Wakil Kavyan di SAKAT

   

Bahagian Pengembangan Sastera Antarabangsa Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengundang sepuluh wakil Kavyan ke Majlis Perasmian serta Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara Ke-3 (SAKAT).

Majlis Perasmian SAKAT, Penyampaian Hadiah Sastera MASTERA 2003, serta Pelancaran Laman Penulis Asia Tenggara (PAT) berlangsung pada sebelah malam, 22 September 2003 di Hotel Grand Maya, Kuala Lumpur.

Vigneswaran Kannan, Devishi Prabha Sankari, Ganesan Duraisamy, Thillai Kamalan, S.G. Prabhawathy

Wakil Kavyan yang memenuhi undangan terdiri daripada Vigneswaran Kannan, Ganesan Duraisamy, Thillai Kamalan, S.G. Prabhawathy, Suresh Rajamohan, Guruvaiyur Appan, Magaenthiran Periaswamy, Sarawanakumar Ramachandran dan Uthaya Sankar SB. Turut hadir, Devishi Prabha Sankari.

Suresh Rajamohan, Guruvaiyur Appan, Magaenthiran, Sarawanakumar

Penerima Hadiah Sastera MASTERA 2003 bagi kategori karya kreatif terdiri daripada Anwar Ridhwan (Malaysia), Zefri Ariff Brunei (Brunei Darussalam) dan Abrar Yusra (Indonesia); manakala Abdul Hadi W.M menerima hadiah bagi kategori karya bukan kreatif.

Pembinaan Laman Penulis Asia Tenggara adalah hasil resolusi Pertemuan Penulis Asia Tenggara 2001. Laman yang dicadangkan bertujuan sebagai laman serantau untuk komunikasi, pertukaran maklumat dan sebagai arkib bagi karya-karya sastera. Pada peringkat permulaan, laman ini menyajikan maklumat tentang para penulis Asia Tenggara, khususnya Malaysia, serta hal-hal berkaitan.

Buat permulaan, Laman Penulis Asia Tenggara boleh diakses dari laman utama DBP iaitu www.dbp.gov.my.

Pada 23-25 September 2003 berlangsung SAKAT di Dewan Seminar, Menara DBP. Penganjur mengundang sepuluh wakil Kavyan. Bagaimanapun, kerana sukar mendapat pelepasan dari tempat kerja/belajar, akhirnya hanya tujuh wakil Kavyan dapat menyertai SAKAT.

Suresh Rajamohan, Vigneswaran Kannan, V. Vijayaletchumy, Thillai Kamalan, Uthaya Sankar SB

Wakil Kavyan terdiri daripada Suresh Rajamohan, Vigneswaran Kannan, V. Vijayaletchumy, Thillai Kamalan, Uthaya Sankar SB, Ganesan Duraisamy dan S.G. Prabhawathy.

Tema SAKAT adalah "Kesusasteraan Tradisional: Peranan dan Sumbangannya dalam Masyarakat Kini".

Dua Ucap Utama disampaikan oleh Prof Emeritus Amin Sweenwy dan Prof Dato' Dr Siti Hawa Haji Salleh. Pembentang kertas kerja pula terdiri daripada hampir tiga puluh tokoh dari Malaysia, Australia, Brunei Darussalam, Kampuchea, Indonesia, Myanmar, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Suatu perkara yang cukup menarik, beberapa pembentang luar negara begitu fasih berkomunikasi menggunakan Bahasa Melayu (versi Bahasa Indonesia, bukan versi Bahasa Malaysia) serta mampu pula menyampaikan kertas kerja dalam bahasa berkenaan. Cukup mengagumkan! Secara ironi, beberapa tokoh dalam negeri memilih Bahasa Inggeris dengan alasan bahawa peserta SAKAT terdiri daripada pelbagai bangsa (warganegara).

Banyak ilmu yang ditimba wakil Kavyan sepanjang SAKAT. Misalnya mengenai kewujudan beberapa teks tradisional yang jarang diperkatakan di Malaysia; seperti Nabi Wadon.

SAKAT juga membuka mata peserta pada realiti bahawa terdapat banyak persamaan antara karya di negara-negara Asia Tenggara (Nusantara) khasnya dan Asia amnya.

Turut dihuraikan pengaruh India ke atas perkembangan sastera di Malaysia. Selain tulisan Sanskrit, terdapat juga tulisan Kavya -  dan ini pasti menggembirakan para wakil Kavyan kerana surat berita rasmi Kavya juga berjudul Kavya.

Penjelasan lebih terperinci juga dibentangkan mengenai sumbangan Munsyi Abdullah dalam perkembangan sastera moden Malaysia. Perlu dinyatakan bahawa beliau yang diiktiraf Bapa Kesusasteraan Moden serta terkenal dengan karya Pelayaran Abdullah merupakan Jawi Peranakan iaitu India-Muslim yang begitu menguasai Bahasa Melayu.

Sesungguhnya SAKAT sangat bermanfaat kepada para peserta, khususnya para wakil Kavyan yang berpeluang mengikutinya dengan sempurna.

Kavyan merakamkan jutaan terima kasih kepada Bahagian Pengembangan Sastera Antarabangsa khasnya dan DBP amnya kerana sudi mengundang wakil Kavyan ke SAKAT.

Terima kasih daun keladi!

Kavya, Oktober 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1