FAQ (Frequently Asked Questions)

 

S: Sekiranya saya baru didiagnoskan menghidap tekanan darah tinggi, apakah pilihan yang terbaik untuk mengawalnya? Adakah perlu untuk saya mengambil ubat darah tinggi?

J: Bagi seseorang pesakit yang baru didiagnoskan menghidap tekanan darah tinggi, rawatan tanpa ubatan seperti perubahan dalam pemakanan dan gaya hidup adalah pilihan yang terbaik bagi mengawal tekanan darah tinggi. Sekiranya kaedah ini tidak berupaya untuk mengawal tekanan darah anda, barulah penggunaan ubat untuk darah tinggi diperlukan.

 

S: Apakah yang akan berlaku sekiranya tekanan darah tinggi saya tidak terkawal samada dengan perubahan pemakanan dan gaya hidup mahupun dengan penggunaan ubat darah tinggi?

J: Sekiranya tekanan darah tinggi tidak dikawal, dalam jangkamasa yang panjang ia boleh membawa kepada berlakunya komplikasi yang serius seperti strok, kegagalan ginjal, masalah serebrovaskular dan juga penyakit-penyakit kardiovaskular yang lain.

 

S: Bagaimana untuk mengesahkan seseorang itu menghidap tekanan darah tinggi?

J: Seseorang itu tidak akan di kategorikan sebagai penghidap tekanan darah tinggi melalui satu bacaan tekanan darah sahaja. Pengesahan hanya akan dilakukan sekiranya tekanan darahnya melebihi 140/90 mmHg sekurang-kurangnya dua kali pemeriksaan pada masa yang berlainan, melainkan tekanan darah sistoliknya  melebihi 210mmHg atau tekanan darah diastolik melebihi 120mmHg satu bacaan sahaja sudah mencukupi untuk mengesahkan seseorang itu menghidap darah tinggi.

 

S: Berapa kerap perlu saya lakukan pemeriksaan tekanan darah?

J: Sekiranya  umur anda melebihi 30 tahun, anda perlu membuat pemeriksaan sekurang-kurangnya dua kali setahun. Jika umur anda di bawah 30 tahun, pemeriksaan hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun.

 

S: Sekiranya ada dikalangan ahli keluarga saya yang mempunyai sejarah menghidap penyakit darah tinggi, adakah saya berkemungkinan untuk turut mendapat penyakit ini?

J: Ya, kerana ia adalah salah satu faktor risiko  utama yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat penyakit darah tinggi.

 

S: Apakah rawatan yang paling baik untuk seorang wanita yang mengandung dan menghidap penyakit darah tinggi? Adakah selamat untuknya mengambil ubat ketika mengandung?

J: Rawatan yang paling baik untuk wanita yang mengandung ialah dengan berehat sepenuhnya untuk mengembalikan tekanan darah normal. Sekiranya tekanan darah masih tinggi, ubat hipertensi akan diberikan. Biasanya Labetolol dan Metyldopa akan digunakan kerana ianya selamat untuk digunakan semasa mengandung.

 

 

 

 

                                                                    

Hosted by www.Geocities.ws

1