Warkah dari Chennai

Retna Devi Balan

Namaste para pembaca Kavya

"Kaya Sungguh Tradisi"

       

Semoga sihat bahgia bersama yang dekat dan tersayang.

Baru-baru ini Ret telah berpeluang menghadiri satu majlis perkahwinan keluarga Brahmin. Ret sungguh tertarik dengan upacara yang dijalankan juga dengan ikatan kemesraan yang ditunjukkan oleh para hadirin. Mengingatkan Ret pada majlis perkahwinan orang Melayu yang berlangsung di kampung di mana semua sanak saudara dan jiran sekalian turut serta untuk meraikan majlis.

Satu aspek yang amat berlainan dengan majlis perkahwinan masyarakat India di Malaysia adalah dari segi masa. Masyarakat Malayalee, majlisnya singkat sahaja, hanya lebih kurangsetengah jam. Masyarakat Tamil pula mengambil masa beberapa jam tetapi golongan Brahmin di sini mengambil masa selama tiga hari

Tidak mungkin bagi Ret menceritakan setiap adat istiadat yang telah dijalankan kerana banyak juga yang di luar kefahaman Ret. Apalah ditanya, jawabnya, ”Dah berzaman kami buat macam ini. Jadi, macam inilah.”

Di sini terdapat beratus-ratus buah Kalyana Mandapam khusus untuk upacara perkahwinan. Pihak pengantin perempuan akan menyewa salah satu mandapam yang bersesuaian dengan tempat tinggal dan kemampuan mereka. Sewa sesebuah mandapam berbeza dari tempat ke tempat, dari segi saiz dan kemudahan yang tersedia. Jika mandapam tersebut berhawa dingin dan mempunyai bilik-bilik berserta dengan bilik air maka kosnya amat tinggi. Mandapam yang sederhana saiznya dengan kemudahan terhad pastinya lebih murah. Menurut Sai, sewa sebuah mandapam mungkin serendah 4000Rs dan setinggi 150,000Rs untuk sehari.

Kos perkahwinan keluarga Brahmin akan ditanggung oleh pihak pengantin perempuan. Mereka perlu menyediakan mandapam, kemudian tukang masak, perhiasan, hantaran yang serbanika. Ret tidak berani tanya berapa belanja yang ditanggung oleh mereka kerana mungkin dianggap pertanyaan yang biadap.

Pada hari pertama, keluarga pengantin perempuan akan beredar ke mandapam bersama segala apa yang diperlukan. Sehingga majlis berakhir mereka akan menetap di mandapam. Pada petang hari pertama, golongan pengantin lelaki akan tiba di mandapam. Majlis akan dimulakan dengan mappilai alaippu.

Rombongan pengantin lelaki akan dijemput dengan meriah, diiringi oleh alatan muzik tradisional iaitu nadaswaram dan tavil. Kemudian kedua-dua pihak akan beredar ke kuil yang berhampiran untuk mendapatkan restu dan menukar dulang yang berisi sirih pinang. Ini menunjukkan persetujuan kedua pihak untuk meneruskan upacara perkahwinan.

Selepas itu mereka akan kembali ke mandapam. Di pintu masuk mandapam, pengatin perempuan dan pengantin lelaki akan berdiri menghadap satu sama lain. Pengantin perempuan akan mengalungkan kalungan bunga di leher pengantin lelaki. Kemudian apabila tiba giliran pengantin lelaki, saudara mara pengantin perempuan akan cuba menyembunyikan pengantin perempuan atau mengangkat dia supaya sukar untuk pengantin lelaki mengalungkan kalungan.

Perbuatan ini agak kelakar dan Ret rasa ini diadakan untuk meredakan sebarang perasaan ketegangan yang mungkin ada di mana–mana pihak. Setelah itu kedua-dua pengantin akan duduk atau berdiri bersama untuk menerima kedatangan para jemputan. Biasanya  para hadirin akan datang ke majlis mapillai alaippu pada petang hari pertama kerana upacara mengikat thali akan dijalankan pada subuh hari esok.

Hari kedua majlis akan dimulakan lebih kurang pada pukul 3.00 pagi iaitu lebih kurang 3 jam sebelum muhurtham. Upacara akan dimulakan dengan adat menyapu minyak untuk kedua pengantin dan juga  antara besan. Kesemua mereka akan didudukkan dalam satu baris dan sanak saudara yang penting akan sapukan minyak. Selepas itu masing-masing akan beredar untuk mandi dan bersiap sedia untuk upacara seterusnya.

Kasi Yaathirai adalah upacara seterusnya. Logiknya Ret tidak faham langsung. Kononnya pengantin lelaki merajuk dan akan beredar ke Kasi. Mak pengantin perempuan akan memujuk dengan mengatakan bahawa dia akan kahwinkan anak perempuan dia. Pengantin lelaki akan bersetuju dan kembali ke mandapam.

Sebelum upacara mengikat thali, kedua pengantin akan diikatkan dengan kanganam. Di Malaysia, kanganam akan disediakan oleh purohita sebelum majlis tetapi di sini kesemua sanak saudara yang telah berkahwin dan lebih tua dari kedua pengantin akan berdiri bersama pasangan mereka mengelilingi pengantin. Kemudian purohita akan memberikan benang yang akan melalui semua orang sebanyak sepuluh pusingan. Benang ini akan dipisahkan menjadi dua ikat, disapukan dengan kunyit dan diikat dengan seketul kunyit dan baru diikatkan ke tangan para pengantin.

Thali akan ditunjukkan pada para hadirin untuk meminta restu dan kemudian berlangsunglah upacara kemuncak majlis iaitu mengikat thali. Di sini pengantin lelaki akan berdiri   untuk mengikatkan thali. Tidak seperti di Malaysia kerana pengantin lelaki akan ikatkan thali sambil duduk.

Sesudah itu sanak saudara akan menjamu selera dan duduk berborak dan beberapa upacara lain akan diadakan. Pihak pengantin lelaki dan perempuan akan saling mengucapkan tahniah kerana mendapat menantu.

Para hadirin dan sanak saudara sambil berehat akan berbual dan bersiap sedia untuk majlis di sebelah petang. Pada mereka yang akan beredar selepas muhurtam akan diberikan taambulam (sirih pinang, kelapa dan pisang). Bakshanam (kuih-muih berupa manisan) akan diberikan kepada tetamu penting dan sanak saudara. Kesemua ini adalah tanggungjawab keluarga pengantin wanita.

Majlis malam pertama sangat lucu dan menarik. Pada sebelah petang, akan diadakan pelbagai jenis permainan antara pengantin lelaki dan perempuan. Ini diadakan supaya mereka boleh saling berkenalan, menghilangkan perasaan kekok untuk bersama seorang yang tidak dikenali.

Salah satu permainan adalah menjual beli gajah. Bukan gajah betul tetapi gajah yang dilukis di atas lantai dengan menggunakan dhal dan garam. Kemudian mereka akan bermain dengan mengolekkan buah kelapa sambil diejek serta hilai tawa para saudara mara.

Apabila tiba masa yang ditetapkan untuk malam pertama, pengantin perempuan akan diiring ke bilik di mana pengantin lelaki menunggu. Setelah pengantin masuk, pintu akan dikunci dari luar. Beberapa orang wanita dewasa akan berdiri di luar pintu sambil menyanyi dan mengusik pasangan pengantin baru yang berada di dalam bilik tidur.

Pada hari ketiga, tukang masak akan menyediakan makanan berupa nasi asam jawa, nasi tairu dan idli yang disapu dengan serbuk cili. Lebih ringkas dikenali dengan Kattu Saatham. Ini akan disediakan dalam satu bakul besar untuk dibawa oleh rombongan pengantin lelaki semasa mereka beredar dari mandapam.

Ret teringat satu simpulan bahasa tamil yang berbunyi ”Veedai kaati paaru, kalyanathe panni paaru.” Bukannya mudah untuk menjalankan satu majlis perkahwinan. Namun begitu ia adalah satu upacara yang menarik dan begitu kaya dengan tradisi.

Nandri.

Kavya, Mac 2003

Send your FEEDBACK to Retna Devi Balan

Hosted by www.Geocities.ws

1