Warkah dari Chennai

Retna Devi Balan

  

        

Namaste para pembaca Kavya

  

"Akshya Tritiya"

       

Kali ini kita bertemu dalam satu episod yang agak unik. Ret katakan begitu kerana kaum India di Malaysia tidak tahu dan tidak mengamalkan suatu hari yang begitu istimewa bagi masyarakat di Tamil Nadu, India.

 

Tersebutlah alkisah dalam Mahabharata bahawa Paanchali (atau Draupadi) telah berdoa kepada Dewa Surya supaya membolehkan dia menyediakan makanan untuk sesiapa sahaja yang kelaparan. Pada masa itu, Pandava Lima (iaitu Arjuna, Sahadeva, Yudhisthira, Bhima dan Nakula) telah dibuang negeri kerana kalah perjudian dengan Putera Duryodhana.

 

Dewa Surya merasa amat berbesar hati dengan doa Paanchali kerana selama ini puteri berkenaan hanya menyebut  nama Dewa Krishna. (Dewa-dewi juga ada persaingan seperti itu?) Sebagai tanda puas hati, Dewa Surya menghadiahkan Akshaya Paathiram kepada Paanchali. Istimewanya periuk ini adalah kemampuannya memberikan sebarang jenis makanan yang diminta dan tidak akan habis dari terbit  hingga tenggelam matahari.

 

Mungkin inilah purana di sebalik sambutan hari Akshaya Tritiya yang ingin Ret ceritakan melalui warkah kali ini. Hari tersebut jatuh pada hari ke-4 selepas Ammavasai (bulan gelap) pada bulan Chittirai.

 

Tahun ini, beberapa hari sebelum tarikh tersebut, emak saudara Sai telah berpesan bahawa kami harus melakukan beberapa amalan untuk meraikan hari tersebut.

 

Menurut nasihat beliau, pada hari tersebut kami perlu bangun lebih awal daripada biasa. Setelah mandi dan mengemas rumah, kami lalu membuat persediaan untuk upacara sembahyang. Upacara kami tidaklah terlalu meriah kerana kami masih dalam jangka masa berkabung. (Ayah Sai meninggal dunia tahun lalu.)

 

“Apa awak nak beli?” tanya Sai.

 

Pada awalnya, Ret tidak pasti apa yang ingin dibeli. Inilah kepentingan Akshaya Tritiya. Sekiranya kita membeli sesuatu barang, barang itu akan sentiasa ada di rumah. Terfikir juga Ret, “Jika Ret membeli sebuah rumah adakah Ret akan sentiasa mampu membeli rumah?”

 

Setelah berfikir panjang, Sai dan Ret membuat keputusan untuk membeli barang keperluan rumah seperti beras dan dhal. Kemudian kami bercadang untuk membeli sesuatu yang diperbuat daripada emas. Kebetulan, kami dah lama ingin membeli barang tersebut tetapi sentiasa sahaja ada aral melintang. Maka pada hari tersebut kami bernekad untuk membelinya.

 

Setiba di kedai GRT di T.Nagar - kawasan beli-belah yang terkemuka di Chennai - Ret terkejut besar. Setiap kedai ditenggelami lautan manusia yang berombak-ombak. Bayangkan: kesesakan di kedai emas mengalahkan kesesakan di pasar malam di Malaysia. Macamlah orang memberi emas secara percuma!

 

Mengikut pandangan mata kasar, penduduk Chennai bukannya mewah. Pendapatan mereka ala kadar tetapi mampu pula mereka berbelanja besar untuk membeli emas. Bagaimana, ya?

 

Memang tidak masuk akal. Pada hari biasa pun Ret pernah lihat ramai juga orang yang membeli barang emas untuk suka-suka. Mereka juga membeli perak dan pakaian seperti churidar dan saree. Tetapi pada hari Akshaya Tritiya, kegiatan membeli mencapai tahap yang hanya boleh dirumuskan sebagai frenzy.

 

Semasa di GRT, Ret tidak boleh menghampiri kaunter kerana terlalu ramai orang. Ruang berdiri pun tiada. Sai, dengan rela kerana terpaksa, meredah rimba manusia untuk membeli apa yang dihajati. Sesaat pun kami tidak siakan, terus kami beredar dari situ.

 

Pada sebelah petang, kami pergi ke rumah emak saudara Sai. Beliau telah menghidangkan manisan dan sedikit juadah istimewa.

 

Rancangan televisyen menyiarkan sambutan Akshaya Tritiya. Di beberapa tempat dilaporkan berlaku kekecohan kerana pengguna tidak dapat memasuki kedai. Menurut tinjauan krew berita, segelintir manusia berpendapat insiden berkenaan hanyalah gimmick para peniaga untuk melariskan perniagaan. Segolongan manusia pula amat berkeyakinan bahawa barang emas akan memurahkan rezeki.

 

Apabila kami ingin pulang ke rumah, emak saudara Sai memberikan restu dan beberapa keping duit syiling (mengikut kemampuan). Apabila Ret tanyakan untuk apa, beliau mengatakan bahawa ia akan membawa kemewahan. Harap-harap benarlah kata-kata beliau!

 

Walau apa pun purana dan kepercayaan, Akshaya Tritiya telah datang dan pergi. Mungkin tahun hadapan masyarakat India di Malaysia juga boleh menyambut Akshaya Tritiya. Bagaimanapun, sama ada percaya atau tidak pada amalan Akshaya Tritiya terpulanglah kepada para pembaca.

 

Nandri.

Kavya, Jun 2003

Send your FEEDBACK to Retna Devi Balan

Hosted by www.Geocities.ws

1