 2D adalah antara kelas yang tercorot, walau pun beliau mendapat No-2 dalam kelas tersebut, tapi relative dengan kedudukan tingkatan berbanding dengan kelas-kelas lain, beliau dikira jauh ketinggalan. Ini adalah penjelasan pihak sekolah.

 

Dari sudut jumlah ahli keluarga juga beliau gagal memenuhi kriteria untuk mendapatkan biasiswa kerana hanya beliau dan Tok Mek sahaja dalam keluarga tersebut. Dari sudut Jarak ke Sekolah juga gagal kerana jarak dari rumahnya ke sekolah hanyalah beberapa km sahaja. Cuma yang melayakkan beliau ialah untuk mendapat biasiswa ialah kriteria no (3), iaitu Pendapatan Keluarga. All in all, beliau cuma memenuhi 1 drpd 4 kriteria di atas. Kerana itu beliau gagal memperolehi biasiswa. Saya ingin memohon maaf kepada pihak sekolah kerana saya tidak mengetahui mengenai Kriteria tersebut. Harap maklum.

 

 

ISU WANG SUMBANGAN

 

Satu lagi isu yang dibincangkan ialah mengenai pengurusan dana wang sumbangan orang ramai terhadap Adik Fazida dan Tok Mek.

 

Pihak sekolah telah bersetuju untuk melantik sebuah Jawatankuasa yang akan mengendalikan dana tersebut yang dianggotai oleh beberapa guru; sementara saya Mohd Monier Bin Mat Din berserta 3 orang sahabat saya iaitu sdra Warikh (cameraman), Wahab (kawan baik saya), sdra “M” yang menangis di hadapan stering Serenanya sebagai pemerhati.

 

Adalah dirasakan perlantikan Jawatankuasa tersebut kena pada tempatnya kerana bukan sahaja kami atau pun guru-guru, tapi jiran-jiran Tok Mek juga risau dengan “kehadiran kelibat-kelibat asing” di waktu malam di kampong tersebut sejak-sejak dana untuk Tok Mek dan adik Fazida turun mencurah-curah.

 

Dalam mesyuarat ini juga dipersetujui beberapa perkara berikut:

 

  1. Pihak Jawatankuasa Dana akan memegang buku BSN ini (dengan persetujuan Tok Mek) sehinggalah adik Fazida habis Tingkatan 5. Selepas itu, buku tersebut akan diserahkan terus kepada beliau.
  2. Pihak sekolah memaklumkan bahawa di sekolah tersebut bukan sahaja adik Fazida yang miskin dan susah tetapi lebih ramai lagi murid-murid yang sama atau pun jauh lebih susah daripada adik Fazida. Memandangkan jumlah kutipan tersebut agak banyak dan di luar jangkaan, maka dalam mesyuarat ini, dengan persetujuan Tok Mek dan adik Fazida, wang tersebut akan diagihkan kepada kategori yang berikut: 1/3 untuk buat rumah Tok Mek, 1/3 untuk biayai persekolahan adik Fazida dan 1/3 lagi untuk dana pihak sekolah bagi membantu  murid-murid lain yang sama sudah atau pun jauh lebih susah daripada adik Fazida. Dalam perbualan saya dengan Tok Mek seterusnya, Tok Mek cakap wang itu dia niat sedekah untuk budak-budak itu. Lagi pun, dari segi saikologi sekurang-kurangnya ianya dapat mengelakkan rasa iri hati atau pun tidak puas hati murid-murid lain yang sama susah atau pun jauh lebih susah daripada adik Fazida.
  3. Bahagian 1/3 untuk adik Fazida itu tidak akan diserahkan sekaligus kepada beliau mengambil kira usianya yang masih muda. Pihak Jawatankuasa akan memutuskan jumlah “‘Elaun Bulanan” yang akan diberikan kepada beliau berdasarkan masa dan keadaan bagi mengurangkan risiko beliau berbelanja berlebihan. Apa-apa pun selepas tingkatan 5, beliau akan mempunya kuasa mutlak terhadap wang simpanannya itu dan bebas berbuat apa sahaja yang beliau suka. Sementara ini, pihak jawatankuasa akan membantunya supaya tidak boros berbelanja.
  4. Perbincangan detail mengenai agihan sumbangan dana ini akan diadakan pada 5 hb Dec 2004, iaitu selepas habis musim peperiksaan.

 

 

 

KOMENTAR

 

Secara peribadi, setelah melawat sendiri ke sekolah tersebut, dan setelah bertemu dengan beberapa orang murid yang agak lebih malang berbanding adik Fazida, dan setelah dibawa oleh beberapa orang guru ke beberapa buah teratak usang di kampong-kampung berhampiran Sekolah berkenaan, saya merasakan 1/3 dana untuk tabung kemiskinan sekolah tersebut memang tepat pada masanya.

 

Misalnya, saya diperkenalkan kepada seorang murid lelaki tingkatan 3, di mana pada tahun lepas, selama setahun beliau tidak datang ke sekolah kerana terpaksa bekerja untuk mencari wang bagi menyambung pelajaran ke tingkatan 3. Berbual dengan murid ini, saya jadi agak segan untuk bertentang mata. Bila beliau bercerita latar belakang keluarganya, memang sungguh terasa hiba di dada.

 

Kemudian saya dibawa ke beberapa buah rumah usang yang berbumbungkan atap rumbia dan berdinding buluh milik beberapa orang penoreh getah sekitar situ. Berbual dengan mereka memang terasa bagaikan nak menitis air di mata.

 

Misalnya, seorang Nenek tua yang menjaga 3 orang cucunya (darjah 1, form 3 dan form 4) yang tinggal bersama anak perempuannya yang tidak bekerja dan anak lelaki yang menoreh getah di kebun orang; bila saya tengok rumah beliau yang dapurnya atap rumbia  berdindingkan buluh yang jelas kusam hampir reput dan berlumut, serta ruang tamu yang beratap zink yang sudah karat dan bilik atas yang juga beratap zink karat yang sudah tidak boleh diduduki lagi kerana air hujan bila turun, ia akan meluru masuk bagaikan air paip yang keluar di sinki, saya jadi terpana. Bila Tok Nek ini cerita ketiga-tiga atap tersebut, atap rumbia, atap zink karat dan zink yang sudah hampir lebur, semuanya bocor (atau tiris kata org Baling) setiap kali hujan turun; saya tanyalah “Habis tu kalau semua Tiris, bila hujan lari mana?”

 

Tok ini cakap:

“Kalau Tiris, Tok lari la ke tempat yang tak Tiris!!”

 

Tu dia aih. Rupanya hujan ini bukan sahaja mengganggu rehat atau pun tidur beliau sekeluarga tapi juga menimbulkan masalah besar bila ianya turun berterusan; kerana periuk nasi keluarga ini bergantung sepenuhnya kepada baiknya cuaca. Jika tiada hujan maka bolehlah pergi menoreh mencari makan, jika tidak berlaparlah jawabnya.

 

Sekali tu saya tanya, pernah tak sesak, tak dak duit nak belanja. Dia jawab pernah. Habis tu buat lagu mana? Tok Nek ini jawab:

 

“Kita tak pa la, tapi dok ingatkan cucu-cucu tu lapar, pi lah juga kedai Siam tu - Hutang Beras 2 Cupak!!”

 

Tak terkata apa saya, terus teringat Supermarkat SELESA kat tepi rumah saya itu, bila beras habis, anytime saya boleh pi Supermarket itu ambik berapa “Ratus Cupak” saya nak, tapi Tok Nek ini 2 Cupak pun nak kena hutang. Bila teringat Tok Nek ini dan kisah Beras 2 Cupaknya, dalam kepala saya, cerita Tok Mek dan Fazida tiba-tiba terus jadi tenggelam.

 

Bila saya tanya pula, buka posa ini masak apa, Tok Nek ini cakap “Masak Nasik Saja Awang ooo..”. Saya tanya lagi, takkan nasik saja, takkan tak buat cucur ka, koi ka bubur ka apa ka bagi cucu-cucu dia makan. Tok Nek ini jawab:

 

“Laaaaa……Nak Ambik Duit Mana Awang oooooo….”

 

Terus saya tak tanya apa dah!!

 

So, berbalik kepada kisah Tok Mek dan Fazida; apabila melihatkan suasana di atas ini, saya merasakan cerita Fazida hanyalah a tip on the iceberg mengenai kemiskinan di Baling.  Fazida dan Tok Mek hanyalah satu symbol yang melambangkan nasib dan permasalahan hidup mereka-mereka yang sama waktu dengannya di daerah kelahiran saya ini. Mungkin ada beberapa fakta tidak tepat yang saya tulis seperti keputusan peperiksaan No 1 vs 2, kedudukan dalam kelas vs kedudukan dalam tingkatan; tetapi ianya tidak menjejaskan fakta bahawa kemiskinan tegar masih wujud, hidup dan segar di kawasan ini, terutamanya di persekitaran sekolah di mana adik fazida dan cucu Tok Nek di atas belajar iaitu di Sekolah Menengah Parit Panjang. Jika anda semua ada wang yang agak berlebihan, hulur-hulurkanlah kepada Tabung Kemiskinan yang ditubuhkan oleh pihak sekolah ini; moga di suatu masa nanti kisah Fazida dan Tok Mek, kisah pelajar sekolah yang terpaksa ponteng selama satu tahun mencari wang untuk ke tingkatan 3 dan kisah Tok Nek di atas yang terpaksa berhutang 2 Cupak beras di kala hujan, semuanya hanyalah tinggal kenangan.

 

Mudah-Mudahan.

 

[email protected]

7 Nov 2004

http://www.geocities.com/monier_matdin/tokmek7nov.htm

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1