Namaste para pembaca Kavya

  

"Dosa Manusia atau Kesalahan Manusia?"

       

Mentari menyembunyikan muka di sebalik mega mendung. Angin sibuk berlari ke sana-sini mengumpul kawan sehingga hampir keseluruhan langit dilitupi awan gelap. Petir mula menari bergendangkan guruh.

 

Kelompok manusia tidak mengalihkan pandangan dari langit. Pandangan penuh harapan. Setitis, dua titis, tiga titis - tiada lagi. Angin berlari pergi dengan kepulan awan. Harapan tinggal harapan.

 

Sejak bermulanya musim panas, masyarakat Tamil Nadu terutamanya di Chennai menantikan kedatangan hujan. Bukan sekadar untuk menyejukkan kemarahan sang mentari tetapi juga untuk menambah kandungan air di dalam tanah.

 

Musim panas kali ini tidak mahu mengundurkan diri. Bahang mentari terus meragut nyawa. Rumput-rampai tinggal kenangan. Kolam sudah menjadi kontang dan sungai hanya menunjukkan perut yang beralaskan pasir.

 

Sudah enam bulan Porur tidak menatap hujan!

 

Para agamawan kecoh dengan propaganda bahawa manusia terlalu banyak berdosa, maka Dewa Indra tidak mahu mengarahkan Dewa Varuna untuk menurunkan hujan. Mereka yang ikhlas menjalankan upacara seperti yaaga kerana dipercayai boleh membawa hujan. Segelintir lagi dengan girangnya sedang menjual nama Tuhan.

 

 “Bayarlah 1000 rupee, saya akan lakukan upacara khas untuk Dewa Siva supaya hujan akan turun.”

 “Tetapi saya takde wang sebanyak itu. Tanaman saya tidak menjadi kerana takde hujan.”

 “Kalau begitu, bayarlah 500 rupee. Dewa Shiva amat penyayang, Dia akan faham.”

 

Ada yang terlepas tetapi ramai juga yang tertipu dengan janji-janji kosong golongan bergelar saami.

 

Pakar kaji cuaca dan ahli kaji bumi tidak kering gusi melontarkan pendapat masing-masing. Pakar kaji cuaca menyatakan kali ini angin monsun agak terlewat dan agak tidak pasti bila akan tiba.

 

Ahli kaji bumi pula berpendapat Tamil Nadu khasnya Chennai dan beberapa bandar besar yang lain tiada tanah kosong untuk menyerap air hujan. Ini menyebabkan kejatuhan secara mendadak dalam paras air bawah tanah.

 

Mereka juga menyatakan bahawa tiada pokok yang mencukupi untuk membantu dalam pembentukan awan maka hujan perolakan juga tidak turun.

 

Pada pandangan Ret yang bukannya pakar dalam mana-mana bidang, macam manalah hujan nak turun kalau sejauh mata memandang hanya hutan batu; bukit dan gunung habis dipotong untuk tanah dan batu batan; kolam dan sungai ditimbus untuk menambah hutan batu.

 

Aktiviti manusia dan kerajaan yang tidak prihatin mengeruhkan lagi keadaan. Masakan tidak, setiap kali musim hujan, banjir meragut nyawa dan menenggelamkan tanaman bernilai berjuta-juta rupee. Mengapa? Jawapannya mudah, kanak-kanak yang baru belajar geografi pun tahu: tiada sistem saliran yang baik.

 

Setiap kali banjir, para pegawai kerajaan sibuk mencadangkan pembinaan sistem terusan supaya air dapat dialirkan ke kawasan takungan. Mereka beriya-iya menyatakan kolam dan sungai akan didalamkan. Rasanya rakyat pun dah bosan kerana entah berapa lama mereka mendengar perkara yang sama berulangkali daripada pihak kerajaan.

 

Sungai dan kolam, jika tidak didalamkan pun tak mengapa; tetapi siapa pula yang beri kebenaran untuk membina rumah dengan menimbus tanah?

 

Teringat Ret akan kejadian Highland Towers yang dibina di kawasan takungan air. Apabila runtuh, pelbagai alasan yang diberikan. Alasan yang paling Ret suka: “Perbuatan Tuhan!” Pelik, ya? Tuhan boleh memberikan CF untuk bangunan yang dibina di kawasan yang sepatutnya bebas daripada segala bentuk pembangunan.

 

Sementara itu, di Chennai, hujan yang dinanti pasti akan datang. Hanya menunggu masa. Pada masa itu, sibuklah orang terpelajar menyatakan tentang Rain Water Harvesting. Takkanlah hujan dah turun baru nak fikir tentang bagaimana nak menadahnya.

 

Musim panas tahun lepas, Ret terkejut apabila mendengar banyak kawasan menghadapi masalah kekurangan air.

 

“Apa mereka buat dengan air hujan yang melimpah-limpah pada musim hujan?”

 

Pertanyaan Ret hanya menerima sepi sebagai jawapan.

 

Air adalah komoditi  yang paling berharga buat manusia tetapi masing-masing memandang enteng. Hanya apabila dah terdesak, baru mahu mencari penyelesaian. Bak kata pepatah Tamil, “Mata dah buta, baru mahu menyembah mentari.”

 

Tanah gersanglah yang akan menghadap generasi akan datang jika setiap orang tidak memainkan peranan untuk memelihara alam sekitar.

 

Penebangan sewenang-wenangnya harus dihentikan. Tanah bukit harus bebas daripada bangunan dan lereng dilitupi oleh tanaman litup bumi jika tidak mahu melihat sungai lumpur. Kawasan paya (wetlands) harus dikekalkan dan bukannya dijadikan resort untuk rekreasi golongan mewah ...

 

Kalau Ret teruskan, pasti hingga kiamat pun tak tamat.

 

Apa yang dinyatakan hanyalah cadangan Ret sebagai seorang individu dan bukannya berniat untuk mengutuk mana-mana pihak yang masih hidup mahupun pernah hidup.

 

Terpulanglah kepada setiap individu untuk menilai sama ada kekurangan air disebabkan oleh dosa manusia atau kesalahan manusia.

 

Nandri.

Kavya, Julai 2003

Send your FEEDBACK to Retna Devi Balan

Hosted by www.Geocities.ws

1