
Namaste para pembaca Kavya
"Kuil Di Hati"
Tersebut
alkisah Raja Simma Pallava berkenan membina sebuah kuil yang tiada terbanding
gemilangnya. Hasrat baginda timbul lantaran melihat Raja Chola membina kuil yang
tersergam megah di Tanjavur.
Maka
baginda Raja Simma Pallava pun ingin mendirikan kuil yang akan menyebut nama
beliau di masa depan seperti mana kuil besar Tanjavur menyebut nama Raja Chola.
Baginda inginkan kuil yang tidak akan luput ditelan zaman serta mendapat nama
dalam sejarah.
(Kuil
yang dibina oleh Raja Simma Pallava telah menjangkau usia melampaui seribu tahun
tetapi masih megah berdiri di daerah Kanchi.)
Raja
Simma Pallava menjemput semua ahli bina yang paling mahir dalam pelbagai bidang
untuk membina kuil. Maka bermulalah kerja pembinaan. Pengukir yang amat mahir
menghasilkan berhala yang kelihatan amat hidup. Tiang-tiang dihiasi indah dengan
pelbagai ukiran. Akhirnya, kuil yang diimpikan oleh Raja Simma Pallava menjadi
kenyataan.
Para
pentadbir, ulamak dan purohita dikumpul untuk menentukan hari pentahbisan.
Setelah dikaji kedudukan planet-planet, ahli falak memilih hari yang sesuai
untuk upacara pentahbisan.
Sore
menjelang hari pentahbisan, pada ketika baginda raja sedang beradu, baginda
didatangi mimpi yang aneh. Dewa Kailasa Nathar muncul dalam mimpi tersebut
seraya berkata, "Raja Simma Pallava, Aku tidak dapat hadir pada upacara
pentahbisan kuil yang tuan hamba bina. Ini adalah kerana Aku telah berjanji
untuk hadir di pentahbisan kuil yang telah dibina oleh seorang penganut setia
Aku di ThiruNindraOor.”
Raja
Simma Pallava bangkit tergesa-gesa dengan perasaan berbaur antara terkejut dan
hairan. Benarkah Dewa Kailasa Nathar muncul dalam mimpi? Dengan tiba-tiba sahaja
baginda mengambil keputusan untuk pergi ke ThiruNindraOor.
Setibanya
di ThiruNindraOor, pengikut raja mencari di sana-sini untuk kuil yang baru
dibina. Sejauh mata memandang tiada sebarang tanda-tanda upacara pentahbisan.
Tiada bunyian nadaswaram atau gendang. Tiada kelihatan tapak upacara homam.
Bila ditanya pada masyarakat tempatan, mereka mengangkat bahu.
Baginda termenung seketika dan mengenang kembali mimpi dan teringat bahawa Dewa KailasaNathar menyebut nama penganutnya sebagai Pusalar. Serta-merta baginda mengarahkan pengawal untuk mencari Pusalar.
Pusalar
ditemui sedang bertapa di bawah pohon kering yang separuh reput.
“Adakah
awak yang bernama Pusalar?”
Pusalar membuka mata.
”Ya,
tuanku. Kenapa tuanku mencari hamba?”
Raja
Simma Pallava menceritakan perihal mimpi baginda dan dengan penuh harapan
bertanya, ”Di mana kuil yang telah awak bina? Bila masanya untuk upacara
pentahbisan?”
Pertanyaan
raja hanya menerima senyuman yang separuh sedih. Air mata Pusalar berlinangan.
“Kenapa,
Pusalar? Kenapa hanya mendiamkan diri? Kenapa menitiskan air mata?”
“Tuanku,
hamba seorang miskin yang tidak mampu membeli seketul bata. Ini kan pula membina
kuil yang besar.”
Raja
Simma Pallava amat terkejut lebih-lebih lagi apabila mendengar penjelasan yang
lebih lanjut daripada Pusalar.
“Hamba
telah bina kuil di hati sedikit demi sedikit dengan menggunakan ‘anbu,bakti,
karunai dan pasam.’ Hari ini adalah hari yang hamba telah pilih untuk
upacara pentahbisan.”
“Betapa
besarnya kasih Dewa Kailasa Nathar terhadap penganut hinggakan mahu hadir di
upacara pentahbisan kuil yang dibina di hati berbanding kuil batu yang tersergam
indah.”
Berdasarkan
kisah Raja Simma Pallava dan Pusalar, kita
renungkan sejenak isu yang sedang bergelegak di Ayodhya dan di beberapa tempat
lain.
Tujuan
kita bukanlah untuk menuduh sesiapa atau mengutuk siapa yang bersalah dan siapa
yang benar tetapi untuk mengkaji apa yang ada di hati masing-masing.
Masyarakat
dunia harus berhenti daripada menganggap seseorang sebagai musuh hanya kerana
dia berlainan warna, bangsa, jantina atau agama. Sebelum wujudnya pembahagian,
perbezaan dan kelainan; pada asasnya kita adalah manusia. Manusia yang empunya
perasaan dan terutamanya fikiran yang membezakan kita daripada haiwan.
Segolongan
manusia membangkitkan sentimen keagamaan, perkauman dan kasta demi kepentingan
sendiri. Akibat perbuatan mereka yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab
ini maka lahir politik benci-membenci yang memporak-perandakan negara yang
sepatutnya aman makmur.
Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali. Kita indah kerana kelainan; kerana kepelbagaian. Kepelbagaian ini sepatutnya menjadi batu asas ke arah menjalinkan hubungan kemanusiaan yang lebih erat. Bukan sebaliknya.
Tiada
satu pun agama suci yang mengajar umatnya untuk melakukan kekejaman. Dasar
setiap agama adalah kasih sayang. Agama mengajar umatnya untuk mengamalkan sikap
penyayang, bertoleransi dan berbuat baik tanpa mengambil kira perbezaan.
Tuhan memilih kesucian hati. Kita?
Renungkanlah.
Kavya, Oktober 2003
Send your FEEDBACK to Retna Devi Balan