Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan

 

  

Tarikh

20 April 2003 (Ahad)

Masa

4:15 petang

Tempat

Prabhamandala, Taman Sri Muda, Shah Alam

Kehadiran

1. Uthaya Sankar SB

2. Raja Rajeswari Seetha Raman

3. S.G. Prabhawathy

4. V. Vijayaletchumy

5. Ganesan Duraisamy

      

    

1.            Ucapan Pengerusi

Uthaya Sankar SB mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. Beliau turut menyatakan rasa kesal kerana Jawatankuasa sendiri kurang menunjukkan komitmen terhadap Kavyan.

 

2.            Pengesahan Minit Mesyuarat

S.G. Prabhawathy membacakan secara ringkas minit mesyuarat lalu (11 Januari 2003) yang sudah pun dimuatkan di laman web Kavyan. Raja Rajeswari mengesahkan minit berkenaan; disokong Ganesan Duraisamy.

 

3.            Perkembangan Pendaftaran Kavyan

Uthaya Sankar SB menjelaskan bahawa urusan pendaftaran Kavyan masih dalam proses kerana beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan perlu dirombak dan tokok-tambah mengikut syarat Jabatan Perdaftar Pertubuhan. Beliau sentiasa menghubungi pegawai berkenaan di jabatan pendaftaran untuk menguruskan hal itu.

 

4.            Kehadiran Jawatankuasa ke Mesyuarat

S.G. Prabhawathy menyatakan bahawa notis mengenai mesyuarat jawatankuasa ini sudah dikirim pada 1 April 2003. Jawatankuasa yang tidak dapat hadir tidak pula menghubungi beliau untuk menyatakan alasan untuk tidak hadir. Raja Rajeswari dan Vijayaletchumy mencadangkan supaya di masa hadapan, selain notis awal, ada baiknya jika e-mel atau SMS dikirim dua hari sebelum tarikh mesyuarat sebagai peringatan. Bagi jawatankuasa yang tidak hadir tiga kali berturut-turut tanpa alasan, tindakan akan diambil berdasarkan Perlembagaan Kavyan.

 

5.            Yuran Keahlian

Ganesan Duraisamy melaporkan bahawa ahli berdaftar Kavyan yang sudah menjelaskan yuran bagi tahun 2003 hanyalah sembilan orang. Uthaya Sankar SB menerangkan bahawa mereka yang pernah menjadi ahli Kavyan sejak 1999 telah dihubungi melalui surat supaya mendaftar semula sebagai ahli serta membayar yuran tahunan; tetapi tidak ada respon. Jawatankuasa bersetuju supaya promosi dibuat bagi menambah ahli Kavyan.

 

6.            Kelab Kavyan

Ganesan Duraisamy selaku Penyelaras Kelab Kavyan menyatakan bahawa sekumpulan remaja bawah 18 tahun menunjukkan minat dan komitmen untuk menyertainya. Kumpulan ini juga sering mengadakan pertemuan dan perbincangan; khususnya untuk membincangkan konsert yang dijadualkan pada tahun depan. Ahli Kelab Kavyan akan dibenarkan memilih jawatankuasa sendiri di kalangan mereka. Langkah ini wajar sebagai persediaan ke arah menyerap mereka sebagai ahli Kavyan apabila cukup umur.

 

7.            Diskusi Karya

Vijayaletchumy selaku Penyelaras Diskusi Karya melaporkan bahawa setakat ini dua sesi diskusi telah diadakan. Diskusi terbaru pula mengkhusus pada perbincangan mengenai sumbangan bahan (sajak, cerpen, kisah benar, rencana, laporan aktiviti dll) untuk majalah NILA. Sesi diskusi ini akan diteruskan kerana memang membawa manfaat.

 

8.            Konsert Kavyan

Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa mesyuarat serta diskusi mengenai konsert ini diadakan dari masa ke semasa. Magenthiran dilantik sebagai Pengarah Projek. Pembahagian tugas-tugas lain juga sudah dilakukan. Buat masa ini, jawatankuasa yang terlibat dalam konsert ini sedang berusaha mendapatkan penaja. Vijayaletchumy mencadangkan supaya majlis penyampaian hadiah bagi Sayembara Menulis Cerpen Kavyan-Ashwin Trading turut diselitkan semasa konsert ini. Jawatankuasa bersetuju sebulat suara dengan cadangan ini.

 

9.            Bengkel Karyawan Muda

Vijayaletchumy melaporkan bahawa bengkel akan diadakan pada akhir Mei 2003 (cuti sekolah) di Banting. Penganjur bengkel kali ini adalah Hindu Dharma Mamandram; pihak Kavyan pula hanya perlu pergi sebagai pembimbing.

 

10.            Sayembara Menulis Cerpen Kavyan-Ashwin Trading

Uthaya Sankar SB melaporkan bahawa promosi dan publisiti bagi sayembara sedang giat dijalankan. Kerjasama padu daripada pihak media (elektronik, cetak dan siber) amat menggalakkan. Promosi dilakukan di Kavya, ArahKiri, SiasahOnline, Utusan Malaysia, Bernama TV (Astro Vaanavil) dan di pelbagai laman web di ruang siber. Promosi juga dilakukan melalui e-group Kavyan dan Malaysian Writers. Tidak kurang juga sumbangan ahli Kavyan, e-kavyan dan pembaca Kavya yang menyebarkan maklumat kepada rakan-rakan dan kenalan.

 

11.            Lawatan ke Pure Life Society

Tarikh lawatan belum dapat diputuskan kerana perlu mendapat persetujuan daripada pihak Pure Life Society. Kavyan akan berusaha mengumpul buku terpakai untuk disumbangkan ke perpustakaan di rumah kebajikan berkenaan. Ahli Kavyan akan turut merancang beberapa aktiviti bersama penghuni rumah kebajikan berkenaan. Hari terbaik adalah hari Ahad.

 

12.            Aktiviti Akan Datang

Jawatankuasa membincangkan beberapa aktiviti bagi beberapa bulan akan datang. Pada 26 April 2003, Uthaya Sankar SB akan menjadi penceramah pada Ceramah Penghayatan Sastera anjuran Persatuan Bahasa Tamil, Sekolah Menengah Taman Ehsan, Kepong. Pada Mei 2003, Bengkel Karyawan Muda di Banting; serta lawatan ke Pure Life Society. Jun 2003: tiada perancangan aktiviti setakat ini. Julai 2003: Raja Rajeswari mencadangkan "Bimbingan Penulisan Esei" khusus bagi pelajar Tingkatan Empat bagi menangani teknik menulis karangan bentuk kreatif untuk subjek Bahasa Malaysia. Vijayaletchumy pula akan cuba mengatur lawatan ke estet dan sekolah Tamil di sekitar Banting.

 

13.       Baca Puisi Anggerik

Beberapa ahli Kavyan dan Kelab Kavyan selalu menyertai acara ini. Jadi, tidak salah jika acara baca puisi ini juga dianggap sebagai aktiviti bulanan Kavyan. Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa semakin banyak pihak yang menjemput wakil dari Kavyan ke pelbagai acara. Ini menandakan bahawa Kavyan diakui sebagai mewakili kumpulan sasterawan kaum India di Malaysia.

 

14.            Antologi Cerpen "The Golden Rule"

Uthaya Sankar SB selaku co-editor antologi cerpen interfaith berkenaan memaklumkan bahawa lima ahli Kavyan telah bersetuju untuk terlibat dalam projek ini sejak diumumkan dalam Kavya, Mac 2003. Suatu bengkel khusus dijadual pada Jun 2003. Maklumat lanjut akan diberikan di masa hadapan.

 

15.            Sumbangan Bahan Surat Berita Kavya

Uthaya Sankar SB selaku editor Kavya menyeru para jawatankuasa supaya menyumbangkan bahan bagi surat berita berkenaan. Bagaimanapun, tidak timbul masalah kekurangan bahan buat masa ini. Tambahan pula, sejak diterbitkan secara maya mulai Julai 2002, jumlah halaman tidak menjadi masalah. Ahli Kavyan dan Kelab Kavyan wajar menggunakan peluang dalam Kavya untuk mengasah bakat penulisan.

 

16.       Majalah NILA

Mesyuarat dimaklumkan mengenai majalah NILA yang diterbitkan dalam Bahasa Malaysia. Uthaya Sankar SB bertindak sebagai "agen sastera" untuk menyalurkan bahan ke majalah berkenaan. Beberapa ahli Kelab Kavyan telah mengemukakan bahan bagi majalah ini. Menjawab pertanyaan Vijayaletchumy, Uthaya Sankar SB menjelaskan bahawa karya yang tersiar tidak dibayar honorarium atau royalti. Bagaimanapun, majalah NILA adalah satu wahana untuk mengasah bakat bagi penulis baru; khususnya peserta Bengkel Karyawan Muda dan ahli Kelab Kavyan. Majalah NILA turut memuatkan laporan aktiviti Kavyan.

 

17.            Alamat e-mel Kavyan, e-Kavyan dan Kavya

Ahli berdaftar Kavyan, ahli e-Kavyan serta penulis yang menyumbangkan bahan bagi Kavya boleh memiliki alamat e-mel khusus berbentuk (yourname)@kavyan.cjb.net, (yourname)@e-kavyan atau (yourname)@kavya.cjb.net. Jawatankuasa Kavyan serta penyumbang bahan bagi Kavya sudah pun diberikan alamat e-mel eksklusif ini. Mereka yang berminat diminta menghubungi [email protected].

   

18.            Tarikh dan Masa Mesyuarat Akan Datang

Raja Rajeswari menyatakan bahawa waktu petang hari Ahad kurang sesuai untuk mengadakan mesyuarat kerana masing-masing ingin meluangkan masa bersama keluarga. Hal ini dipersetujui oleh hadiran yang lain. Jadi, mesyuarat jawatankuasa akan datag akan diadakan pada hari Sabtu pertama iaitu pada 5 Julai 2003 (Sabtu), pukul 4:00-6:00 petang di Shah Alam.

   

19.            Mesyuarat Tamat

Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan ditamatkan pada pukul 5:45 petang

 

   

   

Disediakan oleh: Setiausaha Kavyan

Disahkan oleh: Presiden Kavyan

     

Kembali ke laman utama Kavyan

Hosted by www.Geocities.ws

1