Kavya, Mei 2003

          

Monolog Buana Palestina

Raja Rajeswari Seetha Raman

   

Berbaring  di tanah hangat ini

resah menekan benak

malam malas merangkak

sesaat laksana seabad

penantian mencengkam minda

   

Berbaring di tanah hangat ini

sepi merobek kalbu

di sini semuanya tidur

manusia sudah kembali ke jahiliah

kemanusiaan sudah kembali ke kubur

   

Berbaring di tanah hangat ini

hampa  menggunung langit

acapkali telinga terhiris

terdengar lidah bersengketa

mata merintih sayu

terlihat insan berteman bayang

   

Ya, Tuhan

Apakah akanku hirup

setitis madu dari lautan gersang ini?

   

Dewan Sastera, April 2003

Bangunlah Wanita

S.G. Prabhawathy

   

Wanita

Segala suka duka

Engkau tanggung

Dengan senyuman

Engkau berperit

melahirkan insan ke dunia

     

Wanita

Sepatutnya kau dihargai

Dibelai

Dan perasaanmu dijaga

      

Tetapi

Engkau hanyalah

Perhiasan rumah

Insan kudus

Sanubarimu diseksa

Hatimu dihiris

Perasaanmu dimainkan

Keinginankau diperlecehkan

        

Adakah itu namanya suami

Lupa tanggungjawab

Sibuk memuaskan semua

Kecuali isterinya

 

Wanita

Engkau tidak harus menderita

Bangunlah wanita

Bangunlah menentang kekejaman

Walau sekecil mana

     

NILA, 15 April 2003

Anak Kecil Di Tepi Jalan

Uthaya Sankar SB

     

Perang sudah berakhir, sayang

keluarlah dari persembunyian

tidak akan ada ledakan peluru

dan dentuman bom

 

Marilah, sayang, pegang tanganku

akan kubawa kauberjalan

kita cari ayah, ibu, abang dan kakak

di bawah runtuhan kota

 

“Tidak! Aku lebih selamat di sini

di dalam lubang sempit dan sunyi

tiada ruang untuk bergerak

tapi tidak dihujani senjata”

  

Jangan risau, sayang

perang sudah tamat

kau sudah selamat

tiada apa-apa perlu kautakuti

Mari pegang tanganku

kubawa kaupergi

memulakan hidup berseri

 

“Tidak! Apa guna hidup baru

tanpa ayah, ibu , abang, kakak

telah kulihat sendiri terkorban

di tengah perang menggila

Memang perang sudah tamat

tapi masih dapat kulihat

masih dapat kudengar

masih dapat kurasa

gementar dan derita dalam jiwa”

 

Marilah, sayang

kudakap kaumesra

kau tidak sendirian

terseksa oleh sengketa

 

Ke mari, sayang

pegang tanganku

kita jalan bersama

menghadapi hari muka

  

Sumber

Engkau Umpama Angin

Sre Murugan

    

Tiup angin bertiup

semakin kencang

Jangan terlalu kencang

nanti ada yang terkorban

Engkau umpama angin

yang bertiup setiap masa

Pengorbanan kau banyak

tapi ramai yang kau korbankan

Engkau membantu penghuni alam

menjalani hidup seharian

Ada masa kau dihargai

tetapi selalu pula dilupakan

Engkau umpama angin

yang tidak mengharapkan balasan

   

NILA, 15 April 2003

Mencari Tuhan

Nyanaambigai

   

Aku mencari Tuhan

di sebuah kuil

Aku cuba menemui Tuhan

di bilik sembahyang

Aku mahu mengesan Tuhan

di dalam kitab suci

Akhirnya aku menemui Tuhan

di dalam diri

Kerana aku mencintai diri

Kerana aku memelihara diri

daripada kebencian

Tuhan adalah kasih

kasih adalah Tuhan!

   

NILA, 15 April 2003

  

Kavya, Mei 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1