Ponggal: Pesta Menuai atau Tahun Baru Tamil?

      

Masyarakat India sejak zaman-berzaman memang tidak ketandusan upacara dan perayaan – sama ada berciri ritual atau kebudayaan. Ponggal adalah salah satu daripada upacara sedemikian. Perayaan Ponggal akan datang adalah pada 15 Januari 2003. Adakah saudara memahami makna, tujuan dan urutan perayaan Ponggal?

Maklumat mengenai Ponggal boleh juga dibaca dalam Bahasa Inggeris di ruang siber. Dua laman yang menarik dan penuh informasi adalah http://www.bawarchi.com/festivals/pongal.html dan http://123pongal.com.  

pic from 123pongal.com

pic from 123pongal.com

Secara tradisi, Ponggal dirayakan oleh penduduk (baca: petani) di Tamil Nadu dan Andra Pradesh, India. Bagaimanapun, keadaannya agak berbeza kini kerana Ponggal disambut oleh hampir semua penduduk kaum India tanpa mengira keturunan dan batas geografi.

Ponggal diakui adalah “Pesta Menuai” dan disambut pada permulaan bulan Thai mengikut kalendar Tamil. Malah, di Tamil Nadu, Ponggal adalah jauh lebih penting dan meriah berbanding Diwali.

Walaupun pada mulanya disambut dengan meriah oleh para petani, mengikut peredaran zaman, Ponggal mula diraikan oleh semua. Hal yang sama dapat diperhatikan di Malaysia. Keadaan ini tidak salah; apatah lagi dalam usaha membina Bangsa Malaysia yang saling memahami dan menghormati budaya dan kepercayaan setiap kaum dan keturunan.

Ponggal adalah perayaan pada awal bulan Thai mengikut kalendar Tamil. Akan tetapi, sebenarnya sambutan sudah bermula sehari lebih awal dengan sambutan Boghi.

Pada hari terakhir bulan Margali, unggun api dipasang di luar rumah. Barangan lama yang sudah tidak diperlukan dibakar dalam unggun berkenaan. (Akan tetapi, awas! Jangan melakukan pembakaran terbuka sewenang-wenangnya.) Secara simbolik, Boghi menandakan usaha masyarakat untuk membuang apa-apa yang ‘lama’ dan ‘negatif’, lalu diganti dengan yang ‘baru’ dan ‘positif’. Samalah seperti resolusi tahun baru yang biasa dilakukan oleh masyarakat dunia.

Maka, tidak hairanlah jika ramai masyarakat Tamil menganggap Ponggal dan bulan Thai sebagai sambutan Tahun Baru Tamil.

Purana tidak mempunyai apa-apa cerita mengenai asal-usul Ponggal. Bagaimanapun, ada satu cerita yang menarik mengenai Dewa Indra iaitu dewa yang diraikan pada perayaan Boghi.

Mengikut cerita tradisi, Dewa Indra adalah dewa yang mengawal awan dan hujan. Jadi, Dewa Indra diraikan oleh petani kerana berterima kasih atas pemberian hujan bagi membolehkan penanaman padi.

Kononnya, Dewa Indra menjadi bongkak dan sombong. Lalu, Dewa Krishna mengarahkan petani dan pengembala lembu supaya memuja Gunung Govardhan pada perayaan Boghi. Tindakan ini menyebabkan Dewa Indra marah lalu cuba menghukum penduduk terbabit dengan membawa hujan lebat dan petir ke kampung berkenaan.

Dewa Krishna pula mengangkat Gunung Govardhan supaya para petani, penternak serta lembu mereka boleh berlindung di bawahnya. Mengikut cerita, akhirnya Dewa Indra bertaubat dan memohon maaf kepada Dewa Krishna. Dewa Indra kembali dipuja pada perayaan Boghi, iaitu sehari sebelum perayaan Ponggal.

Sambutan Ponggal pada hari pertama bulan Thai adalah khas bagi Dewa Suria yang diakui adalah sumber tenaga dan penyumbang utama bagi pertanian. Para petani yang baru selesai menuai hasil pertanian padi mempunyai alasan untuk berpesta. Pesta ini pula diadakan secara simbolik melalui perayaan Surya Ponggal.

Tapak yang dijadikan tempat perayaan dibersihkan. Lukisan kolem juga menjadi semacam kemestian. Biasanya, corak matahari dilukis sebagai tanda meraikan Dewa Suria. Sebuah periuk baru diletak di atas dapur yang ditempatkan di bahagian tengah lukisan kolem itu.  

pic from 123pongal.com

Daun mangga dan daun kelapa yang dianyam juga digantung di keliling tapak perayaan. Pokok tebu turut diikat. Ketul kecil kunyit, halia dan daun mangga pula diikat pada leher periuk yang akan digunakan untuk memasak beras yang baru dituai.

Segalanya mempunyai makna simbolik yang wajar diketahui. Daun mangga hijau adalah lambang kemakmuran; kunyit lambang upacara suci; dan halia melambangkan rempah-ratus kehidupan. Tebu pula lambang kemanisan.  

pic from 123pongal.com

Beras baru dimasak sebagai tanda permulaan bulan Thai mengikut kalendar Tamil. Sewaktu sakarai ponggal (nasi manis) mula meluap, orang ramai akan melaungkan kata-kata “Ponggolo, ponggal” dengan gembira.

Laungan itu adalah tanda kegembiraan dan harapan semoga kebahagiaan, kemakmuran dan rezeki meluap-luap dalam hidup mereka. Sakarai ponggal itu dipersembahkan kepada Dewa Suria sebelum dimakan bersama-sama dengan keluarga dan rakan-rakan.

Hari kedua pada bulan Thai pula adalah Maatu Ponggal iaitu perayaan khas bagi lembu peliharaan. Dewa Ganesha dan Dewi Shakti turut dipuja pada hari berkenaan.

Perlu ditekankan bahawa masyarakat India tidak memakan daging lembu bukan atas alasan atau larangan agama. Sebaliknya adalah kerana lembu merupakan haiwan yang sangat berguna dalam hidup masyarakat petani sejak dahulu. Malah, lembu peliharaan dianggap sebagai ahli keluarga. Lembu betina membekalkan susu manakala lembu jantan membantu di sawah.

Perayaan Maatu Ponggal adalah tanda terima kasih masyarakat India – khususnya petani dan penternak lembu tenusu – kepada lembu yang amat berguna dalam kehidupan seharian mereka. Jadi, Maatu Ponggal tidak membawa sebarang unsur animisme; sebaliknya adalah tanda kesedaran masyarakat  tradisional tentang pentingnya lembu dalam kehidupan seharian.

Pada hari berkenaan, lembu dimandikan dan dibersihkan. Tanduk disapu cat pelbagai warna dan loceng baru dipasang pada leher. Lembu yang diraikan diberi makan sakarai ponggal yang dimasak khas untuknya. Keluarga petani dan penternak berbuat demikian sebagai tanda terhutang budi dan mengucapkan terima kasih kepada haiwan berkenaan.

Pada hari ketiga bulan Thai, lembu jantan biasanya dibawa ke tanah lapang di mana beberapa permainan khas diadakan. Maka bermulalah Kaalai Ponggal. Walaupun tidak menjadi kebiasaan di Malaysia, Jalli Kattu dan Manji Virattu masih popular di Tamil Nadu dan Andra Pradesh.

Kedua-duanya membuka peluang kepada golongan pemuda (baca: bujang) untuk mempamerkan keperwiraan mereka dengan cara mengejar lembu jantan atau bertarung dengan lembu berkenaan. Khabarnya, mudahlah untuk mereka memikat hati gadis pujaan dengan cara ini.

Golongan pemudi (baca: gadis) pula terlibat dalam Kanni Ponggal di mana mereka akan berkumpul beramai-ramai dan memasak sakarai ponggal di kawasan terbuka. Mereka mendoakan kebahagiaan untuk keluarga serta mengharapkan segera bertemu jodoh. Secara simbolik, kehadiran mereka di khalayak ramai membuka peluang kepada orang-orang tua untuk merisik mereka bagi dijadikan menantu.

Kaalai Ponggal dan Kanni Ponggal membuka peluang untuk bertemu jodoh. Sebab itulah masyarakat India sering mengungkapkan, “Bila tiba bulan Thai, jalan akan terbuka” – dengan erti kata, akan terbukalah peluang untuk bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga.

Ungkapan ini ada juga benarnya mengikut tradisi petani kaum India kerana apabila mendapat hasil lumayan daripada tuaian padi yang banyak, maka ibu bapa akan mampu mengatur majlis perkahwinan untuk anak-anak.

Segala yang baru serta peluang mencapai impian dan cita-cita dijanjikan oleh ketibaan bulan Thai yang ditandai dengan perayaan Ponggal iaitu Pesta Menuai. Sebab itulah sekumpulan masyarakat Tamil menganggap bulan Thai sebagai tarikh permulaan tahun baru; walaupun mengikut kalendar Tamil, tahun baru adalah pada pertengahan bulan April.

Semuanya berbalik pada makna simbolik yang terdapat di sebalik perayaan Ponggal. Malah, apa yang lebih penting ke arah pembinaan Bangsa Malaysia adalah bahawa kita memahami serta menghormati adat, kepercayaan dan makna di sebalik amalan dan budaya masyarakat pelbagai kaum.

         

Oleh Uthaya Sankar SB untuk Kavya, Januari 2003

Turut disiarkan dalam ArahKiri, Januari 2003

Send your FEEDBACK to Uthaya Sankar SB

Hosted by www.Geocities.ws

1