BAB 8      PENTADBIRAN UJIAN, PEPERIKSAAN KERTAS JAWAPAN DAN PENILAIAN

 

 PENGENALAN

 

Mentadbir ujian ialah sebahagian daripada  langkah pengujian. Pentadbiran ujian dilaksanakan pada fasa terakhir langkah pengujian. Langkah-langkah dalam melaksanakan atau mentadbir ujian ini termasuklah dari aspek persediaan, melaksanakan dan menyelesaikan  pengujian.

 

Dalam bab ini anda akan didedahkan bagaimana ujian seharusnya ditadbir serta aspek-aspek yang perlu diberikan perhatian oleh guru atau pengawas peperiksaan dalam melaksanakan  ujian yang telah dirancangkan.

 

 

OBJEKTIF

 

Pada akhir bab ini, anda seharusnya dapat:

1.            menyediakan senarai semak tentang pentadbiran ujian;

2.            menyenaraikan langkah-langkah mentadbir ujian;

3.            menyediakan skema pemarkahan; dan

4.            menilai pencapaian pelajar berdasarkan markat ujian.

 

 

8.1.            PENTADBIRAN UJIAN

 

 Bagaimana sesuatu ujian berkenaan dilaksanakan?

 

Ujian dilaksanakan dengan tujuan untuk mengukur pencapaian seorang murid atau sekumpulan murid. Kadang-kadang ujian berkenaan telah dianggap bermutu tetapi gagal dalam mendapatkan maklumat yang diperlukan oleh guru atau pihak berkenaan. Hal ini berlaku mungkin disebabkan beberapa faktor seperti keadaan ujian yang dijalankan secara tidak bersesuaian.

 

Ujian yang diberikan itu boleh sahaja sama ada ujian rujukan kriteria atau ujian rujukan norma. Setelah item digubal dengan sempurna dan menepati  keperluan sesuatu matlamat atau objektif penilaian, maka langkah seterusnya ialah mentadbir ujian kepada murid-murid. Dalam usaha menjamin kebolehpercayaan sesuatu ujian, aspek arahan ujian, lokasi peperiksaan  serta jarak kedudukan tempat duduk calon perlu lah diambil kira.

 

Sebelum calon atau murid-murid memasuki bilik peperiksaan atau sebelum ujian bermula, guru atau pengawas harus  menyemak terlebih dahulu  bilangan kertas peperiksaan  yang telah disediakan agar mencukupi dengan bilangan calon atau murid-murid yang mengambil  peperiksaan berkenaan.   

 

 

8.1.1.            Arahan Ujian

 

Arahan ujian boleh dihuraikan berdasarkan dua aspek, iaitu arahan dalam kertas soalan sendiri dan arahan yang dilakukan oleh pengawas peperiksaan. Setiap kertas ujian lazimnya mengandungi arahan tentang cara menjawab dengan contoh serta percubaan dan juga masa yang diperuntukkan menjawabnya. Misalnya arahan tentang bagaimana calon harus menjawab soalan yang diberikan. Bagi sesetengah calon atau murid-murid di tahun satu ataupun tahun dua khususnya, arahan daripada guru biasanya diperlukan bagi menentukan arah jawapan yang akan ditulis oleh mereka. Contoh arahan dalam kertas soalan seperti berikut:

 

a.            Jawab semua soalan dalam bahagian A dan bahagian B dalam kertas soalan yang disediakan.

b.            Masa peperiksaan 2 jam.

c.            Sila isi jawapan pada ruangan yang disediakan.

d.            Jawapan anda hendaklah tidak kurang daripada 50 perkataan.

 

Arahan yang diberikan oleh guru di luar dari kertas peperiksaan pula dilakukan setelah murid-murid dibenarkan untuk memasuki dewan atau bilik peperiksaan, ketua pengawas atau guru bertugas yang bertanggungjawab akan memberikan arahan tentang ujian yang akan diduduki secara jelas agar calon-calon atau murid-murid dapat memahami dengan terang arahan yang diberikan. Arahan tentang sesuatu perkara berkaitan dengan ujian amat wajar diberikan sebelum sesuatu ujian bermula. Ini bertujuan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang timbul pada sebahagian  daripada jawapan yang diberikan oleh murid-murid dan juga mengelak daripada murid-murid terganggu semasa  menjawab soalan-soalan peperiksaan.

 

Sebagai contoh, seandainya terdapat sebarang kesilapan dalam instrumen penilaian atau ujian berkenaan, pengawas atau guru bertugas perlu memaklumi terlebih dahulu kepada murid-murid akan kesilapan yang berlaku dan seterusnya mengambil tindakan membetulkan kesilapan dalam kertas soalan berkenaan. Berikut ialah beberapa langkah yang biasa diamalkan dalam memberikan arahan kepada calon yang menduduki peperiksaan atau ujian:

 

ii.      Sebelum peperiksaan bermula. Murid-murid diarahkan untuk memasuki bilik peperiksaan dengan mengambil tempat yang telah ditetapkan. Murid-murid akan diingatkan supaya tidak melakukan sebarang kecurangan akademik seperti meniru dalam bilik peperiksaan. Seterusnya murid-murid akan diarahkan untuk mengisi maklumat dalam kertas jawapan peperiksaan seperti nama murid-murid. Kemudian guru akan mengarahkan murid-murid menyemak kertas soalan peperiksaan untuk memastikan  tidak ada sebarang kecacatan pada kertas soalan seperti tidak cukup muka surat, masalah percetakan atau tersilap mendapat kertas soalan yang lain.

iii.            Semasa menjawab soalan. Apabila tepat masa yang ditetapkan, pengawas atau guru perlu memberikan arah supaya murid mula menjawab dan menyebut juga masa peperiksaan tamat.

iv.           Sebelum tamat peperiksaan. Dalam tempoh masa peperiksaan akan tamat yang pada kebiasaannya 15 minit sebelum peperiksaan berakhir, guru perlu mengingatkan kepada calon.

v.             Selepas peperiksaan tamat. Guru perlu mengarahkan agar murid-murid berhenti menjawab dengan meletakkan pen atau pensel di atas meja apa bila masa yang ditetapkan telah tamat. Guru akan mengarahkan murid duduk di tempat masing-masing sehinggalah semua kertas jawapan telah dikutip.

 

         Contoh arahan:

 

  1. Murid-murid dibenarkan masuk ke bilik/dewan peperiksaan. Sila mengambil tempat duduk seperti yang telah ditetapkan.
  2. Murid-murid diingatkan agar tidak meniru dalam bilik peperiksaan.
  3. Murid-murid dikehendaki menyemak jumlah muka surat kertas peperiksaan. Sila angkat tangan jika terdapat kesilapan pada kertas soalan.
  4. Murid-murid boleh mula menjawab sekarang. Masa peperiksaan tamat pada pukul 10.30 pagi.
  5. Murid-murid diingatkan bahawa masa peperiksaan tinggal 15 minit sahaja lagi
  6. Masa peperiksaan tamat. Berhenti menulis. Letakkan pen atau pensel di atas meja.

 

        

 

8.1.2.      Suasana Tempat Peperiksaan

 

Selain arahan yang diberikan oleh guru adalah jelas, aspek lain yang perlu diberikan perhatian ialah dari segi lokasi peperiksaan dijalankan. Murid-murid yang mengambil peperiksaan memerlukan tempat yang selesa. Keselesaan termasuklah dari aspek kemudahan bilik peperiksaan seperti meja dan kerusi. Menurut Abu Bakar (1996) murid-murid yang lemah dan yang masih muda amat memerlukan tempat yang selesa bagi memberikan mereka  peluang menjawab dengan sebaik-baiknya. Pihak pentadbir atau guru khususnya perlu mengelakkan tempat peperiksaan daripada diganggu dengan bunyi kebisingan yang boleh mengganggu tumpuan murid menjawab soalan.

 

Di samping itu,  aspek pencahayaan juga perlu dititik berat. Misalnya, pada hari yang panas cahaya adalah terlalu terang  sebaliknya semasa hujan bilik menjadi lebih suram. Keadaan ini memerlukan guru-guru atau pengawas peperiksaan mengambil langkah-langkah yang perlu misalnya memindahkan murid-murid yang kedudukannya terkena panas cahaya matahari dan switch on lampu apabila bilik agak suram atau gelap.

 

Sebaik-baik tempat peperiksaan ialah di bilik yang telah dikhususkan sebagai dewan peperiksaan. Di bilik ini pada kebiasaannya, kemudahan telah disediakan dengan mencukupi serta keselesaan murid lebih terjamin. Malah bilik berkenaan biasanya telah dipastikan memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai bilik peperiksaan.

 

 

8.1.3.      Jarak Tempat Duduk

 

Berkaitan dengan bilik peperiksaan ialah dari segi jarak tempat duduk. Tempat duduk murid-murid yang mengambil peperiksaan mestilah dijarakkan sedikit berbanding jarak semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku. Jarak yang perlu diambil kira termasuklah antara pelajar di hadapan dan belakang serta di kiri kanan seseorang murid berkenaan. Penyusunan  tempat duduk dalam keadaan jarak yang sesuai ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya  kecurangan akademik yakni murid meniru sesama  mereka. Jarak yang kedudukan yang  agak jauh sedikit dapat mengelak daripada murid-murid meniru jawapan murid lain dalam bilik peperiksaan serta guru dapat memantau dengan lebih jelas.

 

Selain tiga faktor di atas, aspek lain yang wajar diberikan perhatian termasuklah peranan guru atau pengawas sendiri. Guru hendaklah menjauhkan diri daripada menolong mana-mana murid. Dalam peperiksaan sering berlaku murid-murid bertanya guru tentang sesuatu kekaburan. Guru perlu berhati-hati dalam melayani murid-murid agar tidak tersalah memberikan jawapan atau klu jawapan.

 

Penipuan seringkali berlaku dalam peperiksaan. Beberapa aspek perlu dipatuhi dalam mengelakkan berlakunya penipuan selain menjarakkan kedudukan antara murid, iaitu mengosongkan meja murid selain hanya kertas soalan, kertas jawapan dan alat tulis yang diperlukan, mengawasi keluar masuk murid semasa peperiksaan seperti ingin ke bilik air dan sebagainya serta memberikan amaran tentang denda  yang berat jika didapati melakukan kecurangan dalam peperiksaan seperti meniru atau cuba meniru.

 

 

8.2.            PEMERIKSAAN KERTAS JAWAPAN

 

Selepas ujian dijalankan dan kertas jawapan telah dikutip maka guru akan melaksanakan tugas seterusnya, iaitu memeriksa skrip jawapan. Beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam memeriksa skrip jawapan ialah dari aspek bentuk ujian yang diberikan kepada pelajar dan  jawapan yang diberikan oleh pelajar sama ada dalam kertas objektif yang disediakan (contohnya, kertas OMR) atau jawapan dalam bentuk esei. Bagi jawapan dalam bentuk soalan objektif, adalah mudah bagi guru memeriksa iaitu dengan cara menebuk kertas jawapan “master” dan seterusnya menanda pada skrip jawapan pelajar. Bagi yang menggunakan  kertas jawapan OMR pula adalah lebih mudah dengan hanya memproses melalui mesin khusus memproses kertas jawapan  OMR. Sebaliknya soalan yang berbentuk esei atau karangan pula memerlukan guru  memeriksa dengan teliti dan tidak boleh disemak oleh sesiapa sahaja berbanding dengan skrip jawapan objektif. Lazimnya pemeriksaan skrip jawapan esei memerlukan guru-guru yang pakar dalam sesuatu mata pelajaran berkenaan.

 

Selain itu, objektif sesuatu ujian berkenaan dilaksanakan turut menentukan  kriteria pemeriksaan skrip jawapan. Bagi ujian yang ingin mendapatkan maklumat berhubung tahap penguasaan murid-murid dalam sesuatu kemahiran sudah tentu memerlukan guru memeriksa dengan segera agar dapat digunakan bagi tujuan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran.  Dalam proses memeriksa skrip jawapan, guru juga  mungkin berhadapan dengan kekangan atau prosedur tertentu yang wajar dipatuhi. Keadaan ini sedikit sebanyak  mempengaruhi pemeriksaan sesuatu kertas jawapan. Justeru, guru perlulah mendapatkan tempat yang sesuai yang boleh bagi mengelakkan berlakunya gangguan dalam memberikan markah murid.

 

Bagi memastikan pemeriksaan kertas jawapan agar lebih objektif tanpa dipengaruhi faktor-faktor yang dinyatakan tadi, maka skrip jawapan perlu disediakan sebagai panduan kepada guru untuk memeriksa skrip jawapan peperiksaan.


Cloud Callout: Jawapannya kurang memuaskan. Tapi murid ini dari kumpulan pandai. Elok bagi sahaja markah yang tinggi.

 

 

 

 

Kesan Halo

 

 

                       

Cloud Callout: Murid ini jawab soalan  4 baik tapi soalan 2 dan 3 lemah.   Bagi markah rendah sudahlah


Kesan Horn

 

Dalam memberikan markah pelajar, kekadang guru mengambil masa yang begitu lama untuk memproses. Keadaan ini menimbulkan rasa risau di kalangan murid dan menimbulkan  rasa tidak puas hati dengan gred yang diperolehi. Keadaan ini jelas menunjukkan betapa guru dan pelajar amat memberikan perhatian sekali berhubung dengan penyemakan skrip jawapan peperiksaan atau pemarkahan. Pelajar sememangnya mengambil berat dengan gred yang diperolehi berbanding dengan kemahiran yang diperolehi oleh mereka. Malah tidak kurang juga sebilangan guru mungkin mengambil langkah yang salah hasil daripada  maklumat yang diperolehi daripada ujian atau peperiksaan  yang dijalankan. Jika ini terjadi adalah suatu tindakan yang tidak bijak atau langkah yang silap telah diambil. Apa yang harus diambil ialah guru perlu menggunakan maklumat yang diperolehi bagi meningkatkan pencapaian murid pada masa hadapan dengan memberikan kelas-kelas pemulihan atau aktiviti tambahan kepada murid-murid.

 

  

8.2.1.            Skema Pemarkahan

 

Skor yang diperolehi oleh seseorang murid  adalah bergantung kepada prestasi jawapan yang diberikan dalam setiap soalan yang dijawab. Di samping prestasi menjawab skor yang diperolehi juga dipengaruhi oleh  cara pemarkahan oleh guru atau pemeriksa. Pada umumnya dalam sesuatu peperiksaan atau ujian, penggubal soalan atau guru akan menyediakan skema pemarkahan sebagai panduan bagi memeriksa skrip jawapan murid-murid.  Skema pemarkahan perlu disediakan oleh guru dengan lebih awal supaya ia dapat membantu guru mengenal pasti soalan yang mungkin perlu diperbaiki atau dibuang.

 

Dalam usaha menyediakan skema pemarkahan bagi memeriksa kertas jawapan, tiga aspek yang perlu diberikan perhatian oleh guru atau penyedia skema pemarkahan, iaitu:

 

a.                  Kandungan – mencakupi  aspek maklumat atau pengetahuan yang berkaitan;

b.                  pengelolaan – aspek penggunaan bahasa – lancar, tepat dan matang.

c.                  Proses – aspek ketepatan, munasabah, komprehensif, konsisten, keaslian dan daya kreatif menjawab.

 

Secara umumnya, skema pemarkahan terbahagi kepada dua cara, iaitu skema pemarkahan secara holistik  dan skema pemarkahan analitik.

 

 

8.2.1.1  Holistik

 

Skema pemarkahan yang disediakan secara umum sebagai panduan. Skema ini sesuai bagi pemarkahan soalan berbentuk karangan atau esei. Pemarkahan diberikan berdasarkan impression. Pemarkahan secara holistik mengkendaki  pemeriksa membaca terlebih dahulu secara keseluruhan jawapan yang diberikan oleh murid-murid dan kemudian mengelas atau mengelompokkan pencapaian mengikut kelompok pencapaian ikut kumpulan atau kelompok pencapaian sebelum menganggar pemberian markah keseluruhan bagi sesuatu soalan. Murid-murid bebas memberikan jawapan asalkan tidak menyeleweng daripada kehendak soalan. Pemeriksaan secara holistic ini memerlukan pemeriksa atau guru-guru yang berpengalaman dan benar-benar menguasai bidang atau mata pelajaran berkenaan.

 

 

Contoh skema pemarkahan secara holistik:

 

 

Markat

Kriteria

 

5

 

Cemerlang – menguasai semua objektif serta dapat berhujah dengan baik dan berkesan.

 

4

 

 

Baik – menguasai kebanyakan objektif dan dapat memberikan hujah dengan baik dan berkesan.

 

3

 

Memuaskan – hampir sebahagian objektif dan memberikan hujah dengan memuaskan.

 

2

 

Lemah – menguasai sebahagian kecil objektif dan hujah yang diberikan  tidak memuaskan.

 

1

 

Kurang memuaskan – belum menguasai sebarang objektif dan hujah adalah lemah

 

0

 

Gagal – gagal memberikan sebarang jawapan dan hujah amat lemah.

 

 

Skema pemarkahan secara holistik mempunyai kelebihan dari segi pemeriksaan kertas jawapan yang lebih cepat  berbanding cara analitik. Walaupun begitu cara pemarkahan sebegini adalah kurang objektif. Langkah meningkatkan keobjektifan dapat dilaksanakan melalui  mesyuarat penyelarasan  atau pemurnian markat di antara guru-guru berkenaan. Dalam mesyuarat  berkenaan ketua bagi pemeriksaan skrip peperiksaan akan  memberikan panduan memeriksa skrip jawapan diikuti dengan latihan tertentu.

 

 

8.2.1.2   Analitik

 

Pemarkahan secara analitik lebih terperinci daripada holistik. Ia mengandungi nilai tara isi kandungan, pengelolaan dan proses yang lebih khusus. Misalnya penentuan pemberatan jawapan, banyaknya fakta serta kualiti hujah yang diberikan untuk pertimbangan layak diberikan markat penuh, dan agihan markat berdasarkan aspek seperti markat untuk isi, persembahan, bahasa atau pun isi mengikut fakta.

 

Contoh skema pemarkahan analitik bagi ujian kemahiran lisan bahasa Melayu sekolah rendah:

 

 

Markat

Sebutan

Kefahaman

Tatabahasa

P”daharaan kata

Kelancaran

 

5

 

Sebutan baku, tidak ada pengaruh dialek atau bahasa ibunda.

 

Faham dengan tepat dan cepat. Gerak balas tepat dan pantas.

 

Guna tatabahasa dengan tepat dalam ayat-ayat dan menduku makna yang jelas dan tepat.

 

Luas dan menepati konteks penggunaan.

 

Lancar dan gaya yang sesuai dan menarik.

 

4

 

Terdapat kesilapan sebutan yang tidak serius

 

Faham dengan baik tetapi masih tidak memenuhi kriteria.

 

Ada kesilapan tetapi tidak serius. Ayat masih jelas dan bermakna.

 

Luas dan terdapat kesilapan tetapi kurang ketara.

 

Lancar dan masih ada kelemahan yang kurang ketara.

 

 

3

 

Terdapat kesilapan sebutan yang agak ketara atau dipengaruhi dialek atau bahasa ibunda.

 

Daya kefahaman sederhana. Boleh memberikan gerak balas tetapi agak lambat dan kurang tepat

 

Ada kesilapan bahasa yang agak jelas tetapi keseluruhannya masih jelas dari segi makna.

 

Perbendaharaan kata kurang meluas tapi masih boleh menggunakan dengan betul

 

Sederhana. Terdapat gangguan tetapi tidak menonjol.

 

2

 

Terdapat banyak kesilapan atau pengaruh dialek atau bahasa ibunda yang nyata.

 

Daya kefahaman yang amat lemah. Lambat memberikan gerak balas dan kurang tepat.

 

Terdapat kesilapan yang banyak dan menunjukkan penguasaan yang agak minimum.

 

Perbendaharaan kata terbatas, terdapat kesilapan dalam penggunaan tatabahasa dalam ayat.

 

Tidak lancar. Ada gangguan dan penyampaian kurang menarik.

 

1

 

Sebutan yang amat minimum. hanya boleh menyebut sahaja.

 

Lemah. Lambat memberikan gerak balas dan tidak tepat.

 

Terdapat banyak sekali kesilapan sehingga pertuturan amat sukar difahami.

 

Terbatas. Terdapat kesilapan penggunaan di sana-sini.

 

Amat sukar bertutur, lambat dan tergagap-gagap.

 

0

 

Langsung tidak dapat menyebut dengan betul.

 

Tidak faham langsung.

 

Tidak menguasai langsung.

 

Hanya boleh bertutur sepatah dua kata.

 

Bertutur hanya beberapa patah kata.

 

 

Pemarkahan secara analitik lebih objektif berbanding dengan holistik. Hal ini disebabkan skemanya yang lebih terperinci. Walaupun begitu pemarkahan begini akan mengambil masa yang lama lebih-lebih lagi sekiranya bilangan calon yang terlalu ramai.

 

Bagi meningkatkan keberkesanan pemeriksaan soalan berbentuk esei langkah yang boleh anda lakukan sebagai seorang guru ialah dengan cara:

 

a.       memahami kehendak soalan. Pemeriksa perlu benar-benar memahami kehendak soalan.

b.       Menyediakan skema pemarkahan. Skema harus fleksibel, iaitu boleh ditokok tambah dan dibaiki apabila meninjau tindak balas calon. Murid mungkin memberikan jawapan yang tidak terdapat dalam skema tetapi idea itu boleh diterima.

c.       Mengadakan penyelarasan sebelum peperiksaan.

d.       Memeriksa beberapa skrip jawapan murid terlebih dahulu.

e.       Memeriksa jawapan hingga selesai.

f.         Mengelakkan daripada mengenali nama murid.

g.       Memberikan ulasan pada kertas jawapan.

 

  

 

Latihan 1:

 

Mengapakah pemarkahan amat dipentingkan dalam pengujian dan penilaian?

 

Pemarkahan penting dalam proses pengujian dan penilaian kerana ia adalah sebagai sebahagian daripada  perkara yang asas untuk membuat sebarang keputusan atau tindakan susulan.

 

Kepada pelajar, pemarkahan menentukan gred yang diperolehi oleh mereka dalam sesuatu ujian yang boleh menentukan masa hadapan murid-murid  misalnya dari segi peluang  melanjutkan pelajaran atau mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan pencapaian mereka.

 

Kepada ibu bapa pula akan memperlihatkan pencapaian anak-anak mereka sama ada lemah atau cemerlang. Kalau lemah mungkin ibu bapa akan mengambil keputusan menghantar anak ke kelas tambahan dan sebagainya.

 

Para pendidik atau guru pula akan menggunakan hasil pemarkahan tersebut untuk mengelompokkan  pelajar kepada kumpulan yang sesuai bagi tujuan memudahkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Serta kriteria menentukan  anugerah kecemerlangan pelajar.

 

 

 8.2.2.      Penyelarasan Pemeriksaan Kertas Jawapan

 

Penyelarasan dalam peperiksaan kertas jawapan perlu dilakukan terutama apabila melibatkan pemeriksa lebih daripada seorang. Lazimnya pemeriksaan dibuat sebelum pemeriksaan kertas jawapan dilaksanakan. Penyelarasan yang dibuat adalah berdasarkan isi, bentuk, dan pemberatan markat. Pemeriksa hendaklah memeriksa beberapa contoh jawapan dan membandingkannya dengan pemeriksaan oleh pemeriksa yang lain. Tujuan penyelarasan ini dibuat bagi mengurangkan perbezaan antara pemeriksa dalam memberikan markat kepada murid-murid.

 

Dalam peperiksaan umum pula seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), setelah semua pemeriksa selesai menyemak kertas soalan esei, ketua pemeriksa akan mengambil secara rawak beberapa kertas jawapan yang telah disemak oleh peperiksa untuk memastikan ketekalan dan keselarasan dalam pemberian markat.

 

  

Latihan 2  :

 

Kenapa pemeriksa atau guru perlu mengelak daripada mengenali murid atau calon?

 

Pemeriksa perlu mengelakkan daripada mengenali calon atau murid bagi memastikan tidak berlakunya bias dalam pemberian markat. Misalnya, Abu ialah murid yang tergolong sebagai murid yang suka membantu guru, jika guru tahu kertas yang diperiksa itu kepunyaan Abu, maka guru berkenaan mungkin cenderung memberikan markat yang lebih mudah kepada beliau berbanding muri-murid lain.

 

 

8.2.3.      Penyelarasan Markat Ujian

 

Keperluan membuat penyelarasan ke atas pemarkahan dan gred adalah berdasarkan keputusan ujian yang diperolehi. Sekiranya terlalu ramai pelajar mendapat markat terlalu rendah dan guru barangkali akan mengambil tindakan  memerikan  markat bonus kepada murid-murid  agar graf pencapaian lebih nampak baik. Penyelarasan pemeriksaan kertas jawapan juga penting dalam menjamin kebolehpercayaan  skor yang diperolehi oleh murid-murid terlalu menunjukkan perbezaan yang ketara yang boleh menimbulkan persoalan.

 

Di samping itu juga, penyelarasan juga membolehkan guru memperbaiki taburan skor yang diperolehi. Sebagai contoh, jika mengikut  syarat pemberian markat yang ketat, bagi sesebuah sekolah untuk mendapat gred A mungkin tidak ada. Hal ini kerana tidak ada seorang murid pun yang layak kerana ujian yang terlalu sukar. Katakanlah Skor tertinggi yang diperolehi dalam sesuatu ujian berkenaan ialah 76, diikuti 75,74 dan 70, 69. Skor yang ditetapkan untuk mendapat gred A ialah 80 markat minimum. Justeru guru boleh mengambil keputusan sama ada pelajar yang mendapat skor 74 ke atas itu layak untuk diberikan gred A atau tidak. Jika layak penyelarasan markat perlu dilakukan dengan menaikkan markat berkenaan kepada 80. begitu juga kepada murid-murid yang berada di bawah taburan. Misalnya markat lulus ialah 40 dan ramai yang berada di bawah skor berkenaan. Misalnya hampir 15% pelajar akan gagal jika markat mereka tidak diubah atau ditransformasikan.

 

Apa yang perlu diberikan perhatian di sini ialah bukan kita ingin meluluskan  semua pelajar yang gagal berkenaan. Anda mungkin hanya sedia meluluskan skor murid-murid yang berada berhampiran dengan border  markat lulus sahaja atau untuk mendapat markat cemerlang.

 

Langkah penyelarasan markat:

 

Dalam satu ujian matematik, skor yang diperolehi ialah antara 31 dan 77.  Jadi anda  untuk mengadakan pelajar yang mendapat A dalam ujian tersebut. Untuk mendapat gred A skor mestilah 80 ke atas. Keputusan sama ada anda ingin memberikan gred A kepada pelajar pada skor 77 sahaja atau pelajar yang dari skor 75 terpulang kepada anda sebagai guru. Jika hanya melibatkan pelajar yang skor 77 maka berlaku pertambahan 3 markat untuk mendapat 80. Begitu juga seterusnya.

 

Dalam masa yang sama juga anda ingin membantu pelajar yang mendapat skor 36 untuk mendapat gred lulus. Formula pengiraannya ialah:

 

 

y = mx + c

 

Di mana  y ialah markat baru murid, x  ialah markat asal dan c ialah penalar (constant) sementara m ialah kecerunan persamaan perubahan skor yang diperolehi melalui formula:

 

m = (y2-y1)/ (x2 – x1)

 

 Misalnya x1 = 36, y1 =40, x2 =77, y2 = 80. maknanya  murid yang mendapat skor 37 akan dinaikkan kepada 40 dan murid yang mendapat skor 77 akan mendapat 80.

 

Dalam keadaan ini m = (80 – 40) / (77 – 36) = 40 / 41 = 0.98.

 

Untuk mengira c, gunakan formula y = 0.98x + c. Gantikan y dengan 80 (markat tertinggi yang baru) dan x dengan 77 (markat tertinggi lama). Anda juga boleh gunakan markat terendah baru dan lama untuk mengira c. Jawapannya akan tetap sama.

 

Bagi situasi ini, gantikan  nilai y dan x: 80 =0.98*77 + c;

 dengan itu c = 80 –77*0.98 = 80 – 75.46 =  4.54.

 

Cara yang cepat untuk mengira c ialah melalui formla di bawah:

 

c = y2 – m2 (setelah  m diketahui lebih dahulu)

 

Dimana  y ialah markat baru murid, x  ialah markat asal dan c ialah penalar (constant) sementara m ialah kecerunan persamaan perubahan skor.

 

Oleh itu, formula lengkap perubahan markat bagi kumpulan pelajar ini ialah:

 

Y = 0.98x + 4.54.

 

Menurut formula ini, semua murid akan diberikan tambahan markat sebanyak 4.54, selain itu setiap mereka akan mendapat 98% daripada markat asal (x).

 

Contoh: Murid yang mendapat markat 43 dalam ujian ini akan mendapat markat baru iaitu:

 

 y = 0.98*43 + 4.54 = 46.68

 

 

Penyelarasan markat juga perlu dijalankan bagi mengurangkan varians markat yang diperolehi. Melalui langkah ini, anda dapat mengurangkan perbezaan keputusan ujian. Selagi nilai kecerunan persamaan perubahan skor kurang dari nilai 1, varians markat baru tetap berkurangan. Misalnya nilai kecerunan persamaan skor = 0.85, maka varians bagi markat baru akan hanya 0.85*0.85 = 0.7225 varian markat asal.

 

 

8.3.            PENILAIAN

 

Setelah ujian ditadbir dan disemak dengan pemberian markat  atau gred tertentu, apakah langkah seterusnya diambil oleh guru?  Data atau skor yang diperolehi daripada ujian tersebut  adalah dalam bentuk kuantitatif. Oleh itu guru perlu menginterpretasikan data tersebut untuk kegunaan tertentu. Data kuantitatif ini penting kerana:

 

a.      Dapat memberikan pemerihalan yang lebih tepat tentang sesuatu keadaan. Misalnya dalam suatu ujian untuk mengeja  perkataan bagi suatu sampel 200 perkataan daripada senarai 300 perkataan. Guru akan mendapat maklumat lebih tepat apabila pencapaian murid digredkan dengan cara mengira peratus ejaan betul. Contohnya 30 peratus, 50 peratus berbanding dengan hanya penyatan memuaskan, baik dan sebagainya.

 

b.      Dapat meningkatkan keobjektifan langkah pengukuran. Misalnya tiga orang guru memberikan  skor yang sama atau hampir sama kepada jawapan seorang murid dengan menggunakan prosedur yang sama. Ini menunjukkan prosedur berkenaan adalah menepati keobjektifan dan maklumat yang diperolehi tersebut dianggap boleh dipercayai.

 

c.      Membolehkan  komunikasi yang lebih lancar dan jelas. Komunikasi tersebut boleh dalam bentuk  perbincangan guru-guru atau melibatkan penerangan laporan kemajuan murid-murid kepada ibu bapa mereka. Ini secara langsungnya menolong guru dalam membuat sesuatu keputusan. (Lindvall & Nitko, 1975)

 

 

8.3.1.            Penilaian Markat Ujian

 

Pada dasarnya guru akan hanya menggunakan markat mentah yakni markat yang diperolehi daripada jumlah jawapan yang ditanda dengan betul dalam melaporkan  kemajuan dan perkembangan seseorang murid dalam kelasnya. Sebenarnya markat sebegini kurang memberikan pengertian dan memerlukan maklumat tambahan. Misalnya apabila seseorang murid telah mendapat markat atau skor sebanyak 81/100. Adakah dapat dianggap murid tadi pandai berbanding dengan rakan-rakannya yang lain? Persoalan ini sukar dijawab jika hanya bergantung semata-mata kepada markat mentah. Markat ini tidak langsung membandingkan dengan pencapaian murid lain dan dengan itu sukar menentukan kedudukannya berbanding calon lain.

 

Keadaan ini memerlukan maklumat tambahan yang dapat menerangkan pencapaian murid dengan lebih terperinci. Markat berkenaan dikenali sebagai markat terbitan. Apabila markat terbitan dibentuk, akan memudahkan guru untuk membuat perbandingan antara markat-markat yang berlainan. Markat terbitan termasuklah pangkat ratusan, stanines dan penentuan gred.

 

Penentuan  jenis markat ini mengambil kira beberapa aspek seperti: (1) markat yang diperolehi daripada  kemahiran, pengetahuan seseorang tentang sesuatu yang diuji; (2) perbezaan yang berlandaskan  asas tertentu seperti tahap kesukaran; (3) markat dapat membezakan  antara individu dilakukan; dan markat yang membolehkan perbezaan individu itu sendiri dilakukan.

 

 

8.3.2        Penilaian Pencapaian

 

Bagi memudahkan guru membuat pertimbangan terhadap pencapaian pelajar, dua langkah boleh diambil oleh seseorang guru, iaitu sama ada menggredkan pelajar mengikut rujukan norma atau kriteria. Penggredan rujukan normal lebih  bersifat kuantitatif manakala penggredan kriteria lebih bersifat kualitatif. Ward & Ward (1999) mencadangkan lima panduan dalam penentuan gred murid seperti berikut:

 

  1. Menentukan tujuan sistem penggredan sebelum menggredkan murid. Jika untuk membina motivasi murid, wajar penggredan secara kriteria.
  2. Menerangkan kepada murid sistem gred yang akan digunakan pada awal penggal atau semester pelajaran.
  3. Elakkan daripada menukar cara penggredan semasa tugasan atau ujian sedang dijalankan bagi mengelak rasa tidak puas hati murid dan ibu bapa.
  4. Memasukkan variabel atau pemboleh ubah  yang sesuai kepada tugasan dalam pemberian gred.
  5. Memastikan amalan menggredkan pelajar adalah selaras dengan amalan peringkat pusat atau kebangsaan.

 

 

8.3.1.1 Pangkatan

 

Meletakkan pangkat pelajar adalah lebih mudah kerana hanya memeringkatkan  kedudukan pelajar daripada paling tinggi ke paling rendah. Guru hanya boleh membandingkan kedudukan murid dalam bilik darjah tertentu sahaja tanpa dapat membandingkan dengan kumpulan murid tersebut dengan  kumpulan murid yang sama dari kelas yang lain. Lazimnya, kedudukan pangkat ditandakan dengan kedudukan pertama, kedua, ketiga dan seterusnya sehinggalah pangkat terendah sekali. Contoh penentuan pangkat murid seperti jadual di sebelah:

 

 

 

Markat

Pangkatan / kedudukan

97

1

95

2

90

3    Dua orang pelajar mendapat markat yang sama untuk pangkatan 3

3    dan 4

90

88

5

77

6

75

7

  

 

8.3.1.2 Penentuan Gred

 

Pada murid atau ibu bapa serta guru sendiri, gred yang diperolehi sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada pencapaian murid. Lazimnya gred yang diberikan kepada pelajar seperti A, B, C, D, E bagi gred lulus atau F bagi menunjukkan gagal. Penentuan gred perlulah dilaksanakan secara selaras dengan peraturan tertentu misalnya penetapan markat seperti berikut:

 

           

Markat

Gred

85 -100

A

70 - 84

B

55 - 69

C

40 - 54

D

Kurang dari 40

F

 

Gred berkenaan hanyalah menentukan pencapaian murid berkenaan. Gred A lebih baik daripada gred B dan seterusnya. Walaupun begitu, guru tidak boleh membuat andaian murid yang mendapat gred A dua kali lebih baik  dari gred C. Secara umum penentuan bilangan pelajar berkenaan adalah seperti yang telah dijelaskan dalam bab sebelum ini berkaitan taburan normal (normal curve).

 

 

8.3.1.3    Pangkat Ratusan (Percentile)

 

Persentil ialah  satu agihan yang menunjukkan terdapat peratusan markat tertentu di bawahnya. Persentil ke 25 dipanggil kuartil pertama (Q1), persentil ke 50 dipanggil kuatil kedua (Q2) yang dikenali juga sebagai media bagi taburan markat dan persentil ke 75 dipanggil kuartil ketiga (Q3). Misalnya jika dikatakan  pencapaian Mazlin berada dikedudukan pensentil 70, ini menunjukkan bahawa Mazlin di atas 70% daripada murid-murid lain.

 

Pangkat persentil  dapat dianggap sebagai satu skor terbitan yang mempunyai median 50 bermula dari  taburan 1 hingga 99. skor persentil menunjukkan  kedudukan markat pada sepanjang taburan markat (Bhasah Abu Bakar, 2003). Untuk mendapatkan pangkat persentil, semua  murid yang mengambil sesuatu peperiksaan atau ujian diletakkan  pada aturan pangkat mengikut bilangan pelajar. Formula pengiraan pangkat persentil ada seperti di bawah:

 

Pangkat persentil = Kekerapan Kumulatif*  X 100

N

* pada markat yang dikira.

 

 Pangkat persentil  bagi markat ialah peratus murid dalam sesuatu kumpulan markat yang lebih rendah. Contoh:

 

Seorang murid yang mengambil satu ujian dan mendapat markat sebanyak 75. markat yang diperolehi itu lebih baik dari 60%  markat yang didapati  dalam kumpulan berkenaan. Keadaan ini menunjukkan bahawa murid mendapat pangkat persentil 60. markat 75, pangkat persentilnya ialah pada 60 persentil.

 

 

8.3.1.4    Stanines

 

Markat ini seringkali digunakan dalam ujian pencapaian. Ialah adalah bentuk markat terbitan.perkataan Stanines berasal daripada perkataan standard nine.  Ia dibentuk berasaskan andaian bahawa pencapaian dalam taburan graf normal. Stanines mempunai  min = 5 dan sisihan piawai = 2. Ia adalah berdasarkan skor-z. formula stanines seperti  di bawah:

 

stanines = 2ZN

 

di mana ZN = penormalan skor-z.

 

Setiap pelajar akan ditetapkan  peratusan nombor stanines masing-masing dari 1 hingga 9. peratusan pelajar yang  mendapat gred stanines seperti jadual di bawah.

 

 

Stanines

 

Peratusan Murid

 

9

 

4.0

 

8

 

7.0

 

7

 

12.0

 

6

 

17.0

 

5

 

20.0

 

4

 

17.0

 

3

 

12.0

 

2

 

7.0

 

1

 

4.0

 

Jumlah

 

100.0

 

 

 

Kelebihan markat secara norma ialah dapat memberikan maklumat dengan ringkas tentang prestasi murid yang boleh difahami secara mudah oleh murid dan ibu bapa mereka. Maklumat sebegini juga  memberikan mekanisme untuk menyusun pencapaian murid berdasarkan cemerlang, purata, dan gagal. Di samping itu ia juga membantu guru mengenal pasti murid yang paling lemah supaya aktiviti pemulihan dapat dijalankan.

 

Kelemahannya pula dari aspek markat yang diperolehi tidak menyatakan dengan jelas sejauh mana  seseorang murid berkenaan telah menguasai sesuatu kemahiran yang diperlukan. Penggunaan markat secara norma juga memungkinkan rasa rendah diri di kalangan murid yang berada dalam kelompok terkebawah.

 

Penggredan berdasarkan rujukan kriteria pula ialah dengan melaporkan prestasi seseorang murid secara relatif  bagi menentukan  sejauh mana murid  menguasai sesuatu objektif  kursus yang telah ditetapkan. Skor dan gred yang diperolehi  menggambarkan pencapaian yang sama dalam mana-mana tugasan yang telah dilaksanakan. dalam hal ini guru perlu menetapkan kriteria penggredan terlebih dahulu dan menetapkan  standard bagi setiap kriteria berkenaan. Berikut adalah contoh cara markat rujukan kriteria dilaksanakan:

 

a.      Dalam suatu ujian bacaan, Zaki didapati  dapat menyebut  pada peringkat perkataan yang terdiri daripada suku kata terbuka. Daripada perbandingan yang dibuat dengan murid-murid lain, Zaki berada pada tahap 35 peratus di bawah. Namun, Zaki telah menunjukkan perkembangan pada peringkat menguasai perkataan yang  amat sukar. Zaki mencapainya dalam tempoh empat bulan.

 

b.      Swee Ling mendapat keputusan pencapaian dalam mata pelajaran Geografi  sebanyak 95 peratus. Pencapaian dia menyamai dengan pencapaian Ό daripada murid dalam kelasnya. Keadaan ini menunjukkan pencapaian dia adalah tinggi. Walaupun begitu, 95% yang diperolehi itu terdiri daripada  kemahiran yang rendah. Manakala kemahiran yang tinggi masih belum dikuasai.

 

Kelebihan penggredan secara kriteria ialah murid  boleh mendapatkan gred  yang tinggi jika mereka berusaha bersungguh-sungguh. Guru pula lebih mudah untuk memberikan gred serta jika kebolehan murid adalah konstan dan ujian berkenaan adalah sah dan mempunyai tahap kesukaran yang pelbagai, maka guru boleh mengambil langkah  memperbaiki pengajaran bagi membolehkan ramai murid mendapatkan gred yang lebih baik.

 

Dalam memberikan gred kepada pelajar secara kriteria ini, Sax (1997) berpendapat kelemahan yang ketara ialah aras kesukaran dan kebolehubahan (variability) akan menentukan peratusan murid yang bakal mendapat gred. Ujian yang sukar akan menyebabkan ramai murid mendapat markat rendah. Manakala ujian yang mudah akan menyebabkan ramai murid mendapat markat yang tinggi. Keadaan ini juga tidak memberikan gambaran sebenar tentang pencapaian murid. Kesannya kepada murid-murid turut berpengaruh misalnya mereka kecewa dengan gred yang rendah sedangkan ujian berkenaan terlalu sukar sekali. Begitu juga sebaliknya apabila ujian terlalu mudah memungkinkan murid-murid mendapat keputusan yang cemerlang, sedangkan mereka boleh dikatakan masih gagal dalam menguasai kebanyakan kemahiran yang telah diajar.

 

RUMUSAN

 

Pemarkahan dan penggredan  adalah aspek yang penting dalam konteks pengujian, pengukuran dan penilaian dalam bilik darjah. Dengan memberikan gred kepada murid-murid akan menggambarkan pencapaian sebenar mereka dalam sesuatu mata pelajaran. Antara tujuan penggredan  ialah untuk (i) memaklumkan kepada  ibu bapa tentang kemajuan anak-anak mereka  dalam sesi persekolahan, (ii) membantu murid-murid dalam menetapkan matlamat mereka  dalam sesuatu mata pelajaran; (iii) mengawal aktiviti dan  program pembelajaran; serta (iv)  menentukan sama ada murid berkenaan layak untuk diberikan anugerah atau pengiktirafan serta peluang melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh.

 

Ringkasan:

 

skema pemarkahan – set panduan kepada guru atau pemeriksa untuk memeriksa skrip jawapan pelajar.

 

Pemarkahan holistik - Pemarkahan diberikan berdasarkan impression.

 

Pemarkahan analitik - Pemarkahan secara analitik lebih terperinci.

 

Langkah mentadbir ujian:

-                beri masa yang cukup untuk murid menjawab

-                jelaskan peraturan ujian – arahan

-                peringatan agar menyemak kertas soalan

-                mengawal bilik darjah atau dewan peperiksaan

-                mengingatkan  masa kepada murid-murid

-                mengumpul kertas jawapan

 

Penggredan – langkah mengelompokkan pelajar mengikut pencapaian terdiri daripada dua bentuk, iaitu mengikut rujukan norma dan rujukan kriteria.

 

UJIAN 1

 

Nyatakan kepentingan pemarkahan dalam pengujian dan penilaian dalam bilik darjah?

 

UJIAN 2

 

Cikgu Baki telah mengadakan ujian bagi Tahun 2 Intan. Daripada taburan markat yang diperolehi, beliau membuat keputusan untuk menaikkan  hanya markat 36 kepada markat lulus 40. Bagi mendapat gred A pula beliau membuat keputusan markah minimum 78 sudah  layak untuk ditukar kepada markat 80 (syarat gred A).dengan menggunakan formula yang telah dipelajari, jawab soalan berikut:

 

a.            Nilai y1 ?

b.            Nilai y2 ?

c.            Nilai x1 ?

d.            Nilai x2 ?

e.            Nilai m ?

f.              Nilai c ?

g.            Markat baru murid yang mendapat skor asal ialah 66?

 

 

 

JAWAPAN

 

UJIAN 1

 

Markat atau skor adalah sebahagian aspek yang begitu diberikan perhatian oleh guru dan murid-murid serta ibu bapa. Skor yang diperolehi akan menjadi asas kepada guru atau pelajar dan ibu bapa untuk mengambil langkah seterusnya. Misalnya, guru menggunakan skor yang diperolehi sebagai penanda aras pencapaian pelajar dengan menunjukkan  kelemahan-kelemahan tertentu yang ada pada murid dalam menguasai kemahiran-kemahiran tertentu. Murid pula mendapat gambaran tentang pencapaian mereka serta ibu bapa mungkin dapat menentukan sama ada anak mereka perlu dihantar untuk menghadiri kelas  tambahan dan sebagainya.

 

Pemberian markat dan gred kepada pelajar  adalah bergantung kepada  prestasi murid-murid menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Dengan itu ibu bapa juga amat menyedari bahawa  skor yang diperolehi  dapat digunakan dalam pelbagai tujuan. Misalnya bagi pelajar pada peringkat menengah, gred dan skor yang diperolehi menentukan  sama ada mereka layak untuk meneruskan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi atau mencari peluang pekerjaan yang selaras dengan gred yang diperolehi oleh mereka. Ini jelas menunjukkan betapa pemarkahan yang telah dijalankan  itu begitu penting kepada mereka.

 

 Sementara kepada para pendidik, pemberian markat juga akan memudahkan mereka untuk mengasingkan pelajar mengikut kebolehan pencapaian  murid-murid. Ini akan memudahkan mereka untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap kebolehan  yang mereka kuasai.

 

Kesimpulannya, pemarkahan amat bermakna kepada guru, murid-murid dan juga kepada ibu bapa. Dengan markat yang diperolehi akan membantu pihak berkenaan untuk mengambil langkah susulan yang sesuai demi kepentingan bersama.

 

UJIAN 2

 

a.            y1 = 40

b.            y2 = 80

c.            x1 = 36

d.            x2 = 78

e.            m =  0.95

f.              c  =  5.90

g.            68.6

 

 

RUJUKAN TAMBAHAN

 

 

 

Abu Bakar Nordin. (1987). Developing  scale in affective domain. Occasional papers no.5. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bloom, B.S. (1989). Taksonomi objektif pendidikan, buku pedoman 1: Domain kognitif (ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bloom, B.S., Hasting, J.T., Madaus, G.F. (1971). Handbook on formative and summative evaluation of student learning. New York: Harper and Row Publisher.

Krathwohl, D.R.,  Bloom, B.S., Masia, B.B. (1965). Classroom testing: Construction. Illinois: F.E Peacock Publisher Inc.

Lindvall, C.M. & Nitko, A.J.  (1975). Measuring pupil achievement and aptitude. (2nd ed.). New York: HBJ Inc.

Mokhtar Ismail. (1995). Penilaian di bilik darjah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Oosterhof, A. (2001). Classroom application of educational measurement.(3rd ed.) New Jersey: Printice Hall

Pusat Perkembangan Kurikulum. Penilaian kendalian sekolah. Kementerian Pendidikan Malaysia.

Raminah Haji Sabran. (1991) penilaian dan pengujian Bahasa Malaysia: Penerapannya pada peringkat sekolah rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sax, G. (1997).  Principles of educational and psychological measurement and evaluation. California : Wadsworth.

Ward, A.W & Ward, M.M. (1999). Assessment in classroom. California : Wadsworth.

   

 

Balik                           Seterusnya

 

Hakcipta Mohd Isha Awang (UUM) dan Azizi Publicist 2005-2006

1