Suami Tak Halang Minat Menyanyi

Oleh: Nyanaambigai Rajanthran

    

“Suami saya tak benarkan saya. …”

Alasan ini merupakan masalah yang sering dihadapi oleh wanita kaum India. Suami mereka tidak akan membenarkan isteri meneruskan minat dan hobi mereka selepas berkahwin. Pada masa yang sama, si suami pula akan meneruskan hobi atau minatnya!

Walau bagaimanapun, tidak semua suami bersikap demikian. Ada suami yang memahami minat isteri. Mereka tidak menghalang cita-cita isteri mereka. Malah, mereka memberi galakan dan motivasi.

Puan Ambigah Devi berasa sangat gembira kerana suaminya tidak menghalang penglibatan dalam bidang yang disukainya. Beliau sedang meneruskan pengajian diploma pendidikan di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), Cheras. Sebelum ini, Ambigah merupakan seorang guru Bahasa dan Sastera Inggeris di sebuah sekolah swasta di Cheras. Wanita kacukan Cina dan India (Chindian) ini juga seorang artis yang semakin meningkat dalam bidang seni suara.

“Saya menyanyi thevaram sejak usia sepuluh tahun serta mula menyanyi di majlis perkahwinan dan majlis hari jadi sejak berumur 14 tahun,” kata Ambigah yang berasal dari Kota Tinggi, Johor dan menetap di Cheras selepas berkahwin dengan Muniswaran Errison pada akhir tahun 2001.

Munis & Ambi

Bakat Ambigah turut dikesan selepas membuat persembahan semasa belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).  Lalu, beliau diberi peluang menyanyi di televisyen. Dalam perkembangan terkini, Ambigah merupakan penyanyi bersama kumpulan Bob Catz iaitu kugiran tempatan yang menghasilkan kaset Chaya Chaya.

Bob Catz sering menerima undangan menyanyi di majlis perkahwinan, hari jadi dan sebagainya. Ambigah akan turut serta untuk menyampaikan lagu-lagu yang sesuai bagi majlis berkenaan.

“Selain daripada bakat, seorang penyanyi juga perlu ada komitmen dan disiplin. Misalnya, perlu ada latihan dan tahu menyanyi dengan rentak yang betul. Kita juga perlu tahu lagu-lagu terbaru untuk dinyanyikan,” kata beliau.

Apakah reaksi suami apabila melihat Ambigah menyanyi dan menari di khalayak ramai?

“Suami saya memang tahu bahawa saya suka menyanyi. Dia juga memahami dan menghormati minat saya,” beliau menjelaskan sambil tersenyum. “Sejak kecil, ahli keluarga memberi galakkan. Kini, suami saya turut memberi galakan.”

Muniswaran Errison percaya bahawa ikatan perkahwinan tidak harus menjadi penghalang kepada golongan wanita untuk mencapai cita-cita dan impian dalam hidup. Golongan suami perlu memahami minat dan hobi isteri masing-masing.

NILA, 1 Mei 2003

Kavya, Jun 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1