Sasterawan Kaum India: Melukut atau Menyengat?

Uthaya Sankar SB

Hampir sepuluh tahun lalu, jumlah penulis kaum India yang aktif menulis karya sastera Bahasa Malaysia boleh dibilang dengan jari sebelah tangan. Hari ini, keadaan masih sama.

Hasil penelitian sejak awal 1990-an, penulis dapati ada penulis kaum India yang timbul, ada yang tenggelam dan ada pula yang timbul-tenggelam-timbul. Rata-rata, permasalahan yang dihadapi sama sahaja dengan penulis mana-mana kaum yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia.

Bagaimanapun, kelompok penulis kaum India yang menulis karya sastera Bahasa Malaysia boleh dikatakan berada di sebuah dimensi lain berbanding penulis kaum Melayu yang menulis karya Bahasa Malaysia serta penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Tamil.

Pada peringkat awal, kelompok penulis Bahasa Tamil berusaha menterjemah karya Bahasa Melayu ke Bahasa Tamil; dan sebaliknya. Kemudian, khususnya selepas tahun 1970, mereka berusaha menulis karya asli Bahasa Malaysia. Bagaimanapun, penulisan mereka masih tepu dengan gaya penulisan Bahasa Tamil.

Di pihak yang lain pula, ada beberapa penulis kaum India yang gagal membezakan antara “Bahasa Malaysia” dan “Budaya Melayu-Islam”. Natijahnya, karya mereka tidak ada sebarang perbezaan berbanding karya penulis kaum Melayu yang berkisar mengenai budaya Melayu-Islam.

Sejak awal, kelompok penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia tidak ada persatuan khusus yang mewakili mereka. Mereka tidak sesuai menganggotai Persatuan Penulis-penulis Tamil kerana, seperti yang telah dijelaskan, mereka bukan penulis karya Bahasa Tamil.

Lalu, kelompok penulis ini ketara menganggotai persatuan penulis yang rata-rata ditunjangi penulis kaum Melayu. Tentu sekali tindakan ini tidak salah. Namun, timbul semacam ketiadaan identiti dan jati diri yang khusus bagi kelompok penulis kaum India berkenaan.

Menyedari hakikat ini, pada Ogos 1999, sekumpulan penulis kaum India telah mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur. Hasilnya lahirlah Kavyan iaitu Persatuan Penulis Kaum India Malaysia yang dianggotai khusus oleh penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia.

S.G. Prabhawathy, V. Vijayaletchumy, Siva Rubini & Uthaya Sankar SB mengadakan Diskusi Karya ... Devishi Prabha Sankari tertidur

Dari sudut yang lain, timbul pula masalah mendefinisikan kelompok penulis berkenaan. Sejak dahulu, golongan penulis yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu) dikategorikan sebagai “Penulis Melayu” dan “Penulis Bukan Melayu”.

Mungkin label ini sesuai pada tahun 1970-an kerana tidak ramai “Penulis Bukan Melayu”. Bagaimanapun, sekitar tahun 1990-an, label ini dilihat sebagai tidak sesuai. Timbul soalan: kalau “Bukan Melayu”, apa? Mestilah ada identiti khusus.

Namun begitu, kelompok penulis kaum India sendiri terbukti terus selesa dilabel sebagai “Penulis Bukan Melayu”. Atau lebih menghairankan, apabila mereka membenarkan diri mereka digelar “Penulis Tamil” walaupun mereka tidak pernah menghasilkan karya Bahasa Tamil.

Isu ini telah banyak kali ditimbulkan oleh Kavyan tetapi masalahnya adalah bahawa kelompok penulis kaum India sendiri tidak kisah tentang apa identiti yang diberikan kepada mereka. Hingga hari ini, masih terus ada penulis kaum India yang tetap selesa dan menerima sahaja apa-apa label yang dilekatkan ke dahi mereka: Penulis Tamil, Penulis Bukan Melayu, Penulis Keturunan India, Penulis Sastera Melayu, Penulis Bahasa Melayu ...

Mulai tahun 1970-an, muncul ramai penulis kaum India berikutan pengenalan istilah “Bahasa Malaysia” serta kempen Cintailah Bahasa Kita dan Bahasa Jiwa Bangsa. Namun, pada awal tahun 1980-an, muncul kemarau yang tidak diketahui sebabnya.

Keadaan ini berubah secara drastik berikutan Hadiah Cerpen Maybank-DBP yang diperkenalkan pada tahun 1987. Muncul begitu ramai penulis kaum India yang memenuhi prasyarat pertandingan iaitu “penulis yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Melayu”. Kalau dilihat dari segi jumlah penulis baru yang timbul, memang cukup membanggakan.

Prof Madya Dr Krishanan Maniam Saroja Theavy Balakrishnan Uthaya Sankar SB

Walau bagaimanapun, dua tokoh pengkaji sastera iaitu Dr Othman Puteh dan Dr Krishanan Maniam berpendapat bahawa majoriti penulis kaum India yang lahir daripada pertandingan tersebut bukan kelompok penulis yang serius. Mereka adalah kelompok yang tiba-tiba timbul dan tiba-tiba juga tenggelam. Hakikat ini akan jelas sekiranya kita meneliti cerpen-cerpen mereka dalam siri antologi Menara yang memuatkan karya pemenang pertandingan berkenaan. Kebanyakan nama hanya muncul sekali.

Kedua-dua tokoh pengkaji berkenaan juga membuat rumusan berdasarkan penelitian mereka bahawa hanya dua pengarang kaum India yang terus menonjol dan prolifik berkarya. Dua sasterawan yang dimaksudkan ialah Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB.

Cerpen kedua-dua pengarang yang dimaksudkan ini sering mengisi dada akhbar dan majalah. Mutu karya diakui setanding karya sasterawan kaum Melayu. Malah, pernah pula memenangi beberapa pertandingan peringkat nasional serta diberi anugerah penulisan.

Satu alasan yang sering diberikan oleh masyarakat India mengenai persoalan mengapa kurang terlibat dalam penulisan kreatif adalah kononnya mereka tidak diberi peluang dan pendedahan mengenai teknik penulisan karya. Alasan ini tidak boleh dipakai.

Pelbagai bengkel dan ceramah berkaitan penulisan cerpen dikendalikan oleh pelbagai pihak di serata tempat. Malangnya, jumlah remaja dan belia kaum India yang menyertainya cukup mengecewakan. Peluang yang ada dilepaskan begitu sahaja.

Bengkel Karyawan Muda anjuran Kavyan

Kavyan sendiri sejak tahun 2000 mengendalikan siri Bengkel Karyawan Muda. Situasi masih sama: lebih ramai peserta kaum Melayu berbanding peserta kaum India.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula menanjurkan program bimbingan sistematik yang dinamakan Minggu Penulis Remaja (MPR) sejak tahun 1985. Masalah yang wujud masih sama: tidak ramai remaja kaum India yang menunjukkan minat serta menonjolkan bakat.

Beberapa remaja kaum India yang pernah menyertai MPR ialah Gunasegaran, Uthaya Sankar SB, Sardah Appalasamy, Ganesan Duraisamy, Ramakrishanan, Ganesh Kumar dan Nyanaambigai. Tidak perlulah disebutkan mana satu pengarang yang masih aktif berkarya. Manakala, Nyanaambigai pula peserta MPR 2003 yang menampakkan potensi jika terus aktif berkarya.

Terdapat pula penulis kaum India yang pada mulanya menulis cerpen Bahasa Tamil. Kemudian, mula mencuba bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia. Beberapa tahun kemudian, kembali tertumpu pada penulisan Bahasa Tamil; mencuba semula cerpen Bahasa Malaysia – dan terkini, tertumpu pada penulisan Bahasa Tamil!

Tidak kurang juga penulis kaum India yang melonjak naik melalui pertandingan. Nama-nama seperti Saroja Theavy Balakrishnan, Uthaya Sankar SB, Srivalli Sreedharam dan Sreetharanee Subramaniam mula dikenali selepas karya mereka menang pertandingan.

Malangnya, ada pula penulis yang hanya muncul apabila ada pertandingan. Tidak setakat itu, tumpuan mereka adalah untuk menang hadiah pertama! Mereka ternyata “penulis pertandingan” atau “penulis sayembara”. Bagaimanapun, apabila hakikat ini didedahkan, mereka cepat melenting.

Selain daripada “penulis sayembara”, ada pula “penulis tempahan” serta “penulis biskut” di kalangan penulis kaum India.

“Penulis tempahan” memang selalu menulis. Bagaimanapun, mereka mudah ditempah – boleh diminta menulis karya yang begitu-begini supaya sesuai dengan media di mana karya itu mahu dimuatkan; atau sesuai dengan majlis di mana karya itu akan dibacakan. Namun, mujurlah, belum ada – setahu saya – sasterawan kaum India yang ditempah menulis pantun atau syair khusus bagi majlis persandingan!

“Penulis biskut” memenuhi kriteria seperti iklan satu jenama biskut yang disiarkan di televisyen: sekejap ada, sekejap tiada. Mereka adalah penulis yang timbul-tenggelam-timbul; dan akhirnya karam. Ramai sasterawan kaum India yang lahir pada peringkat awal Hadiah Cerpen Maybank-DBP termasuk dalam kategori ini. Begitu juga dengan remaja kaum India yang pernah terpilih mengikuti program Minggu Penulis Ramaja.

Walaupun tahun 1990-an menyaksikan kemunculan begitu ramai penulis baru daripada kalangan kaum India, namun mereka tidak bertahan lama. Malah ramai yang hilang begitu sahaja sebaik selepas tamat mengikuti Minggu Penulis Remaja.

Tahun 2000-an pula menampakkan suasana yang lebih aktif di kalangan kelompok kecil sasterawan kaum India. Laman web dan internet menjadi wahana menyiarkan karya serta mempromosi karya kelompok sasterawan ini. Kavyan sendiri semakin aktif melalui laman web www.kavyan.cjb.net manakala surat berita Kavya pula mula dimuatkan di laman web www.kavya.cjb.net mulai Julai 2002.

Sila KLIK

Muncul juga beberapa nama baru yang tidak tergolong dalam kumpulan Hadiah Cerpen Maybank-DBP dan/atau Minggu Penulis Remaja. Mereka adalah Raja Rajeswari Seetha Raman, S.G. Prabhawathy, Retna Devi Balan, Bathmavathi Krishnan dan Vijayaletchumy Vellasamy. Mereka menampakkan keseriusan dalam berkarya berbekalkan ilmu dan bakat. Jika konsisten, mereka bakal menambah jumlah sasterawan kaum India yang mampu mencorak peta sastera kebangsaan.

Sila KLIK

Pada tahun 2002, kelompok sasterawan kaum India bergabung menerbitkan Vanakam iaitu antologi sulung cerpen Bahasa Malaysia penulis kaum India Malaysia. Pada tahun 2003, Kavyan menganjurkan Sayembara Menulis Cerpen Kavyan-Ashwin Trading dalam usaha mencungkil bakat baru pelbagai kaum.

Sila KLIK

Sejak sepuluh tahun lalu, jumlah keseluruhan sasterawan kaum India yang aktif berkarya tidak ramai. Nama-nama baru yang muncul ternyata tidak kekal lama. Kehilangan mereka diganti pula nama-nama baru.

S.G. Prabhawathy Retna Devi Balan V. Vijayaletchumy

Mungkin sahaja apa yang perlu diberi perhatian adalah terhadap kualiti karya dan bukan pada kuantiti penulis semata-mata. Jika begitu, kelompok sasterawan kaum India di negara ini memang telah berjaya mewarnai sastera kebangsaan.

Namun, apakah kehadiran mereka mampu menyengat atau sekadar terus melukut di tepi gantang? Mungkin sepuluh tahun lagi diperlukan sebelum jawapan bagi persoalan itu dapat diputuskan. Apatah lagi untuk menilai mutu karya mereka secara kolektif.

Minda, Ogos 2003

Kavya, Oktober 2003

Kirim komen kepada Uthaya Sankar SB

Hosted by www.Geocities.ws

1