Satira Pedas, Kuat ...
Saya
telah lama mengikuti tulisan-tulisan Utaya Sankar SB setelah membaca beberapa
buah karyanya yang pernah tersiar di Mingguan Malaysia dan dalam Dewan
Sastera. Saya terus jatuh hati kepada karya-karya Uthaya setelah saya
membaca kumpulan cerpennya yang terkumpul dalam buku Sasterawan
Pulau Cinta. Saya mengambil keputusan untuk membeli buku ini, setelah saya
membaca ulasan mengenai buku ini oleh Amir Muhammad, jika tidak, mungkin saya
tidak tahu langsung tentang kewujudan buku ini.
Saya memang meminati penulis-penulis bukan Melayu yang menulis dalam Bahasa
Malaysia, (mulai sekarang, saya perlu betulkan istilah 'Bahasa Melayu' kepada 'Bahasa
Malaysia') sebagaimana saya juga meminati penulis-penulis Anglophone yang
bukan berbangsa Inggeris. Semasa di Singapura, saya meminati dan mengikuti
penulis Peter Augustine Goh. Saya gemar membaca tulisan-tulisannya yang sering
disiarkan dalam akhbar Berita Harian Singapura.
Saya gemar akan hasil-hasil karya saudara Uthaya kerana prosa-prosa absurdisnya
yang ditulis dengan penuh lirikal. Karya-karyanya di luar jangkaan dan jelas,
karya yang telah di'ukir' ke atas kertas dengan penuh teliti dan bijak. Satira
dalam karyanya pedas, tetapi cukup kuat untuk meninggalkan kesan mendalam pada
pembaca-pembacanya.
Seperkara yang saya hormati tentang saudara Uthaya adalah beliau tidak mungkin
mengkompromi hasil-hasil tulisannya, lantas menghasilkan karya-karya yang mediocre.
Seperkara lagi, bahasa yang digunakannya mudah difahami. Yang dipentingkannya
adalah mesej dalam cerita yang ingin disampaikannya. Perkara ini, entah mengapa,
jarang saya lihat dilakukan di kalangan penulis-penulis yang menulis dalam
Bahasa Malaysia.
Mungkin ramai antara kita masih belum mengenali Uthaya, apatah lagi
karya-karyanya. Jadi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan
dirinya kepada para pembaca budiman (di http://nizamzakaria.blogspot.com).
Saya harapkan, selepas ini para pembaca akan lebih mengenali lagi karya-karya
bermutu yang dihasilkan oleh saudara Uthaya, dengan mencari karya-karyanya di
kedai-kedai buku yang berdekatan. Berikut adalah soalan-soalan yang saya tujukan
kepadanya melalui satu temubual e-mel:
NZ: Saya meminati karya-karya saudara, yang saya anggap antara yang terbaik
di antara karya-karya Bahasa Malaysia hasil tulisan penulis-penulis muda di
Malaysia. Saya juga meminati karya-karya Penulis Anglophone berbangsa India (atau
dari Asia Selatan). Saya jatuh hati kepada karya-karya Rushdie, Naipaul dan
Kureishi kerana mereka menulis tentang pengalaman diaspora bangsa/kaum India
yang hidup di luar India. Bagaimana pula saudara meletakkan diri saudara dalam
hal ini? Maksud saya, menulis sebagai seorang anak jati Malaysia kaum India,
dalam Bahasa Malaysia? Apakah yang mahu saudara jelaskan dalam karya-karya
saudara?
Uthaya: Hal ini berbalik pada pengalaman saya sebagai seorang kanak-kanak dan
remaja yang meminati sastera Bahasa Malaysia. Malangnya, saya dapati rata-rata
karya Bahasa Malaysia di masa lalu dikuasai watak, perwatakan, tema dan
persoalan masyarakat Melayu. Ada juga beberapa penulis kaum India - tetapi
mereka sama ada menulis mengenai watak Melayu atau gagal menggambarkan watak
serta permasalah hidup kaum India dalam karya Bahasa Malaysia. Akhirnya, kerana
jemu, marah - malah meluat - dengan realiti yang wujud, saya mula menulis
sendiri untuk bacaan sendiri-sendiri. Kemudian, dibaca oleh rakan-rakan dan
guru. Mungkin ada pihak yang marah dengan kenyataan saya tetapi itulah hakikat
dan pengalaman yang memang tidak dapat dinafikan.
Saya juga menganggap - malah percaya - bahawa menjadi tanggungjawab saya untuk
memaparkan citra budaya kaum India di Malaysia dalam karya sastera Bahasa
Malaysia. Bagi saya, Bahasa Malaysia adalah milik setiap rakyat Malaysia. Sebab
itu saya lebih memilih istilah "Bahasa Malaysia" berbanding istilah
"Bahasa Melayu".
Karya saya selalu menyentuh hidup seharian kaum India di Malaysia. Saya selitkan
gaya hidup dan budaya mereka untuk tatapan semua. Cara terbaik untuk menanam
bibit persefahaman dan pemahaman - serta menghormati - budaya berbeza adalah
melalui pengenalan. Itulah yang saya lakukan. Malah, kini, beberapa istilah
Bahasa Tamil dan Bahasa Malayalam sudah menjadi kebiasaan di kalangan pembaca
karya saya. Antaranya: Vanakam, Nandri, Siru Kambam. Pembaca juga lebih
memahami makna dan simbol di sebalik adat amalan kaum India - sebab telah saya
jelaskan secara kreatif melalui karya.
Karya saya juga bertujuan mendidik generasi muda kaum India mengenai budaya
sendiri. Perlu diakui, ramai yang tidak kenal budaya sendiri. Saya dengan rela
memikul tugas dan tanggungjawab memperkenalkan semula budaya kaum India kepada
pembaca kaum India - melalui karya Bahasa Malaysia. Terbaru, melalui cerpen
"Kathakali" (Dewan Siswa,
April 2003) - mengenai seorang remaja keturunan Malayalam mengenali bentuk seni
persembahan keturunannya sendiri yang sudah dilupainya.
Saya juga kini sedang membantu menyalurkan karya penulis baru (remaja dan
pelajar) ke majalah kecil NILA
yang disasarkan kepada kelompok pembaca remaja dan belia yang lebih pandai
membaca tulisan (rumi) Bahasa Malaysia berbanding tulisan Bahasa Tamil. Saya
turut menulis dalam majalah NILA. Lalu, saya gunakan peluang ini dengan
sebaik-baiknya untuk memperkenalkan semula budaya kaum India kepada pembaca kaum
India - serta memperkenalkan budaya kaum India kepada mana-mana pihak yang
berkemungkinan turut membaca majalah NILA kerana adalah majalah Bahasa Malaysia.
Artikel berkaitan perkara-perkara ini boleh dibaca di www.bahasamalaysia.cjb.net
Boleh saudara ceritakan sedikit tentang latar belakang dan sejarah
penulis-penulis kaum India yang menulis dalam Bahasa Malaysia di Malaysia? Tema
apakah yang selalunya ditulis mereka?
Sebenarnya, maklumat mengenai hal ini sudah terdapat di laman web saya - ditulis
oleh saya sendiri, Dr Krishanan Maniam dan Pn Raja Rajeswari. Saya sarankan
pembaca melayari laman web www.penulis.cjb.net
untuk maklumat terperinci. Tak perlulah saya ulang semuanya di sini. Maklumat
terbaru juga akan dimuatkan dalam surat berita Kavya yang boleh diakses
di www.kavya.cjb.net
Penulis seperti Kazuo Ishiguro yang berbangsa Jepun dapat menulis dengan baik
tentang kehidupan dan peradaban bangsa Inggeris melalui karyanya Remains of the
Day. Vikram Seth pula menulis tentang perkara-perkara di luar jangkauan etnik,
dalam novelnya Equal Music. Adakah saudara sendiri akan melakukan perkara yang
sama, maka menulis tentang kehidupan orang-orang Melayu, ataupun menulis tentang
sesuatu yang tidak ada kena mengena tentang etnik India di Malaysia? Atau adakah
saudara lebih senang menulis tentang kehidupan orang-orang India di negara kita
ini?
Sebenarnya, saya tidak hanya tertumpu pada watak kaum India dalam karya.
Banyak juga cerpen saya mengangkat watak, perwatakan dan permasalahan hidup kaum
Melayu-Islam. Sering pula tersiar dalam majalah berunsur Islam. Dalam hal ini,
saya boleh menyatakan dengan penuh bangga bahawa saya tidak menghadkan diri pada
budaya dan cara hidup kaum India sahaja. Sebaliknya, saya sentiasa belajar dan
meneliti budaya pelbagai kaum. Batas kaum dan batas agama tidak menjadi
penghalang. Tidak pernah saya bimbang 'akidah' saya sebagai seorang beragama
Hindu 'tergugat' kerana membaca teks suci agama lain. Saya bersikap terbuka
dalam menimba ilmu. Malah itulah juga yang disaran dalam semua agama.
Cerpen "Ustaz Nordin, Salmah dan Seorang Penulis Muda" adalah mengenai
watak Melayu. Begitu juga "Aku dan Anak Itu". Senarai lengkap cerpen
saya boleh dilihat di laman www.cerpen.cjb.net.
Boleh juga membaca petikan cerpen saya di sana dan buat keputusan
sendiri sama ada saya hanya mampu menggambarkan citra budaya kaum India.
Manakah antara banyak-banyak karya saudara yang saudara rasa adalah karya
terbaik saudara. Dan mengapa saudara berkata begitu. Apa keistimewaan yang ada
dalam karya tersebut?
SEMUA. Setiap satu. Each and every. Kesemua cerpen saya adalah yang
terbaik pada saat saya menghasilkan. Malah, selepas karya siap, saya tidak
pernah menganak tiri mana-mana karya saya. Semuanya ada keistimewaan tersendiri.
Memang ada yang menang hadiah dan ada yang tidak menang. Tapi tak bermakna yang
tak diberi hadiah kurang baik berbanding yang diberi hadiah.
Mungkin dalam hal ini, lebih baik minta pandangan peneliti. Mungkin mereka ada
kriteria tertentu untuk pilih mana 'lebih baik' daripada yang lain!
Buat masa ini, Puan Raja Rajeswari sedang membuat tesis MA mengenai
cerpen-cerpen saya. Mungkin beliau lebih sesuai menjawab pertanyaan ini. Atau
tentu sahaja Dr Othman Puteh yang menjadi (dan masih menjadi) pembimbing saya
dalam penulisan. Begitu juga Dr Krishanan Maniam yang menjurus pada kajian
perbandingan cerpen Bahasa Tamil dan Bahasa Malaysia.
Saya betul-betul tertarik dengan tulisan saudara, Imej Wanita Kaum
India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia. Boleh saudara rumuskan sedikit, apakah
imej kaum wanita India yang sering dipaparkan dalam cerpen-cerpen Bahasa
Malaysia? Adakah imej yang dipaparkan negatif ataupun sebaliknya?
Tulisan itu sebenarnya sebahagian daripada tesis BA saya semasa di Universiti
Malaya. Kajian saya khusus terhadap watak wanita kaum India dalam cerpen Bahasa
Malaysia oleh penulis kaum India. Hasil kajian, ternyata kebanyakan watak wanita
kaum India masih digambarkan secara konvensional. Tidak ada perkembangan watak
secara mendalam. Bagaimanapun, keadaan itu semakin berubah. Lebih ramai penulis
kaum India mula lebih bijak menangani penulisan supaya watak yang berciri
progresif dan tiga dimensi terhasil.
Boleh saudara ceritakan serba sedikit tentang Kavyan? Kenapa ditubuhkan dan apakah
objektifnya?
Kavyan (Persatuan Penulis Kaum India Malaysia) tercetus pada Ogos 1999 apabila beberapa penulis kaum India (yang
menulis karya Bahasa Malaysia) bertemu di Kuala Lumpur. Kami memutuskan untuk
mewujudkan satu kumpulan yang mewakili kami. Perlu diingatkan bahawa kami bukan
penulis Tamil. Kami adalah penulis kaum India yang menulis karya Bahasa
Malaysia. Belum pernah ada persatuan khusus bagi kelompok ini - kerana kumpulan
penulis sebelum kami masih melabel diri mereka sebagai penulis Tamil atau
penulis Melayu!
Kavyan wujud bersama surat berita Kavya
dan kumpulan elektronik e-Kavyan. Segala maklumat (sejarah, latar belakang,
aktiviti dll) mengenai Kavyan boleh dibaca di www.kavyan.cjb.net.
Objektif pula terkandung dalam Perlembagaan Kavyan. Secara am, Kavyan bertujuan
menyatukan kelompok penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia. Juga
untuk membimbing bakat baru dalam penulisan serta memupuk minat membaca di
kalangan generasi muda. Semua ini kami lakukan melalui siri bengkel, ceramah
serta pelbagai aktiviti lain.
Jadi mana satu agaknya yang betul, Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia?
Saya tetap dengan pendirian bahawa istilah "Bahasa Malaysia"
betul, benar, wujud dan sah digunakan. Sesiapa yang menafikan hakikat ini sudah
pasti kelompok yang fanatik, fikiran tertutup, takut bayang-bayang sendiri,
tidak yakin pada kemampuan sendiri, tidak ada keyakinan serta mungkin sahaja
membenci kelompok penulis kaum India yang sudah mengusai Bahasa Malaysia.
Kerana rasa benci, marah dan tercabar itulah maka mereka mula menafikan kewujudan istilah "Bahasa Malaysia". Mungkin pada imaginasi mereka, jika istilah "Bahasa Malaysia" tidak wujud, maka kelompok penulis kaum India yang menulis dalam Bahasa Malaysia juga tidak wujud. Maka, mereka boleh kekal sebagai wira dalam dunia imaginasi ayang mereka cipta. Semacam sakit jiwa! Kalau tidak diubati segera, nescaya membahayakan keselamatan negara. Boleh mencetuskan konflik antara kaum di negara kita.
Bagaimanapun, dalam pekembangan terbaru, kelompok yang menafikan kewujudan istilah "Bahasa Malaysia" terpaksa tutup mulut kerana mereka telah cuba menafikan sesuatu yang memang wujud. Takziah kepada mereka! Dan tahniah kepada mana-mana pihak yang tetap mengakui kewujudan istilah "Bahasa Malaysia".
Mengapa saudara memilih untuk menulis dalam Bahasa
Malaysia; bukan Bahasa Tamil ataupun Bahasa Hindi? Atau mungkin Bahasa Malaysia merupakan bahasa ibunda
saudara?
Saya bukan penulis Tamil kerana dua sebab: satu, saya bukan berketurunan
Tamil; dua, saya tidak menulis karya Bahasa Tamil. Memang karya saya (cerpen dan
drama) diterjemah ke Bahasa Tamil tetapi bukan karya asli ditulis dalam Bahasa
Tamil. Saya juga hanya belajar Bahasa Tamil selepas umur 15 tahun. [Baca
lagi]
Bahasa Hindi? Jauh panggang dari api. Bahasa Hindi adalah salah satu bahasa
rasmi dan bahasa kebangsaan di India tetapi bukan di Malaysia. Di negara kita,
majoriti kaum India berketurunan Tamil. Sebab itulah kita ketara membuat andaian
bahawa semua kaum India adalah keturunan Tamil. (Pemimpin politik yang kononnya
berjuang bagi kaum India di negara ini juga melakukan kesilapan yang maha
bodoh ini!)
Saya membesar dengan Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia menjadi bahasa utama saya.
Maka, tak salah saya iktiraf Bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda saya. Malah,
semasa kanak-kanak, saya tidak pernah melihat diri saya sebagai orang India, dia
sebagai Melayu dan dia pula Cina. Saya anggap semuanya sama sahaja: Malaysia.
Kemudian, dunia luar (bukan Amerika tapi Malaysia sendiri) mula melabel saya
sebagai "orang India". Yang melakukan pembahagian ini adalah pemimpin negara yang
kini sibuk bercakap soal perpaduan dan konsep "Bangsa Malaysia".
Konsep Bangsa Malaysia sedia wujud dalam diri saya sejak kecil. Kemudian
diwujudkan perbezaan dari segi kaum.
Kemudian, semasa berumur 19 tahun, saya disedarkan bahawa saya bukan India-Tamil
tetapi adalah Malayalam (Malayali). Memang begitu catatan dalam surat beranak
saya. Maka, saya putuskan bahawa saya tidak boleh mengubah keturunan, kaum dan
bangsa saya. Keturunan: Malayalam, Kaum: India, Bangsa: Malaysia. [Baca
lagi]
Ya, Bahasa Malaysia adalah bahasa ibunda saya dan saya tidak akan benarkan
sesiapa menghina bahasa berkenaan - walau dia ada hak istimewa mengikut
perlembagaan. Atau jika dia adalah editor atau pegawai perancang bahasa di Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ceritakan sedikit tentang proses saudara hendak menulis. Adakah saudara
mempunyai sistem-sistem yang tertentu, setidak-tidaknya satu ritual untuk
memampukan saudara menulis?
Tak ada apa-apa ritual atau disiplin. Saya menulis kerana minat dan suka menulis.
Tak ada syarat berapa lama satu cerpen siap. Saya telah jelaskan hal ini dalam
prakata bagi kumpulan cerpen Siru Kambam serta di laman web saya.
Saya biasanya biarkan idea (bukan 'ilham' atau 'wahyu'!) terkumpul dalam fikiran.
Saya percaya pada sixth sense yang saya gelar "genius". Maklumat
terperinci mengenai proses kreatif saya boleh juga dibaca di www.marumalarchi.cjb.net
Apakah yang menjadi kemelut dalam dunia sastera penulis-penulis muda di
Malaysia? Adakah nanti kita akan mampu menyiapkan hasil karya bertaraf dunia?
Apa yang menjadi penghalang untuk penulis-penulis muda kita berkarya dengan baik?
Ramai yang menjadi Penulis Sayembara, Penulis Tempahan dan Penulis
Chipsmore. Penulis Sayembara hanya menulis untuk menang hadiah. Penulis Tempahan
pula selalu menulis karya yang banyak. Kalau diminta tulis puisi tentang perang,
dia tulis. Kalau minta tulis cerpen bohsia, dia tulis. Minta puisi keamanan, dia
bagi puisi keamanan. Ringkasnya, dia serba boleh - asal sahaja ditempah atau
diupah. Penulis Chipsmore pula seperti iklan biskut - sekejap ada, sekejap tak
ada.
Kemelut lain yang saya lihat adalah pengaruh politik - menulis atas tujuan
propaganda ahli politik tertentu. Juga trend mengharapkan pulangan dana yang
banyak. Ada seorang editor sebuah majalah beritahu saya bahawa seorang penulis
yang dikenali umum tersiar cerpennya dalam sebuah majalah. Kemudian dia terima
bayaran. Terus penulis itu menelefon editor dan menyoal mengapa dia hanya
dibayar RM150 untuk sebuah cerpen sedangkan DBP selalu membayarnya RM250 untuk
sebuah cerpen.
Kemelut lain, rasa iri hati sesama penulis. Kalau ada penulis mula menampakkan
kejayaan, mulalah ada rakan penulis yang mencemburuinya serta cuba
menjatuhkannya. Realiti ini juga telah saya selitkan dalam cerpen "Fail
Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta" yang boleh dibaca di www.cerpen.cjb.net
Juga masalah mendefinisikan apa sebenarnya makna "Sastera Kebangsaan"
- sastera Bahasa Malaysia atau sastera mmana-mana bahasa yang dihasilkan oleh
rakyat Malaysia. Dan tentu sahaja masalah antara konsep "Sastera Melayu"
dan "Sastera Malaysia". Ada pihak tertentu yang beranggapan "Sastera
Malaysia" adalah milik kaum Melayu sahaja - serta mesti dikenali hanya
dengan nama "Sastera Melayu" dan bukannya "Sastera
Malaysia". [Baca
lagi]
Golongan ini perlu sedar bahawa Bahasa Malaysia adalah milik
semua dan golongan ini tidak berhak untuk mengatakan bahasa itu milik mereka
sahaja; lalu terlupa pada hakikat asal-usul "Bahasa Melayu" itu sendiri.
Dengan segala kemelut dalaman yang sebenarnya merupakan perkara remeh-temeh,
saya belum melihat pengiktirafan bagi Sasterawan Malaysia di peringkat global.
Malah, kalau adapun, pasti sahaja akan ada yang bersok-sek mengatakan
begitu-begini. Ringkasnya, musuh kita adalah kita sendiri - di kalangan kita
sendiri!
Begitu juga dengan soal 'penghalang' untuk menghasilkan karya baik. Tak ada
faktor penghalang lain selain diri sendiri. Kalau ada penulis yang memberi
contoh 'penghalang' lain, itu hanyalah alasan-alasan bodoh (stupid excuses) untuk
menutup hakikat kelemahan diri. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Hendak
seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Apakah makna sastera, menurut pendapat saudara?
Pada pendapat dan pandangan saya, sastera adalah elemen yang memberi
manusia peluang untuk melihat dunia dari kaca mata manusia. 'Manusia' di sini
saya maksudkan manusia yang ada enam deria (5 + 1). Segala aspek kehidupan
seharian manusia akan menjadi lebih ceria dan lebih dekat/lekat di hati jika
diberi sentuhan sastera.
Harus dibezakan tanggapan salah terhadap
sastera. Saya terlalu sering melihat pembaca sajak di pentas terjerit terlolong terpekik
memekak kerana menganggap itulah cara meluahkan rasa protes dan marah. Bacaan
puisi berterusan selama 24 jam sempena Ratib
Seribu Syair turut menyaksikan pekikan seperti ini. Orang
seperti itu agaknya tidak tahu seni dan sastera. Sastera mampu melahirkan kemarahan dan
protes secara yang halus; tanpa memekik dan memekak di pentas. Kata-kata bombastik juga
tidak perlu.
Memang wujud penulis yang mengakui bahawa mereka sengaja memilih kata-kata yang
sukar dari dalam kamus untuk dimasukkan dalam sajak supaya ada unsur sastera.
Mereka ini juga tidak tahu makna sastera. Mereka ternyata tidak faham bahawa
istilah dan
perkataan mudah yang ada makna lebih berguna daripada kata-kata bombastik yang
mengelirukan. Mereka fikir kata-kata bombastik adalah sastera bermutu.
Sastera membantu manusia melihat hidup seharian manusia secara berseni.
Banyak kali mendengar keluhan anak-anak muda kita yang menjauhkan diri
mereka daripada membaca karya-karya Bahasa Malaysia kerana menurut mereka, bahasa
yang digunakan agak kompleks dan berbelit-belit, sedangkan karya-karya sastera
yang ditulis dalam Bahasa Inggeris (terutama sastera kontemporari) senang
dibaca dan agak straight forward. Adakah menjadi trend dalam dunia
kesusasteraan Bahasa Malaysia untuk menghasilkan karya-karya yang menggunakan
bahasa yang bombastic sehingga meminggirkan pembacanya sendiri? Atau adakah
kita harus menyalahkan pembaca kita sendiri yang tidak mahu diri mereka
dirimaskan dengan bahasa-bahasa yang berat?
Saya fikir saya telah turut menjawab pertanyaan ini di atas tadi. Memang
wujud penulis yang terkeliru kerana tidak faham apa itu sastera. Mungkin mereka
diajar di sekolah untuk mengkaji metafora dan sebagainya sehingga apabila mereka
cuba-cuba menjadi penulis, mereka pastikan semua unsur yang dibaca dalam buku
itu ada dalam karya mereka. Salah tanggap mereka terserap dalam karya dan
terpaksa pula dilerai oleh pembaca.
Penulis perlu sentiasa ingat bahawa pembaca bukan bodoh. Kalau mereka bodoh,
tentu mereka tidak membaca karya sastera. Jadi, jangan sekali-kali cuba menipu
atau memperbodohkan pembaca. Ada penulis sengaja memasukkan istilah bombastik
semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kononnya karya dia tu ada unsur sastera - ada
unsur kabur dan perlu ditafsir secara sastera. Sebenarnya, habuk pun tiada.
Memang wajarlah pembaca meminggirkan karya sedemikian kerana memang bukan karya
sastera sebenar.
Benar, karya sastera sebenar perlu mudah dibaca dan mudah difahami. Salah satu
kelebihan sasterawan sejati adalah kemampuan "memperkatakan perkara-perkara
yang kompleks secara yang mudah". Dan apabila pembaca membacanya, mereka
akan mula memahami isu kompleks yang cuba disampaikan secara mudah itu.
Berbeza pula dengan kelompok penulis yang "memperkatakan perkara-perkara
yang mudah secara yang kompleks". Dan apabila pembaca (yang memang tidak
bodoh) membacanya, mereka akan mentertawakan kebodohan penulis terbabit.
Selayaknyalah begitu!
Sebab itulah saya sentiasa sedar dan akur pada hakikat bahawa pembaca karya saya
adalah golongan bijak dan mampu berfikir; "pembaca berotak". Saya harus - malah wajib - menghormati
intelektualiti mereka.
Saudara boleh baca lagi mengenai perkara ini di laman www.khalayak.cjb.net.
Apakah trend dalam dunia sastera Bahasa Malaysia pada masa ini? Tema apakah
yang sering diperkatakan?
Macam-macam. Sentiasa berubah mengikut isu semasa. Dan kelompok penulis
muda (baca: kelompok yang baru mula menulis) pula ketara mengambil tema-tema
klise yang sudah 1008 kali ditulis orang. Kisah emak berkorban untuk anak-anak,
kisah kakak berkorban untuk adik, kisah kekasih yang berpisah kerana keluarga
carikan pasangan lain, kisah remaja bercinta, kisah-kisah yang MESTI berakhir
dengan kematian. Tema cinta pula terus digarap tanpa jemu. Malangnya tema cinta
dilihat dan diangkat secara dangkal dalam karya. Erti cinta disempitkan mengikut
fikiran sempit penulis itu sendiri.
Di kalangan penulis yang sudah agak lama menulis pula, timbul isu-isu semasa:
perang, reformasi, penentangan terhadap apa yang dianggap kezaliman, dunia
keusahawanan, dunia IT dan seumpamanya. Ada banyak cubaan untuk meneroka teknik
penulisan yang sebenarnya sudah banyak ditangani penulis luar. Better late than
never.
Bagaimanapun, tema-tema masih terlalu terikat pada dunia Melayu. Bagaikan hanya
orang Melayu yang menghuni seluruh mayapada. Kalau ada watak kaum lain, hanya
sebagai tempelan tanpa ada apa-apa peranan. Kalau ada watak Bukan Melayu yang 'timbul',
pasti watak itu sama ada: (a) masuk Islam, atau (b) tidak memiliki ciri-ciri jati
diri sebagai watak kaum India/Cina dll tetapi sama sahaja seperti watak kaum
Melayu. Nama watak mungkin Ramasami (India) tetapi perwatakannya lebih merupakan
Rahmat (Melayu).
Ketandusan tema inilah juga yang membuatkan pembaca malas membaca karya sastera
Bahasa Malaysia kerana terpaksa membaca kisah yang sama dalam 1008 karya. Watak
pula 99% Melayu. Baki 1% pula watak Bukan Melayu yang lebih banyak Melayu
daripada Bukan Melayu!
Inilah
juga reaksi dan komen yang saya terima daripada khalayak remaja melalui
pengalaman saya mengendalikan bengkel penulisan dan ceramah sastera di beberapa
tempat.
Memang ada penulis yang mampu lari daripada kelemahan ini. Tahniah! Sasterawan
seperti inilah yang kita perlukan dan sasterawan seperti inilah yang akan
dikenang zaman. Saya mengimpikan kelahiran lebih ramai penulis seperti ini.
Saya amat-amat menghormati saudara kerana saya dapati saudara ikhlas
berkarya dan tidak hanya berkarya kerana ingin menempah nama ataupun kerana
ingin mendapatkan pulangan daripada penjualan karya yang telah diterbitkan. Saudara
juga saya dapati telah menggunakan Internet untuk meneruskan perjuangan saudara
sebagai seorang penulis. Sejauh mana penggunaan Internet membantu saudara dalam
perjuangan saudara selama ini? Adakah ia banyak membantu? Adakah mungkin pada
satu hari nanti saudara akan menerbitkan karya-karya saudara dalam bentuk
digital (e-books)?
Terima kasih kerana saudara memahami hakikat bahawa saya tidak mengejar
wang melalui karya. Malah, saya tidak pernah menulis cerpen khusus untuk 'masuk
pertandingan' seperti yang dilakukan beberapa rakan penulis. Kalau kebetulan ada
cerpen yang telah siap sesuai dengan pertandingan, baru saya kirim.
Malah sejak
1999, saya sudah semacam tidak mengirim sebarang cerpen untuk pertandingan
kerana: (1) beri peluang kepada penulis baru, (2) tidak mahu menjadi penulis
pertandingan. Bukan pula saya katakan saya terlalu 'hebat' sehingga orang lain
tak ada peluang untuk menang kalau saya bertanding. Tolong jangan tersalah
tafsir, ya.
Cerpen "Nayagi" pernah menang hadiah pertama. Cerpen itu pada mulanya
pernah saya kirim ke sebuah majalah remaja dan untuk antologi. Bila tak tersiar,
baru saya kirim ke pertandingan. Jadi, "Nayagi" tidak ditulis untuk
tujuan pertandingan.
"Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah" saya tulis semata-mata untuk
bercerita secara lebih terperinci mengenai kampung kegemaran saya. Saya gunakan
sebagai teks perbincangan dalam kelas semasa belajar di Universiti Malaya (UM). Encik Saleeh Rahamat
yang menyarankan saya menghantarnya untuk pertandingan. Malah, saya rasa, beliau
yang berikan borang penyertaan kepada saya. Cerpen itu menang hadiah. Terbukti,
cerpen itu juga bukan ditulis untuk tujuan pertandingan.
Begitu juga dengan SEMUA karya saya; sama ada yang menang hadiah atau tidak
menang hadiah.
Telah saya jelaskan awal-awal lagi tujuan saya berkarya. Jadi, tak timbul soal
saya perlu menulis dengan mengharapkan pulangan dalam bentuk wang. Saya menulis
untuk berkarya. Saya menulis karya yang bermutu. Karya yang ada ilmu bantu.
Karya yang ada makna berlapis. Bukan karya untuk menang hadiah.
Saya menulis antara lain untuk menggambarkan citra budaya kaum India di negara
ini kepada pembaca sastera Bahasa Malaysia. Saya menulis untuk kelompok pembaca
yang sukakan karya yang mencabar dan saya menghormati intelektualiti mereka.
Saya juga menjadi semacam 'agen sastera' dengan mengumpul manuskrip
penulis-penulis baru. Saya akan bimbing mereka dan mengedit karya. Apabila
mencapai tahap yang memuaskan, saya akan salurkan kepada penerbit (majalah,
akhbar, risalah online). Kavyan juga mengendalikan siri bengkal untuk mengasah bakat baru.
Semuanya tanpa motif mendapat untung.
Sasterawan Pulau Cinta (www.pulaucinta.cjb.net) telah saya terbitkan sendiri
untuk membuktikan istilah "Bahasa Malaysia" memang wujud dan sah digunakan. Novel
Panchayat (www.panchayat.cjb.net) telah saya terbitkan sendiri
setelah DBP pada mulanya meluluskan penerbitan dan kemudian membatalkan
penerbitan kerana kononnya terlalu banyak unsur agama Hindu dan budaya kaum
India dalam novel berkenaan. Malah, saya pernah disaran supaya menukar watak
kaum India-Hindu kepada watak Melayu-Islam!
Antologi
Vanakam (www.vanakam.cjb.net) diterbitkan
dengan bantuan rakan-rakan dalam Kavyan
(www.kavyan.cjb.net) selepas manuskrip
Vanakam yang asal dibatalkan
penerbitannya pada saat-saat akhir oleh DBP kerana saya mempertahankan
penggunaan istilah "Bahasa Malaysia" pada prakata antologi berkenaan
sedangkan Azmi Ibrahim mengatakan istilah Bahasa Malaysia "tidak wujud dan
tidak boleh digunakan". [Baca
lagi]
Tak ada keuntungan wang melalui penerbitan ketiga-tiga buku berkenaan. Tapi
setiap buku yang diterbitkan itu membawa kejayaan serta mencipta sejarah yang
pasti tidak boleh dinafikan - oleh Azmi Ibrahim mahupun DBP sendiri.
Pada tahun 1998, saya wujudkan Kumpulan Khalayak Siber Intelek Sastera (KKSIS)
di mana saya berkongsi karya dan komen sastera dengan lebih 250 orang melalui e-mel.
Kini ada pula e-Kavyan
(www.e-kavyan.cjb.net) iaitu e-group dengan lebih 200 ahli. Ada juga
surat berita dalam talian Kavya
(www.kavya.cjb.net) yang terbit pada 1 hari bulan setiap bulan. Saya kendalikan
bimbingan kepada penulis baru melalui e-mel. Internet memang memudahkan tugas
ini.
Jadi, saya memang sudah mula menggunakan internet bagi tujuan meneruskan
perjuangan saya dalam sastera dan bahasa - Bahasa Malaysia. Dulu, saya tidak
tahu apa-apa mengenai e-mel. Saya belajar. Saya tidak tahu apa-apa mengenai
laman web. Saya belajar. Dan saya masih belajar.
Buat masa ini, saya tidak tahu cara-cara menangani konsep e-book. Tentu sahaja
saya ingin belajar daripada sesiapa yang sudi berkongsi ilmu.
Internet memang telah banyak membantu saya meneruskan perjuangan saya.
Laman-laman web serta surat berita yang saya kendalikan boleh diakses dari
mana-mana. Jadi, perjuangan saya diketahui semua. Karya para penulis kaum India
juga saya sebarkan melalui penggunaan internet. Biodata penulis kaum India saya
muatkan di laman www.sasterawan.cjb.net
untuk tatapan semua.
[Diharap langkah saya mewujudkan laman web khusus bagi
penulis kaum India serta penubuhan Kavyan tidak dianggap sebagai tanda saya
bersikap perkauman!]
Mungkin lebih banyak akan dapat dilakukan pada masa hadapan dengan memanupulasi
perkembangan teknologi jika saya mendapat sokongan dan panduan daripada individu
yang lebih tahu perkara berkaitan internet dan teknologi maklumat.
Ada pesanan-pesanan terakhir yang ingin saudara tujukan kepada khalayak
pembaca kita?
Jangan biarkan mana-mana penulis memperbodohkan anda dengan karya bodoh. Jangan
biarkan mana-mana penerbit memperbodohkan anda dengan karya bodoh.
Anda berhak memilih karya yang ingin anda baca.
Nota: Wawancara dilakukan oleh Sdr Nizam Zakaria melalui e-mel untuk disiarkan di http://nizamzakaria.blogspot.com pada 18 April 2003.
Kavya, Mei 2003