Warkah dari Chennai

Retna Devi Balan

        

Namaste para pembaca Kavya

"Koodai Kaalam"

       

Hujan sudah lama tiada, kabus hilang bersama Sivarathiri. Kini sang mentari bermaharajalela di ruang angkasa. Sang mentari terpaksa bekerja overtime pada musim ini. Setiap pagi beliau bangun sebelum ayam berkokok dan tidak lena sehingga senja. Lemparan senyum beliau terasa dari pukul 5:45 pagi hinggalah 7:00 malam.

Malang sekali beliau tidak sekadar tersenyum tetapi begitu girang pada waktu tengah hari. Masa itulah manusia dan binatang terpinga-pinga mencari pereda musim panas seperti air dan kawasan yang redup.

Banyak juga petua yang Ret pelajari mengenai koodai kaalam ini. Paling utama adalah kepentingan ‘summer energy’, istilah yang hakciptanya terpelihara oleh Sai. Rasanya kalian dah boleh mengagak apa itu ‘summer energy’.  

Retna & Sai - wedding photo

Suatu hari, Sai telah keluar tanpa membawa ‘summer energy’. Apabila pulang, hampir pengsan kerana kekeringan. Sejak itulah timbul istilah ‘summer energy’. Memang pun pada musim ini perlu banyakkan meminum air. Kalau tidak, memang cari nahas!

Musim panas juga musim bergembira untuk kanak-kanak dan remaja. Cuti persekolahan di sini (Tamil Nadu) adalah pada musim panas. Maka mereka bebas berkeliaran bersama kayu kriket, merayau dari terbit hingga tenggelam mentari. Juga para ibu akan membawa anak-anak ke kampung kerana tidak tahan melayan mereka di rumah sendiri.

Panas mentari akan mencecah kemuncaknya pada Agni Nakshatra atau juga dikenali sebagai katri. Tahun lepas pada masa tersebut ribuan manusia dan binatang menjadi mangsa gelombang haba. Tahun ini katri adalah dari 4 Mei hingga 28 Mei. Entah, apa pula yang akan berlaku?

Ramai yang akan menanti koodai kaalam untuk pelbagai aktiviti seperti bercuti dan  mengeringkan bahan-bahan masakan. Pada musim ini kolam, tasik dan juga sungai lazimnya kering. Suri rumah pula biasanya menggunakan masa ini untuk membuat vatthal; akan kering seperti keropok dalam masa sehari dua.

Ret kagum pada alam semula jadi. Dengan sendirinya musim ini juga kaya dengan pelbagai sayuran dan buah-buahan yang sesuai untuk dimakan bagi mengurangkan panas badan. Ret cadangkan para Kavyan juga amalkan petua yang Ret turunkan di sini kerana di sana (Malaysia) koodai kaalam sepanjang tahun. Jangan sebut pasal hujan perolakan dan musim monsun.

Banyakkan meminum air. Kalau jemu meminum air, minum air limau. Selain itu, boleh juga minum lassi (buttermilk). Kesemua ini akan membantu mengurangkan panas agar tidak diserang ruam panas dan seumpamanya.

Tidak kurang juga manusia dan lembu yang terkena demam campak di sini. Selama ini Ret tidak tahu bahawa campak itu penyakit musim panas. Jika ada ahli keluarga terkena demam campak, seisi keluarga akan mengamalkan makanan vegetarian. Mereka juga tidak akan menggoreng apa-apa makanan dengan minyak kerana dipercayai akan lebih memudaratkan penyakit. Selepas beberapa hari, pesakit akan diberikan air limau muda bagi mengurangkan demam.

Timun dan tembikai turut menjadi kegemaran orang ramai terutamanya kanak-kanak. Mereka ada cara tersendiri untuk memakan timun. Timun lazimnya dibelah empat, ditabur serbuk cili dan garam; kemudian dibaham dengan rakus. Seronok melihat kanak-kanak memakan timun bercili!

Pesta beli belah musim koodai juga diadakan. Kedai-kedai akan menawarkan potongan harga yang menarik untuk menarik pelanggan supaya berbelanja. Mereka akan cuba menghabiskan stok supaya pada akhir musim cuti, stok baru boleh dibawa masuk.

Suatu lagi aspek menarik pada koodai kaalam adalah hakikat bahawa ramai orang tidak tidur di dalam rumah. Suasana di dalam rumah pada waktu malam amat tidak selesa; maka mereka lebih selesa tidur di motta maadi iaitu bahagian atas rumah yang tidak berbumbung. Nasib baik  angin bertiup hampir terus-menerus. Kalau tidak, pasti kita semua akan terpanggang!

Pada waktu senja, Ret dan Sai sering duduk di laman rumah sambil menikmati tiupan angin. Apabila malam menjelang, bintang-bintang berkelip indah di angkasa yang bebas daripada gangguan awan. Pada waktu-waktu begini, redup hati menikmati keindahan alam dan menyedari kebesaran Tuhan: di sebalik setiap kesusahan ada pula kebaikan.

Nandri.

Kavya, Mei 2003

Send your FEEDBACK to Retna Devi Balan

Hosted by www.Geocities.ws

1