main

diary

photo album

pics

front graphics

writings

after thoughts

our garden!

pets!

music scores-midi

cousins four

who am i?

view guestbk

sign guestbk   

 

Aspek 01 – Mengenal pasti masalah

Pengenalan

Tujuan saya menghasilkan Peka Biologi ini adalah untuk membantu saya mendalami dan seterusnya memahami salah satu organ deria yang terpenting bagi manusia, iaitu mata. Ini adalah kerana saya sendiri mengalami kecacatan rabun jauh sejak 6 tahun dahulu. Saya ingin mengkaji dengan lebih mendalam tentang struktur mata, kecacatan-kecacatan serta beberapa masalah penglihatan lain yang biasa dihadapi oleh mata.

Objektif

1. Untuk mengenali struktur mata

2. Mendalami kecacatan-kecacatan dan masalah yang biasa dihadapi oleh mata

3. Mengkaji jenis-jenis penyelesaian bagi kecacatan dan masalah-masalah tersebut.

4. Memberi pendedahan tentang kepentingan menjaga mata.

 

Aspek 02 – Merancang Untuk Melaksanakan Penyiasatan

Kaedah

Bagi menyiapkan projek ini, saya merancang untuk menggunakan kaedah-kaedah ini;-

a.rujukan – dari buku-buku berkaitan biologi dan mata

b.soal selidik dan tinjauan – mengenal pasti masalah-masalah mata yang biasa dihadapi

c.temu bual – menemu bual golongan profesional seperti pakar mata

d.eksperimen-eksperimen yang berkaitan

 

Jadual Perancangan Aktiviti

Tarikh

Aktiviti

 

 

 

Anggaran Kos

Bahan

Harga

Kertas A4

Fotostat

Pen

Pensil

Ink Komputer

RM 3.00

RM 4.00

RM 1.40

RM 1.00

RM 10.00

Jumlah

RM 19.40

 

Bahan Rujukan

·  Mata Dan Penglihatan (Shahrin Ismail -  Penerbitan Fajar Bakti, 1994)

·  Konsep Asas Tubuh Manusia (Mohd. Hamim Rajikin – Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988)

·  Panduan Bakteriologi Klinikal (K.E. Lim – Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984)

·   The Reader’s Digest Medical Question and Answer Book (1992)

Aspek 03 Memilih Teknik, Radas dan Bahan Yang Sesuai

Kaedah

Setelah meneliti perancangan projek saya, saya memutuskan untuk menggunakan dua kaedah iaitu rujukan dan tinjauan soal selidik. Saya sebenarnya juga menggunakan kaedah temu bual, tetapi adalah secara tidak langsung iaitu berdasarkan pengalaman saya, jadi saya tidak dapat merekodkannya. Saya mendapat rujukan dari buku-buku koleksi peribadi serta perpustakaan. Maklumat yang saya peroleh harus ditapis dan disusun semula untuk memastikan maklumat tersebut memenuhi aspek-aspek dalam projek ini. Kaedah soal selidik saya adalah kaedah mengemukakan satu ruangan bagi rakan-rakan saya bertanya sebarang soalan tentang mata. Seterusnya, saya akan mencetuskan penyelesaian daripada soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh rakan-rakan saya itu melalui rujukan dan kajian. Kaedah ini akan meluaskan skop kajian saya. Maklumat-maklumat yang telah dikumpulkan akan disusun dan dibukukan.

Aspek 04 Menjalankan Aktiviti Kajian

Jadual berikut merupakan aktiviti sebenar yang dijalankan semasa dalam proses menyiapkan PEKA Biologi ini.

Tarikh

Aktiviti

 

 

 

 

 

 

Aspek 05, 06 dan 07 Mengumpul dan Merekod, Berkomunikasi Dalam Melaporkan Eksperimen, Mentafsir dan Menganalisis Data

STRUKTUR MATA DAN FUNGSINYA

Mata adalah sejenis organ penglihatan. Sungguhpun saiz bola mata tidak sampai sebesar bola pingpong, mata mempunyai puluhan juta elektrik dan boleh mengendalikan 1.5 juta maklumat secara serentak. 80% daripada ilmu yang seseorang dipunyai juga ditimba melalui penglihatan.

Mata terdiri daripada satu lapisan jernih di bahagian depan yang disebut kornea. Ini merupakan bahagian lutsinar yang dikelilingi oleh sklera iaitu mata putih yang dapat dilihat dari luar. Di bahagian belakang selepas kornea terdapat bahagian yang tidak berwarna iaitu iris di mana bahagian tengahnya terdapat pupil (anak mata) yang boleh mengecil dan membesar bagi mengawal jumlah cahaya yang dibenarkan memasuki mata. Kanta kristalin yang juga lutcahaya terletak di belakang pupil dan berfungsi menfokuskan imej pada retina yang jauhnya kira-kira 2 cm di belakang kanta. Di hadapan kanta tersebut terdapat ruang anterior yang mengandungi cecair yang sangat cair. Cecair ini berfingsi memberi perlindungan kepada mata. Selain itu, mata juga mempunyai otot-otot dan carian tertentu serta beberapa struktur lain bagi memastikan kesempurnaan fungsinya.

Di samping itu, mata juga mempunyai kelenjar lakrimal yang menghasilkan air mata yang berguna untuk membersihkan mata daripada habuk dan kotoran lain. Kelopak mata pula bertindak sebagai penyapu untuk memastikan kornea sentiasa basah dan bersih.

MEKANISME PENGLIHATAN

Mata mempunyai kanta yang berbentuk oval dan digantung oleh suatu ligamen. Ligamen ini pula melekat pada otot. Jika otot ini berkontraksi, ligamen mengendur, mengakibatkan kanta menjadi cembung. Dengan cara ini objek yang dekat dapat dilihat dengan jelas. Sebaliknya, jika otot mengendur, ligamen akan tertarik, iaitu tegang, menyebabkan kanta turut tertarik dan menjadikannya leper. Melalui mekanisme ini objek yang jauh dapat dilihat.

Apabila seseorang melihat suatu objek, cahaya akan melalui kanta yang kemudian difokuskan ke retina. Di retina ini terdapat penglihatan 130 juta sel yang berbentuk batang, dan penting untuk penglihatan hitam putih, dan 7 juta sel yang berbentuk kon untuk penglihatan warna.

Sungguhpun manusia melihat dengan mata, sebenarnya otaklah yang membolehkan mata dapat melihat. Jika bahagian otak yang mengawal penglihatan itu rosak, seseorang itu boleh menjadi buta. Perana otak untuk melihat dapat kita fahami apabila ditinjau orang yang bermimpi semasa tidur. Walaupun matanya tertutup, orang yang bermimpi itu dapat ‘melihat’ gambar.

INFEKSI MATA

Infeksi Kelopak Mata

Infeksi kelopak mata termasuklah hordeolum, iaitu abses pada kelenjar Zeis atau pangkal folikel bulat mata, blefaritis atau inflamasi kelopak mata dan infeksi sista Meibomian.

Agen-agen Etiologi

Bakteria yang menyebabkan infeksi kelopak mata termasuklah Staphylococus aureus dan basilus Gram-negatif seperti Pseudomonas aeroginosa dan spesies Proteus.

Diagnosis Makmal

Spesimen yang harus diambil ialah swab nanah atau nanah yang didapati semasa melakukan pembedahan. Spesimen ini dihantar ke makmal untuk dikulturkan.

Rawatan

Infeksi ini dirawat melalui pemberian antibiotik setempat atau sistemik. Pembedahan boleh juga dilakukan untuk mengeluarkan nanah daripada abses.

Konjunktivitis

Konjunktivitis disebabkan oleh pelbagai jenis mikroorgranisma termasuklan virus, klamida, riketsia, bakteria dan kulat. Konjunktivitis merupakan infeksi mata yang paling sering ditemui.

Agen-agen Etiologi

Bakteria yang mengakibatkan konjunktivitis termasuklah Streptococcus pneumoniae, Staphylococcus aureus, spesies Haemophilus, Neisseria gonorrhoeae, Pseudomonas aeruginosa dan Enterobacterieae.

Diagnosis Makmal

Spesimen yang harus diambil ialah swab konjunktiva. Swab ini mestilah diambil dengan teliti dan cermat untuk memastikan kelopak mata atau bulu mata tidak tersentuh. Sekiranya gonorea disyaki, swab ini mestilah dihantar di dalam medium pengangkutan yang sesuai. Calitan langsung dibuat daripada spesimen dan diwarnai secara Gram. Infeksi bakteria disertai dengan kewujudan leukosit polimorfonukleus. Kewujudan leukosit polimorfonukleus menunjukkan bahawa infeksi disebabkan oleh virus. Kewujudan kedua-dua leukosit polimorfonukleus dan leukosit mononukleus berlaku pada infeksi klamida. Spesimen tersebut juga dikultur pada medium yang sesuai.

Rawatan

Infeksi konjunktivitis bakteria dirawat melalui pemberian antibiotik titisan mata atau salap mata. Kebanyakan bakteria mengakibatkan konjunktivitis, kecuali Pseudomonas aeroginosa yang sensitif terhadap Chloramphenicol. Infeksi Pseudomonas aeroginosa boleh dirawat dengan Gentamycin.

Oftalmia Neonatorum

Oftalmia neonatorum ialak konjunktivits yang ditemui pada neonat. Sebahagian daripada infeksi ini merupakan infeksi ini merupakan infeksi yang ditransmisikan daripada ibu kepada bayi. Agen entiologi utama oftalmia neonatorum ialah Neisseria gonnorrhoeae dan klamida.

            Infeksi gonokokus dirawat dengan cara menitiskan Penicillin pada mata, sekiranya Neisseria gonorrhoeae yang diasingkan itu tidak mengeluarkan betalaktamase. Antibiotik yang sesuai untuk rawatan infeksi klamida ialah Tetracycline yang digunakan sebagai salap mata. Rawatan sistemik diperlukan dalam kes yang teruk.

 

Infeksi-infeksi yang lain

Iritis, Koroiditis dan Retinitis

Infeksi bakteria ini melibatkan iris, koroid dan retina termasuklah sifilis, tuberkulosis, leprosi, bruselosis dan leptospirosis.

Endoftalmitis

Pada umumnya, infeksi bola mata adalah berikutan penembusan bendasing ke dalam mata, pembedahan oftamik dan ulser kornea. Pelbagai jenis bakteria mengakibatkan endoftalmitis. Sebanyak 50% kes endoftalmitis disebabkan oleh Staphylococus aureus. Spesimen yang harus diambil ialah cecair ruangan anterior atau asprirat vitreus. Rawatan dengan antibiotik haruslah diberi dengan segera.

MASALAH-MASALAH PENGLIHATAN

Penglihatan Kabur

Ini merupakan salah satu masalah yang sering diadukan. Kabur penglihatan bermaksud sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan jelas sama ada pada jarak yang jauh atau dekat. Antara punca-puncanya adalah kesalahan refraktif (rabun), perubahan pada kornea (edema, berselaput, keratokonus dan sebagainya), katarak, penyakit pada makula, masalah sakit jiwa seperti histeria, masalah yang melibatkan pergerakan bola mata dan banyak lagi. Darjah kekaburan adalah berbeza antara manusia.

Kesalahan Refraktif (Rabun)

Masalah ini sangat biasa didapati di kalangan manusia. Melalui pemerhatian saya, 70.5% daripada pelajar dari kelas saya mempunyai masalah rabun. Terdapat dua jenis rabun, iaitu

1. Rabun Jauh (Miopia)

Rabun jauh adalah keadaan di mana seseorang itu tidak dapat melihat benda yang jauh dengan jelas, misalnya membaca papan tanda tertentu atau isyarat di sepanjang jalan raya. Rabun jauh terjadi apabila bola mata menjadi terlalu panjang atau kornea terlalu melengkung. Ini akan menyebabkan sinar cahaya yang memasuki mata tidak dapat difokuskan dengan baik atau sempurna di retina. Rabun jauh biasanya berlaku pada umur belasan tahun dan bertambah teruk dalam beberapa tahun yang berikutnya kerana mata terus berkembang dan membesar dalam usia kanak-kanak.

Sesetengah teori mengatakan bahawa rabun jauh merupakan sejenis penyakit keturunan. Tetapi punca rabun jauh ini sebenarnya masih tidak begitu diketahui oleh sesiapa. Namun begitu, masa membaca yang terlalu lama atau dalam cahaya samar, metabolisme tubuh yang tidak baik, pemakanan yang kurang baik kedudukan tubuh yang tidak betul turut menyumbang kepada rabun jauh.

Kini, terdapat rawatan laser untuk menyembuhkan rabun jauh. Tetapi, rawatan ini masih baru dan tidak begitu dipastikan kesan jangka panjangnya. Untuk membetulkan masalah ini, cermin mata atau kanta lekap boleh digunakan secara pindaan laluan imej cahaya yang memasuki mata. Kanta yang digunakan adalah kanta cekung. Biasanya pada permulaannya, seseorang individu memerlukan beberapa hari untuk menyesuaikannya supaya melihat dengan jelas. Selepas itu, rabun jauh tidak lagi akan menjejaskan gaya hidup seseorang itu.

2. Rabun Dekat

Rabun dekat, atau istilah optometri yang disebut hiperoria atau hipermetropia adalah keadaan di mana seseorang itu tidak dapat melihat benda dekat dengan jelas berbanding dengan benda jauh. Penghidap rabun dekat melihat benda jauh sama seperti orang biasa ataupun kurang jelas sedikit. Seseorang yang mengalami rabun dekat tidak menyedari bahawa matanya bekerja kuat untuk melihat benda pada jarak jauh dengan jelas, dan ia memerlukan keupayaan yang lebih lagi untuk melihat benda dekat dengan jelas. Keperluan keupayaan tambahan ini menyebabkan gejala sakit kepala, pedih mata dan keletihan mata.

 

Tanda-tanda biasa rabun dekat termasuklah kesukaran untuk menumpu dan mengekalkan penglihatan yang jelas bagi benda-benda yang dekat, mata rasa tegang, pedih, letih atau sakit kepala selepas selepas melakukan kerja pada jarak dekat, sakit atau rasa panas mata, kebolehan membaca dengan selesa semakin berkurangan, memegang bahan bacaan jauh dari mata dan mudah terganggu atau gugup selepas penumpuan perhatian yang lama. Rabun dekat terjadi apabila ukuran panjang bola mata terlalu pendek, menyebabkan kanta kristalin dalam mata tidak dapat menfokus imej benda dekat dengan terang dan jelas.

 

Biasanya rabun dekat tidak akan bertambah teruk, tetapi perubahan-perubahan yang berlaku dalam mata seseorang semasa umur meningkat akan menyusahkannya untuk mengatasi masalah ini. Bagi keadaan yang tidak serius, rabun dekat boleh diperbetulkan apabila mata boleh membuat penyesuaian sendiri tanpa memerlukan cermin mata bagi membetulkannya. Dalam kes yang lebih teruk, optometris mungkin mengesyorkan cermin mata atau kanta lekap dan lain-lain terapi penglihatan bagi mengatasi masalah tersebut. Rabun dekat menggunakan cermin mata berkanta cembung.

Presbiopia

Presbiopia adalah keadaan di mana kurangnya keupayaan seseorang untuk menfokus atau menumpu benda dekat dengan jelas. Lazimnya ini adalah proses biasa akibat bertambahnya umur yang selalu melibatkan semua orang. Pendek kata, presbiopia boleh juga disebut sebagai mata orang tua. Mata manusia berhenti berkembang atau membesar pada usia 10 tahun. Walau bagaimanapun, kanta kristalin masih terus menghasilkan sel yang banyak. Apabila seseorang meningkat tua, kanta kristalin dalam matanya menjadi kurang kenyal. Akibatnya kanta kristalin tersebut hilang keupayaan untuk mengubah bentuknya untuk bertambah cembung apabila melihat benda dekat kerana kanta tersebut sudah menjadi lebih keras dan mengurangkan kuasa menumpu untuk melihat benda yang dekat.

Punca terjadinya presbiopia adalah berbeza antara setiap individu. Sungguhpun begitu, presbiopia mungkin kelihatan berlaku secara tiba-tiba, tetapi sebenarnya proses pengurang keupayaan kanta kristalin berlaku secara beransur-ansur selama beberapa tahun sebelum kesannya disedari. Lazimnya presbiopia adalah ketara apabila seseorang itu berusia dalam lingkungan 40 tahun. Ketika itu biasanya orang itu dan memegang surat khabar yang dibacanya dengan jarak yang jauh agar mudah membacanya. Dia mendapati sukar untuk membaca jika memegangnya dekat dengan mata dan matanya pula mudah terasa letih. Beberapa jenis kerja seperti memasukkan benang ke lubang jarun akan menjadi amat sukar dilaksanakan.

Bagi kes presbiopia, penggunakan cermin mata yang digunakan mungkin cermin mata bifokus (dua lapis), trifokus, multifokus atau kanta lekap. Jika seseorang yang mempunyai rabun jauh pada masa yang sama mempunyai presbiopia, dia perlu memakai cermin mata bifokus untuk penglihatan jauh dan dekat. Cermin mata trifokus pula diperlukan untuk penglihatan  jarak pertengahan sekiranya jarak 1 meter tidak dapat dilihat dengan jelas dengan memakai cermin mata bifokus. Cermin mata multifokus pula membolehkan pemakainya melihat benda pada semua jarak sama ada jauh, pertengahan atau dekat. Di samping itu, cermin mata multifokus tidak mempunyai garisan seperti cermin mata bifokus dan trifokus dan ini membolehkan rahsia presbiopia tidak diketahui dengan mudah oleh orang lain.

Astigmatisme

Astigmatisme bererti ‘tiada titik fokus yang satu’ iaitu apabila cahaya memasuki mata, sinaran tersebut akan difokuskan atau ditumpukan kan pada jarak yang berlainan dari retina. Oleh itu tiada imej yang jelas terbentuk. Ringkasnya, astigmatisme berlainan daripada rabun jauh atau dekat. Benda jauh dan benda dekat tidak dapat dilihat dengan jelas atau herot bagi penghidap astigmatisme yang tinggi kuasanya. Ini berlaku kerana bentuk kelengkungan permukaan kornea mata adalah tidak sekata.

Untuk berfungsi dengan sempurna, mata perlulah berbentuk sfera. Jika bentuk mata berubah, terutamanya pada bahagian kornea menjadi tidak sfera seperti bentuk lonjong atau terlalu bujur, maka mata tidak dapat menfokus dengan sempurna. Ketidakupayaan ini menyebabkan kabur penglihatan. Hampir semua orang mempunyai ketidaksempurnaan bentuk mata ini. Namun demikian kadang kala keadaan mata ini belum cekup teruk sehingga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami gangguan penglihatan.

Dalam keadaan astigmatisme yang teruk, penglihatan akan menjadi kabur dan menyebabkan sakit kepala, keletihan dan ketidakselesaan mata. Cara yang paling biasa untuk membetulkan astigmatisme adalah dengan memakai kanta silinder atau kanta toric.

Buta warna

Buta warna merujuk kepada satu keadaan di mana kemampuan penglihatan seseorang untuk membezakan warna adalah kurang biasa atau normal. Ia bukanlah penyakit yang serius. Sebenarnya istilah ini adalah tidak begitu tepat memandangkan hanya segelintir orang yang benar-benar sahaja tidak dapat mengenal warna. Keadaan ini lebih tepat dikatakan kekurangan penglihatan warna dan bukannya buta warna. Biasanya seseorang yang mengalami kekurangan ini akan menghadapi masalah seperti keliru tentang warna-warna tertentu dan juga mungkin tidak dapat melihat sesuatu warna dengan terang seperti orang yang normal. Golongan lelaki lebih cenderung mengalami buta warna dengan nisbah 1:12 bagi lelaki dan 1:200 bagi wanita.

Mata yang sihat mempunyai beribu-ribu penerima peka warna yang disebut sel-sel kon. Sel-sel kon ini menempati retina dan menghantar maklumat warna kepada saraf optik yang seterusnya menyampaikannya kepada otak. Bagi mata yang mengalami masalah buta warna, beberapa sel kon tidak dapat mengambil atau menghantar isyarat warna dengan sempurna. Akibatnya, kemampuan untuk membezakan warna menjadi berkurangan. Hampir semua masalah kekurangan penglihatan warna adalah disebabkan oleh keturunan.

Terdapat beberapa jenis buta warna. Jenis yang paling banyak ialah buta warna merah-hijau. Dalam keadaan ini seseorang itu tidak dapat membezakan warna merah dan hijau dengan baik. Kes-kes yang melibatkan seseorang itu tidak mengenal warna langsung adalah amat jarang berlaku. Penghidap buta warna yang teruk melihat semua benda berwarna sama ada hitam, putih atau kelabu. Di samping itu, terdapat juga yang mengalami masalah membezakan warna biru dengan kuning.

Sehingga kini tiada ubat yang dapat menyembuhkan buta warna. Walau bagaimanapun, penghidap boleh diajar menyesuaikan diri bagi mengatasi kelemahan membezakan warna. Terdapat juga kemungkinan untuk memperbaiki keupayaan membezakan warna dengan menggunakan penapis berwarna. Selain itu, kanta lekap khas yang diwarnai dengan warna merah boleh digunakan pada salah satu mata. Secara amnya, tiada rawatan yang ada untuk buta warna yang diakibatkan oleh faktor keturunan.

Fotofobia

Penghidap fotofobia terlalu sensitif terhadap cahaya sehingga kadang kala terlalu serius hingga langsung tidak dapat membuka mata. Fotofobia sebenarnya adalah keadaan sakit mata yang dirangsang oleh cahaya.

Antara punca fotofobia adalah akibat radang atau kecederaan pada bahagian anterior mata, saiz pupil yang menjadi besar (midriasis) akibat kesan ubat tertentu seperti dadah midriatik dan sikloplegik, perlindungan yang tidak betul semasa melakukan kerja-kerja pateri, benda asing yang masuk ke dalam mata dan terlekat pada kornea, konjunktiva, pemasangan kanta lekap yang tidak betul, kekurangan pigmen pada penghidap albinisme, lesi pada saraf trigeminal, di samping kongenital glaukoma. Gejala fotofobia akibat kesan ubat tertentu mungkin tidak begitu teruk dan akan lenyap sendiri apabila habis kesan ubat tersebut. Ini juga dapat dilenyapkan dengan memakai cermin mata hitam.

PEMELIHARAAN KESIHATAN MATA

Persekitaran kita haruslah bersih. Kita perlu menyedut udara yang bersih dan segar. Oksigen yang diperoleh dari atmosfera adalah penting sebagai sumber keperluan proses fisiologi bahagian kornea mata. Keadaan yang sentiasa panas juga sedikit sebanyak mengganggu kesihatan mata.

Tidur dan rehat yang cukup juga adalah sangat penting. Secara amnya, tempoh untuk tidur sebanyak 8 jam adalah purata jumlah masa tidur setiap mala. Walaupun tidur pada waktu malam adalah perlu, namun, rehat pada siang juga penting. Penglihatan kita akan lebih segar dan selesa selepas berehat.

Mata juga memerlukan zat makanan yang mencukupi. Bagi kesihatan penglihatan, Vitamin A adalah penting. Ini adalah kerana Vitamin A memainkan peranan dalam tindak balas kimia yang berlaku di retina mata.

Mata harus dipastikan mendapat keamatan cahaya yang betul. Misalnya semasa membaca atau menjahit. Sebaiknya, cahaya harus datang dari arah belakang atau sebelah tepi atau sisi semasa membaca. Silauan cahaya juga harus dielakkan. Cahaya lampu antara 75 hingga 100 W sesuai digunakan tanpa berkabut. Semasa membaca, buku harus dipegang pada jarak lebih kurang 40 cm dari mata dan kedudukan buku haruslah sedikit lebih rendah daripada aras mata.

Apabila berada di tempat yang panas dan matahari terik, contohnya kepanasan cahaya lebih 50 kali daripada keadaan bilik, cermin mata gelap harus dipakai. Cermin mata gelap ini dapat membantu melindungi mata dan membantu penglihatan. Cermin mata gelap juga mengurangkan pancaran cahaya yang kuat dan menambah keselesaan kepada mata. Terdapat juga kanta yang khas untuk melindungi mata daripada pancaran ultraungu dan inframerah yang terdapat dari matahari. Seseorang tidak harus melihat terus ke cahaya matahari walaupun dalam keadaan memakai cermin mata gelap. Cermin mata gelap yang baik untuk mata ialah kelabu, coklat dan hijau.

Latihan mata tertentu juga boleh menolong menyihatkan mata. Latihan menumpu (covergence) boleh membantu mengalami masalah kekurangan kuasa menumpu pada jarak yang dekat. Latihan mata juga boleh membantu mengawal perubahan fokus yang berterusan, mengawal pergerakan bola mata yang lemah dan juga membetulkan tabiat mengelip mata yang tidak baik.

Kebersihan juga adalah sangat penting. Jangkitan kuman akibat pengabaian kebersihan akan mengancam kesihatan mata. Jangan mengesat atau menggosok mata dengan tangan yang kotor atau dengan tuala yang telah digunakan dengan oleh orang lain. Tangan harus dibersihkan selepas bergaul dengan mereka yang menghidap penyakit mata berjangkit.

Akhir sekali, mata harus diperiksa sekurang-kurangnya setiap tahun sekali. Ini adalah untuk memastikan kesihatan mata dalam aras yang optimum. Sesetengah masalah atau penyakit dapat diatasi jika dikesan lebih awal.

Aspek 08 Membuat Kesimpulan

            Melalui kajian peka biologi saya ini, saya telah mempelajari topik mata dengan lebih berkesan. Kini, saya lebih mengenali mata dengan lebih mendalam. Saya lebih memahami struktur mata dan fungsinya sebagai salah satu organ deria yang sangat penting bagi manusia.

            Selain itu, saya juga mempelajari infeksi-infeksi yang biasa dihadapi oleh mata. Infeksi ini biasanya berasal dari mikroorganisma. Rawatan yang teliti dan betul harus diberikan kepada infeksi-infeksi tersebut.

            Seterusnya, kajian saya tentang masalah-masalah penglihatan telah membolehkan saya mengetahui punca-punca dan penyelesaian kepada masalah tersebut. Terdapat pelbagai masalah penglihatan yang mungkin berpunca daripada keturunan atau penjagaan mata yang kurang berkesan. Saya juga mendapati bahawa rabun jauh sering disalah ertikan sebagai presbiopia.

            Akhir sekali, saya turut mengkaji langkah-langkah penjagaan mata. Ini membolehkan saya menjaga mata saya dengan lebih baik lagi pada masa-masa akan datang.

            Melalui projek ini, saya telah sedar betapa pentingnya kita menghargai anugerah dari Tuhan. Mata merupakan salah satu anugerah-Nya. Oleh itu, kita patut menghargainya memeliharanya dengan baik. Mengelakkan sesuatu masalah adalah lebih baik daripada merawatinya.

 

Aspek 09 Menilai Kaedah / Teknik dan Cadangan

Kaedah-kaedah yang saya gunakan dalam kajian kali ini adalah lebih mudah kerana tidak melibatkan banyak hubungan dengan pihak lain seperti pakar mata dan optometris. Ini menjadikan projek saya lebih berdasarkan fakta dan rujukan.

Sepatutnya, saya perlu lebih memberanikan diri untuk menemu bual pakar-pakar mata dan optometris secara terus-terang. Tetap, oleh keran di Miri sendiri kita masih kekurangan doktor pakar mata, oleh itu, adalah sukar bagi saya untuk menghubungi mana-mana daripada mereka. Bagi optometris pula, saya ada membuat temu bual tetapi secara informal sahaja.

Namun demikian, terdapat salah satu kaedah yang telah saya gunakan dalam projek ini adalah lebih berlainan daripada yang lain, terutamanya teknik meluaskan skop kajian dengan membuka satu ruangan untuk memberi peluang rakan-rakan saya menanyakan masalah tentang mata. Seterusnya, saya mencari penyelesaian kepada masalah yang dicetuskan. Maklumat yang telah saya kaji itu, saya selitkan dalam laporan kajian saya.

Saya mencadangkan bahawa pelajar-pelajar kelas biologi dibekalkan dengan lebih banyak bahan rujukan yang lebih baru seperti majalah-majalah sains. Guru biologi boleh meluaskan skop pengajaran dengan melibatkan berita-berita sains yang berlaku di sekeliling. Ini dapat menjadikan sesuatu topik dipelajari dengan lebih berkesan dan para pelajar akan lebih berminat dalam sesuatu topik itu.

Secara induktifnya, saya berasa puas hati dengan kaedah-kaedah yang telah saya gunakan dalam kajian kali ini. Walaupun nampaknya masih ada sedikit kekurangan, namun saya telah banyak mempelajari tentang topik kajian saya dengan seronok dan menarik melalui teknik-teknik yang saya gunakan.

 

Hosted by www.Geocities.ws

1