Love Matters

Cinta Remaja

Mrinalini Nair Baskaran

    

Cinta merupakan  suatu unsur seni yang halus dalam jiwa dan sanubari manusia. Kewujudannya dalam diri seseorang tidak dapat dijangkakan sekali apatah lagi diukur nilainya. Perasaan yang sungguh istimewa ini tidak dapat disentuh, dilihat dengan mata kasar atau dipegang. Namun demikian, kehadirannya dapat dirasai.

Perasaan cinta-mencintai wujud dan diamalkan sepanjang masa dalam hidup kita. Umpamanya cinta kepada Tuhan, ibu bapa, ilmu, agama dan kepada hidupan lain. Namun hakikatnya masyarakat jarang berbincang mengenai cinta kepada negara, ilmu, agama dan sebagainya, tetapi cinta di kalangan remaja sering di perkatakan, dan perbualan tersebut agak menarik perhatian saya.

Perkara ini semestinya mendatangkan implikasi yang kurang baik terhadap perkembangan remaja. Cinta di kalangan remaja bagaikan “minum arak” kerana seseorang yang acapkali minum alkohol tanpa mengira waktu akan menjadi ketagih lalu menjadi kaki botol dan ini sekaligus akan mengundang maut.

 Begitu juga dengan cinta remaja. Bezanya, amalan minum arak akan membahayakan kesihatan, tetapi cinta akan melemaskan remaja yang belum bersedia menghadapinya.

Punca cinta ini wujud di kalangan remaja adalah kerana perasaan - iaitu perasaan ingin tahu, ingin mencuba, ingin menunjuk-nunjuk. Dan semua ini berupaya mengatasi perasaan remaja yang waras dan rasional.

Bagi remaja, usia mereka pada masa itu adalah untuk berseronok dan cinta bagaikan suatu unsur untuk mereka berseronok dan bergembira. Pelajaran dilupakan, tidak mempunyai minat untuk belajar dan walaupun dia cuba untuk menunjukkan minat terhadap pelajaran, tetapi tidak mampu. Ini kerana remaja tersebut mula lemas dengan perasaannya sendiri; yakni perasaan cinta.

Perubahan tersebut dapat dilihat di rumahnya juga, di mana remaja tersebut tanpa disedari mula berani berbohong kepada ibu dan ayah. Hal ini amat meyedihkan, kerana masa depan remaja tersebut dalam sekelip mata akan hancur sama sekali. Manakala  remaja yang tidak dapat mengawal perasaan mereka akan terjebak dalam perbuatan yang terhina, sekaligus perbuatan mereka akan dikutuk oleh masyarakat.

Namun demikian, masalah ini dapat diatasi dengan mudah di mana mereka yang terjebak dengan kancah dan dilema perasaan ini boleh berjumpa dengan guru kauseling atau guru-guru lain yang boleh dipercayai. Malah mereka juga boleh berbincang untuk mendapatkan pandangan daripada Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

Sebenarnya, setiap manusia akan melalui alam percintaan, tetapi bagi remaja yang masih muda haruslah bersabar dahulu. Tugas yang lebih besar menanti para remaja, iaitu tanggungjawab meraih kejayaan dalam pembelajaran dan kerjaya. Pelajaran amatlah penting dalam hidup kita kerana ia memberi kita suatu kehidupan yang baik di masa akan datang.

Oleh itu, saya menyarankan golongan remaja agar memberilah cinta kepada yang lebih berhak - iaitu pelajaran.

Kavya, Oktober 2003

Hantarkan komen kepada Mrinalini Nair Baskaran

Hosted by www.Geocities.ws

1