Namaste para pembaca Kavya

  

"Aadi"

       

Semoga sihat sejahtera dan gembira menyambut kedatangan bulan Aadi. Rasa-rasanya hanya pasangan yang baru kahwin sahaja yang menanggung sedih!

Tahun ini Aadi jatuh pada 17 Julai. Hari tersebut telah disambut meriah oleh umat beragama Hindu di Chennai. Rumah dihiasi dengan maavilai (daun mangga) dan perkarangan rumah berseri dengan lukisan kolem yang berwarna-warni.

Kaum wanita pula akan mandi kepala setelah menyapu minyak ke rambut. Semasa mandi mereka akan menggores kunyit di atas batu dan menggunakannya untuk disapu ke muka dan badan. Pada zaman moden ini, ramai wanita lebih gemar menggunakan serbuk kunyit.

Umat Hindu percaya bahawa Dewi Lakshmi berada pada minyak. Jika mandi kepala yang berlumur minyak terutamanya pada hari Selasa dan Jumaat akan memurahkan rezeki.

Sebenarnya amalan mandi minyak dan kunyit mempunyai alasan saintifik. Minyak yang dilumur ke kepala berupaya menyejukkan badan. Kunyit pula adalah antiseptik yang membasmi kuman agar kulit akan sentiasa bersih dan tampak berseri.

Setelah mandi, akan bermulalah kerja memasak. Hidangan pada hari pandigai (perayaan suci) tidak sama seperti pada hari kebiasaan. Istimewanya pada hari tersebut akan disertai dengan vadai dan paayasam. Mereka yang kurang mampu akan menyediakan manisan yang mudah seperti kesari.

Apabila masakan sudah disediakan, maka dihidangkan di hadapan tempat sembahyang. Barulah akan dimulakan upacara sembahyang dengan memenuhi ruang rumah dengan asap kemenyan. Diikuti pula oleh nyanyian suci dan akhirnya mangala aarathi selepas dilakukan neiveithiyam. Seisi keluarga akan menjamu selera hanya apabila tamat upacara sembahyang.

Upacara sebegini bukan sekadar pada hari pertama bulan Aadi tetapi akan diteruskan sepanjang bulan pada hari-hari tertentu seperti hari  Selasa, Jumaat, Sasti dan Kritikai. Segelintir umat akan memilih hari mengikut citarasa masing-masing.

Selain upacara sembahyang di rumah, kuil-kuil Amman mengadakan thiruvila. Thiruvila akan berlangsung sekurang-kurangnya 10 hari. Kuil yang lebih mewah mungkin akan mengadakan thiruvila untuk 15 hari. Macam manusia, kuil pun ada yang miskin dan yang kaya!

Pelbagai acara akan diadakan semasa thiruvila seperti tarian, konsert musik dan kathakalanjiyam (bercerita sambil diselit dengan nyanyian). Salah satu upacara khas untuk Dewi Amman adalah menunaikan niat dengan mengadakan pongal di kuil.

Bulan Aadi yang suatu masa dahulu hanya terkenal dengan upacara-upacara keagamaan kini terkenal kerana musim jualan murah dan potongan harga.

Apa yang diceritakan di sini adalah rahsia para peniaga tetapi tak mengapalah. Tak salah kalau masyarakat di Malaysia tahu. Janji jangan kecoh pada sanak-saudara dan sahabat handai di Chennai.

Pada bulan Aadi tiada aktiviti lain seperti perkahwinan atau grahapiravesam. Tumpuan hanya pada upacara keagamaan. Oleh itu aktiviti membeli belah jatuh pada tahap minimum. Para peniaga, bagi mengatasi keadaan ini, menawarkan jualan murah dan potongan harga. Bukan hanya untuk pakainan tetapi untuk peralatn rumah dan pelbagai lagi.

Bayangkan motosikal pun dijual dengan potongan harga sebanyak 5-15%. Walaupun segolongan manusia berpendapat tidak baik untuk membeli barang di bulan Aadi, majoriti masyarakat merebut peluang untuk membeli barang pilihan mereka dengan harga yang lebih murah. Pandai ya, golongan peniaga?

Kalau bulan Aadi, fikiran yang pertama melintas di hati adalah tradisi memisahkan pasangan yang baru berkahwin. Bukan sahaja yang baru berkahwin, kalau belum setahun penuh berkahwin, pasti pengantin perempuan akan dibawa pulang ke rumah emak.

Amalan ini telah wujud dari dahulu kala kerana pada masa itu mereka tidak tahu mengenai perancangan keluarga. Kalau hamil di bulan Aadi, anak akan lahir pada bulan Chittirai. Cuaca pada masa itu terlalu panas dan tidak sesuai untuk bayi yang baru lahir hingga boleh menyebabkan kematian.

Aneh tapi benar! Hingga ke hari ini ramai yang masih tidak tahu sebab sebenar pasangan pengantin baru tidak dibenarkan bersama pada bulan Aadi! Bagaimana dengan para pembaca Kavya?

Bulan Aadi juga masa untuk berseronok kerana cuaca yang agak mendung dan angin… Oh, angin! Ada pepatah Tamil yang mengatakan batu giling pun akan terbang dengan angin Aadi! Mungkinkah kita perlu letakkan beban di atas batu giling untuk menghalangnya diterbangkan angin?

Apapun, selamat menyambut pandigai, semoga mendapat restu Tuhan dan bergembiralah selalu seisi keluarga.

Nandri.

Kavya, Ogos 2003

Send your FEEDBACK to Retna Devi Balan

Hosted by www.Geocities.ws

1