Jalan-Jalan Hari Raya:  Kisah di Sebalik Buluh Lemang

 

Dari tempat saya menulis ini, dari anjung sebuah chalet mengadap pantai Laut China Selatan di sebuah resort di negeri Terengganu, jelas kelihatan mentari pagi mula merangkak keluar. Suara ombak yang tak henti-henti memukul pantai sejak semalam bukan sahaja jelas kedengaran setiap ngauman dan deruannya, tapi juga boleh jelas dilihat berbalam-balam berwarna putih kebiruan, dari kejauhan berlumba sesama sendiri meluru ke pantai menghempas butir-butir pasir di tepi.

                                                                                                    

Pagi ini, di kala mentari mula memancar, di kala ombak pagi mengambil giliran; saya teringatkan Pak Usop pemotong buluh lemang di  Kemaman; tentunya pagi ini Pak Usop akan terus menolak basikalnya lagi seperti saban hari yang lalu, membawa anaknya Mat Jab di belakang dan Ira di raga hadapan, sesekali mengayuh dan sesekali menuntun (mengheret) basikal itu sejauh hampir 4 km saban hari, menuju ke tempat kerjanya di sebuah kawasan gerai-gerai lemang di kaki Bukit Kijal, Kemaman, Terengganu Darul Iman. Nasib baik ada basikal, yang menurut seorang sahabat mungkin sumbangan kerajaan Negeri; kalau tidak menapak sajalah Pak Usop ke tempat kerja.

 

Saya bertemu kisah Pak Usop pembuat buluh lemang ini secara kebetulan.

 

Setiap 2 tahun sekali giliran kami sekeluarga balik berhari raya ke kampong orang rumah saya di Kemaman. Oleh kerana isteri saya ini anak yatim, dalam erti kata mak dan ayah mentua saya sudah lama tiada, dan kakak-kakak serta abang-abang ipar saya pula kebanyakannya sudah pun bercucu; maka menjadi kebiasaan bagi kami sekeluarga bila pulang berhari raya, kami akan tinggal bermalam di resort-resort atau pun di kawasan chalet berhampiran; cuma untuk bermalam sahaja tapi di waktu siangnya beraya sehari suntuk di rumah sanak saudara di sana. Selain serunding dan rendang, kami turut membeli lemang untuk santapan anak-anak di pagi raya..

 

Cakap pasal lemang, kalau sesiapa yang datang ke Kemaman, terutama di musim raya, tak sah rasanya kalau tak beli Lemang Kijal. Kalau setiap daerah ada jenis-jenis produk tertentu; misalnya Labu Sayung di Perak, Langsat Baling di Kedah dan Mee Bandung Muar di Johor, di Kemaman pula memang terkenal dengan Lemang Kijal. Bagi orang pantai timur dan juga orang luar yang sesekali bertandang ke sini, lemang Kijal memang sedap dan enak rasanya, tambah-tambah kalau dimakan panas-panas, kena sebatang nak sebatang lagi.

 

Besok harinya, di pagi aidilfitri setelah membelah lemang, buluhnya saya campakkan ke dalam tong sampah. Tidak ada apa yang saya fikirkan mengenai buluh lemang tersebut hinggalah keesokan harinya.

 

Tatkala berhari raya ke rumah seorang “Waghih” [Bahasa Tganu = Sanak Saudara] di Gong Pauh, Kemaman; ketika bertanyakan ada ke mana-mana keluarga yang daif dan layak untuk isteri saya membayar zakat pendapatannya yang sudah lama tertunggak kerana menunggu masa untuk pulang bercuti  bagi melunaskannya di kampong halaman, seorang waghih yang hadir terus bercerita mengenai kisah kedaifan hidup Pak Usop seorang pemotong buluh lemang di kaki bukit Kijal.

 

Pak Usop adalah nama panggilan. Nama penuhnya ialah Wahab bin Yusuf, usia lewat 40an, bekerja sebagai pemotong buluh lemang dengan pendapatan RM0.20 atau pun “Due Poseng” untuk setiap batang lemang yang berjaya dipotong, diraut dan dikikis bersih.

 

Pendapatan harian Pak Usop bergantung kepada permintaan; kalau di musim raya 2 kali setahun ini adalah lebih sikit, tapi kalau di musim biasa, kadang-kadang setelah penat mengayuh dan menuntun basikal sejauh 4 km itu, Pak Usop hanya mampu berputih mata, terpaksa berpatah pulang bila mana tauke gerai lemang memaklumkan mereka tak perlukan lagi buluh-buluh baru.

 

Dengan hari kerja yang tak menentu, dan pendapatan harian antara 10 ke 15 “ghiyal” sehari, boleh bayangkanlah macam mana kehidupan Pak Usop suami isteri dan 5 orang anak-anaknya ini. Ketika saya ke sana pada hari raya yg ke-2, Pak Usop tiada di rumah, lalu saya ambil kesempatan menemu bual mak dan ayah mentuanya yang tinggal di sebuah teratak usang bersebelahan, Mokcik Minah (64 tahun) dan Pokcik Toyib (70 tahun). Kata Mokcik Minah:

 

“Bini Usop tu kalu nak masak, maghi sok-mo mintak minyak nak goreng ikang. Kadang maghi minta garang, kadang mintak kic-cak….macang-macang agi…segheme maghi mintak ghumah kami”

 

Tu dia aih, minyak nak goreng ikan, garam, kicap dan serba mak nenek dok minta rumah mentua, mentua mana yang tahan. Tambah-tambah pula, Mokcik Minah dan Pokcik Toyip sendiri hidup atas duit “Welfare” (istilah Pokcik Toyip) iaitu wang saraan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM100 sebulan. Bukan sahaja Pokcik Toyip , tapi kita juga boleh naik haru; sudah la RM100 itu saja yang kita ada, lepas tu anak menantu pula dok mari tumpang sekaki, tak ke haru!

 

Bila saya tanya persediaan raya anak-anak Pak Usop, Mokcik Minah cakap:

 

“Usop tu buleh beli kaing batek 2 lai je….hok laing semue oghang BUI…!”

 

Maksudnya Pak Usop cuma mampu beli kain batik dua helai sahaja, yang lain-lain tu semua orang bagi. Kalau mak mentua kita dok cerita macam tu pasal kita kat orang lain, mesti kita naik sedih punya. Saya tak berkesempatan bertemu Pak Usop, cuma dapat bersembang dengan anak sulungnya si Lias bagi mempastikan fakta-fakta yang saya tulis ini benar, jadi saya tak dapat menyelami apa perasaan sebenar Pak Usop berhadapan dengan realiti hidup yang sebegini.

 

Apa-apa pun, nak salahkan Pak Usop pun tak kena juga; dengan pendapatan dua poseng sebatang buluh lemang itu, apalah sangat yang mampu beliau lakukan. Lagi pun Lemang  bukanlah makanan ruji orang-orang Malaysia macam Nasi Kandar, KFC, McDonald, Pizza Hut dan sebagainya.

 

Lainlah kalau orang Malaysia makan lemang macam depa makan KFC, Mc Donald dan Pizza Hut; bolehlah Pak Usop simpan duit sikit. Kalau pun bukan untuk beli minyak nak goreng ikan, garam nak masak sayur, kicap nak bagi anak-anak selera makan; sekurang-kurangnya bolehlah juga Pak Usop pastikan anak-anaknya punya kelengkapan pakaian dan alatan persekolah yang sempurna agar mereka akan rajin ke sekolah dan tidak merasa rendah diri setiap kali berhadapan dengan rakan-rakan sebaya di sekolah.

 

Ini tidak, bukan saja Pak Usop terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan dua poseng sebatang lemang bagi mempastikan ada makanan terhidang untuk anak-anaknya yang 5 orang, tapi masa depan anak-anaknya pun nampak makin kelam sekelam laut china selatan di musim hujan. Apa tidaknya, anak sulungnya si Lias lewat belasan tahun, cuma mampu bersekolah takat darjah 6, kini bekerja ikut berkesempatan di pekan Kemaman, yang terbaru bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan, bolehlah 4 lima riyal beda lepas tambang. Anak no duanya pula si Mat Yi, tahun hadapan tingkatan satu, tapi macam juga abangnya si Lias, Mat Yi pun kira grad setakat darjah enam sahaja.

 

Anak no tiganya si Mat Jab, yang berumur 9 tahun itu lagi hebat, kalau abang-abangnya terpaksa ambik masa 6 tahun untuk grad, Mat Jab cuma ambik masa 2 tahun saja; Mat Jab grad selepas habis darjah 2. Tahun ini di kala rakan-rakannya di sekolah sedang bertungkus lumus dengan bab darab dan bahagi di darjah 3, Mat Jab pula sibuk dengan bab campur dan tolak di tempat potong buluh lemang bersama ayahnya. Yang tinggal sekarang cumalah Asri (5) dan adiknya Ira (2). Kalaulah Asri atau pun Ira boleh pecah rekod Mat Jab, kira boleh masuk Malaysian Book of Record lah!!

 

Saya tak pasti sama ada terpinggirnya anak-anak Pak Usop daripada arus perdana pendidikan Negara ini sama ada atas sebab kemiskinan atau pun kerana Pak Usop sendiri tidak perihatin akan kepentingan pendidikan persekolahan untuk anak-anaknya. Yang saya tahu, seorang sahabat dari Kuala Kemaman ada bercerita kepada saya mengenai satu kajian oleh Prof Diraja Ungku Aziz mengenai kemiskinan di Kemaman sekitar 10 atau pun 20 tahun yang silam [Saya tidak dapat mengesahkan maklumat ini].

 

Sekiranya benar, mungkin sudah tiba masanya Pak Ungku kita buka semula thesis beliau itu, dan datang kembali ke Kemaman khususnya ke rumah Pak Usop untuk meminta penjelasan.

 

Apa-apa pun, bagi saya yang merupakan orang luar merasa agak ‘tersentak’ atau sedikit  ‘shock’ apabila mengenangkan nasib anak-anak Pak Usop ini. Kata saya kepada seorang kawan:

 

“Seteruk-teruk orang ulu Baling macam aku yang pernah makan nasi lauk garam pun, tak ada la sampai tak bersekolah. Semiskin-miskin Fazida cicit Tok Mek di Lanai Baling yang terpaksa mengikat perut di sekolah tu pun, tak lah sampai tercicir . Ini sampai tak sekolah, memang penat sungguh la!!”

 

Sebetulnya, dalam perbualan saya dengan anak-anak tempatan di daerah Kemaman, ramai yang merungut dengan cost of living yang naik begitu mendadak sejak apa yg dikatakan sebagai ‘kemasukan’ orang-orang luar ke Kemaman dan kawasan sekitar, seperti kawasan industri minyak di Kerteh, kawasan pelancungan di Awana Kijal dan beberapa kawasan industri berdekatan. Kata mereka, cost of living yang mendadak naik ini yg kadang-kadang kalah Kuala Lumpur menyebabkan orang-orang miskin seperti Pak Usop ini menjadi bertambah miskin.

 

Saya tidak dapat mengesahkan dakwaan mereka ini kerana saya tidak tinggal di Kemaman; tetapi sekiranya saya sebagai “orang luar” ditakdirkan mendapat pekerjaan, tinggal dan menetap di mana-mana kawasan yang berdekatan, insyaallah jika saya punya kelapangan dan sedikit wang yang berlebihan, insyaallah saya akan gerakkan rakan-rakan untuk melawat dan bertanyakan khabar orang-orang seperti Pak Usop dan mereka yang senasib dengannya.

Kepada rakan-rakan yang berminat untuk berkunjung dan bertanyakan khabar kepada Pak Usop, sama ada untuk menjadikan keluarga Pak Usop sebagai keluarga angkat bagi mempastikan Asri dan adiknya Ira tidak memecah rekod Mat Jab atau pun untuk memberi sumbangan sebotol dua minyak masak, sebungkus dua garam makan atau pun dua tiga dozen botol kicap, atau pun nak bagi sumbangan pakaian terpakai untuk anak-anak beliau, bolehlah datang terus ke rumah beliau di alamat: Tanah Lot Baru, Kg Titian Berayung, Kijal Kemaman.

 

Sesungguhnya, kalaulah buluh lemang boleh dijadikan analogi; Ira, Asri dan Mat Jab bolehlah diibaratkan seperti rebung yang masih lembut dan boleh dibentuk dan dilentur, sementara abang-abang mereka si Mat Yi dan Lias sudahpun terlajak nasibnya menjadi buluh. Bila sudah jadi buluh, tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan, melainkan menunggu masa untuk ditebang, dipotong, dimasukkan pulut santan dan garam untuk dibakar menjadi lemang…..dan buluhnya dicampak buang.

 

Bantulah Mereka.

 

Monier_matdin@yahoo.com

(realiti_hidup@yahoogroups.com)

17 Nov 2004

 





                                                        

 

 

                                                        

 

 

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws
GridHoster Web Hosting
1