Warkah dari Chennai

Retna Devi Balan

Namaste para pembaca Kavya

"Sepuluh dalam satu"

       

Selamat bertemu lagi di lembaran ini. Terlebih dahulu Ret mengucapkan syabas dan tahniah kepada para Kavyan kerana berjaya mendaftarkan organisasi ini. Dengan langkah ini pasti kedudukannya lebih bermartabat dan perjuangan Kavyan juga akan lebih mantap. Walau Ret berjauhan, Ret tetap akan mendoakan kejayaan Kavyan.

Pasti ramai yang tertanya-tanya, ”Apa itu 10 dalam 1?” Jawapannya,”Satu rancangan radio yang diselenggarakan dan disampaikan oleh Dr.Seyyon.” 

"Mengapa pula rancangan ini menarik perhatian Ret?"

"Kerana rancangan ini mempunyai 10 segmen yang disampaikan dalam masa sejam iaitu dari pukul 9 hingga 10 malam setiap hari."

Rancangan yang bertajuk “Vanna Kalanjiyam ini mendapat tempat di hati ramai pendengar. Lebih hebat lagi, ramai pula pendengar setia yang sanggup mengetepikan televisyen dan aktiviti lain hanya untuk mengikuti rancangan ini. Ret sendiri pun sudah menjadi pendengar setia dan apabila Sai tiada di rumah, Vanna Kalanjiyamlah yang menjadi penghibur.

Setelah mengikuti rancangan ini untuk beberapa hari, Ret mendapati bahawa Vanna Kalanjiyam jauh lebih bermutu daripada apa yang disiarkan oleh Radio Enam di Malaysia. 

Rancangan di Radio Enam sering kali dikendalikan seolah-olah pengacara itu cetek pengetahuan dan pengalaman. Rancangan pula selalu terganggu dengan hilai tawa yang tidak bertempat. Para pengacara juga sangat suka untuk memberitahu pendengar, ”Masa sekarang adalah …” dan ini dilakukan setiap satu minit atau 30 saat! THR.fm Raaga juga tidak jauh berbeza.

Rancangan di Chennai berbeza sama sekali – lebih berperanan sebagai pendidik minda masyarakat. Ramai pendengar yang menelefon  dan menceritakan bagaimana Vanna Kalanjiyam telah memberi kesan dalam kehidupan mereka serta mengubahnya kepada yang lebih baik.

Satu episod yang telah mengharukan hati Ret adalah apabila Dr. Seyyon telah membuat pengumuman bahawa satu kempen Derma Darah akan dianjurkan di sebuah hospital berdekatan. Pada hari berikutnya seorang pendengar telah menelefon dan menyatakan ramai telah berpusu-pusu ke sana. Akhirnya para kakitangan telah mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir serta memohon berbanyak maaf. Kenapa maaf? Mereka tidak berupaya mengambil lebih banyak darah kerana bank darah telah penuh.

Terkejut sungguh Ret mendengar perbualan tersebut. Sepanjang berada di Malaysia, Ret tidak pernah terdengar bahawa bank darah mempunyai darah yang mencukupi. Ternyata di sini betapa hebat pengaruh Vanna Kalanjiyam terhadap pendengarnya.

Berbalik Ret kepada kisah 10 dalam 1. Amutha Mozhi membuka tirai rancangan Vanna Kalanjiyam. Dr. Seyyon akan membacakan satu Thirukural, kemudian memberikan huraian untuknya. Berikutan ini, ramai pelajar sekolah telah berusaha untuk menghafaz Thirukural untuk dilafazkan kepada Dr. Seyyon. Bukan sekadar melafaz tetapi mereka berjanji akan cuba membina hidup mereka berdasarkan prinsip yang terdapat dalam Thirukural.

Ret tidak ingin menyentuh kesemua 10 segmen, hanya beberapa yang Ret rasakan penting tetapi sebenarnya Ret tidak tahu mana satu yang harus dipilih kerana setiap satu segmen begitu menarik dan masa sejam itu berlalu dalam sekelip mata.

Secara ringkas, Vanna Kathai, Konjam Siriyungalle, Ariviyal Ulagathil, Vanna Puthir, Nagaril Indru, Nagaril Naalai, Unggal Viruppam, Namathu Virunthinar, Magudam tharitha muthukkal, Neengal Kettavai dan Vanna Kathir. Mungkin para Kavyan agak terkejut melihat bahawa segmen yang Ret nyatakan melebihi 10. Adakalanya segmen akan digantikan mengikut hari. Walau bagaimanapun susunan segmen, pasti akan ada sepuluh.

Segmen Magudam tharitha muthukkal adalah mengenai surat daripada pendengar. Dr. Seyyon sentiasa mengalakkan para pendengar untuk menulis kerana beliau berpendapat apabila seseorang itu menulis, dia akan dapat menajamkan daya fikir juga berpeluang untuk menyusun idea dengan lebih baik. Beliau juga menyatakan bahawa ini memberi peluang kepada pendengar mengutarakan pendapat yang boleh membantu dalam membina masyarakat yang labih sihat dan cergas. Maka dalam segmen ini surat yang terbaik dari segi isi kandungan akan dibacakan.

Namathu Virunthinar pula menjemput seseorang yang terkenal untuk ditemuramah secara langsung. Personaliti yang dipilih mungkin seorang doktor, penulis, pelajar atau sebagainya. Sesiapa yang terpilih pasti mempunyai perkara istimewa untuk dikongsi bersama pendengar yang boleh memanfaatkan mereka.

Ret fikir pasti rakan-rakan di Malaysia akan tertarik dengan idea ini. Manalah tahu, mungkin ada sesiapa yang akan berjaya menghasilkan rancangan seperti ini di mana rancangan berkenaan amat berfaedah, masa tidak terbazir serta boleh mewujudkan komuniti pendengar setia.

Nandri.

Kavya, Februari 2003

Send your FEEDBACK to Retna Devi Balan

Hosted by www.Geocities.ws

1