Sudah menjadi satu trend di kalangan pelajar untuk mencari kerja sambilan. Kalau dulu mahasiswa universiti dan pelajar kolej yang membuat kerja sambilan, kini pelajar sekolah menengah juga mengamalkannya. Mereka membuat kerja part-time bukan sahaja semasa cuti sekolah. Kalau mereka belajar sesi pagi, mereka bekerja pada sebelah petang dan malam. Apakah komen remaja sendiri berhubung isu ini?

  

Sarawanakumar @ Mani: Memang patut mereka bekerja sambilan. Bukan sahaja mengurangkan beban ibu bapa tapi juga menambah wang saku. Tak perlulah asyik minta wang daripada ibu bapa untuk membeli buku dan alat tulis. Tapi pelajar perlu bijak membelanjakan wang wang diterima sebagai gaji atau upah.

 

Magaenthiran: Pada pandangan saya, pelajar harus menumpukan perhatian pada pelajaran. Kalau mereka mula bekerja, maka mereka sudah tahu nikmat memegang wang. Jadi, mereka mungkin tidak akan berminat lagi untuk belajar. Tanpa pelajaran, tentu masa depan mereka gelap. Kerja sambilan ini pula tidak memberi gaji yang banyak.

 

Suresh: Kalau murid sekolah rendah, tentu saya tak setuju mereka bekerja. Tapi kalau pelajar sekolah menengah, mungkin boleh. Sebab mereka memang perlu menimba pengalaman bekerja. Kerja sambilan ini juga memberi peluang berinteraksi dengan orang ramai. Malah, kalau pelajar kolej, amatlah digalakkan mencari kerja sambilan. Kos pengajian sangat tinggi untuk ditanggung sepenuhnya oleh keluarga. Jadi, carilah kerja sambilan untuk membantu mengurangkan beban.

 

Madhavan @ Kumar: Sekarang ni, ramai pelajar dan remaja memiliki telefon bimbit (handphone). Saya rasa, mereka perlu mencari kerja sambilan sekurang-kurangnya untuk mampu membayar bil telefon atau untuk menampung kos reload kredit. Begitu juga jika remaja suka ke cyber café untuk chatting atau surfing. Tak kan nak asyik minta wang daripada emak dan bapa. Daripada mencuri, lebih baik cari kerja sambilan untuk menampung semua perbelanjaan itu.

 

Ganesan Duraisamy: Apabila remaja bekerja, barulah mereka akan tahu betapa susah mencari duit dan apakah nilai wang itu. Sebelum ini, mereka hanya mengharapkan wang daripada ibu bapa. Apabila bekerja sendiri, mereka akan tahu berjimat-cermat dan berbelanja dengan bijak. Remaja juga perlukan hiburan. Misalnya pergi menonton wayang atau pergi ke pusat hiburan bersama-sama rakan-rakan. Kalau ada wang sendiri, tentu senang.

 

Jiva: Ada pelajar yang terpaksa mencari kerja sambilan kerana keluarga tidak mampu menampung perbelanjaan. Jadi, remaja seperti ini bukan bekerja untuk mengumpul duit untuk enjoy tetapi kerana terpaksa. Mungkin sahaja semua wang gaji itu perlu diberi kepada ibu bapa. Jadi, ada pelajar yang bekerja untuk mencari wang untuk kegunaan sendiri dan ada yang bekerja kerana terpaksa.

 

Yuvernes: Saya perhatikan bahawa pelajar yang sudah bekerja menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian pada pelajaran. Ada beberapa sebab. Pertama, mereka sudah tahu cara mencari duit dan tidak mementingkan pelajaran. Kedua, mereka penat bekerja dan terasa mengantuk di sekolah. Ketiga, mereka tidak ada masa untuk mengulang kaji pelajaran dan membuat kerja rumah. Akhirnya, pencapaian akademik mereka merosot.

 

Premnan: Daripada membazir masa dengan melepak bersama kawan-kawan, lebih baik remaja mencari kerja sambilan. Bukan sahaja boleh mendapat sedikit wang saku malah mengelakkan daripada terlibat dalam masalah sosial seperti mencuri, gangsterisme dan mengacau orang. Pelajar juga akan menjadi orang yang lebih bertanggungjawab dan berdisiplin.

  

Nila, 1 Julai 2003

Kavya, Ogos 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1