Kavya, Jun 2003

          

Rahmat Derita

Raja Rajeswari Seetha Raman

   

Berbulan lama

beradu dalam keresahan

bernafas dalam kesesakan

bergembira dalam kehibaan

berbicara dalam kesepian

aku menjadi aku

 

dalam resah ada rahmat

dalam sesak ada selesa

dalam hiba ada tawa

dalam sepi ada erti

 

terima kasih, sengsara

dewasaku oleh dugaanmu

sempurnaku oleh siksaanmu

   

Laman Penyair

Nasib Wanita

Raja Rajeswari Seetha Raman

   

sepi merangkul kamar

duka merangkul kalbu

rahsia diri terbongkar

cinta suci terlerai

 

setitis air turun ke lantai

membasahi kamar idaman

segugus hampa panjat ke hati

menyelubungi wajah keceriaan

perkahwinan jadi perjudian

 

kini, hanya segumpal harapan

melingkari benak

atas suara simpati

menghitung hari

menunggu bicara

di pentas keadilan

   

Mingguan Wanita, 16-21 Mei 2003

Hadiah Suatu Percintaan

S.G. Prabhawathy

   

Dua insan bercinta

kasih mengasihi

umpama dua merpati

secocok dan gembira

 

Perkahwinan

menjanjikan harapan kosong

Ketandusan

belaian mesra

kasih sayang

 

Rumah tangga

hanya satu lakonan

memuaskan hati sanak-saudara

sahabat handai

Hakikatnya

hanyalah tanah yang gersang

dipenuhi kesepian

 

Puncanya

kesibukan harian

sikap menyendiri

dunia fantasi tersendiri

 

Si wanita membisu

mata tanpa sinar

tubuh bagai bangkai bernyawa

menceritakan seribu kisah

harapan remaja yang punah

keyakinan palsu

keperitan jiwa

dan sanubari tercengkam

 

Penghujung belum tiba

tapi pasti laut bergelora

kan tenang jua

 

Pelangi yang timbul nanti

tidak semestinya indah

     

NILA, 1 Mei 2003

Suami, Lelaki, Realiti

S.G. Prabhawathy

   

kau yang bergelar suami

memakai topeng berlapis

di khalayak ramai

seorang penyayang

di belakang tabir

buruk rupamu

 

isteri diabai

kuasa digilai

harta dicari

talak diminati

 

egomu menggunung

kesalahanmu bukan sengaja

pabila ditegur

isteri ditendang bagaikan bola

ditepis bagaikan lalat

 

bertimbun kelemahan diri

bagi kau, “itu tidak mengapa

aku hanya insan biasa

yang tidak sempurna”

 

secubit kelemahan isteri

engkau enggan terima

dia memang cacat dan buruk

ke mahkamah kamu berlari

satu alasan baik

menutup kesalahan diri

membuka jalan baru

si dia kedua

menjalani neraka

selepas beberapa bulan

 

kau yang bergelar suami

mengecaikan harapan isteri

penyayang dan penyabar

 

kau yang bergelar suami

usah kau ulangi

kesalahanmu lagi

kerna esok tidak kan menanti

     

NILA, 15 Mei 2003

Guru

Sre Murugan

    

Engkau guru, engkau pendidik

Engkau menunjuk ajar tanpa penat

Segala ilmu yang kau curah

Menjadikan kami orang berguna

 

Ribuan terima kasih, guru

Kejayaan setiap insan

Adalah berkat usahamu

 

Engkau bukan sahaja lilin

Membakar diri untuk cahaya

Engkau juga penunjuk jalan

Ke arah kejayaan!

   

NILA, 1 Mei 2003

Teman Sejati

Indra Devi

   

Aku juga ada teman

Tapi tidak pandai berkata-kata

Dia teman yang amat setia

Tidak pernah menderhaka

Setia di sisiku setiap masa

Menghiburkan hatiku yang duka

Sentuhannya penuh manja

Tidak pernah bersengketa

Apa yang diharapkannya

Hanyalah kasih sayang

Teman setiaku seekor anjing

Tetapi temanku ini

Lebih setia daripada manusia

     

NILA, 15 Mei 2003

Sahabat Tercinta

Ganesan Duraisamy

     

Kau sahabatku sejak kecil

Kau temanku semasa berduka

Kau rakanku untuk bermain

Kau sekutuku dalam segala

 

Tapi kita bukan kekasih

Namun cinta kita sangat bermakna

Mengapa perlu menjadi kekasih

Sedangkan kita adalah teman

 

Terima kasih, sahabat

kerana tetap mencintaiku

sebagai sahabat sejati

 

Siapa kata rakan tidak boleh dicintai

kerana kasih, sayang dan cinta

semuanya sama

asalkan tiada nafsu dan kama

 

Kau sahabatku

Aku cinta kepadamu

Tetapi kita bukan kekasih

Kerana persahabatan kita suci

  

NILA, 1 Mei 2003

Anak Kecil Di Iraq

Uthaya Sankar SB

   

Perang sudah berakhir, sayang

keluarlah dari persembunyian

tidak akan ada ledakan peluru

dan dentuman bom

 

Marilah, sayang, pegang tanganku

akan kubawa kau berjalan

kita cari ayah, ibu, abang dan kakak

di bawah runtuhan kota

 

Jangan risau, sayang

perang sudah tamat

kau sudah selamat

tiada apa-apa perlu kau takuti

Mari pegang tanganku

kubawa kau pergi

memulakan hidup berseri

 

Marilah, sayang

kudakap kau mesra

kau tidak sendirian

terseksa oleh sengketa

 

Ke mari, sayang

pegang tanganku

kita jalan bersama

menghadapi hari muka

     

NILA, 15 Mei 2003

  

Kavya, Jun 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1